Bab 13
ADREENA menyapu sedikit pemerah pipi di kedua-dua belah pipinya yang bersih.
Dia mencalitkan gincu pada bibir dan mengetap bibirnya bagi meratakan gincu
agar tidak kelihatan comot. Dia melihat dirinya di dalam cermin. Rambutnya yang
panjang mengurai disanggul tinggi. Memang dia lebih gemar mengandam sendiri
kerana dia begitu sensitif jika dia merasakan ada yang tidak kena pada
wajahnya. Setelah berpuas hati dengan penampilan diri, dia keluar dari kamarnya
menuju ke tingkat bawah.
Perlahan-lahan dia menuruni anak tangga. Kebaya ketat
yang tersarung pada tubuhnya bagaikan menyekat kakinya untuk melangkah lebih
besar. Dia menuju ke dapur untuk memastikan segala persediaan sudah tersedia
rapi. Kemudiannya, dia mengambil beberapa gelas lalu diletak ke atas dulang.
“Reena berdiri kat sini lagi buat apa? Keluarga Rizqi
dah nak sampai tu. Pergi duduk kat depan sana. Biar Mak Som aje yang buat.” Mak
Som menolak tangan Adreena. Sebagai orang gaji, dia tidak mahu majikannya yang
buat kerja di dapur.
“Tak apalah Mak Som. Sikit aje ni,” Adreena berdegil.
Dia tetap mahu menolong.
“Isy! Mak Som kata tak payah. Tetamu dah nak sampai
tu. Nanti marah pulak Mak Engku tengok Reena buat kerja dapur.” Mak Som
mengambil gelas dari tangan Adreena lalu disusun di atas dulang. Adreena
mengalah apabila Mak Som membawa lari dulang itu ke tempat lain.
“Reena! Keluarga Rizqi dah sampai ni!” jerit Tengku
Safura dari ruang tamu. Adreena yang mendengar pekikan ibunya terus kecut
perut. Dia sempat menilik dirinya di cermin dapur. Dia ingin kelihatan cantik
di depan Rizqi.
“Dah cantik dah. Abang sayang tengok mesti tak sabar
nak terkam. Aum!” Mak Som mengusik Adreena. Dia buat gaya harimau nak mengawan
pula di situ. Kemudian, tangannya pantas mencedok lauk-pauk.
Adreena menggigit bibir. Malu diusik begitu. “Mak Som
ni sibuk aje skodengReena, kan? Geletek perut bulat Mak Som tu nanti,
tahulah,” sakat Adreena sambil membeliakkan mata memandang perut Mak Som yang
membulat. Bukan mengandung tapi memang macam itu bulatnya dari dulu.
“Mak Som gurau aje. Pergilah depan. Karang Mak Engku
menjerit lagi, pecah semua tingkap dalam rumah ni,” Mak Som mengejek majikan
sendiri.
Adreena tergelak mendengar sindiran Mak Som itu.
Memang tidak dinafikan bahawa ibunya menjerit boleh berdarah telinga dibuatnya.
Rizqi serta keluarganya sudah duduk bersila sementara
Adreena masih menyembunyikan diri di sebalik ruang tengah rumahnya. Dia jadi
gemuruh pula apabila melihat Rizqi kacak bersut putih dan kemeja dalamnya berwarna
biru gelap. Jantungnya sudah melambung-lambung daripada tadi. Perut pula sudah terasa
sebu.
Kehadiran Rizqi sedikit sebanyak mengusik hati
wanitanya yang sememangnya sudah menempatkan nama Rizqi. Selain Rizqi
sekeluarga, turut hadir adalah beberapa orang kenalan keluarga pihak lelaki dan
perempuan. Ya, memang ada kejutan buat Rizqi!
Berdebar-debar. Rizqi kian gelisah di kedudukannya.
Punggungnya terasa membahang seperti duduk di bawah seterika panas. Dahinya
yang licin mula mengeluarkan peluh jantan. Dia jadi tidak senang duduk tatkala
mendengar butir bicara dari mulut Tuan Razak.
Keluarganya kini sedang merisik Adreena??? Tiba-tiba
pihak lelaki sudah memulakan.
Bukan lemang sebarang lemang,
Lemang dibakar kayu berapi,
Bukan datang sebarang datang,
Datang membawa hajat di hati…
Tidak lama kemudian dibalas pula oleh pihak perempuan.
Baju kurung kain pelekat,
Coraknya indah tambah seri,
Orang di sana membawa hajat,
Sila luahkan kami dengari…
Rizqi sudah pening mendengar semua itu. Rasa macam hendak
cabut saja telinganya dan dicampak ke dalam laut. Otaknya membeku. Fikirannya
berkecamuk. Matanya berpinar-pinar dan serasa mahu pitam mendengar segala
pantun berbaur risikan.
