Home Novel Cinta Ops! Dia Buah Hatiku
Bab 25

Bab 25

RIZQI mengemas kertas-kertas di atas mejanya lalu disumbat ke dalam briefcase. Hari ini jadualnya agak padat. Lebih menambah bebannya, hari ini dia perlu memujuk Thia untuk bertandang ke rumahnya sebaik saja Thia pulang dari ekspedisinya. 

Mengenangkan sikap Thia yang masih tidak acuh dengannya, menjadikan dia tidak yakin dapat memujuk Thia.

You tolong hantar fail ni pada Encik Lee. Suruh dia signsuratperjanjian dengan Syarikat RZ Corp. tu. I nak petang ni jugak. Okey? I nak keluar sekejap,” arah Rizqi kepada Puan Seha.

“Okey, bos. Er... bos! Kejap. Nak cakap sikit ni,” luah Puan Seha tersipu-sipu. Rizqi yang memandang Puan Seha sekadar mengangkat keningnya.

“Saya sebenarnya risaulah bos. Thia tak angkat call dari malam tadi. Saya callbanyak kali tapi dia off kan. Hmm… bos… bos ada call dia?” tanya Puan Seha malu-malu kucing. Segan menanyakan hal berkenaan bos dan anak gadisnya. 

Rizqi pun kelihatan tersipu-sipu untuk menjawab.

“Ada petang semalam. Katanya tengah buat rakit sebab dia kena denda bangun lambat. Malam tadi I tak try call sebab I busy kan. Balik pun terus tidur. Maybe tak ada line kut. Biasalah dalam hutan. Ada aktiviti agaknya,” sedikit bergetar suaranya. Masakan tidak. Dia seolah-olah bercakap dengan bakal mak mertuanya sendiri. Itu pun kalau Thia terbuka hati untuk menerimanya.

“Oh, tapi sebelum ni saya call dapat aje. Risau saya…” Tiba-tiba telefon bimbit Puan Seha berdering mendendangkan lagu Unbreak My Heart membantutkan kata-kata selanjutnya.

“Kejap ya, bos. Kalau bos nak pergi dulu… pergilah,” ujar Puan Seha. 

Rizqi hanya mengangguk dan melemparkan senyuman. Melihat wajah Puan Seha itu, mengingatkannya pada Thia. Rindunya sudah membukit. Namun dia berasa terkilan kerana hanya dirinya seorang sahaja yang merindu.

Puan Seha berasa pelik melihat nombor yang tidak dikenali tertera di skrin telefonnya namun dia angkat juga tanpa memikirkan apa-apa.

“Assalamualaikum. Ya, saya ibu kepada Rana Fathiah. Aha… Bertenang? Kenapa ni?? Apa???!!” Rizqi mendengar sayup-sayup suara Puan Seha menjerit lalu dia segera berpaling. Tiba-tiba dia melihat Puan Seha rebah ke lantai.

“Ya ALLAH!” Rizqi meluru mendapatkan Puan Seha. Sejurus itu, dia segera melutut di atas lantai. “Kak?” Rizqi menggoyangkan bahu Puan Seha. Cemas.

“Kenapa Puan Seha, Encik Rizqi?” Staf-stafnya yang lain turut meluru datang.

I tak tahu. Tolong call ambulance. Cepat!” arah Rizqi kelam-kabut. Dia mengambil telefon bimbit dari genggaman Puan Seha yang longgar. Dia melekapkan ke telinganya.

“Hello?” Talian masih bersambung.

“Hello. Ada orang lagi ke?” suara di talian kedengaran.

“Ya, saya. Ada apa, ya?” Peluh sudah merintik-rintik di dahi Rizqi. Dia mengagak, pasti ada berita buruk yang ingin dikhabarkan sehingga menyebabkan Puan Seha jatuh pengsan.

