Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
137,225
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 19

SEKETIKA Arash termenung.Kerinduan apakah yang melandanya? Dia tertanya sendiri.

Bunyi jam loceng pada setiap pagi telah bertukar jadi gurindam yang mengasyikkan. Ada kalanya dia memang ketinggalan zaman apabila masih menggunakan jam yang telah berusia lebih sepuluh tahun itu. Padahal sudah ada telefon pintar yang mempunyai banyak kegunaan selain menghubungi insan tersayang.

‘Insan tersayang?’ Dia mengeluh. Payah sungguh apabila perasaan rindu kian merapuh di hatinya. Dia amat teruja hendak berjumpa dengan Miya,malangnya gadis itu demam pula. Dari pagi hingga ke petang, tidak tenteram dirinya memikirkan gadis itu.

Wajah yang sering dengan solekan nipis itu benar-benar membuat dia hilang tumpuan dalam mesyuarat. Akhirnya mesyuarat terpaksa ditangguhkan lebih awal. Sedar kebanyakan stafnya bagai tertanya-tanya apa yang telah menimpa dirinya. Namun dia buat tidak kisah.

“Kali ini apa pulak masalah kau?” tanya Haziq.

Dia hanya bersuara setelah staf yang lain beredar. Dari awal mesyuarat lagi dia menyedari kegelisahan pada diri lelaki itu.

“Malam semalam aku berdating dengan Miya. Aku yang meredah hujan, dia pulak yang demam!”

 “Itulah kelebihan kau,suka buat kerja gila! Natijahnya pun pelik-pelik,” komen Haziq.

“Kau tak tahu betapa berderau darah aku bila dia muncul semasa aku pergi ke apartmen dia. Berdebar sampai tak berani nak tengok.”

“Phuih! Ayat kau memang tak boleh blah!”

Arash tertawa. “Dia relaks aje, aku pulak yang terpaksa berlakon tenang. Padahal darah mengalir laju dan degupan jantung pun bertambah kencang. Rasa macam menghadapi sepakan penalti pulak.”

“Kadang-kadang kau ni memang kelakar! Apa yang penting sangat sampai perlu berdating malam-malam?”

“Aku nak tahu respons dia setelah aku serahkan cincin tu kat dia.”

“Kau bagi jugak cincin tu? Habis tu apa jawapan dia?”

“Itu yang buat aku lemah. Dia boleh berlagak macam tak ada apa-apa.”

“Itu normal sebab kau suka main redah dan ikut suka hati. Apa-apa pun perempuan ni mudah aje kalau nak ambil hati dia,” balas Haziq.

“Kau cakap senanglah.”

“Kau tak dengar pun lagi, dah pertikai apa yang aku cakap,”bidas Haziq.

“Okey, apa yang mudah sangat tu?”

“Dalam setiap perhubungan, masing-masing kena pandai menjaga hati. Kalau dari awal kau ikut cakap aku, 10 kali dia akan jaga hati kau.”

“Bukan orang perempuan ni akan lebih sayang dan hormat bila kita tegas, kasar dan selalu desak dia ke?” tutur Arash.

“Itu hanya teori kontraversi kau!”

“Itu memang kenyataan! Kalau sesekali je aku berlembut dan tunjuk sayang, yang sikit itulah akan betul-betul dia ingat dan hargai.”

Men to left because women are always right. Sesekali beralah danjangan terlalu memaksa dia. Nanti kau jugak yang untung.”

“Kalau dia asyik diam aje, macam mana aku nak tahu perasaan dia, kan? Memang kena desak dengan akulah.”

“Itu yang buat dia lagi tak suka. Kalau dia dah tawar hati, masa tu kau nak buat apa pun dah tak berguna. Bagilah dia surprise macam-macam, dia dah tak hairan.”

“Tak percayalah aku!”

“Terpulang. Harap maklum esok kita ada mesyuarat kat Putrajaya. Jangan demam pulak!” Sempat juga Haziq bergurau sebelum meninggalkan Arash terkebil-kebil.

 

 

PAGI Rabu,Miya bersantai di ruang tamu. Siaran di televisyen telah berkali-kali bertukar,namun tiada satu pun yang menarik perhatiannya. Mahu membuat aktiviti lain,terasa malas pula. Padahal dapur perlu berasap juga untuk mengisi perut yang tidak lama lagi pasti berkeroncong.

“Sebenarnya kau dapat MC berapa hari?” tanya Ain sambil meletak mug di atas meja sisi.

Dia yang bercuti selama dua hari baru selesai menjemur pakaian. Beberapa hari tidak sempat mendobi, pakaian yang kotor mengalahkan orang beranak empat pula. Penuh ampaian dengan baju dia saja.

“Dua hari... semalam dengan hari ni,” beritahu Miya.

“Rasanya petang semalam kau dah okey, klinik panel mana yang baik hati tu?”

“Dah Klinik Kita, memang senang ajelah nak mintak MC. Kita pun pemilik kilinik tu jugak, kan?” gurau Miya. Padahal, berjumpa doktor pun tidak. Nasib ada ubat paling mujarab.

“Ceh! Lagi nak bohong dengan aku. Bukan Klinik Kita tutup sebab sedang buat renovations ke?”

“Kau ingat kat Selangor ni ada ada satu aje ke Klinik Kita?”

“Hoho... jangan-jangan doktor lain yang rawat kau, kan?” tebak Ain.

“Tak percaya sudah!” jawab Miya selamba.

