Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
153,572
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 21

SELESAI perbincangan dengan pengurus projek, Miya kembali ke tempatnya.Dia mencapai telefonnya kerana mahu menyemak andai ada panggilan atau mesej yang masuk. ‘Hmm… hari ni tak whatsApp jugak,’ keluhnya sedikit hampa.

Ketika ini, dia pun tidak pasti apa perasaannya terhadap jejaka yang cuba menceroboh hatinya. Pada masa yang sama tertanya-tanya kenapa hatinya berasa lain setiap kali teringatkan orangnya. Mulut bukan main lagi menolak, tapi hati boleh terindu pulak. Hish… takkanlah dia betul-betuldah terkena virus cinta Arash?

Setiap kali lelaki itu cuba mendekatinya, tidak pula dia berusaha keras menolaknya jauh-jauh. Apabila Arash menghantar mesej, dalam tidak suka dia layan dan balas juga. Bertambah pelik, pabila jejaka itu senyap dan menghilang, dia pula tercari-cari!

“Tunggu panggilan dari seseorang ke?” tegur Syikin yang bertandang ke kubikelnya.

“Taklah.”

“Habis tu, apasal asyik belek telefon aje?”

“Saja nak check apasal hari ni langsung tak berbunyi. Kut la rosak, boleh jugak tukar yang baru.”

“Orang dah naik pangkat, bolehlah berbelanja sakan.” Syikin mencebik.

“Hmm… sajalah nak tanya kau. Kalau cinta tu boleh dipanggil, nak tak dia datang?” Sengaja Miya bertanya soalan kurang bijak pada Syikin."

"kenapa tiba-tiba nak tahu pulak?"

“Sajalah nak mintak pandangan. Kau kan pernah bercinta? Aku pengalaman pun tak ada.”

“Kau ingat cinta tu tetamu undangan? Kau kata silalah masuk,dia pun terus duduk kat hati kau?” perli Syikin. Wajah Miya memang dipandang semacam.

“Ooo… tak ek?” Miya mengangkat kening.

“Harap maklum ya, cinta tu buta dan pekak. Kadang-kadang bisu jugak!”

“Macam mana pulak tu? Tak faham aku,” tanya Miya. Dalam geli hati, dia teruja hendak tahu lebih lanjut.

“Kalau dah bercinta, semua benda akan nampak cantik. Bunyi hiruk-pikuk pun kau akan kata tenang dan mendamaikan!”

“Ya ke kita akan rasa macam tu?”

“Lain orang lainlah yang dia alami, tapi lebih kurang nak samalah. Kau tanya ni, sebab dah jatuh cinta dengan si Arash tu ke?” tebak Syikin.

Semenjak kerjanya bertimbun, dia pun sudah terlupa isu yang pernah dia timbulkan pada Miya. Alang-alang gadis itu dah bertanya, bolehlah dia korek dalam-dalam.

“Aku saja tanya…” Miya tersenyum simpul, terpaksalah berpura selamba. Padahal risau sangat andai Syikin membangkitkan cerita lama.

“Manalah tahu, seminggu dia outstation, ada pulak yang rindu-rinduan kat dia,” usik Syikin bagai dapat menduga apa yang Miya alami ketika ini.

‘La… outstation rupanya. Patutlah Tuan Bakri tak suruh aku hantar kuih!’ desis Miya sambil pura-pura menyibukkan diri dengan mengemas fail di atas meja.

“Tak nak tahu ke, dia outstation ke mana?” Syikin cuba memancing di siang hari. Kutlah sangkut, boleh terus dia membawang dengan Miya!

“Apahal pulak aku nak ambil tahu hal dia?” Miya menjawab malas. Nampak sangat si Syikin itu cuba mencungkil rahsia hatinya.

“Kenalah ambil tahulah! Nanti senang nak jawab kalau ada klien atau kontraktor mencari dia.”

“Pandai-pandailah dia orang call sendiri si Arash tu. Bukan tak biasa.”

“Bukan kau dah jadi PA dia ke?” tanya Syikin.

“Masa bila pulak aku jadi PA dia? Aku ni projek eksekutif, tak adanya bertukar jawatan jadi PA pulak,” jawab Miya.

“Yang surat kenaikan pangkat hari tu?”

“Itu bukan surat kenaikan pangkat! Kak Jasmin sengaja cakap macam tu supaya aku segera berjumpa anak bos tu,” jelas Miya. Mujur dia dapat idea hendak menjawab pertanyaan Syikin.

“Jadi, tak berubah lagilah pangkat kau tu, ya?”

“Banyak tanyalah kau ni!”

“Hahaha... kata orang, rasa rindu itu tak mampu dilihat.Tapi orang lain boleh nampak bagaimana rupanya bila seseorang itu merindu.”

Miya menjeling tajam si Syikin yang tak habis-habis mahu mengusiknya.

“Macam gaya kau nilah respons orang rindu itu!”  ujar Syikin diiringi ketawa panjang.