“Saya nak beritahu tentang kehilangan anak kepada Puan Seha, Rana Fathiah pada malam semalam. Kami dari pihak universiti minta maaf di atas kelewatan untuk memaklumkan…”

“Thia hilang?? Macam mana boleh hilang?” potong Rizqi laju. Tangannya sudah menggigil. Dia bagaikan terkena renjatan elektrik mendengar berita tragis itu.

“Kami tak pasti tapi menurut rakannya, kali terakhir mereka jumpa Rana Fathiah pada petang semalam sebelum jam 6.00. Sekarang kami dan pihak bomba sedang mencari Rana Fathiah di dalam hutan. Boleh saya minta keluarga Rana Fathiah datang ke sini untuk membantu siasatan?” soal pensyarah Thia di hujung telefon.

Rizqi menutup matanya. Perit untuk menerima kenyataan itu. “Astaghfirullahalazim. Baiklah, kami dalam perjalanan ke sana.” Rizqi terus matikan talian.


TOYOTA Harrier yang dipandu Rizqi memecut laju menuju ke Hutan Lipur Chamang, Pahang. Puan Seha yang sedang membaca ayat suci Al-Quran dijeling seketika. Tertumpah rasa simpatinya. 

Mujurlah Puan Seha sekadar pengsan biasa. Belum sempat ambulans sampai, Puan Seha kembali menyedarkan diri apabila dia merenjiskan air ke muka wanita itu. Dan sekarang, dia dan Puan Seha bergegas ke Pahang untuk mencari Thia.

Dalam penuh perhatian dia memandu, tiba-tiba dia teringatkan Raihan. Adiknya juga turut terlibat dalam ekspedisi ke hutan yang sama. Tanpa lengah, dia segera memakai handsfree dan menggapai telefon bimbitnya. 

Setelah beberapa minit, dia berasa hampa kerana gagal berhubung dengan Raihan juga. Dia bengang. ‘Takkan budak ni pun hilang?’ hatinya mendongkol geram.

Sebaik sahaja 1 jam 45 minit perjalanan, Rizqi dan Puan Seha selamat tiba di Hutan Lipur Chamang. Mereka dipandu oleh pekerja di sekitar tempat perkelahan itu untuk membawa mereka ke tapak perkhemahan.

Seribu satu rasa yang memakan hati masing-masing tatkala menjejakkan kaki di hutan itu. Puan Seha terkilan kerana pihak universiti lewat memaklumkan berita kehilangan anaknya dengan lebih awal. 

Ketika itu semua pelajar sudah dibenarkan pulang. Hanya terdapat beberapa orang pensyarah, polis dan anggota bomba sahaja. Dalam hanya sekelip mata, tercemar ketenteraman hidupnya.

“Ya ALLAH! Anak ibu!” Puan Seha cuba meluru masuk ke dalam hutan tapi segera ditahan oleh Rizqi dan beberapa orang yang berada di situ.

“Sabar, puan. Kami sekarang dalam usaha untuk mencari anak puan. Bawa mengucap banyak-banyak. Tempat ini sedang diawasi dan di bawah kawalan pihak-pihak tertentu saja.” Salah seorang anggota polis menahan Puan Seha yang berkeras hendak masuk ke dalam hutan yang sudah dikawal ketat oleh beberapa anggota bomba. Rizqi turut memegang lengan Puan Seha.

“Sabar, kak. Kita berdoa supaya mereka dapat jumpa Thia,” pujuk Rizqi.

“Bukan seorang saja pelajar yang hilang. Ada seorang lagi pelajar lelaki yang turut hilang. Kami pun baru tahu pagi tadi. Kami dah telefon ibu bapa pelajar tersebut. Mereka dalam perjalanan ke sini,” jelas seorang lelaki bermisai tebal tanpa disoal.

Puan Seha makin tergamam. “Pelajar lelaki? Si… siapa tu encik?” Dia segera bertanya. Risau anaknya hilang bersama seorang lelaki. Adakah pelajar lelaki tersebut yang melarikan anaknya? Ataupun anaknya melarikan diri bersama-sama pelajar lelaki tersebut?

