Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
137,233
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 2

HARI Khamis dan Jumaat,Miya mengambil cuti. Begitu pun tidak pula dia merancang balik kampung atau melancong ke tempat peranginan. Dia cuma mahu berehat panjang dari memikirkan hal-hal pejabat dan kerja yang tidak pernah habis untuk diselesaikan.

Apabila terasa bosan tanpa membuat apa-apa, dia segera bersiap untuk keluar. Inilah untungnya jadi orang bujang! Teringin hendak ke mana-mana, boleh saja terus pergi tanpa perlu memohon kebenaran sesiapa. Andai malas masak atau mahu makan yang sedap-sedap, boleh buat pesanan tanpa bersusah payah di dapur. Cuma perlu berbelanja lebih untuk menikmati makanan kegemaran. 

Tiba di kawasan parkir, Miya berasa amat bersyukur kerana dapat memarkir keretanya di petak bawah pokok. Dapat jugalah Iriz kesayangannya berlindung dari cahaya matahari terik, namun tetap ada risiko juga. Andai tiba-tiba hujan lebat dan angin kencang, salah diri sendiri kalau kereta ditimpa dahan pokok yang patah!

Sebelum keluar dari kereta, dia membelek telefon pintarnya. Sebentar tadi ada notifikasi di whatsApp, namun tidak sempat pula hendak melihatnya.

Setelah membaca pesanan ringkas daripada Ain teman serumahnya, dia segera keluar dan menutup pintu kereta. Tiada apa yang penting, Ain cuma beritahu hari ini dia lewat pulang ke rumah. Tidak beritahu pun, Miya faham situasi sahabatnya yang sentiasa sibuk.

Tiba-tiba dia terpandang kunci tertinggal di bonet kereta Volvo antik sebelah keretanya. Dia pantas melihat sekeliling, namun tiada kelibat sesiapa yang kelihatan. ‘Ni mesti kelam-kabut sampai boleh terlupa ambil kunci!’desisnya sambil mencabut kunci tersebut dan menyimpannya dalam beg tangan.

Miya kembali membuka pintu kereta dan mengambil buku nota dan pen dalam dashboard. Sehelai kertas dikoyakkan untuk tulis pesanan buat tuan punya kereta.

Dia menulis : Tertinggal sesuatu? Call 016-60803XX. Kemudian menyelit kertas itu di wiper kereta sebelah. Sempat juga dia menjenguk ke dalam kereta itu. Dah kereta antik, pasti sahaja tuannya menjaga kereta kesayangan dengan rapi. Memang cantik dan menawan hati sesiapa sahaja yang melihatnya.

Tidak semena-mena Miya teringin hendak masuk dan merasai bagaimana memandunya. Namun keinginan itu segera dimatikan. Nanti tak pasal-pasal dituduh mahu mencuri kereta pula. Kalau curi hati, tak apa jugak! Miya tersenyum geli hati dengan gelagat sendiri.

Setelah memastikan kertas itu terletak elok, dia berlalu menuju ke deretan rumah kedai. Semoga kertas itu tidak diterbangkan angin dan tuan punya kereta segera menghubunginya.

Sebenarnya dia ke sini kerana mahu makan tengah hari di Restoran Saba. Hari ini tekaknya mengidam masakan Arab pulak. Hampir setiap hari makan ayam dan ikan, sekali-sekala mahu juga merasa daging kambing. Nak harap masak sendiri,memang entah bilalah. Perlu tunggu majlis akikah anak sendiri sahajalah. Sekali lagi terukir senyuman di wajahnya yang sememangnya manis menawan.

Baru sahaja dia meletakkan punggung di kerusi, telefonnya berbunyi. Melihat nombor yang bukan dalam senarai kawannya, Miya sudah boleh mengagak. Cepat pulak orang itu menghubunginya!

“Assalamualaikum... ada apa saya boleh bantu?” Miya bertanya lembut. Dalam hati tetap berdebar-debar juga. Macam pertama kali berbicara dengan bakal suami pula rasanya.