“Tengok muka kau pun aku dah boleh agak. Kau memang dah bercinta dengan dia, kan?”

“Tak adalah!”

“Tak adalah, tak adalah! Malam semalam kau demam sebab terkena hujan atau terkena benda lain?” soal Ain. Wajahnya serius sungguh, naik cuak Miya melihatnya.

“Demam sebab terkena hujan la.”

“Habis tu, jaket lelaki dalam kotak kasut kau tu apa? Patutlah Arash tak payungkan, rupanya dia pinjamkan jaket untuk lindungi buah hati dia.”

Miya terdiam. Ain ni ada deria keenam ke? Susah betul dia mahu menyimpan apa-apa rahsia daripadanya.

“Kau tak payahlah nak sorok-sorok, lambat atau cepat akhirnya aku tahu jugak.”

“Macam mana kau boleh tahu?” Kali ini Miya benar-benar terkejut.

“Senang aje. Bila tiba-tiba kasut yang kau jarang pakai berada di luar kotak, ia akan membuat aku berfikir di luar kotak. Automatik tangan aku bertindak dan menyiasat apa pulak yang ada dalam kotak!”

“Hmm... bab-bab itu kau memang handal,” akui Miya sambil menahan senyum. Apa yang Ain sebut, memang melucukan.

“Aku rasa, confirm kau demam gara-gara terkejut terkena virus cinta!”

“Kau ni asyik sibuk hal peribadi aku aje, kisah cinta kau tak ada ke?”

“Jangan nak ubah topik ya, Cik Miya?”

“Sebenarnya layan drama cinta kat TV tu lagi best.

“Kisah kat TV tu tak real! Tak syok nak layan.”

Miya senyap dan malas mahu menyambung perbualan dengan teman serumahnya itu. Tapi, apa yang Ain katakan itu ada juga benarnya. Mungkin betul dia demam sebab terkena flying kiss Arash dan bukan kerana terkena hujan pun. Kalau hendak diikutkan, Arash yang patut demam teruk kerana terpaksa meredah hujan ketika mahu ke kereta. Peliknya dia pula yang demam!

Tiba-tiba Miya perasan ada notifikasi whatsApp di telefonnya. Dalam kemalasan, dia buka juga mesej yang masuk. Rupa-rupanya daripada lelaki itu.Baru sebut namanya, dah muncul!


Arash : Demam awak dah kebah?

Miya  : Tak payah risau, saya dah okey.

Arash : Saja nak bagitau awak…

 

Miya sekadar membacanya tetapi tidak teruja hendak tahu. Apabila tiba-tiba Arash menyepi, terpaksa juga dia bertanya.

 

Miya  : Apa dia?

Arash : Tiba-tiba tak sengaja rindu…

 

Spontan senyuman terukir di bibir Miya. Entah kerana lucu, entah kerana luahan hati Arash yang tak sengaja rindu itu. ‘Aduhai lelaki ini! Tolonglah jangan buat aku demam balik!’ bisik hatinya.

“Amboi,senyum sorang-sorang nampak!” tegur Ain yang perasan riak di wajah Miya.

“Kau tak cakap pun nak ambil cuti hari ni?” soal Miya pula tanpa mempedulikan sindirannya.

“Walaupun tak sakit, sekali-sekala aku pun nak cuti jugak. Boleh aku temankan kau,” balasAin.

“Temankan aku?” Miya bertanya balik.

“Yalah! Lagipun sekarang ni dah hujung tahun, aku kena habiskan cuti. Kalau tak,sia-sia aje cuti tu sebab tak boleh dibawa ke tahun depan,” sambung Ain.

I see…” balas Miya. Dia terpaksa bangun sebaik menyedari Arash masih menghantar mesej.

“Nak ke mana pulak tu?” tanya Ain.

“Aku masuk bilik dululah,” beritahu Miya. Takkan nak berbalas mesej di hadapan Ain? Nanti lagi banyak soalan dia tanya. Mula-mula gadis itu mahu temankan dirinya. Sekejap lagi pasti mahu sama-sama membaca mesej yang Arash hantar. Susah dia nanti.

“Mengelaklah tu! Tahu sangat taktik kau tu.”

Miya senyum sahaja mendengarnya.

Di bilik, dia terus duduk bersandar di kepala katil. Mata terus membaca mesej yang masuk.


 Arash : Harap maklum, kalau awak diam aje, saya anggap awak setuju.

 

Tiba-tiba Miya pening, tidak tahu hendak membalasnya. Nampaknya lelaki itu bangkitkan isu tempoh hari.

 

Arash :Dalam Islam, bertunang itu hanya perlukan persetujuan. Kalau awak diam,bermakna awak setuju. Kalau dah setuju, automatik jadi tunang saya walaupun awak tak pakai cincin yang saya beri tu.

 

Ah,sudah! Tiba-tiba Miya berasa gusar. Apa yang lelaki itu beritahu memang tiada yang salah. Secara tidak langsung dirinya telah diikat dengan janji. Janji seorang lelaki bernama Zain Arash al-Bakri! Bukan dia tidak maklum, dalam Islam bertunang itu mudah sahaja prosedurnya.

Tapi... dalam hal ini, tiada siapa yang tahu melainkan dia dan Arash. Ah! Kenapalah dia langsung tidak boleh menghalang lelaki itu dari terus berbuat ikut kehendak hatinya? Miya sendiri tidak pasti status dirinya. Apa yang berlaku sekarang ini satu hubungan ke?

 

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.