‘Ya ALLAH, Ya Tuhanku. Apa yang aku fikirkan ni? Thia tak mungkin berbuat begitu. Dia anak yang baik,’ hati Puan Seha menidakkan.

Tiba-tiba telefon bimbit Rizqi berbunyi lantang. Rizqi segera menjawab. “Assalamualaikum, mama. Rizqi dekat luar ni. Kenapa, ma? Apa??? Raihan hilang?! Macam mana boleh hilang? Ya ALLAH! Mama… Rizqi memang ada dekat Hutan Lipur Chamang sekarang. Tak apa… nanti mama sampai dekat sini, Rizqi ceritakan. Suruh papa berhati-hati. Waalaikumussalam.”

Sebaik sahaja panggilan tamat, Rizqi termenung mengadap Puan Seha dan wanita itu membalas pandangannya. Raihan juga hilang. Maknanya pelajar lelaki yang turut hilang bersama Thia adalah… Raihan, adiknya! Apa yang berlaku kini benar-benar membuatkan Rizqi berasa aneh. Masakan Thia dan adiknya boleh hilang bersama-sama?

“Bos, apa sebenarnya yang berlaku?” soal Puan Seha bagai dapat mengagak sesuatu.

Rizqi melepaskan keluhan berat. Dia membuang pandang ke kiri dan ke kanan dan menggeleng lemah. “Adik I, kak. Pelajar lelaki yang turut hilang bersama Thia adalah adik I sendiri… Raihan.” Payah sungguh Rizqi melontarkan kenyataan tersebut. Dia sedih kerana adiknya juga hilang namun dalam pada masa yang sama dia berasa keliru.

Mengapa dalam ramai-ramai pelajar yang turut menyertai ekspedisi di hutan ini tetapi Thia dan adiknya yang menjadi mangsa? Sesungguhnya Rizqi tidak mahu percaya dengan apa yang dia hadapi ketika ini. Adakah ini dinamakan mainan takdir?

‘Ya ALLAH. Dugaan apa yang Kau berikan kepada aku sekarang? Kembalikan mereka kepada kami, Ya ALLAH,’ hati Rizqi diserang kepiluan.

Puan Seha tercengang. Kebetulan apakah ini? Anak gadisnya hilang bersama adik bosnya sendiri? Serta-merta Puan Seha mengucap dan beristighfar.

“Adik bos kenal ke dengan anak saya?”

Rizqi menggelengkan kepala. “Rasanya mereka tak kenal. Thia pun tak pernah cerita pada Ipasal Raihan. Mungkin mereka hilang pada waktu yang berbeza ataupun mereka tersesat?” Rizqi menduga. Dia sendiri tidak pasti macam mana Thia dan Raihan boleh hilang bersama.

“Mengikut laporan kami, Raihan dan Rana Fathiah hilang bukan pada waktu yang sama. Rana Fathiah hilang pada pukul 6 petang manakala Raihan hilang dalam pukul 8.45 malam semalam. Jadi, kami memang tidak tahu macam mana perkara ini boleh berlaku secara tiba-tiba,” pintas Encik Mokhtar sekadar menjelaskan duduk perkara. Puan Seha menangis lagi.

“Encik, saya nak cari anak saya. Tolong benarkan saya cari anak saya,” rayu Puan Seha lagi. Matanya sudah membengkak.

“Tak boleh, puan. Kami sudah serahkan tanggungjawab pada pihak bomba dan polis untuk mencari anak puan. Kami tak mahu keadaan menjadi lebih teruk sekiranya kami benarkan puan masuk ke dalam hutan. Minta maaf, puan. Harap puan dapat banyak-banyak bersabar,” balas Encik Mokhtar. Rizqi juga tidak mampu berbuat apa-apa.

“Anak ibu…” perih sungguh Puan Seha merintih lagi.


