JAM di dinding menunjukkan pukul sebelas pagi. Miya masih sibuk menyiapkan kertas kerja yang perlu dihantar pada hari ini juga. Sejak masuk ofis, dia langsung tidak berehat langsung.
Semalam,pengurus projek sudah bertanya tentangnya. Dia pula terpaksa memberi alasan Arash mahu dia siapkan projek dibawah seliaannya terlebih dahulu. Terpaksalah dia bohong sunat gara-gara tugasan tak masuk akal lelaki itu.
Ketika Miya meregang badan akibat duduk terlalu lama, dia perasan Syikin yang tersenyum-senyum menghampirinya. Andai sudah begitu reaksinya, pasti ada sesuatu.
“Ni apahal? Nak membodek aku ke?” Sengaja Miya mahu mengusiknya.
“Sajalah nak buat amal jariah dengan sebuah senyuman,” jawab Syikin kemudian tertawa.
“Tak payah kelentonglah. Kau nak apa sebenarnya?” tanya Miya. Minah kecoh ini jarang ke tempatnya melainkan ada hal penting atau gosip terhangat.
“Yang kau garang semacam ni apasal? Relaks la, aku bukannya nak makan orang!”
“Ya ke? Mana ada aku garang? Jauh sekali nak marah-marah kat kau.” Miya segera menafikan.
“Dah kau tak tengok cermin, memanglah tak perasan,” ujar Syikin.
“Whatever!” balas Miya yang tidak mahu memanjangkan isu itu. Asalnya dia hendak bergurau dengan Syikin, penyudahnya dirinya pula yang sentap.
“Miya,” panggil Syikin bila gadis itu menyambung kerjanya.
“Hmm…”
“Tadi Kak Min pesan suruh kau pergi ke pejabat Arash ambil surat.”
“Eh,itu tugas aku ke?”
“Tak nak surat kenaikan pangkat kau?” tanya Syikin.
“Peliknya! Masa bila pulak surat kenaikan pangkat staf sini, Arash pun kena sain jugak?” Miya bertanya balik. Sebelum ini, ketika menerima surat pengesahan jawatannya pun, hanya Tuan Bakri yang tandatangan.
“Itu aku tak pasti. Ni kira berita gembira. Baik kau cepat pergi ke sana,” suruh Syikin.
“Lepas lunch lah aku ke sana,” putus Miya.Surat kenaikan pangkat saja pun, bukanlah urgent sangat. Ambil pada hari esok pun boleh saja.
“Kau ni, rezeki tu. Cepat kau pergi, cepat tahu berita gembira tu.”
“Alah,surat tu bila-bila pun boleh ambil.” Miya berdalih seolah-olah tidak teruja langsung dengan surat kenaikan pangkat itu. Padahal ia berita yang sangat ditunggu-tunggu setiap staf.
“Suka hati kaulah!” ujar Syikin kemudian beredar menuju ke kubikelnya.
‘Eh,minah ni! Aku yang dapat surat, dia pulak terlebih sibuk,’ desis Miya.
Tiba-tiba telefon di mejanya berbunyi. Dia segera mengangkatnya.
“Miya…bila nak ke pejabat Arash? Bos dah tunggu tu. Takkan nak Kak Min beri kad undangan baru nak datang?” Tanpa salam, Kak Min telah membebel.
“Kak Min ni… yalah, saya datang sekarang jugak.” Miya berasa segan dengan teguran wanita itu.
“Macam tulah. Good girl!” ucap Kak Min sebelum meletak telefon.
Miya terpinga-pinga. Apa yang good girl? Terasa pelik pula dengan bicara wanita itu.
Tiba di tingkat tiga Wisma Bakri, tiba-tiba dada Miya berdebar-debar pula. Dia melangkah perlahan menuju ke bilik Arash.
“Tuan panggil saya?” Sedikit bergetar pada suaranya. Apa tidaknya, hari ini terpaksa berbahasa dan menyapa Arash dengan panggilan tuan. Kelmarin, dia berawak sahaja dengan lelaki itu. Memang susah dia hendak berurusan dengan anak bosnya ini.
Lama Arash merenung Miya. Perasan gadis itu masih kekok setiap kali berhadapan dengannya. Tetapi kalau ketika marah, dia boleh terlupa terus hendak bersopan santun dengan bos sendiri.
“Syikin kata ada surat untuk saya…” Akhirnya Miya pula yang terpaksa memulakan perbualan.
“Ini untuk awak.” Arash mencapai sampul di atas tray lalu menyerahkannya kepada gadis itu.
“Terima kasih,” ucap Miya ketika sampul itu berpindah tangan.
Lama dia tunduk memandang sampul yang Arash serahkan. Rasa hatinya kuat mengatakan yang ianya bukan surat kenaikan pangkat seperti yang Syikin beritahu.
“Tak nak baca ke?” tanya Arash apabila tiada tanda-tanda gadis itu mahu membukanya.
“Tak apalah. Nanti saya baca.”
“Okey…”
“Kalau tak ada apa-apa, saya pergi dulu,” beritahu Miya.
Arash sekadar mengangguk.
Miya segera beredar. ‘Baik pulak mood lelaki ini,’ desisnya.
