Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
153,577
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 10

ARASH sedang menjawab panggilan telefon ketika Miya tiba di pejabatnya. Dia yang menyedari kehadiran gadis itu memandangnya buat seketika. Hanya dengan bahasa isyarat, Miya sudah faham maksudnya. Lantas dia mengambil tempat di sofa khas untuk tetamu.

Sementara menunggu Arash selesai dengan urusannya, dia membelek majalah yang ada di atas meja kopi. Terasa pelik pula apabila ada majalah Mingguan Wanita bersama-sama majalah berkaitan seni bina dan majalah korporat yang lain. Takkanlah lelaki itu tersalah beli? Miya tersenyum sinis walau hati tetap tertanya-tanya.

Tidak lama kemudian Arash sudah bangun dan menuju ke sofa. Miya terpaksa memaniskan wajah ketika lelaki itu melabuhkan punggung berhadapan dengannya.

“Maaf, saya terlewat.” Miya cepat-cepat memohon maaf. Sedikit bergetar pada suaranya, macamlah ini kali pertama dia berhadapan dengan anak bosnya. Padahal jejaka itu siap pernah kena marah dengannya!

“Tak apa. Tuan Bakri ada beritahu apa-apa?” Lama Arash memerhati Miya. Perasan yang gadis itu sedikit kekok berhadapan dengannya.

“Tak ada. Dia cuma berpesan pergi ke sini selepas mesyuarat dengan klien.”

Arash masih memerhati Miya. Kali ini dia bersandar sambil melonggarkan tali lehernya yang sedikit ketat. Sengaja mahu melengah-lengah masa.

“Ada projek baru nak bincang ke?” Miya terpaksa bertanya. Dia berasa amat tidak selesa apabila dirinya jadi tatapan lelaki itu sejak tadi.

“Hmm... memang ada projek baru. Saya ada tugasan untuk awak.” Arash mengeyakan.

Miya segera meletakkan kembali majalah yang dibelek dan membetulkan duduknya. Bersedia memasang telinga dan menanti tugasan yang akan Arash beritahu nanti.

“Tugasan ini seumur hidup awak atau seumur hidup saya, mana yang datang terlebih dahulu,” sambung Arash lagi, seakan membaca klausa dalam perjanjian pula.

“Apa maksud tuan? Saya tak faham.” Miya berasa semacam apabila lelaki itu berkata begitu. Janganlah dia buat hal lagi. Doanya dalam hati.

“Sebelum saya teruskan perbincangan ni, saya nak beritahu awak awal-awal.” Arash berhenti seketika lalu menarik nafas.

“Okey...” Miya bersuara sekadar memberi respons tanda dia sedang memberi tumpuan.

“Saya nak beritahu what I want to achieve together...”

Miya mengerut dahi. “Sekejap, tuan nak cakap pasal apa sebenarnya?”

“Pasal saya dan awak la.”

“Saya masih tak faham.”

“Membangunkan syarikat adalah tugas CEO. Menguruskan syarikat adalah tugas COO,” ujar Arash.

Miya bertambah geram. Apa yang dia merepek ni? Semua itu tak ada kena mengena dengannya.

“Tapi kalau nak membangunkan mahligai Zain Arash, ianya adalah tugas saya dan awak,” sambung Arash.

Miya buat muka tidak faham.

“Senang cerita, saya nak ‘berkolaborasi’ dengan awak,” jelas Arash. Pendek,tetapi amat bermakna.

“Kolaborasi?” ulang Miya. Kata-kata Arash seakan melekat terus dalam mindanya.

“Yup, saya nak kita berkolaborasi. Bahasa tepatnya berkongsi hidup.” Arash berterus terang sahaja. Malas hendak berkias-kias lagi.

No!” Miya cuba mengawal debaran di dada. Berdating pun tak pernah, alih-alih ajak kahwin? Sah lelaki ini kurang siuman.

Yes! Saya nak berkahwin dengan awak,” ulang Arash sambil melipat hujung baju kamejanya hingga ke siku.

“Tuan jangan nak main-main dengan saya!”

“Saya nak terus pinang awak.”

“Buat apa?” Suara Miya terus berubah nada. Dia dapat rasakan darah menyimbah ke seluruh wajah. Rasa marah dan terkejut menyebabkan dia tertekan.

“Nak buat isterilah. Takkanlah saya nak main pondok-pondok pulak?”

“Tuan demam ke?”

“Lebih kuranglah. Sebab tu saya nak awak ubatkan.” Arash tersegih memandang wajah Miya yang menahan geram.

“Hospital ada banyak, kat Tanjung Rambutan tu rasanya paling sesuai untuk tuan.”Tiba-tiba Miya mahu mengenakan Arash pula.

“Hmm... kalau tak silap, hospital tu dekat dengan rumah mak bapak awak. Dekat dengan hati awak jugak, kan?” balas Arash pula.