RAIHAN tersedar apabila matahari sudah menegak dan cahayanya menyiram di muka. Dia tertidur di bawah pokok yang besar. Dia memandang sekeliling. Ya, dia masih lagi berada di dalam hutan. Penuh dengan pokok-pokok, tumbuh-tumbuhan, nyamuk dan serangga-serangga kecil.

Raihan cuba bangkit. Badannya terasa sengal-sengal. Tengkuknya terasa lenguh apabila tidurnya hanya beralaskan baju dan bukan bantal yang empuk. Lagi pula, badannya hanya terbaring di atas tanah yang kotor dan berumput. Begnya juga ada di sisi, tidak terusik.

Enak mengelamun… tiba-tiba dia teringatkan Thia. Beg Thia tiada! Apakah Thia…? Raihan mula cuak apabila kelibat Thia tidak kelihatan. Dia bingkas bangun dan mundar-mandir di situ. Fikirannya ligat bertanya di manakah Thia sekarang.

“Dia pergi mana ni??? Kena baham dengan harimau ke? Eh, takkanlah harimau tu makan beg dia sekali. Aduh, mana pulak dia pergi ni?” Raihan menggerutu. Matanya mencanak memandang setiap pelosok hutan namun kelibat Thia langsung tiada. Lantas dia meraih begnya dan terus mencari Thia.

Raihan mengambil keputusan menuju ke anak sungai. Dia fikir, mungkin Thia kehausan dan mencari air. Kakinya memanjat sedikit batu yang bertindih di lereng sungai. Perlu berhati-hati kerana permukaannya licin. Leher dipanjangkan untuk mencari kelibat Thia. Tiada! Dia mula risau dan panik.

“Thia!” jeritnya lepas. Air terjun yang menderu kuat hampir menenggelamkan suaranya. Dia meletakkan begnya di atas batu.

“Thia! Thia! Thia!” pekiknya lagi bagaikan berlagu pula. Kemudian dia berdehem beberapa kali. Sakit anak tekaknya melaungkan nama Thia namun Thia tetap tidak menyahut. Dia syak, mesti Thia sedang menyorok dengannya ketika ini. Sengaja ingin membuat hatinya risau. Benarkah?

“Hei, aku kat sinilah. Bising!” Selamba Thia menyahut dan Raihan pantas menoleh dan mencari. Dia memanjat beberapa anak batu lagi. Terkumat-kamit mulutnya membaca ayat suci. Gerun melihat anak-anak batu yang agak curam di situ. Bahaya dan licin. Kalau terjatuh, paling koman pun… cacat seumur hidup.

Dari atas dia melihat Thia sedang duduk di atas batu sambil mengunyah roti. Namun kerana batu-batu di situ agak tenggelam lalu Raihan sukar untuk melihatnya.

Raihan menggelengkan kepalanya apabila melihat Thia tengah sedap landing di atas batu walhal tadi dia terpekik terlolong menjerit nama gadis itu. Bimbang jika Thia sudah dibaham binatang buas. Dia yakin gadis itu tidak melarikan diri daripadanya.

“Aku penat cari kau, kau sedap-sedap berkelah dekat sini ya,” jerkahnya. Dia turun berhati-hati dan melangkah satu per satu di atas batu. Kemudian, dia terus duduk di sebelah Thia dan matanya tangkas memandang wajah Thia yang segar. Matanya mengerling pula pada rambut Thia yang basah. Seksi!

“Aku panggil kau banyak kali kenapa kau tak sahut? Kau mandi ke tadi? Lutut kau dah okey?” soal Raihan melarikan sedikit anak matanya. Thia langsung tidak menolehnya. Enak mengunyah roti macam sepuluh hari tidak mendapat bekalan makanan.

