September, 2018.
SEPERTI selalu, Miya sentiasa memastikan dirinya ceria dan bersemangat memulakan tugas. Mood pada awal pagi akan mempengaruhi mood bekerja hingga ke waktu petang. Sebab itu juga dia sering datang awal ke pejabat dan balik paling lewat.
Jujurnya dia bukanlah hendak membodek bos, cuma dia tidak mahu kelam-kabut memulakan tugas dan tension sewaktu balik kerja. Walaupun ada yang bergosip dia mahu tunjuk baik pada bos,dia abaikan sahaja. Dia sememangnya dengan rela hati jadi staf yang membuka dan menutup pintu ofis!
“Amboi, pagi-pagi lagi dah sibuk buat kerja!” tegur Suria, projek eksekutif yang baru sahaja tiba.
“Kau ni, buat terkejut aku aje!” rungut Miya sambil mengurut dada.
“Jangan serius sangat bekerja, nanti berumah tangga di sini dan tak kahwin-kahwin!” gurau Suria. Dia dan Miya sama-sama masuk bekerja di syarikat ini pada awal Januari yang lalu. Seorang yang happy go lucky dan suka bergurau.
“Mentang-mentang baru balik honeymoon,berlagak pulak!” balas Miya sambil mencebik.
“Bukan nak berlagak! Cuma nak beritahu, kita akan rasa lebih bahagia apabila hidup berteman,” jelas Suria mempertahankan hujahnya.
“Suka sangat perli orang, kan?” Miya masih tidak berpuas hati dengan bicara wanita itu, tetapi tidaklah sampai berasa marah.
“Aku tak naklah kau ikut jejak langkah anak bos tu,” sambung Suria.
“Cakap malam, dengar-dengar. Cakap siang, tengok-tengok.” Miya segera mengingatkan. Risau juga andai ada yang terdengar perbualan mereka.
“Aku cakap benda yang betul. Tuan Bakri dengan anaknya memang jauh berbeza.Bagai langit dengan bumi! Si ayah tegas dalam kelembutan. Tapi si anak, hmm...aku pun tak pasti sama ada besi atau kayu?” ujar Suria disusuli dengan ketawa panjang.
Miya diam sahaja. Membalas kata-kata Suria akan memanjangkan cerita. Nantihati sakit, kerja pula terbengkalai. Baiklah dielakkan.
Begitu pun dalam hati Miya mengakui kata-kata rakan sekerjanya itu. Tuan Bakri sememangnya seorang bos yang sangat menyenangkan, tetapi tidak anaknya.Namun, kedua-duanya perlu dihormati dan Miya perlu pandai membawa diri jika ingin terus bekerja di syarikat ini.
Tiba-tiba seseorang telah tercegat di hadapan meja Miya. Mujur Suria telah beredar ke kubikelnya.
“Ya Tuan Bakri, ada apa-apa boleh saya bantu?” Miya cuba berlagak tenang.Padahal jantungnya terasa semput menahan debaran. Semoga bosnya tidak terdengar perbualan mereka sebentar tadi.
“Saya nak kuih ni empat saja. Yang lain tu, tolong hantar ke pejabat anaksaya,” pesan Tuan Bakri sambil meletakkan Tupperware berwarna hijau muda diatas meja Miya.
“Okey...”
“Kalau awak nak, ambil aje. Banyak isteri saya buat ni,” pelawa Tuan Bakri dengan senyuman.
“Terima kasih bos,” ucap Miya kemudian berlalu ke pantri setelah bosnyaberedar. Memang pucuk dicita, ulam mendatang! Tadi dia bersarapan roti sahajadi rumah, perutnya masih ada ruang kosong.
Setelah mengasingkan empat biji kuih seri ayu untuk Tuan Bakri, Miya turut menikmati kuih yang kini jadi kegemarannya juga. Sekejap sahaja dua biji selamat mendarat ke dalam perut.
Sebenarnya tanpa Tuan Bakri pelawa, dia memang selalu menikmati kuih itu.Kuih yang dihantar ke pejabat Arash selalunya banyak berbaki. Tapi itulah, uminya tidak jemu mengirim kuih-muih ke pejabat. Dari dibuang ke tong sampah, selalunya memang ada yang tukang habiskan. Selalunya Miyalah orang itu!
