Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
137,158
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 5

BUNYI hon kereta yang bertalu-talu di kawasan parkir apartmen bersebelahan mengejutkan Miya dari lena yang panjang. Situasi yang sering dialami memandangkan apartmen tersebut kekurangan petak parkir.

Kadang-kadang dia berasa pelik dengan sikap mementingkan diri di kalangan penduduk. Sepatutnya tidak menarik brek tangan supaya kereta boleh dialihkan. Ini akan memudahkan kenderaan yang terhalang keluar dari petak parkir. Miya sendiri tidak pasti sampai bila masalah double parking ini akan berakhir. Mujur dia menyewa di apartmen yang memiliki petak parkir sendiri.

Sebaik memasang lampu dan terpandang jam dinding yang menghampiri pukul tujuh pagi, kelam-kabut dia masuk ke bilik air. Bagaimana boleh terlambat bangun ni? Omelnya sendiri.

Dia hanya mandi ala kadar dan segera mengambil wuduk. Usai bersolat, dia pantas bersiap untuk ke pejabat. Pagi ini dia ada mesyuarat di Seremban. Dia juga perlu sampai awal dan singgah di pejabat terlebih dahulu sebelum ke sana.

Setelah memastikan tudung bawalnya tersarung kemas, Miya mencapai beg tangannya. Kemudian menekan punat di tombol pintu lalu menutupnya. Ketika membuka beg tangannya, baru dia perasan dia telah tertinggal sesuatu.

“Alamak!” Miya tepuk dahi. Kunci tiada dan tertinggal dalam rumah. Tadi dia terlupa hendak check. Kini dia terperangkap antara pintu utama dan gril.

Relaks Miya. Dia memujuk diri sendiri sambil cuba membuka pintu rumah menggunakan kad yang ada dalam dompetnya. Berkali-kali juga dia mencuba, namun masih gagal. Padahal, ini bukan kali pertama dia tertinggal kunci dan jadi MacGyver.

Sepuluh minit telah berlalu dan dia sudah mula berpeluh. Mesyuarat di Seremban pada pukul 10.00 nanti dan dia akan ke sana bersama Tuan Arash. Pasti dia kena tegur andai lambat tiba di pejabat. Dahlah ini kali pertama dia diminta menggantikan Encik Haziq untuk menghadiri mesyuarat itu. Kalau dia pergi sorang-sorang, tak apa lagi sebab tidak melibatkan orang lain.

Kini matanya melilau dan amat mengharapkan kelibat jirannya. Malangnya tiada sesiapa yang kelihatan melalui koridor menuju ke lif. ‘Aduhai...takkanlah hari ini mereka tidak bekerja?’ desisnya.

Akhirnya dia terus menghubungi Suria untuk membantunya. Harapannya cuma satu, semoga wanita itu segera sampai ke pejabat. Miya memang ada menyimpankunci pendua di laci mejanya. Hanya Suria seorang yang tahu di mana dia menyimpan kunci rumahnya.

“Helo, apasal call aku pagi-pagi ni?”

“Aku tertinggal kunci rumah. Sekarang terperangkap dalam sangkar sempit ni,” adu Miya yang kesal dengan kelalaian diri.

Housemate kau mana?”

“Dia balik kampung. Sampai ofis nanti, tolong ambil kunci pendua rumah akutu. Sebelum datang sini, kau bagitahulah kat sesiapa yang kau terpaksa ke rumah aku.” Miya memang sudah terdesak meminta pertolongan.

“Aku memang nak tolong kau, tapi masalahnya tak boleh!” balas Suria pula.

“La... kenapa pulak?” Miya berasa amat hampa.

“Kau lupa ke yang hari ni aku bercuti? Ni dah lepas tol Jalan Duta,” jelas Suria yang dalam perjalanan ke Ipoh.

“Habis tu, macam mana sekarang ni?” Miya sudah mati akal.