“Haah. Melekit-lekit badan aku. Busuk pulak tu. Aku nak kejut kau tapi kau nyenyak sangat tidur. Kesian pulak aku nak kacau kau. Lutut aku sakit lagi tapi aku kan dah besar, kuat. Boleh tahan lagi. Eh, kau tak nak mandi ke?” Selamba saja dia bertutur.

“Kejap lagi. Eh… mana kau dapat roti tu?” Raihan pun sudah nampak roti itu bertukar menjadi nasi kerabu. Perutnya berkeroncong juga sedari tadi. Thia pun mengambil begnya.

“Dalam beg aku. Kejap, aku cari roti lagi. Ada ke tak, eh? Oh, tak ada. Sorry. Ampunkan hamba…”

Tegang terus kulit muka Raihan mendengar jawapan Thia tadi. Sungguh, perutnya berasa lapar. Dia memandang roti yang berada di tangan Thia pula. Tinggal cebisan. Ah! Jadilah!

“Aku nak sikit roti kau tu. Laparlah,” Raihan pamer muka kesian.

Thia mencerlang matanya. Marah pastinya. “Tak boleh. Aku pun lapar jugak. Kau makanlah roti kau.” Bukan mahu kedekut tapi sememangnya perutnya lapar sejak malam tadi lagi.

Raihan mencebik. Namun dia teringat yang dia ada bawa sedikit bekalan makanan sebelum dia ke sini mencari Thia. Semua makanan yang dibawa oleh Farris dan Hafiz habis dibedal. Dia tidak lupa menyerahkan not RM50 berserta nota kecil untuk kawannya. Segera tangannya menggapai beg.

Ada muffin, cupcakes, keropok, roti, tuna, air Extra Power Root dan tiga botol kecil air mineral. Juga ada berus gigi dan tuala mandi. Raihan tersenyum lebar. Bolehlah bertahan sampai ke esok. Fikirnya. Dia selamba saja mengeluarkan makanan-makanannya dan diletak di atas batu. Satu per satu dikeluarkan dari dalam begnya yang agak besar. Thia yang melihat hanya mampu melopong. Terjojol biji matanya.

“Kau datang bawa semua makanan ni?” Thia meninggikan sedikit suaranya. Sungguh dia tidak percaya dengan apa yang dilihat. Dia memandang layu ke arah makanan-makanan yang terpampang dan bersedia mengibarkan bendera putih.

Raihan hanya menganggukkan kepala, keningnya terangkat sebelah sambil menjeling Thia. Berlagak.

“Kau memang datang sini nak berkelah dengan aku, ya? How sweet. Nak sikit.” Thia sudah menghulurkan tangannya untuk mengambil muffin namun tangannya segera diketuk oleh Raihan. Masam terus mukanya. Tangan digosok perlahan.

“Tak payah! Tadi kau kedekut sangat dengan makanan kau. Sekarang nak makan makanan aku pulak. Banyak cantik muka kau? Aku lapar. Kau makanlah roti kau tu,” sindir Raihan. Sambil mata terpejam, dia mengunyah cupcake moist perisa coklat. Ah! Enaknya…

“Tak apa. Ada ubi ada kentang, ada hari aku curi makanan kau,” Thia menjual pantunnya. Raihan sudah ketawa besar seolah-olah mempersendakan Thia.

“Lawaknya... lawak sangat sampai aku rasa nak kuak lentang dalam sungai kejap lagi.” Raihan tambah gelak. Lama dia berkeadaan seperti itu sehinggalah dia menoleh semula memandang Thia yang mencuka saja sejak tadi. Entah kenapa dia berasa teruja melihat wajah itu cemberut.

Thia terus membisu sambil memeluk tubuh. Pandangannya dilemparkan ke arah air terjun yang berpusu-pusu jatuh ke permukaan air. Dia terbayangkan ibunya. Mesti ibu sudah tahu berita tentang kehilangannya. Lantas dia teringat bahawa ibunya pernah menghalang supaya tidak pergi ke perkhemahan ini.

