Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
137,667
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 16

HUJUNG minggu, Miya mengajak Ain makan di restoran. Apabila fikiran terganggu dan dirinya terlebih tension, memang memerlukannya keluar berjalan-jalan dan menjamah makanan yang sedap-sedap.

“Okey ke makan kat sini?” tanya Ain setelah mereka berdua membuat pesanan.

“Dijamin sedap, tapi perlu ada kesabaran yang cukup tinggi untuk menikmatinya,” jawab Miya sambil tersenyum-senyum.

“Kesabaran yang tinggi?” soal Ain sedikit pelik.

“Yalah, kita terus datang tanpa membuat tempahan awal. So… sendiri mahu ingatlah!”

“Kena tunggu lama sangat ke?”

“Lama pun, tak adalah sampai berjanggut, kan?” seloroh Miya, menceriakan suasana.

“Pasal kau dan Arash, apa kau nak buat?” Ain bertanya hal peribadi Miya pula.

Just go with the flow!”

“Senangnya kau buat keputusan? Kalau masuk longkang, macam mana?” komen Ain.

“Kau jugak yang suruh aku beri peluang kat dia. Insya-ALLAH everything will be fine.” Miya cuba menyakinkan sahabatnya dan diri sendiri.

Apa lagi hendak dijawab andai dia masih tidak tetap pendirian?Ketika dia mahu menolak, lelaki itu menjeratnya dengan pemberian yang tidak diduga. Mahu menyambut cintanya, dirinya pula masih ragu-ragu.

“Jangan terlalu yakin.” Ain mengingatkan.

“Kau janganlah buat aku gundah-gulana pulak. Ni aku dah bersihkan fikiran dan nak bersangka yang baik-baik aje,” balas Miya.

“Okeylah. Aku doakan kau orang berdua berjodoh sampai ke Jannah.”

“Kau ni… ke situ pulak!”

“Dah kau kata nak ikut rentak si Arash tu, baiklah aku doa yang baik-baik. Takkan nak korang putus, kan?”

“Kita orang tak ada apa-apa ikatan pun lagi. Kau ni dah terlalu jauh pulak.”

“Tapi aku tak rasa dia nak main-mainkan kau.” Ain memberikan pandangannya.

“Harap-harap macam tulah,” balas Miya.

Dia sendiri tidak menyandarkan sebarang harapan pada lelaki itu. Dia hanya akan bertindak mengikut keadaan. Andai Arash sengaja buat hal,memang dia akan kenakannya cukup-cukup.

Sepi. Lama juga mereka buat hal sendiri. Ain dengan telefon pintarnya, Miya pula melayan perasaannya.

“Eii, makanan kita bila nak sampai? Apasallah lembap sangat, Miya?” Ain sudah mula merugut.

Menunggu dan berborak, hampir kering gusi. Tapi hidangan tak sampai-sampai juga. Apabila dia menjeling meja sebelah, mereka juga masih belum dapat makanan. Ini yang dia tidak berapa gemar.

“Tak apa, kau minum ajelah jus oren tu dulu,” saran Miya yang turut gelisah. Selalunya tidaklah lama sangat menunggu hidangan sampai.

“Wei, nanti perut aku kembung air pulak. Sampai makanan nanti, dah tak lalu nak habiskan. Dahlah mahal jugak makan kat sini,” rungut Ain lagi.

Mereka berdua sudahlah sama-sama kelaparan. Tengah hari tadi cuma makan nasi goreng telur dadar sahaja. Itu pun lebihan ketika bersarapan. Pada waktu petang pula tiada apa-apa makanan hendak dijamah.

“Makanan yang sedap selalunya memang mahal. Tak payah risau, aku belanja,” pujuk Miya.

“Nasib kau yang belanja. Kalau tak, tak ingin aku makan kat sini.”

“Eh, janganlah macam tu,” pujuk Miya.

“Yalah, lambat berbenor! Aku rasa macam nak tolong aje tukang masak kat dapur tu.”

Ketika mata Miya mengitari suasana di restoran, tiba-tiba dia ternampak seseorang yang cuba dia elakkan. ‘Alamak! Apasallah dia ni nak makan kat sini jugak?’ gerutu Miya yang terpaksa beralih kerusi. Dia tidak mahu Arash menyedari kehadirannya di restoran itu.

“Apasal?” tanya Ain.

“Tak ada apa, saja nak beralih tempat,” jawab Miya kemudian tersenyum lebar melindungi perasaannya.

Andai kata boleh, dia memang nak angkat kaki saja. Tapi terpaksa batalkan niatnya sebab terpaksa lalu berhampiran meja Arash pula. Nanti panjang pula cerita.