“Hmm... ni pasal nota yang awak selitkan kat kereta Volvo.”

Kedengaran suara seorang lelaki muda. Tadi Miya menyangka pemilik kereta itu berkemungkinan seorang lelaki yang sudah pencen, rupanya tidak.

“Jadi, tuanlah pemilik kereta tu?”

“Oh tak, itu kereta atuk saya. Tadi saya on the way pergi meeting dan terpaksa berpatah balik sebaik tersedar kunci kereta tertinggal.”

“Ooo... kereta atuk. So, bila tuan nak jumpa saya ambil kunci ni?”

“Tak payahlah panggil tuan, saya bukannya sesiapa. Ni nak beritahu sekarang saya tak sempat nak jumpa awak. Habis meeting nanti kita jumpa kat Restoran Saba, boleh?”

“Lama lagi ke?” Dalam hati, Miya terasa pelik. Lelaki itu macam tahu-tahu sahaja dia sedang berada di restoran itu.

“Sempatlah kalau awak nak pergi shopping. Lepas tu awak tunggu kat restoran tu. Order aje apa yang awak nak, nanti saya bayar.”

“Kalau saya nak ajak kawan saya makan sekali, boleh?” Miya sengaja menduga.

My pleasure... saya tak kisah.Janji awak tunggu sampai saya datang.”

“Okey. Terima kasih,” ucap Miya dengan senang hati.

“Saya yang patut ucap terima kasih kat awak. Kalau kunci tu dapat kat orang jahat, teruk saya kena marah. Jumpa nanti,” ucap lelaki itu sebelum memutuskan talian.

Setelah memesan makanannya, Miya melayari Facebook pula. Sempat jugalah dia bersapa dengan kenalan maya dan berkomen ringkas di pos kawan-kawan. Sekadar memberi hint yang dia masih wujud dan aktif di media sosial.

Makan nasi beriani dengan kari kambing di restoran ini memang cukup menyelerakan. Dahulu Miya tidak pernah makan daging kambing sebab ada yang kata kononnya tinggi kolestrollah, nanti dapat darah tinggi. Dia pun terpengaruh juga dengan mitos yang kurang tepat itu.

 Sekali dia cuba membeli kari kambing di Mydin, terus cita rasanya berubah. Selepas itu, setiap minggu dia pasti singgah di Mydin dan membelinya. Tetapi itu kenangan semasa menyewa di tempat kerja lama.

Selesai makan dan membuat pembayaran di kaunter, Miya mengatur langkah menuju ke pusat membeli-belah pula. Mesyuarat lelaki itu pasti sahaja tidak selesai dalam masa sejam. Walaupun tidak merancang hendak membeli apa-apa,hampir semua kedai juga Miya singgah. Paling lama tentulah di kedai MR. DIY! Namun,hanya set bekas makanan sahaja yang dia berkenan. Penat berjalan sahajalah diadi situ.

Akhirnya dia berehat di kerusi berhampiran pentas utama. Memandangkan hari ini adalah hari bekerja, maka tiada sebarang aktiviti diadakan di situ. Andai pada hujung minggu memang meriahlah dengan pelbagai aktiviti untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

Ketika Miya ralit memerhati pengunjung yang lalu-lalang di sekitar dia berada, dia menerima panggilan daripada lelaki tadi.

“Ya, awak dah habis meeting ke?”Miya segera bertanya.

“Belum lagi, ni saja keluar sekejap sebab nak call awak.”

So, macam mana sekarang ni? Saya dah nak balik.”

“Boleh tak awak tinggalkan aje kunci kereta tu kat kaunter Restoran Saba?Kejap lagi saya akan telefon tauke restoran tu,” cadang lelaki itu.

“Boleh percaya ke dengan tauke tu? Nanti saya dah serahkan kat dia, kemudian dia kata tak terima pulak,” tanya Miya, ragu-ragu.