 “Boleh tak jangan main-main? Saya datang sini nak bincang pasal hal pejabat atau projek. Bukan hal lain,” tegas Miya dengan perasaan berbuku.

“Saya serius Miya Adeena. Itulah projek terbaru kita. Bina rumah tangga bahagia,kemudian memiliki anak-anak yang comel.”

Miya terus bangun dan mahu beredar. Namun, Arash lebih pantas menghalang laluannya.

“Tuan Bakri suruh saya ke sini bukan pasal perkara tak masuk akal ni!”

“Tak lama lagi awak tak perlu panggil dia tuan lagi. Sebaliknya akan panggil dia papa!” beritahu Arash sambil tersenyum meleret.

Miya menjeling tajam lelaki itu.

Arash pula buat muka selamba Ultraman Taro! Senyum, tetapi bibir terkatup.

“Saya nak keluar sekarang jugak. Tak ada masa nak layan kerenah tuan.”

“Saya serius nak pinang awak Miya,” Arash mengulangi hajatnya.

Miya yang sudah berdiri terdiam dengan kata-kata Arash. Ketika ini wajah lelaki itu memang serius. Dia sedar anak bosnya bukan main-main.

“Jangan buat tak faham, ya? Saya dah ada semua maklumat pasal awak. Tolong beritahu keluarga awak, hujung bulan ni rombongan meminang akan datang ke rumah awak.”

“Hah?” Miya bertambah tidak keruan.

 “Saya serius dengan apa yang saya cakap, Miya,” tegas Arash. Tetapi wajahnya bersahaja bagai berbicara hal-hal pejabat dan bukannya hal peribadi.

“Saya tak nak!” Pantas Miya memberikan kata putus. Tadi ketika Arash menyebut perkataan pinang, dia dah rasa nak tercabut nyawa.

“Kenapa? Saya tak cukup baik untuk awak?” tanya Arash.

Dia memandang tepat ke wajah Miya yang jelas sudah berubah pucat. Dia hendak ketawa juga tetapi segera ditahan. Sesiapa pun pasti akan berkeadaan demikian apabila melibatkan isu yang tidak dijangka sama sekali.

“Bukan sebab tu. Kita tak pernah pun ada apa-apa hubungan sebelum ni, malah sama-sama tak kenal diri masing-masing.” Miya cuba memberikan alasannya dengan tenang. Kalau dia marah-marah pun, masalah takkan selesai.

“Tapi bukan tak kenal langsung. Awak dah tahu saya anak siapa, tinggal kat mana. Papa saya pun pernah jemput awak dan staf yang lain datang ke rumah, kan?”

“Itu lain!” tekan Miya. Dia semakin tidak tenteram berhadapan dengan Arash yang mengasaknya.

“Saya dah check dengan kawan baik awak, Ain. Dia dah sahkan awak tak ada teman lelaki dan bukan tunangan orang.”Laju sahaja Arash memberikan kata balas.

“Ain?” Miya membesarkan matanya.

Huh, balik nanti siaplah gadis itu! Tapi, macam mana pulak lelaki ini boleh kenal dengan rakan serumahnya? Serasanya dia tidak pernah memperkenalkan Ain kepada rakan sepejabat. Takkan Kak Jasmin memberikan maklumat peribadinya kepada Arash? Aduhai, kenapa aku ni bengap sangat? Arash adalah bos di syarikat ini juga, bukan sesuatu yang sukar untuk tahu pasal dirinya!

“Miya?” panggil Arash.

“Saya tak nak! Hidup saya bukan untuk perjudikan diri dengan pelan gila macam ni.” Miya masih tetap dengan pendiriannya.

“Saya tak gila dan semua ini bukan perjudian. Saya nak bina rumah tangga dengan awak, Miya,” terang Arash dengan tenang.

“Maaf la. Saya tak rasa lelaki macam tuan sesuai jadi suami saya.”

“Okey, tolong senaraikan apa yang tak sesuai tu.”

Miya terdiam dengan pertanyaan yang tak dijangkanya. Tadi itu cuma alasan spontan yang dapat dia fikirkan.

“Miya Adeena Aishah Binti Haji Ahmad Kamal?” Arash sudah memanggil nama penuhnya. Kena panjang nafas untuk mengucapkan nama itu ketika akad nikah kelak! Arash tersenyum sendiri.

Miya masih menyepi walau sedikit terkejut dengan panggilan itu. Dia masih berkira-kira sendiri apa yang patut dijawab.

“Okey, kalau saya tak cukup baik, apa jahatnya saya?” tanya Arash pula.

“Bukan itu maksud saya.”

“Jadi apa masalahnya?” Mata Arash tunak memandang wajah gadis yang jelas kelihatan serba-salah.

“Memanglah tuan tak jahat, tapi saya tak suka tuan!” jawab Miya, namun tidak sanggup memandang wajahnya.

“Tak suka apa?” Arash bertanya lembut.

“Eii... susahlah nak cakap!” Miya sudah panas punggung. Andai boleh, ketika ini juga dia mahu melenyapkan dirinya ke tempat lain.

