Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
137,660
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 6

HUJAN mula membasahi bumi. Sesekali guruh berdentum kuat membuat Miya terkejut. Walaupun makan tengah hari di restoran dalam mall,tetap dapat dengar bunyi guruh juga. Mujur dirinya tidak mudah melatah.

‘Hai orang depan ni, bilalah awak nak sudah? Aku nak cepat balik ni. Makan pun sampai senget-senget tali leher!’ Miya mengomel dalam hati.

Rasa menyesal pula bersetuju makan tengah hari bersama dengan Arash di sini. Habis mesyuarat tadi, tanpa diduga lelaki itu mahu makan sebelum balik ke pejabat.

“Senget, ya?” tanya Arash sambil tangan kiri membetulkan tali lehernya.

Miya terlopong. Aduhai malunya dia! Tapi, takkan Arash dapat dengar?Dirinya hanya berkata dalam hati. Seketika dia membuang pandang ke arah lain,janji bukan wajah lelaki itu. Lain kali janganlah ada mesyuarat di luar lagi.Bersamanya buat dia berasa amat tidak selesa.

“Awak makanlah banyak sikit. Saya tak nak staf saya pengsan sebab tak cukup makan. Nanti saya jugak yang susah,” tegur Arash.

“Susah apa pulak?” Terpaksalah Miya membalas, takkan asyik hendak membatu sahaja.

“Susah hatilah. Takut awak tak terbawa hati saya ni.” 

“ALLAHUAKBAR!” Miya yang terkejut mendengarnya terus mengurut dada. Apa yang tak kena dengan lelaki ini?

“Kenapa? Dah masuk waktu ke?” Arash sengaja mahu mengusik.

Miya buat tidak dengar sahaja. Memang dia tak sangka perangai anak bosnya boleh tahan juga. Andai dia terus melayannya, mahu sakit jiwa. Dia bertambah tidak selesa apabila mata Arash asyik memandangnya.

“Miya, awak okey ke?”

“Hmm...”

“Jauh-jauh saya bawak awak makan kat sini, tak nak sedekah senyuman kat saya ke? Dari tadi asyik masam aje.”

Amboi, lelaki di hadapannya ini betul-betul Zain Arash Al-Bakri ke? Pertama kali ada urusan dengannya, baru dia tahu rupanya lelaki ini sama saja macam kebanyakan lelaki di luar sana. Kategori pandai mengayat dan miang walau tak ketara sangat.

“Senyum yang dibuat-buat pun tak apa. Nanti tak adalah orang sebelah ingat kita ni bergaduh,” sambung Arash.

Akhirnya Miya tersenyum juga. Memang tak ikhlaslah kalau dibuat-buat!

“Hai Arash! Lama tak nampak you.” Tiba-tiba seorang wanita menyapa dan terus duduk di kerusi sebelahnya.

Arash memandang wajah yang empunya diri, namun tidak membalas sapaannya. Sebenarnya dia terkejut dengan kehadirannya, tetapi tetap berlagak selamba.

Miya pula buat hal sendiri tanpa mempedulikan kehadiran wanita yang baginya tidak diundang langsung. Salam tak ada, boleh pula terus menyertai mereka. Memang tidak beradab.

“Eh, ni siapa? Takkan pengganti I kut? Teruk sangat cita rasa you!”

Berdesing telinga Miya mendengarnya. Walaupun dia tiada apa-apa hubungan dengan Arash, rasa sentap juga apabila wanita itu seakan memandang rendah dirinya. ‘Eh, aku bukan sembarangan perempuan la!’getusnya.

Arash masih mendiamkan diri. Namun matanya tunak memandang wanita yang sengaja menyakitkan hatinya dan Miya juga.

“Arash? Why were you staring at me?”

I was, Syereen...”

‘Ooo... Syereen nama dia.’ Miya berbicara sendiri sambil berlakon seolah-olah dia tidak wujud di situ.

I was trying to figure out whether you’re pretty,” sambung Arash kemudian menyisip air minumannya.

Syereen tertawa dengan gaya gedeknya. “I dari dulu lagi memang sentiasa cantik pun!”

Perasan! Miya semakin menyampah melihat gelagatnya.

“But you’re not. Okay, bye,” sambung Arash dan terus bangun menuju ke kaunter pembayaran.

“Arash?”

Sorry... it is hard to see your beautiful heart if you keep on wearing sexy, revealing clothes. Oh wait, yah it’s easier. Sebelum terlupa, perkenalan bakal tunang saya, Miya Adeena.”

What?” Syereen terjerit mendengar bicara Arash.

Miya pula hampir pengsan!