“MIYA, apa cerita?” Suria pantas bertanya sejurus ternampak rakan sekerjanya. Dia tidak mahu menunggu lama untuk mengetahui fasal surat kenaikan pangkatnya.
Tadi apabila gadis itu pergi ke pejabat Arash, dia pula yang tertunggu-tunggu. Ketika Syikin datang beritahu Miya berkenaan hal itu, dia memang tiada ditempatnya. Dia tahu pun sebab mulut kecoh si Syikin juga.
“Aduhai,kau ni…” keluh Miya. Dia belum pun sempat duduk di kerusinya, jiran sebelah telah bertanya. Memang payah apabila ada yang terlalu prihatin fasal dirinya.
“Miya?”panggil Suria.
“Aku tak bukak pun surat tu lagi.” Miya berterus terang sahaja.
“Bila kau nak bukak? Aku dah tak sabar nak tahu.” Keterujaan Suria mengalah yang empunya diri pula.
“Nak tahu sangat, kan? Nah, kau bacalah!” suruh Miya. Sebenarnya dia tiada keinginanpun hendak mengetahui isi sampul itu.
“P& C kut?” Suria macam tak percaya gadis itu mahu menyerahkan surat itu kepadanya.
“Kali ini, tiada rahsia antara aku dan kau,” tutur Miya dengan tenang. Entah kenapa dia tidak rasa apa-apa ketika menerima surat itu daripada Arash.
Suria menyambut sampul yang gadis itu hulurkan.
“Apasal lain macam aje surat ni? Tak macam sampul surat rasmi pun,” komen Suria.
“Sebab tu jugak aku tak nak bukak kat depan si Arash tu.”
“Miya!”Tiba-tiba Suria sudah terjerit, tetapi segera menutup mulutnya. Nanti kecoh pula satu ofis. Mujur sekarang ini si Syikin tiada di tempatnya.
“Kenapa?” Miya juga turut terperanjat mendengar jeritan sahabatnya.
“Sweet nya anak bos… siap bagi kad cinta3D bersama cincin! Eh, masa bila korang bercinta? Aku tak tahu pun?”
Buntang mata Miya mendengar pertanyaan Suria. Lantas kad dan sampul di tangannya segera dia capai.
Bila kad 3D dibuka, kelihatan sebentuk cincin diikat dengan reben pada kad tersebut.Bait-bait ayat yang tertulis membuat Miya terkedu seribu bahasa.
“Cantiknya cincin tu. Sesuai sangat dengan kau, Miya. Wei, cubalah pakai,” suruh Suria. Miya yang dapat cincin, dirinya pula yang seronok sangat.
“Tak naklah aku!”
Miya segera memasukkan kad tersebut ke dalam sampulnya. Kemudian dia simpan dalam laci mejanya. Nasib baik dia serahkan surat itu kepada Suria. Andai Syikin yang baca kad cinta dan tahu pasal cincin itu, silap-silap dia masuk wad kecemasan terus!
“Ingatkan betullah surat kenaikan pangkat, rupa-rupanya surat cinta. Macam tiba-tiba aje, kenapa aku boleh tak tahu kau bercinta dengan dia?”
“Mana ada aku bercinta dengan dia!” Miya segera menafikannya.
“Cincin dan kad tu buktinya. Patutlah bila dia pandang kau, renungan matanya lain macam,” beritahu Suria dengan gaya-gayanya sekali.
“Merepeklah kau ni. Masa bila dan kat mana kau nampak?” Tidak tenteram jiwa Miya sebaik Suria berkata begitu.
“Tengok! Aku baru acah aje, kau dah gelabah,” tegur Suria sambil mencuit bahu Miya.
“Kau ni... boleh tak lain kali jangan buat macam tu kat aku? Silap-silap,aku boleh masuk ICU tau!” marah Miya. Saat ini jantungnya masih berdegup tak menentu gara-gara cincin itu.
“Sorry, aku tahu aku salah.” Suria segera memohon maaf sebaik menyedari wajah Miya berubah pucat.
Miya menekup wajahnya, cuba menenangkan dirinya. Arash tu dah kenapa? Dia tidak menyangka lelaki itu akan bertindak sedrastik ini. Andai memberi bunga, okey lagi. Tapi dia memberi cincin, habislah dia!
“Miya?”panggil Suria.
“Boleh tak kau tolong aku?” pinta Miya sambil memandang Suria.
“Sure…”
“Tolong simpan rahsia ni. Jangan sampai sesiapa tahu.” Sungguh-sungguh Miya memohon.
“Insya-ALLAH.You can trust me,” janji Suria.
“Terima kasih banyak-banyak Suria.”
“Sama-sama.Kau okey ke?” Risau pula Suria melihat keadaan Miya.
“Jangan risau, aku tak apa-apa.”
“Aku buatkan kau Milo,” pelawa Suria.
“Boleh jugak.”
Suria segera mencapai mug milik Miya danterus menuju ke pantri.
Miya membuka laci mejanya. Cincin yang Arash berikan mengundang rasa yang dia sendiri tidak mengerti. Dia tidak akan sesekali memakai cincin itu. Andai dia memulangkannya, tentu sahaja mendatangkan kemarahan Arash. Nanti entah apa pula yang akan dia lakukan. Buat masa ini dia terpaksa menyimpannya, tapi sampai bila?