Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
153,583
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 17

AIN sedang membuat kerja ofis ketika loceng rumah berbunyi. Dalam kemalasan, dia melangkah berat menuju ke pintu. ‘Siapa jugaklah yang datang malam-malam ni?’ gerutunya.

Sebelum membuka pintu, terlebih dahulu dia mahu mengintai melalui lubang intip. Lubang itu dilengkapi dengan lensa mata ikan yang mempunyai bidang pandang yang lebih luas dari dalam. Memang perlu ucap berbanyak terima kasih kepada tuan rumahnya yang prihatin dengan keselamatan penyewanya.

Seketika dia membesarkan mata, tidak percaya dengan apa yang dilihat. ‘Hah! lelaki? Hmm… boleh tahan handsome jugak mamat ni.’ Sempat juga dia meneliti tetamu yang tidak diundang itu.

Dalam tertanya-tanya dia tetap membuka pintu, tetapi dengan sedikit bukaan sahaja. Ain tidak menunjukkan wajahnya memandangkan ketika ini dia tidak menutup aurat dengan sempurna.

“Ya, nak jumpa siapa?” sapanya.

“Tolong panggilkan Miya, boleh? Saya nak jumpa dan ajak dia  dinner,” pinta lelaki itu.

“Awak ni Arash ke?” Ain menduga. Apabila mahu berjumpa dengan Miya, dia sudah boleh mengagaknya. Apatah lagi sahabatnya itu tiada teman lelaki yang rapat.

Lelaki yang berseluar jeans dan berkemeja-T itu segera mengangguk dan mengukir senyuman. Ain yang melihatnya melalui lubang intip,terpaku buat beberapa saat sebelum menuju ke bilik sahabatnya.

‘Aku kena cepat ni. Aduhai Cik Miya bertuah! Segak macam tupun masih tak nak berkolaborasi dengan dia?’ bisiknya.

“Miya!” panggil Ain sambil mengetuk pintu bilik bertalu-talu.Tidak sabar mahu beritahu gadis itu tentang kedatangan seseorang.

Miya yang baru selesai membaca al-Quran, segera bangun membuka pintu. Telekung pun tidak sempat hendak ditanggalkan. Bingit telinga apabila teman serumahnya mengetuk bagai nak rak. Boleh runtuh pintu biliknya andai dibiarkan!

“Kenapa?” Kalut Miya bertanya. Tubuh Ain dipandang atas bawah. Nak kata ada kecederaan di bahagian tubuhnya, tiada apa kelainan yang dia nampak.

“Buka telekung dan cepat bersiap,” arah Ain.

“Yalah, tapi kenapa?”

“Malam ni ada yang ajak pergi dinner. Rezeki dan jodoh jangan ditolak.” Selamba Ain menjawab sambil main-main mata.

“Siapa yang baik hati sangat tu? Aku memang tak makan lagi ni.”

“Kalau nak tahu, tunggu apa lagi? Cepat la tukar baju dan pakai tudung.”

“Okey…” Tanpa berfikir panjang, Miya memberi persetujuan.

Kelam-kabut juga dia menukar pakaian tidurnya kepada blaus dan seluar panjang. Tudung pun dia main capai sahaja walau tidak berapa sepadan dengan warna blausnya. Asalkan menutup aurat, itu sudah memadai. Cantik atau tidak, belakang kira.

Keluar dari bilik, dia terkejut melihat Ain yang bersantai sahaja di sofa bersama komputer ribanya. Teman serumahnya itu tersengih apabila menyedari dia telah siap untuk keluar makan.

“Eh, kau tak ikut sekali ke?” Miya bertanya kehairanan.

“Tak, aku kenyang. Kau sorang ajelah pergi.”

“Kau ni kan, macam-macam!” kompelin Miya lalu menuju kepintu. Tadi bukan main lagi Ain menyuruh dia bersiap, tetapi akhirnya tidak mahu pergi pula.

Sebaik pintu dibuka, Miya tak terkata melihat gerangan yang berdiri menunggunya.

“Nah kunci rumah. Balik nanti senang, tak payah nak kejut kanaku!” Ain memberi kunci rumah kepada Miya kemudian segera menutup pintu. Siap selak sekali agar gadis itu tidak boleh masuk semula ke dalam rumah. Kemudian dia mengintai melalui lubang intip.

Hendak tak hendak Miya terpaksa juga keluar dengan Arash.Jangan nanti Ain terlupa buka selak itu, sudah! Mahu bercinta dia di hadapan pintu menunggu gadis yang suka tidur mati itu.

Shall we?” ajak Arash.

“Ke mana?” Terpaksa juga Miya bertanya.