Dia tahu, tidak sepatutnya dia menyesal sekarang. Dia
yang sengaja mencari nahas. Dia seharusnya memberitahu kedua ibu bapanya
tentang soal hati dan perasaannya yang sebenar tanpa ditangguh-tangguh. Kini
dia sudah tersepit.
Bayangan Adreena bertindih dengan wajah Thia.
Kepalanya terasa berpusing lebih laju. Dia yang sengaja membuat dirinya
terperangkap dengan cinta Thia. Dia kini seolah-olah tidak mendengar apa yang
dibincangkan. Apa yang dia mahukan ialah… ghaib saja dari situ.
Tiba-tiba Adreena menunjukkan diri lalu duduk
bersimpuh berhadapan dengan Rizqi. Gadis itu hanya menundukkan wajah dan Rizqi
memandang Adreena sepintas lalu. Dia mengakui Adreena kelihatan sungguh cantik
pada malam itu tetapi kenapa hatinya tidak bergetar? Kenapa hatinya tidak
berdegup kencang seperti mana dilakukan oleh Thia? Ah! Thia juga yang sedang difikirkan.
Tuan Razak sedar akan perubahan Rizqi yang resah
semacam namun dia hanya mendiamkan diri. Dia ingin menegur sikap Rizqi yang
bermasam muka sedangkan malam ini sepatutnya menjadi malam yang paling bahagia
buat anaknya.
Namun reaksi Rizqi menunjukkan malam ini merupakan
suatu malam yang penuh kedukaan. Hambar dan kosong. Andai kata salah seorang
dari pihak perempuan yang menyedari wajah mendung anak terunanya itu, dia pasti
mendapat malu.
Rizqi hanya membisu sepanjang waktu. Dia cuba
menyabarkan gelora hatinya yang bagaikan melonjak-lonjak untuk melenyapkan
diri. Dia tertawa apabila semua orang tertawa tapi ketawanya tidak ceria bahkan
seperti terpaksa saja. Kemelut hatinya kian terserlah sehingga dapat dihidu
oleh Adreena yang dalam diam memerhatikannya.
Mereka saling berpandangan. Rizqi memandang tepat anak
mata Adreena manakala Adreena cuba untuk menyelami isi hati Rizqi. Adreena
tahu, Rizqi tidak mencintainya malah tidak mengangkat status dirinya sebagai
calon isteri.
Dia cuba mengawal perasaan yang sedang bergelodak
hebat. Dia pasrah seandainya Rizqi tidak boleh menerimanya sebagai bakal isteri
kerana dia juga tidak mampu hidup dan membina syurga cinta bersama orang yang
langsung tidak mencintainya malah tidak cuba membuka jalan untuk menyayanginya.
Kesudahannya, Adreena memperlihatkan wajah redup
seraya melontarkan senyuman kepada Rizqi seolah-olah dapat memahami gejolak
perasaan yang bersarang di dada Rizqi. Hatinya dipagut rasa pilu. Sakitnya
hanya tuhan saja yang tahu. Perit sungguh dirasakan.
USAI majlis, Rizqi dan keluarganya berangkat pulang. Sebaik sampai di rumah, Rizqi
mahu naik ke biliknya namun segera dihalang oleh Tuan Razak.
“Rizqi, papa ada hal nak cakap sikit. Lepas papa habis
cakap, baru papa izinkan Rizqi naik ke atas.” Tegas Tuan Razak dengan muka
serius.
Puan Kamelia turut bersama suaminya walaupun hatinya
tertanya-tanya hujung pangkal hal yang ingin dibincangkan oleh dua anak beranak
itu. Dia menempatkan diri di sebelah suaminya manakala Rizqi bertentangan
dengan papa dan mamanya.
Tuan Razak merenung tajam ke arah Rizqi. Muka Puan
Kamelia pula sarat dengan tanda tanya. Sekejap memandang anaknya, sekejap
beralih pada suaminya di sisi. Lama-lama begitu, mahu longgar lehernya.
Rizqi masih menunggu papanya membuka mulut namun
papanya langsung mendiamkan diri. Dia jadi pelik. Mahu dimulakan, dia sendiri tidak tahu hendak
bertanya apa. Lebih-lebih lagi papanya bermuka tegang. Rasa kecut perut
mengekang dia untuk bersuara. Sudahnya, dia membungkam diri.