“Eh, dahlah! Cepat-cepatlah kau pergi sambung buat kerja. Dah 2.30 pm ni, nanti berdosa sebab makan gaji buta,” suruh Miya yang dah bengang dengannya.

“Yalah cik adik… kalau rindu jangan disimpan!” balas Syikin kemudian berlalu meninggalkan Miya.

‘Rindu jangan disimpan? Apa maksud Syikin?’ Dia termangu memikirkannya.

 MASUK hari ini, sudah tiga hari Arash tidak menghubungi Miya. Perkara ini memang membuat dia tertanya-tanya. Apakah lelaki itu sedang menderanya setelah menghantar beberapa mesej yang membuai perasaan

Miya termenung di tempatnya. Huh! Kalau lelaki itu mahu main-mainkan hatinya, dia pun boleh jugak! Miya berbicara sendiri.

Dia lantas membuka laci mejanya. Sampul yang Arash berikan tempoh hari, dia keluarkan dan letak di atas meja. ‘Nak buat apa dengan benda ni?’ Otaknya ligat berfikir untuk menduga hati lelaki itu.

Akhirnya dia mengambil sampul surat terpakai yang bersaiz lebih besar. Kemudian dia menggunting kertas putih bersaiz dua inci kali tiga inci dan menyapunya dengan gam. Pada alamat yang telah tercatat, dia tutup dengan kertas putih tadi. Selepas itu dia tulis nama Arash lengkap dengan alamat pejabat.

Akhir sekali dia masukkan surat ‘kenaikan pangkat’ daripada Arash ke dalam sampul itu. Sampul itu dia letak selotip dengan kemas. Pada minggu hadapan, dia akan pulangkan kembali kepada lelaki itu. Nak tahu jugak apa  reaksinya!

 

 

SETELAH pulang dari pejabat, Miya berasa amat bosan. Ain pula pulang lewat kerana ada tugasan di luar. Beginikah bila hati tak sengaja rindu? Dia tertanya sendiri. Apabila berbicara tentang rindu, dia rasa mahu hentak kepala ke dinding sahaja.Kenapalah susah sangat hendak mengakuinya?

Miya sendiri tidak sedar bila dan bagaimana boleh hanyut. Alih-alih dia telah tersangkut. Dalam tidak suka, ucapan lelaki itu juga yang membelai jiwanya.Dalam tidak mahu, jejaka itu pula yang dirindu! Kini dia memang sudah parah dan perlu berbuat sesuatu.

Ketika dia gelisah memikirkan soal hatinya, tiba-tiba ada notifikasi whatsApp di telefonnya. Pantas dia menjeling skrin. Ultraman Taro ini macam tahu-tahu saja dia telah menyeru namanya!

Miya membuka mesej yang masuk dengan perasaan berdebar-debar.

 

Arash : Hai… sweetheart

Miya tidak terus membalasnya dan menunggu mesej kedua yang sedang Arash taip.

 

Arash : Kenapa senyap aje? Tak rindukan saya?

 

Miya masih tidak mahu memberi sebarang respons.

 

Arash : Miya???

MIya : Awak nak apa?

 

Akhirnya Miya balas juga. Hatinya ada rasa rindu,tapi ayat balasannya punyalah sombong!

 

Arash : Saja Nak eratkan kasih sayang.

 

Miya : emoji muntah hijau.

 

Arash : Astagfirullahalazim… saya baru sentuh hati awak, takkanlah dah muntah-muntah? Berapa minggu dah ni?

 

Ceh! Dia kenakan aku pulak. Kutuk Miya dengan rasa bengang.

 

Arash  : Miya awak okey? Ke rindu awak semakin parah?

 

Eh lelaki ni, karang aku lepuk jugak!

 

Arash : Sakit rindu ni, jangan di buat main.Dia macam kayap jugak. Boleh merebak sampai kat celah hati. Bahaya. Boleh kena serangan jantung!

 

Miya : Masa bila pulak saya rindu kat awak?

 

Arash : Ooo… saya ajelah yang terlebih perasan ek?

 

Miya : Sedar pun!

Buat berapa ketika Arash berhenti dari menghantar mesej. Baru Miya hendak menutupnya, mesej baharu pula muncul diskrin.

 

Arash : Miya, I just want to say, I love you…

 

Miya mengigit bibir dan hanya membaca ayat itu tanpa apa-apa perasaan.

 

Arash : The first time I fall in love with you,it change me forever. No matter how hard I try, that feeling just  never goes away….

 

Arash : Miya, bicaralah apa yang awak rasa.Cinta itu kita yang rasa. Dibiarkan pasti tak bererti. Kita yang perlu memaknakannya…

 

Tiba-tiba Miya termangu sendiri. Diakah yang terlalu ego? Atau diri sendiri takut hendak mengakuinya yang sebenarnya dia juga tanpa sengaja rindukan jejaka itu?

‘Aduhai hati… kaukah yang dah tidak punya perasaan atau aku yang masih ego dan tidak mahu menerima hakikat?’

 

 

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.