“Kalau awak tak terangkan, macam mana saya nak tahu?”

“Okeylah! Terang-terang cakap, saya tak suka lelaki yang sering melukakan hati umi dia. Saya tak nak lelaki yang macam tu jadi ayah kepada anak-anak saya.” Tiba-tiba laju sahaja Miya menuturkannya. Nasiblah kalau Arash nak marah sekalipun. Dia tak peduli!

“Apa maksud awak? Setahu saya, saya tak pernah kurang ajar atau tak hormatkan umi saya.” Nada suara Arash  berubah,sedikit terasa dengan bicara Miya.

“Ya, mungkin tuan tak pernah kurang ajar dengannya. Tapi saya perasan tuan selalu buat Puan Sharifah berkecil hati. Padahal dia seorang wanita yang lemah-lembut dan baik dengan semua orang.”

 “Puan Sharifah hanyalah ibu tiri saya. Macam mana baik pun dia, tidak akan setanding dengan arwah mama saya.”Arash memberikan penjelasannya.

“Ibu tiri tetap setaraf ibu kandung. Saya tak boleh terima cara tuan melayan dia. Saya tahu dia selalu bersedih pasal tuan walau cuba disembunyikan.”Begitulah yang Miya nampak ketika menghadiri majlis kenduri di rumah Tuan Bakri. Layanan dingin Arash terhadap Puan Sharifah bukan suatu rahsia lagi.Semua staf di Wisma Bakri tahu pasal hal ini.

“Lagi? Apa yang awak tak suka pasal saya?” Arash cuba mengorek rahsia hati gadis yang cuba ditawannya.

“Saya dah penat berbohong dengan Puan Sharifah. Tuan tak pernah pun sentuh apa sahaja makanan yang dia kirim ke ofis ni. Padahal, dia bersusah payah menyediakannya untuk tuan.”

“Terima kasih Miya. Untuk pengetahuan awak, sebab itu jugalah saya memilih awak.”

“Ya ALLAH! Tuan janganlah buat saya pening!” Miya semakin tidak faham dengan lelaki di hadapannya ini. Dia sudah beritahu alasannya, tetapi Arash okey pula?

“Sebenarnya awak bukan sahaja memahami diri saya, tapi keluarga saya juga.Awak pandai membawa diri dan menyesuaikan diri dengan situasi yang awak tak suka,” puji Arash.

Miya hilang bicara. Tiba-tiba dia buntu dengan situasi yang dialami. Dia patut berjumpa Arash atas urusan pejabat, tapi urusan hati pula yang mengambil tempat.

“Saya tahu awak keliru. Tapi hati saya dah memilih awak untuk jadi isteri saya.”

Miya menggeleng beberapa kali, namun masih tetap tak bersuara.

“Beginilah, saya bagi masa untuk awak fikirkan perkara ni.” Arash cuba berkompromi dengannya.

“Berapa lama pun tempoh yang tuan beri, jawapan saya tetap tidak!” tegas Miya dengan wajah serius.

“Kalau begitu, pintu bilik saya tidak akan terbuka untuk awak keluar!”Arash pantas bangun dan mengunci pintu. Dia turut berdiri di situ, menghalang Miya melepaskan dirinya.

“Apa yang tuan dapat dengan ugut saya cara macam ni?” bentak Miya.

“Saya dapat awaklah!”

“Dalam mimpi bolehlah!” Miya membalas geram.

“Miya, saya perlukan jawapan daripada awak.”

“Sebenarnya tuan bukan nakkan jawapan. Tuan paksa saya!”

“Saya tak ada pilihan lain untuk pastikan awak jadi isteri saya. Jadi saya mohon daripada awak untuk bersetuju sahaja dengan lamaran saya ini.”

“Ini bukan lamaran Tuan Arash. Ini ugutan!”

“Kalau awak tak nak saya ugut dan tahan awak lebih lama, mohon beri jawapan dengan segera.”

“Okeylah, nanti saya beritahu keputusan saya.” Miya berjanji walau dia sedar jawapannya pasti mengecewakan lelaki itu. Dia berharap dengan memberi sedikit harapan,dia dapat melepaskan dirinya.

“Bila?” soal Arash.

“Tahun depan.”

“Tahun depan? No, terlalu lama!”bantah Arash.

“Sekarang ni dah bulan November. Bagilah saya fikir masak-masak!” jawab Miya, geram.

“Hmm... baiklah. Tapi saya tak suka jawapan yang negatif.”

“Boleh saya keluar sekarang?” Pantas Miya bertanya balik. Dia boleh mati lemas andai terus bersama Arash dalam bilik ini.

Tanpa memberikan jawapan, Arash terus membuka pintu untuknya.

Miya menarik nafas lega. Laju sahaja langkahnya meninggalkan Arash yang sudah pun tersenyum panjang. Bagai amat pasti keputusan gadis itu memihak padanya.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.