PAGI Isnin Arash tiba di pejabat lebih awal dari biasa. Tambahan pula perjalanan agak lancar. Mungkin juga sebab ramai yang menyambung cuti balik kampung. Maklumlah esok adalah cuti Maal Hijrah, jadi ramai yang mengambil cuti pada hari ini.
Seketika Arash memandang kosong ruang pejabatnya. Entah kenapa pagi ini dia tidak begitu bersemangat memulakan tugas. Padahal ada banyak kerja yang perlu diuruskan secepat mungkin.
Bosan asyik termenung, dia lantas bangun mahu menuju ke pantri. Tiba-tiba dia teringin menghirup Nescafe panas sambil melayan perasaan.
Ketika mahu masuk ke pantri, langkahnya terhenti. Diatidak jadi masuk, sebaliknya terpaku memerhati seseorang yang tidak pernah dianampak sebelum ini. Kelihatan seorang gadis tunduk mengeluarkan piring bersaiz sederhana dari kabinet.
Arash sedikit pelik apabila piring itu dibasuh semula padahal ianya bersih dan selalu digunakan. Setelah mengelap piring dengan tisu, gadis itu membuka Tupperware pula. Satu persatu kuih disusun atas piring itu menggunakan penyepit.
Tiba-tiba telefon yang ada di atas kabinet berbunyi. Oleh kerana terkejut dapat panggilan pada awal pagi, kuih yang disepit terjatuh pula atas meja. Pantas sahaja tangannya mengambil kuih itu lalu meniupnya, kemudian dia letak di atas penutup Tupperware.
“Kuih yang sedap jangan dibuang, rugi-rugi...” Gadis itu berbicara sendiri kemudian mencapai telefonnya yang masih berbunyi.
“Assalamualaikum auntie...” ceria gadis itu memulakan perbualan.
“Waalaikumussalam. Miya kat mana ni?” tanya Puan Sharifah, isteri Tuan Bakri.
“Ada kat ofis anak kesayangan auntie ni. Baru nak hidangkan kuih yang auntie kirim tu.”
“Oh! Ya ke? Selalunya banyak ke dia makan kuih auntie tu?”
“Banyak jugak. Kuih yang sedap, sesiapa pun takkan tolak auntie. Saya pun tak pernah lepaskan peluang makan kuih yang auntie kirim.”Miya segera memuji keenakan kuih air tangan Puan Sharifah. Memang betul sedappun!
“Kalau macam tu, lain kali auntie kirim lebih sikit untuk Miya sekali.”
“Alhamdulillah... moga murah rezeki auntie.”
“Okeylah, Miya teruskan kerja. Auntie saja je telefon,rindu pulak tak dengar suara Miya beberapa hari.”
“Auntie ni buat saya segan aje...” balas Miya malu-malu.Padahal tidak berhadapan pun dengan Puan Sharifah.
“Nak segan apa dengan auntie? Bukannya tak biasa.Okeylah, lain kali kita berbual lagi.”
“Yalah...” balas Miya lalu memutuskan panggilan.
Seketika dia termenung melihat kuih seri ayu yang jadi santapannya hampir setiap pagi. Rasanya dia yang paling banyak makan kuih itu berbanding staf yang lain.
Kadang-kadang Miya berasa bersalah juga kerana terpaksa berbohong dengan Puan Sharifah demi menjaga hatinya. Kalaulah wanita itu tahu keadaan yang sebenarnya, pasti dia berasa sedih.
Setiap awal pagi tidak jemu menyediakan kuih kegemaran suami dan anaknya untuk sarapan pagi. Tidak cukup di rumah, turut dikirim untuk makan di ofis pula. Tapi hanya Tuan Bakri yang sudi menjamahnya. Tiba-tiba Miya terasa kolam matanya bergenang. ‘Eh, kenapa dengan aku ni?’ bisiknya sendiri.
Arash pula pantas menyembunyikan diri di sebelah rak fail apabila menyedari gadis itu mahu keluar. Sekali lagi dia memerhati gadis itu menghidangkan kuih di meja kopi ruang tamu pejabatnya. Gadis itu tidak lupa menutupnya dengan tudung saji kecil. Arash amat pasti tentu sahaja uminya telah berpesan macam-macam kepada gadis itu sampai tudung saji di rumahnya pun sudah ada di pejabat!