‘Aku yang degil! Aku yang nak sangat pergi! Mungkin masa tu naluri seorang ibu begitu kuat bagaikan tahu apa yang bakal terjadi pada aku. Inikah balasan untuk aku, Ya ALLAH? Aku terdampar di sini bersama seorang lelaki yang kedekut!’ Air matanya menitis perlahan. Dengan pantas dia menyapu lembut pipinya.

“Laa… menangis ke? Kenapa tak melalak sekali?” Raihan gelak sekejap. “Dahlah aku gurau aje. Nah ambil ni,” Dia menghulurkan satu muffin kepada Thia tetapi gadis itu tidak menyambutnya. Dia lihat Thia menggelengkan kepala pula.

“Sudahlah. Aku tak nak. Dah kenyang,” balasnya pendek. Tersentuh dengan layanan Raihan yang keji tadi.

“Okey,” balas Raihan tidak memaksa jauh sekali hendak memujuk. Dia sambung mengunyah makanannya dengan hati yang lapang. Sengaja bikin panas hati Thia.

Thia pula semakin terasa hati. Dia berasa geram apabila Raihan tidak bersungguh-sungguh memujuk lalu dia pun bingkas bangun dan berdiri di belakang Raihan. Dia menolak tubuh Raihan sekuat hatinya sehingga lelaki itu terjatuh ke dalam air.

Gedebuk! Air berkocak hebat.

“Padan muka kau!” Thia ketawa terguling-guling melihat Raihan terkapai-kapai di dalam air macam anak kambing. Reti berenang ke tak budak tu? gumam Thia namun dia tak risau pun sekiranya Raihan betul-betul tidak pandai berenang.

“Thia! Siap kau. Aku naik atas, aku tambat kau dekat pokok,” Raihan mengancam. Dia masih lagi berada di permukaan air. Nasib baik dia pandai berenang. Kalau tidak, mahu jadi arwah!

“Apa? Tak dengarlah. Kau nak aku habiskan makanan kau semua ni? Okay. No problem. Bismillah…” Thia duduk dan mencapai cupcake dan membuka tin air Extra Power Root. Dia mengunyah perlahan tanpa mengambil peduli pasal Raihan yang memerhatikannya.

“Woi! Itu air untuk lelaki lah! Kau tu perempuan. Karang tumbuh misai berjambang, aku gelakkan aje,” ugut Raihan apabila dia memerhatikan Thia membuka penutup tin.

No sweat! Kacak jugak aku kalau ada misai, kan? Kita boleh jadi geng nanti.” Thia tetap berdegil. Langsung tidak masuk akal! 

‘Ada ke orang minum air terus tumbuh misai. Bukannya aku tabur baja ke hormon lelaki. Ingat aku ni budak empat tahun agaknya nak percaya tahyul-tahyul macam tu,’ getus hatinya.

“Minum tu… jangan habiskan. Tinggalkan untuk aku sikit. Okeylah aku nak mandi. Jom teman aku! Kita main game renang berirama, nak?” ajak Raihan sambil merenjiskan air kepada Thia.

Thia mengelak dan mengacu penumbuk pada Raihan. “Hee… siapa nak mandi dengan kau. Tolonglah. Aku nak makan!” Thia mula pijak kepala semula. Sudahlah dirembatnya makanan orang tu.

“Aku ajak-ajak ayam aje. Aku pun tak ingin nak mandi dengan kau. Kau tu, bukan boleh dipercayai,” ujar Raihan seraya berenang menuju ke air terjun. Penuh tersirat ayatnya.

Thia hanya memandang sambil tersenyum penuh makna. Kemudiannya, dia mengeluarkan kamera di dalam begnya. Beberapa gambar Raihan berjaya ditangkap. Dia tersenyum simpul.

‘Nak letak dalam frame cantik-cantik. Lepas tu, letak dekat bawah bantal,’ hatinya berbisik lucu.


***

Previous: Bab 24

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin