Bab 19
PERSIAPAN untuk perkhemahan ke
Hutan Lipur Chamang, di Bentong Pahang giat dijalankan setelah mendapat
kelulusan daripada pihak universiti.
Thia antara orang yang paling sibuk
menguruskan agenda untuk ekspedisi itu baik dari segi tenaga kerja mahupun wang
ringgit di mana dia bertanggungjawab mengutip wang sebanyak RM20 daripada
setiap pelajar yang ingin menyertai.
Namun dalam kesibukannya, dia tidak lupa
menunaikan tanggungjawabnya sebagai mahasiswi yang berdedikasi dalam
pembahagian masa bagi mengulang kaji pelajaran dan penglibatan dalam aktiviti
kokurikulum.
Thia sempat pulang ke
rumah untuk melawat ibunya. Dia terpaksa menadah telinga dengan bebelan ibunya
yang sentiasa berpesan supaya berhati-hati semasa di dalam hutan.
Ibu mana yang
tidak risau jika anaknya jauh dari mata tanpa ada pemantauan yang ketat?
Lebih-lebih lagi di dalam hutan yang boleh mendatangkan bahaya pada bila-bila
masa saja.
Walaupun Thia di sana cuma dua hari, Puan Seha tetap rasa bimbang
dengan keselamatan anaknya.
“Ala… ibu, bukan Thia
sorang aje pergi. Ramai lagi kawan Thia yang pergi. Berpuluh-puluh orang tau.
Lagipun Thia bukannya masuk hutan sangat. Setakat berkelah kat tepi sungai aje.
Bolehlah, ibu…” pujuk Thia pada suatu malam di rumahnya.
Puan Seha memang berat
hati mahu melepaskan Thia pergi walaupun mengizinkan namun apabila Thia
sudah pulang ke rumah, Puan Seha kian
berbelah-bahagi kembali dengan keputusannya. Hatinya rasa seperti tidak enak
saja.
“Bolehlah ibu. Please…
Thia sayangkan ibu. Kalau ibu pun sayangkan Thia, ibu izinkan Thia pergi ya?” pujuk
Thia lagi sambil memeluk ibunya dari belakang. Ketika itu ibunya sedang duduk
di atas katil.
Puan Seha sesungguhnya terasa
berat hati. “Thia tu anak dara ibu. Nak pergi hutan tu buat apa? Baik teman ibu
aje kat rumah ni. Thia tak kesian pada ibu?” ujar Puan Seha meraih simpati Thia.
Tiba-tiba Thia berasa
sedih mendengar luahan hati ibunya. Mana mungkin dia tidak mengasihani ibunya
sendiri. Kemudian, diraih tangan ibunya lantas dikucup lembut.
“Ibu, maafkan Thia. Thia
berdosa tak dengar cakap ibu. Mesti ada sebab ibu tak bagi Thia pergi. Tak
apalah. Thia ikut cakap ibu. Thia tak pergi, ya? Thia teman ibu nanti masa
cuti,” pujuk Thia. Mengalir air matanya. Dia sedih dengan kedegilannya sendiri.
Puan Seha terkejut melihat
Thia menangis. Anaknya itu terlalu taat dan dengar kata. Tidak pernah melawan
cakapnya walau sepatah. Dia terharu dengan sikap anaknya yang patut dipuji. Dia
mengusap lembut rambut anaknya lantas tersenyum.
“Thia, ibu bangga dengan Thia.
Thia tak pernah bantah cakap ibu jauh sekali nak meninggikan suara. Dah, dah
jangan menangis. Tak lawa dah anak dara ibu ni. Ibu benarkan Thia pergi.” Puan
Seha akhirnya mengizinkan namun terselit juga rasa kebimbangan.
Thia memanggung kepala.
Matanya mencari anak mata ibunya. Tangisan serta-merta menyepi. “Betul ke, ibu?”
Thia minta kepastian.
Puan Seha tertawa kecil. “Ya.
Dah Thia merajuk, meraung kat ibu. Tak sampai hati ibu nak tengok. Pandai Thia
guna taktik menangis macam ni, kan?” sindir ibunya.
Tercetus tawa Thia dari
celah bibirnya lantas mendakap ibunya erat. “Terima kasih ibu,” ucap Thia dalam
dakapan.
“Tapi Thia kena janji
dengan ibu. Jangan duduk jauh-jauh dari kawan Thia. Kalau boleh pergi tandas
pun ajak kawan ramai-ramai. Mulut jaga, jangan celupar atau cakap besar. Jangan
tinggal solat walau apa keadaan sekali pun. Faham tak, sayang?”