“Sebelum papa tanya sesuatu pada Rizqi, papa nak Rizqi
jawab jujur dengan kami.” Akhirnya masa yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Rizqi
bersikap tenang di depan kedua-dua ibu bapanya walaupun hatinya berdebar-debar menanti
soalan yang bakal diajukan oleh Tuan Razak. Dia mematah-matah jari-jemarinya. Suasana
semakin tegang.
“Rizqi suka Adreena jadi isteri Rizqi?” tanya Tuan
Razak.
Rizqi terkejut dengan soalan lurus daripada papanya.
Langsung tidak berkias ataupun bengkang-bengkok membuatkan lututnya bergoyang.
Takut!
“Kenapa pa… papa tanya macam tu pulak?” Gugup Rizqi
menyoal kembali. Terbelit rasa lidahnya untuk berkata-kata. Dia melontarkan
senyuman palsu. Cukup sekadar mengaburi mata mama dan papanya.
“Suka atau tidak?” Tuan Razak menekankan suaranya
namun tidak meninggikan.
Rizqi menelan air liur. Dia perlu menjawab jujur atau
bohong. Mana satu pilihannya? “Rizqi tak sedia nak kahwin lagi,” jawab Rizqi
lambat-lambat.
“Bohong!” suara Tuan Razak mula menginjak tinggi. Rizqi
tergamam memandang papanya. Dia kaget melihat papanya sudah berubah riak
muka.
“Abang, janganlah bising-bising. Takut budak tu nak
jawab. Bincanglah elok-elok,” suara Puan Kamelia mencelah lembut. Bimbang jika
suaminya tiba-tiba mengamuk pula.
“Rizqi tak nak kahwin lagi buat masa sekarang,” jawab Rizqi
sekali lagi memberi maksud yang sama seperti jawapannya sebelum ini.
“Sedia atau tak bukan persoalannya. Suka atau tak itu
yang menjadi persoalan. Nak kata Rizqi tak bersedia, dari segi apa yang Rizqi
tak sedia? Papa yakin, kalau Rizqi suka pada Adreena, muka Rizqi tak murung
memanjang. Jangan Rizqi ingat papa tak tahu.”
Rizqi tersentak. Dia tercengang mendengar kata-kata
papanya yang bijak menangkap riak wajahnya yang tidak senang duduk sepanjang
berada di rumah Adreena malam tadi. Dia tahu, dia tidak berupaya lagi untuk
berbohong. Inilah masa yang sesuai untuk dia berterus-terang dan dia mula menarik
nafas bagi mengumpul sedikit kekuatan.
“Baiklah! Rizqi mengaku. Rizqi mengaku yang Rizqi… Rizqi
sebenarnya ada pilihan sendiri dan perempuan tu bukan Adreena. Tapi itu tak
bermaksud yang Rizqi tak suka Adreena cuma hati Rizqi dah berkenan pada
perempuan lain. Rizqi pun tak tahu kenapa boleh jadi macam ni. Hal ni berlaku
dengan mendadak sampai Rizqi pun tak tahu macam mana nak terangkan pada papa
dan mama. Rizqi minta maaf,” jelas Rizqi seraya menundukkan wajah. Dia takut
untuk melihat reaksi selanjutnya daripada kedua-dua orang tuanya.
“Rizqi, kenapa Rizqi tak cakap awal-awal pada kami
sebelum kami hantar rombongan merisik? Sekarang baru nak beritahu?” Puan Kamelia
mula menyoal. Kekesalan jelas terpancar di raut wajahnya yang tua. Tubuhnya
yang menyandar sebentar tadi terus menegak.
“Rizqi tak tahu pun mama dengan papa pergi rumah Uncle
Razif sebab nak merisik. Kalau Rizqi tahu, tak mungkin Rizqi nak biarkan,” Rizqi
membela diri. Sememangnya dia turut menyesali dengan apa yang telah berlaku.
Dia tidak tahu sama ada dia yang bersalah kerana lewat berterus terang ataupun
keluarganya yang bersalah kerana merahsiakan rombongan merisik itu daripada
pengetahuannya. Dia buntu dengan situasi yang sedang berlaku ketika ini.
“Papa kecewa dengan Rizqi. Papa tak kisah kalau Rizqi
dah berkenan pada perempuan lain sekalipun tapi kenapa tak berterus-terang
lebih awal? Padahal Rizqi dah tahu lama memang niat kami nak jodohkan Rizqi
dengan Adreena. So, what’s the problem to tell the truth? You purposely
ashamed us, didn't you?” Tuan Razak serkap jarang. Dia memandang Rizqi
tajam.