“Jom Miya,” ajak Arash yang mahu segera beredar. Tak kuasa dia melayan kerenah perempuan itu. Dia tak pernah pun ada hati dengannya. Syereen saja yang terlebih perasan dan terhegeh-hegeh dengannya.

“Apa awak cakap tadi?” tanya Miya sambil menyaingi langkah Arash. Kali ini tidak lagi mahu berbahasa sebagai staf dengan lelaki itu.

“Awak bakal tunang saya!” jawab Arash selamba.

“Apa yang awak merepek ni?” marah Miya. Dia memang pantang kalau ada yang sesuka hati mengeluarkan kenyataan tanpa memikirkan perasaannya.

“Saya tahu awak terkejut, nanti kat ofis saya terangkan segalanya.” Arash yang sedar Miya dalam keadaan marah, cuba mengurangkan kemarahan gadis itu.

“Saya nak awak terangkan sekarang!”

“Okey, hujung minggu ni saya nak awak ikut saya. Kita beli cincin dan terus pilih tarikh yang sesuai untuk bertunang dan bernikah.” Laju sahaja ayat itu keluar dari mulut Arash.

“Awak ni memang gila, kan?” Kalau ikutkan hati, mahu sahaja Miya belasah lelaki ini. Mulut tak ada insurans langsung!

“Kadang-kadang saja saya gila sikit. Itu pun kalau melibatkan soal hati dan perempuan yang saya suka,” beritahu Arash sambil kenyit mata.

“Suka?Huh!” getus Miya.

“Tak boleh ke kalau saya suka kat awak?”

Miya menatap wajah Arash dengan perasaan gusar. Ah! dia tidak mahu peduli apa pun yang lelaki itu mahu sebutkan. Ia hanyalah ucapan untuk menyelamatkan dirinya. Pasti sahaja hanya mainan kata manis dan bukannya pengucapan dari hati.

“Tak percaya?” soal Arash yang masih tersenyum-senyum.

Miya merengus. Apabila ternampak kerusi di tepi bangunan, dia terus melabuhkan punggung.

Arash turut duduk di sebelah gadis itu. Bagus juga mereka menghilangkan penat di situ. Juga dapat mententeramkan hatinya yang kian berkecamuk. Dia sendiri tidak tahu bagaimana secara spontan boleh berkata begitu pada Miya.

“Kalau Miya nak tanya sejak bila hati ini sukakan awak, jawapannya sejak pertama kali saya nampak awak. Tapi kalau awak tanya, bila nak kahwin? Jawapan saya, awal tahun depan. Awak boleh tunggu beberapa bulan lagi, kan? Taklah lama sangat.”

“Hah?” Kali ini Miya rasa jantungnya hampir tercabut.

“Okey,kalau awak rasa lama sangat, bulan Disember, boleh?”

“Tak ada apa yang boleh!” jawab Miya, geram.

“Saya serius dengan apa yang saya cakap,” tegas Arash.

No, you are not! Ini pertama kali kita berurusan dan keluar bersama. Bukan berdating, ya!” Miya menghamburkan rasa marahnya.

“Kahwin itu hanya memerlukan pengantin, wali, akad dan saksi. Kita buat yang ringkas saja. Tak payah kenduri,” tutur Arash tanpa mempedulikan apa yang Miya sebutkan.

“Masa bila saya kata nak kahwin dengan awak? Lagi satu, ingat saya akan setuju dengan rancangan awak?” balas Miya. Lelaki ini memang menguji kesabarannya.

Arash diam buat seketika. Setelah menarik nafas panjang, dia menyambung kata-katanya.

“Saya rasa, kalau tujuan melangsungkan majlis perkahwinan adalah untuk pengesahan taraf perkahwinan kepada masyarakat, maka memadailah dengan majlis nikah.Kemudian pos saja status di Facebook. Beribu orang akan dapat notifikasi. Jimat masa, duit dan tak stres!”

Miya terkedu. Dia memejamkan mata sambil menahan geram di hati. Kenapa lelaki ini tak faham-faham?

“Miya?”

“Awak ni pekak badak ke? Saya cakap lain, awak balas lain!”

“Saya dengar apa yang awak cakap, Tapi saya nak cakap jugak apa yang terlintas di fikiran saya.”

“Ambil kereta awak dan hantar saya balik apartmen sekarang jugak!” arah Miya macamlah dia bos kepada Arash.

“Bukan kunci pendua rumah awak ada kat ofis ke?”

“Eii…”Miya menjerit geram.

“Tak baik marah-marah. Jom kita solat kat masjid depan tu. Hari ini kita dirikan solat, siapa tahu hari lain kita dirikan masjid pulak!”

Bicara Arash membuat Miya bertambah bengang. Rasa mahu bertukar jadi raksasa dan menendang Ultraman Taro tak guna ini!

 

 

 

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.