“Faham. Thia janji pada
ibu,” tegas Thia dengan penuh kelegaan. Sehari kemudian, dia kembali semula ke
kampusnya.
PADA malam ini,Thia
mengajak Fitri dan Yani menemaninya bertemu dengan Rizqi. Saat Rizqi tahu Thia
akan berangkat ke Pahang esok hari, dia sanggup meluangkan masa untuk berjumpa
dengan buah hatinya.
Lisa pula awal-awal lagi menolak
pelawaan Thia seperti biasa. Habis saja waktu kelas, dia terus keluar bersama kekasih
misterinya.
Semasa dalam perjalanan
ke kelas, tiba-tiba Fitri menarik tangan Thia. Dia ingin menunjukkan sesuatu
kepada Thia dengan apa yang baru saja dia nampak.
“Thia… ni Raihan, kan?” Jari
telunjuk Fitri menunjuk pada sebuah papan kenyataan di mana ada terpampang gambar
seorang lelaki muda bergambar dengan seorang lelaki tua berjanggut yang agak
ganyut sebab rambutnya nampak macam banyak uban.
Tak tahulah kalau lelaki tua
itu warnakan rambutnya dengan warna putih. Mungkin lelaki tua itu adalah Ketua
Program.
Thia terpana. ‘Apa hal
mamat sengal ni bergambar dengan orang tua? Bakal bapak mertua dia ke?’ Thia
bermonolog. Tiba-tiba Fitri bersuara lagi.
“Kau baca atas ni.
Pelajar terbaik dari semester pertama dan semester kedua. Muhammad Akif Raihan
bin Dr. Razak, dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dengan CGPA 4.00. Turut
meraih kejayaan dalam sukan bola sepak dan tempat pertama dalam sukan memanah
peringkat universiti. Beliau turut…” Fitri tidak dapat meneruskan bacaan
apabila Thia menariknya pergi dari situ.
Ah! Dia tidak mahu
mendengar apa-apa mengenai Raihan. Hatinya meluat! Tak teruja langsung dia
mendengarnya.Menyampah lagi, ada!
“Woi! Kenapa dengan kau ni?
Aku tak habis baca lagi lah,” jerit Fitri apabila Thia tergopoh-gapah menarik
tangannya sehingga beg di bahunya hampir terlucut jatuh.
Thia tidak peduli dengan
jeritan Fitri. Biar Fitri meraung sekalipun, dia tidak peduli juga. Dia masih
lagi menarik tangan Fitri menuju ke Dewan Kuliah 3.
Namun tiba-tiba Fitri
merentap tangannya kasar. Dia menoleh ke belakang menatap wajah Fitri yang terbongkok-bongkok
menarik nafas yang lelah.
“Kenapa dengan kau? Nak
kena terajang free dengan aku? Aku tak habis baca lagi tadi,” protes
Fitri sedikit marah. Thia sekadar memeluk tubuhnya. Dia memalingkan mukanya dan
sejurus itu dia melihat sepasang kekasihyang bertenggek di luar dewan.
Muka
sepasang kekasih itu pun sudah bertukar menjadi muka Raihan dan Yaya. Oh,
sampai begitu sekali otaknya digodam.
“Aku tak suka. Aku tak
nak dengar pasal lelaki tu,” jawab Thia mendatar. Dia benar-benar benci lelaki
yang punya ego tinggi seperti Raihan. Teringat pula semasa mereka berebut anak
patung beruang di sebuah kedai beberapa bulan yang lalu.
Patutkah seorang lelaki
berebut anak patung dengan seorang perempuan? Patutkah? Dia benar-benar tidak
sangka begitu sekali perangai kotor Raihan.
‘Agaknya kau tidur peluk anak
patung kut. Tak pun kau guna anak patung tu buat sental air liur basi kau, kan?’
cercanya dalam hati.
“Eh, kau yang tak suka
jangan nak heret aku sekali. Tak suka… tak payah dengar. Aku kan, kaki gosip. You
know me?Malulah aku kalau kawan-kawan aku yang lain tanya apa gosip
terbaru, aku terangkat-angkat bahu macam Fei Mao. No way! Nanti dia
orang tak nak respect aku lagi,” terang Fitri dengan muka berkerut.
“Ada aku kisah? Dah, jom
masuk dewan. Lambat masuk karang kena nyanyi pulak. Mentang-mentang lecturer
kita tu pandai menyanyi, asyiklah dia suruh kita menyanyi sama,” Thia membebel
sambil menarik tangan Fitri yang masih kecewa.
***