“Kau kena tunggu staf lain masuk ofis, kemudian baru mintak tolong kat dia orang.”

“Aduhai... pagi ni aku ada meeting dengan Tuan Arash. Dokumen ada kat aku. Ni mesti kena bambu kalau lewat sampai ofis.”

“Susah-susah kau telefon ajelah dia tu! Suruh dia bawakan kunci tu ke rumahkau. Lepas tu terus bertolak ke Seremban,” saran Suria.

“Gila nak suruh dia datang sini? Bercakap dengan dia pun tak pernah, takkan nak suruh dia buat macam-macam pulak? Ingat aku ni bos dia?” Miya tidak akan membuat sesuatu yang kurang bijak.

“Suka hati kaulah! Itu ajelah caranya kalau kau tak nak terlewat.”

Geram dengan cadangan Suria, Miya terus memutuskan talian. Kini dia terpaksa mencuba lagi, namun pintu tetap gagal dibuka. Sudahlah seluruh tubuh berpeluh, hatinya pula turut berasa panas gara-gara rakan sekerja yang langsung tidak dapat membantu.

Tiba-tiba telefon Miya berdering.

“Kenapa tak sampai lagi?” Kak Jasmin terus bertanya sebaik Miya menjawab panggilan.

“Saya terperangkap, kak!”

Jammed kat mana?”

Jammed kat rumah, huhu...” keluh Miya.

“Miya jangan nak bergurau dengan akak pulak. Pagi ni ada meeting penting dengan Arash, kan?”

“Tahu... masalahnya sekarang ni saya terperangkap kat rumah. Nak masuk tak boleh, nak keluar pun tak boleh!” jelas Miya.

Sorry, akak tak faham maksud Miya.”Kak Jasmin sedikit blur dengan penjelasan gadis itu.

“Saya terperangkap antara ruang pintu dan gril. Housemate saya pulak ada kat kampung.”

“La... kenapa tak call maintenance office?”

Office tak bukak lagi. Ni tengah tunggu kalau-kalau ada jiran yang lalu kat depan rumah saya ni.”

“Kalau macam tu, nanti akak hantar penyelamat dengan kadar segera.” Kak Jasmin segera memberi jalan penyelesaian masalah Miya.

“Terima kasih banyak-banyak kakakku sayang...” ucap Miya dengan perasaan lega.

“Nanti jangan lupa belanja akak, tau! Akak hantar Ultraman Taro, biar cepat sampai.” Tiba-tiba Kak Jasmin menuntut ganjaran pula.

No problem!” balas Miya dengan senang hati. Ultraman Taro pun tak kisahlah, janji dia dapat keluar dengan selamat dari penjara comel ini. 

Penat berdiri, akhirnya Miya duduk di atas almari kasut. Terpaksa berjengket jugalah untuk membolehkan dirinya melabuh punggung di situ. Sambil itu dia melayari Facebook untuk menghilangkan kebosanan.

Lima belas minit telah berlalu dan masih tiada kelibat sesiapa yang datang. Miya kembali mencuba untuk membuka pintu rumahnya. Tiba-tiba dia terbau haruman yang menusuk hidungnya. Ah, sudah! Perlahan-lahan dia berpaling ke arah pintu gril.

Miya terlopong melihat penyelamat yang sudah terpacak di hadapan rumahnya.Tangannya membawa pemotong yang besar gedabak!

“Tuan Arash?” sapa Miya yang tak menyangka kehadiran lelaki itu. 

Sorry, saya terpaksa potong mangga kat gril ni.”

Miya cuma mengangguk dan memerhati lelaki itu memotong mangga di gril rumahnya. Dalam hati tertanya-tanya bagaimana lelaki itu boleh ada peralatan tersebut.

Arash tidak mengambil masa yang lama untuk memotong mangga tersebut. Kemudian dia terus membuka pintu gril untuk Miya keluar.

“Pintu rumah saya tu biarlah dulu, kita dah lambat ni,” putus Miya. Dia tidak mahu gara-gara dirinya mereka berdua lambat ke Seremban.