Rizqi tersentak dengan tuduhan melulu oleh papanya. “For
God sake, no! I didn’t. I do want to tell the truth but I’m not so sure
whether this is the right time for me to be frank about my feelings. Rizqi
takut papa dengan mama kecewa dengan Rizqi. Yalah… both of you’ve planned
for me to marry Adreena for a long time but suddenly, I want to refuse it.
Little or many, it bringsdisappointment for both of you, right?” Rizqi menerangkan duduk perkara dan mengapa dia menyembunyikan
hal sebenar.
“Habis tu Rizqi ingat sekarang ni kami berdua tak
kecewa? Lagi kami malu tahu tak. Apa kami nak cakap pada keluarga Adreena? Kita
sekarang dah merisik Adreena untuk Rizqi. Don’t you think the matter now
become even worse than before?” Tuan Razak memukul Rizqi dengan
kata-katanya yang berbisa. Dia tidak faham cara pemikiran anak muda sekarang.
Suka berahsia jika buat sesuatu perkara namun bila perkara menjadi lebih buruk,
baru terhegeh-hegeh mahu berterus-terang.
Kelihatan Rizqi terkulat-kulat mencari jawapan.
“Rizqi tahu tapi salah ke kalau Rizqi suka pada
seseorang? Salah ke kalau Rizqi fikir perasaan mak ayah Rizqi sebelum Rizqi
bercakap sesuatu yang boleh menghancurkan hati mereka? Rizqi ingat memang
Adreena pilihan terakhir buat Rizqi dan Rizqi setuju dengan cadangan mama dan
papa untuk jodohkan Adreena dengan Rizqi sebab Rizqi fikir pilihan parents
Rizqi mestilah yang terbaik. Tapi bila dah jumpa dia, hati Rizqi terus berubah.
Rizqi tak pernah suka pada perempuan lain macam mana Rizqi boleh suka pada
dia,” luah Rizqi tanpa segan silu lagi. Dia tidak mahu menyimpan perasaan yang
akhirnya menjeruk hati sendiri.
Rizqi melihat kedua ibu bapanya terdiam. Mungkin
memikirkan soalan seterusnya untuk ‘menghentam’ dirinya sekali lagi. Akhirnya
dia pasrah kepada ALLAH SWT. Meski kedua ibu bapanya tetap bertegas mahu menjodohkan
dia dengan Adreena, dia berserah.
Dia tidak mahu menjadi anak derhaka walaupun Thia
yang menjadi taruhan. Dia maklum, tanpa mama dan papanya, tidak mungkin dia
lahir ke dunia ini. Tanpa didikan yang baik daripada mereka, mustahil dia dapat
menjadi seorang peguam yang dihormati.
Suasana menjadi sunyi. Masing-masing dengan dunia
sendiri. Rizqi berdoa dalam hati semoga papanya tidak lagi menyoal apa-apa.
“Papa nak Rizqi kahwin juga,” Tuan Razak
berkeras.
Rizqi menggelengkan kepalanya. Dia memicit
dahinya seolah-olah meredakan sakit yang menghimpit kepalanya sekarang. Wajah Thia
yang semakin menjauh terapung di awangan. Dia harus melepaskan Thia. Jodohnya
bukan milik Thia sebaliknya milik Adreena.
“Kalau itu keputusan papa, Rizqi ikut saja. Rizqi
tak kisah bila papa dengan mama nak Rizqi kahwin tapi jangan sekarang. Rizqi
penat. Nak tidur. Badan Rizqi letih sangat. Good night,” jawab Rizqi
malas. Dia sebak mengenangkan jodohnya bukan bersama Thia. Gadis itu perlu
dilupakan. Hatinya menangis pilu biarpun wajahnya tenang.
“Nanti dulu Rizqi,” halang Tuan Razak apabila dia
melihat Rizqi sudah mengangkat punggung untuk gerak ke bilik. Anaknya terduduk
semula. Matanya memandang tepat ke hadapan.
“Papa nak Rizqi bawa bakal menantu papa tu
secepat yang mungkin ke rumah kita. Teringin papa nak tengok macam mana rupa
bakal menantu papa tu.” Tiba-tiba Tuan Razak berkata seperti tidak pernah
tengok muka Adreena sepanjang hayatnya.
“Apa?” Rizqi mengerutkan dahinya. Masakan papanya
tidak cam muka Adreena?
“Tak faham? Hai, kata peguam hebat. Takkan
bahasa-bahasa kias macam ni pun tak faham?” Tuan Razak sengaja menduga anak
bujangnya.
Rizqi semakin berkerut. Sejenak, dia segera
memahami maksud papanya sebentar tadi apabila Tuan Razak mengukir senyuman
nakal. Puan Kamelia juga sudah tersenyum-senyum di situ.