“Tauke tu kawan sayalah. Insya-ALLAH selamat.”

“Okeylah, kejap lagi saya serahkan kunci tu,” janji Miya dengan senang hati.

“Terima kasih sekali lagi.”

“Sama-sama,” balas Miya.

Lima minit kemudian Miya beredar dan menuju ke Restoran Saba. Nasib badanlah terpaksa menapak dan berpeluh gara-gara kecuaian orang lain. Niat di hati hendak membantu, sebaliknya menambah penat dirinya saja.

Sebaik tiba di restoran, Miya terus menuju ke kaunter pembayaran. “Bos, ada tak lelaki telefon suruh tinggal kunci kereta kat kaunter?”

“Ada. Kunci kereta Volvo, kan?”

Miya mengangguk.

“Okey, orang tu suruh bagi you RM100, duit belanja awak makan tadi,” beritahu tauke restoran sambil menghulurkan RM100 kepada Miya. Dia masih ingat kunjungan gadis itu ke restorannya.

“Banyaknya?”

“Dah ada orang nak belanja, ambil ajelah. Lain kali boleh datang dan makan lagi kat sini sini.”

“Yalah. Nanti bos tolong ucap terima kasihlah kat orang tu,” pesan Miya.

“Terima kasih saja ke, tak nak kirim salam sekali?” Tiba-tiba tauke restoran pun mahu berseloroh dengan Miya.

“Dah, tak payahlah nak usik saya. Orang tu pun saya tak kenal.”

“Sebab tu kena mulakan dengan kirim salam dulu. Lama-lama nanti boleh kirim macam-macam!” usik lelaki berusia tiga puluhan itu.

Miya mencebik tanda tidak suka, kemudian cepat-cepat berlalu menuju kekeretanya.

 

 

ZAIN ARASH mengukir senyuman sebaik terpandang Kak Jasmin di muka pintu biliknya.Kedatangan wanita itu amat dia nantikan bagi menjawab persoalan yang bermain di mindanya.

Sorry Arash,tadi akak ada meeting dengan bos.”Kak Jasmin yang terlambat ke pejabat Arash segera memohon maaf. Antara dia dan lelaki itu bagai kakak dan adik sahaja. Tidak perlu memanggilnya dengan gelaran encik mahupun tuan.

“Tak apa, Kak Min. Duduklah,” pelawa Arash. Terasa bersalah pula sampai pengurus sumber manusia itu kelam-kabut ke pejabatnya.

“Hmm... ada apa ya, Arash nak jumpa akak?” tanya KakJasmin sambil menarik kerusi lalu duduk.

“Tak adalah benda penting. Cuma nak tahu siapa yang selalu hidang kuih umi saya tu.”

Sorry sekali lagi, sibuk sangat sampai terlupa Kak Min nak beritahu. Sejak setiausaha Tuan Bakri cuti bersalin, Miya yang tolong hidangkan kuih tu.”

“Miya?” Arash mengulangi nama yang begitu asing di telinganya.

“Sebenarnya nama dia panjang, tapi boleh panggil Miya aje. Dia projek eksekutif kita dan bertugas di pejabat Tuan Bakri,” beritahu Kak Jasmin lagi.

“Ya ke... patutlah tak pernah nampak sebelum ni.”

“Kalau Arash nak tahu pasal gadis tu, nanti Kak Min bagi semua maklumat pasal dia,” janji Kak Jasmin sambil tersenyum simpul.

“Okey...” Arash mengangguk walau sebenarnya dia berasa agak segan dengan senyuman penuh makna Kak Jasmin. Wanita itu bagai dapat menghidu tujuan dia bertanya pasal gadis itu!

“Kalau tak ada apa-apa, Kak Min keluar dulu.” Kak Jasmin terpaksa memohon diri kerana sekejap lagi dia ada perbincangan dengan staf di jabatannya pula.

Thanks Kak Min.”

You are welcome.”



Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.