“Balik nanti, macam mana pulak awak nak masuk? Dah alang-alang saya ada kat sini, biarlah saya tolong bukakan.”

“Sebenarnya saya ada kunci pendua kat ofis,” beritahu Miya.

“Kenapa tak bagitahu awal-awal masa Kak Jasmin telefon tadi?”

“Bila dah ada yang nak tolong, terus terlupa pasal kunci pendua tu,” jawab Miya tanpa memandang wajah Arash. Perasan yang lelaki itu sudah tunjuk muka geram.

“Hmm... nasib baik terperangkap kat rumah sendiri. Kalau terperangkap dalam hati, memang tak boleh keluar dah!”

Sorry... tuan cakap apa?”

Nothing! Jomlah kita gerak.”Arash terus mengatur langkah menuju ke lif.

Tanpa berlengah, Miya menuruti lelaki itu. Tadi tu bukan dia tak dengar apa yang Arash sebut, cuma dia yang tak percaya lelaki itu boleh bergurau begitu!

 

 

PERJALANAN menuju ke Seremban agak lancar. Jalan hanya sedikit sesak ketika menghampiri tol Bandar Baru Bangi sahaja. Selepas memasuki lebuh raya, tidak banyak pula kenderaan yang menuju ke arah selatan.

Miya cuma duduk membatu di sebelah Arash. Hendak berbual,tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara. Mengenangkan insiden terkunci dirumah sendiri membuat dia berasa amat segan, apatah lagi anak bosnya pula yang datang membantu.

Arash pula kelihatan serius memberi tumpuan pada pemanduan. Apa yang tidak Miya sedari, sesekali jejaka itu turut mencur ipandang padanya. Ada ketikanya dia tersenyum sendiri melihat gadis itu bagai tidak betah duduk di sebelahnya. Sekejap memandang ke luar tingkap, sekejap tunduk memandang jari-jemari sendiri. Melihat jari runcing yang kosong itu, sesuatu telah terdetik di fikiran Arash. 

"Awak nak pergi bilik air ke?” Tiba-tiba Arash bertanya.

“Eh, taklah!” Wajah Miya terus membahang.

“Encik Haziq ada pesan apa-apa pasal meeting ni?”

“Dia ada beri sedikit penerangan pasal perkembangan projek kat Seremban tu. Sempat jugaklah saya baca laporan bulanan projek ni,”beritahu Miya.

“Ada masalah tak kalau saya nak awak aje ambil alih projek ni dari Haziq? Dia ada satu lagi projek baru yang perlu diuruskan.”

“Yang tu kena tanya Tuan Bakri dulu,” balas Miya yang tidak mahu terus bersetuju.

Kalau ikutkan, nak tak nak dia kena patuh pada arahan Arash juga. Tapi kalau boleh elak, biarlah dia memberi tumpuan pada projek di Lembah Klang sahaja. Kalau dah kena uruskan projek dibawah seliaan Arash, nanti dia terpaksa berpindah ke pejabat lelaki itu pula. Sebolehnya dia mahu kekal dipejabat Tuan Bakri.

“Okey, nanti saya bincang dengan papa saya.”

“Yalah...” balas Miya.

Dia amat berharap semoga Tuan Bakri tidak bersetuju. Dia lebih selesa bertugas dengan rakan sekerja sekarang. Andai berpindah ke pejabat Arash, dia perlu menyesuaikan diri dengan staf-staf di situ pula. Ini yang dia kurang gemar. Nanti dah tak ada kawan membawang dan melada pulak! Miya tersenyum sendiri mengingatkan aktiviti yang sering dilakukan ketika waktu rehat dan kebosanan melanda.

“Sweet!” puji Arash.

Miya terus mematikan senyuman. Lelaki ni ada mata sisi ke,sampai boleh nampak reaksinya?

  

 

 

 

 

 

 

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.