“Temankan saya bersantap. Jangan risau, dekat-dekat siniaje,” beritahu Arash.

Sungguh, andai Miya tahu siapa sebenarnya yang mahu belanja makan malam, memang dia tidak tunjuk muka langsung. Dalam hati dia berasa amat geram dengan si Ain itu. Tidak fasal-fasal dia terpaksa berdating dengan Arash.

Pertama kali dalam sejarah hidupnya keluar pada waktu malam dengan seorang lelaki. Dalam hati Miya berdoa semoga tiada perkara buruk yang berlaku sepanjang keluar dengan lelaki ini.

 

 

ARASH mengukir senyuman buat Miya. Namun gadis itu buat tidak tahu sahaja. Tiada keinginan langsung mahu berbalas senyum dengannya.

“Miya, janganlah laju sangat makan tu. Saya nak awak temankan saya sampai saya habis makan.”

“Dah awak yang lembap, kenapa paksa saya tunggu awak pulak?”

“Awak ni tengah stres ke?” Arash bertanya lembut.

“Tak payah sibuklah!” balas Miya dengan nada yang terang-terang sangat menyampah. Ketika ini dia memang 

berasa cuak dengannya. Nasi beriani yang ditelan pun terasa tawar.

“Biasanya orang yang stres ni bertindak ikut emosi. Selalu buat yang tak sepatutnya.”

“Kalau awak cakap pasal saya, apa kurangnya awak?” perli Miya pula.

“Susah sangat ke awak nak faham perasaan saya?” tanya Arash.

“Cinta ni dari hati, bukan dari mata atau fikiran Tuan Arash!” balas Miya.

“Tahu, papa saya pun pernah cakap perkara yang sama. Sebab tu saya nak jumpa awak dan datang sini. Sambil makan kita boleh saling mengenali.”

“Sewaktu makan, apa aje yang boleh kita kenal? Cinta tetap tak boleh dipaksa,” tegas Miya.

“Awak masih marahkan saya ke?”

“Kalau dah tahu, buat apa nak tanya?” Bengang betul Miya dengan lelaki ini.

“Sebab saya tahu awak bukan sengaja nak marah, tapi sebenarnya dah mula sayang dan ambil berat.”

Miya hampir terbatuk mendengarnya. “Awak ni memang poyo dan terlebih perasan!”

“Betul,kan?” tanya Arash dengan sengihan.

“Kirim salam! Jom balik, saya dah kenyang!” Miya beralasan.

“Perempuan ni kalau dah kantoi, pukul lapan pagi pun dia kata good night, saya nak tidur!” sakat Arash. Suka dia melihat gadis itu gabra.

“Eii…kenapalah saya boleh setuju keluar dengan awak?” marah Miya.

Dia cukup benci dengan dirinya. Dalam tidak suka, dia turutkan juga kehendak Arash. Ni, Ain punya pasallah! Paksa dia untuk keluar dengan lelaki ini.

Arash hanya tertawa. Matanya masih tidak jemu merenung gadis di hadapannya. Tadi, entah bagaimana datang idea spontan untuk menjemput Miya agar mereka boleh makan malam bersama.

“Sebelum terlupa, Kak Min kirim salam,” beritahunya.

Miya terus tersedak.

 Arash pantas menghulurkan air kosong kepada gadis itu.

“Ya ampun, awak beritahu dia ke?” keluh Miya. Seganlah dia dengan wanita itu.

“Beritahu apa?” Arash bertanya balik.

“Pasal kitalah!”

“Yup,tapi tak semua la...”

“Awak ni memang saja, kan?”

“Miya,kalau saya tak serius, saya takkan cakap dengan sesiapa. Lebih-lebih lagi dengan staf kat pejabat tu. Tapi kalau pasal kita dating ni pun Kak Min tahu, awak tentu boleh fikir,” ujar Arash.

“Tak kuasa saya nak fikir. Kita tak ada apa-apa hubungan pun, selain hubungan bos dengan staf!”

“Miya,bagilah peluang pada saya untuk dekati awak. Kalau tidak, selamanya awak salah sangka dan tak yakin dengan kesungguhan saya.”

Tanpa mempedulikan bicara Arash, Miya segera menelefon Ain.

“Macam mana dating dengan buah hati?” Tanpa ucapan salam, gadis itu terus bertanya.

“Maaf ya, dia bukan sesiapa…”

“Sekarang memanglah bukan. Hari esok atau minggu depan pasti sudah berubah status dia di hati kau.”

“Pandai ajelah kau ni! Nanti jangan lupa bukak selak tu.” Miya mengingatkan.

“Jangan risau, aku takkan tidur selagi kau tak balik. Nak tahu jugak dating pertama kau dengan dia. Hotel mana dia bawak kau?”