Tiba-tiba berlaku kekecohan di meja berhampiran kaunter. Rupa-rupanya ada satu kumpulan menunggu terlalu lama pesanan mereka. Akibat berasa geram, mereka telah membatalkan pesanan.

Pemilik kedai kelihatan cuba memujuk dan berkompromi dengan pelanggan terbabit.

“Maaflah, hari ini saya kekurangan tukang masak. Tu yang lambat sikit.” Tuan kedai cuba memberi penjelasan.

“Lambat sikit? Tadi berjanji dalam lima belas minit, sekarang dah lebih setengah jam. Pulak tu, orang yang kemudian sampai yang dapat makanan.” Salah seorang daripada mereka menyatakan rasa tidak puas hatinya.

“Yang itu, mereka dah buat pesanan awal sebelum datang kesini.”

“Dahlah, jom kita pergi kedai lain aje!” Lelaki yang berbaju biru pula bersuara mengajak rakan-rakannya beredar.

“Encik, janganlah macam ni, kejap lagi pesanan tu akan siap,” rayu pemilik kedai.

 Namun rayuannya tidak dipedulikan. Tanpa berlengah, mereka segera meninggalkan restoran.

Alahai, begitu kisahnya. Miya dan Ain saling berpandangan dan menggeleng. Yalah, kalau terlalu lama menunggu, sesiapa pun pasti akan berasa bengang.

“Macam mana ni bos? Banyak tu depa order!” Salah seorang pelayan restoran turut berasa kesal.

Mata Ain masih memerhati pemilik kedai dan pelayan restoran yang masih tidak percaya pesanan telah dibatalkan. Andai jumlahnya kecil tidak mengapa juga, ini RM beratus juga.

Ketika Miya beralih memandang ke bahagian kaunter, tiba-tiba dia ternampak Arash bangun dan menghampiri pemilik kedai.

“Tak apa pak cik, saya ambil order dia orang,” beritahu Arash sambil menepuk-nepuk bahunya.

“Tapi ia untuk lima orang, tuan.”

“Tak ada masalah, saya tahu apa nak buat,” ujar Arash dan kembali ke mejanya.

Tak lama kemudian, kelihatan beberapa orang lelaki sudah duduk semeja dengan Arash. Miya berasa pelik, mana datangnya pengawal keselamatan itu? Melihat wajah mereka, sah bukan bertugas di Wisma Bakri. Tambahan pula dua daripada mereka memang orang luar negera. Hanya seorang  sahaja yang Miya kenal.

“Nasib ada yang nak ambil pesanan tu. Kalau tak, memang rugilah. Apasal kita tak buat macam lelaki tu? Ni, terpaksa kita menunggu lagi,” ujar Ain.

“Perut kau ada empat ke? gurau Miya kemudian tertawa kecil, nanti ada pula yang terdengar dan perasan kehadirannya di sini.

“Melampaulah kau ni!”

“Tak apa, orang yang bersabar ni selalu untung,” tutur Miya.

Tidak sampai lima minit, makanan yang mereka pesan telah terhidang di atas meja. Mereka berdua menjamu hidangan dengan berselera sekali. Siakap tiga rasa memang memenuhi selera Ain. Begitu juga dengan udang masak sambal bersama petai. Miya yang gemar makan tomyam, menghirup kuahnya dengan penuh nikmat.

“Nasib sedap, berbaloi tunggu lama,” puji Ain.

“Kan aku dah kata makanan kat sini sedap-sedap belaka.”

“Kerabu mangga ni kau yang order ke?” tanya Ain pula.

“Rasanya pemilik kedai bagi percuma kut.” Miya sekadar mengagak.

“Ni mesti nak ambil hati pelanggan,” balas Ain.

“Berniaga memang perlu ada strategi,” ujar Miya.

“Ya betul! Aku setuju.”

Tiba-tiba Miya perasan sesuatu. Pada Arash, cinta itu seumpama berbisnes. Dia terfikir, bercinta juga perlu ada strategi. Hmm... nanti entah apa pula strategi lelaki itu hendak menawannya.

“Apasal berhenti makan?” tanya Ain yang menyedari Miya seakan termenung pula.

“Tiba-tiba rasa kenyang pulak.”

“Kenyang? Jangan malam nanti tidur tak lena sebab ingatkan orang tu sudah!” usik Ain.

“Tak kuasa aku nak ingatkan dia.”

“Berlagaklah pulak. Entah-entah sampai termimpi-mimpi!”

Miya hanya mencebik tanpa membalas kata-kata Ain.

 

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.