“Banyaklah kau punya hotel! Kedai mamak aje pun,” jawab Miya sambil menjeling tajam Arash yang asyik merenungnya.

“Kedai mamak pun, kedai mamaklah! Asalkan mamat sebelah handsome dan sedap mata memandang.” Tidak habis-habis Ain mahu mengusik Miya.

Geram dengan usikannya, Miya terus memutuskan panggilan. Kemudian dia memandang Arash pula.

“Ya,Cik Miya?” tanya Arash yang asyik tersenyum-senyum. Walaupun tidak dapat mendengar perbualan Miya 

dan temannya secara keseluruhan, kata balasnya sudah membolehkan dia meneka butir bicara mereka.

“Bos,saya nak order,” beritahu Miya pada pelayan yang sedang mengelap meja sebelah.

“Ya adik manis, apa mahu order?”

Arash tertawa mendengarnya.

“Kasi saya roti nan dan ayam tandoori,” pesan Miya.

“Okey,”jawab pelayan itu sambil goyang kepala.

Tidak lama menunggu, makanan yang dipesan telah sampai ke meja mereka. Tanpa banyak bicara, Miya terus menjamahnya. Sebenarnya dia tidaklah lapar, sekadar mahu puaskan hati yang geram dengan lelaki di hadapannya ini.

Arash hanya memerhati Miya yang memaksa diri menjamah roti nan yang dipesan. Tidak sampai suku pun roti itu Miya makan. Ayam pula hanya sedikit yang luak,  kemudian dia bangun menuju ke singki untuk membasuh tangan dan mulut.

Ketika kembali ke meja, Miya terkejut melihat Arash selamba sahaja menghabiskan baki roti nan dan ayam tandoori yang dia pesan. Terasa bersalah pula sampai lelaki itu terpaksa tolong habiskan.

“Kenapa?Dah terpesona?” Sengaja Arash menduga.

“Bila awak nak hantar saya balik?” tanya Miya pula.

“Kat luar tu, kan masih hujan? Tunggulah reda dulu.”

“Takkan nak tunggu sampai tengah malam? Kalau awak tak nak hantar, saya balik sendiri!” tegas Miya.

“Baiklah,saya hantar sekarang.” Akhirnya Arash terpaksa beralah juga.

Setelah membuat pembayaran, Arash menghampiri Miya.

“Awak tunggu kat sini aje, nanti saya ambil kereta,” beritahunya kemudian berlari meredah hujan menuju ke kereta.

Kali ini biarlah dia mengalah demi merebut sekeping hati yang terlalu susah hendak dipikat. Biarlah dirinya yang berisiko terkena demam selesema daripada terus-terusan menyebabkan Miya menjauhkan diri darinya.

 

 TIBA di apartmen yang Miya duduki, hujan sudah tidak selebat tadi. Arash berhentikan kereta berhampiran pondok pengawal. Walaupun sedar gadis itu mahu segera keluar, dia sengaja tidak membuka kunci pintu.

“Miya?” panggilnya.

“Apa lagi? Cepatlah bukak kunci pintu ni.”

“Macam mana dengan surat kenaikan pangkat yang saya bagi tu?”

“Naik pangkatlah sangat!” cemuh Miya. Wajahnya yang sememangnya muram bertambah masam.

“Kira naik pangkatlah jugak, dari seorang staf bertukar kekasih hati!” tutur Arash.

Miya senyap sahaja.

“Cincin tu sesuai tak?”

Miya masih menyepi.

“Miya?” panggil Arash.

“Tak cuba pun!” jawab Miya acuh tak acuh.

“Tak apa, janji simpan baik-baik cincin tu.”

“Tolong bukak kunci ni, saya nak keluar.” Sebolehnya Miya tidak mahu berbicara fasal cincin atau apa sahaja yang ada kaitan dengan lelaki itu.

“Kejap,” pinta Arash sambil mencapai jaket yang dia letak di tempat duduk belakang.

Miya terpaksa menunggu.

“Ambil ni, cover kepala awak,” suruh Arash lalu menyerahkan jaket miliknya kepada gadis itu.

“Eh,tak payahlah!” Miya segera menolak.

“Boleh tak jangan degil? Nanti saya tak bukak kunci pintu ni. Lagi cepat kita boleh berkongsi hidup,” ugut Arash pula.

“Yalah!” Miya membalas geram. Nanti tidak fasal-fasal kena tangkap basah pula dalam hujan-hujan begini. Aniaya dia!

Arash dengan senang hati membuka kunci pintu keretanya.

Miya pantas membuka pintu. Ketika menutupnya, dia hampir pengsan apabila Arash menghadiahkan flying kiss kepadanya!

 

 

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.