Home Novel Cinta Akad Dua Hati
Akad Dua Hati
Zan Zarida
17/8/2018 08:15:11
153,569
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 20

KETIKA waktu rehat, Arash berada di bilik Tuan Bakri. Sesekali dia memerhati Miya dari cermin bilik papanya. Gadis itu kelihatan riang sekali bersama rakan sekerjanya. Entah apa yang dibualkan, dia pun tidak pasti.

Miya ketawa tidak berlebih, namun jelas terpancar kegembiraan pada wajahnya. Sungguh, dia sukakan wajah itu. Sebaliknya gadis itu jarang begitu apabila berhadapan dengannya. Dalam diam dia pasang niat mahu membahagiakan dan menceriakan hidupnya.

Lama juga Arash tersenyum sendiri. Sebenarnya, saat pertama kali terlihat orangnya, dia sudah dapat rasakan sesuatu. Ketika itu dia yakin, gadis itulah yang dia inginkan untuk melengkapkan hidupnya. Kini, dia bertambah pasti gadis itu akan menyambut salam cintanya.

Sorry, lama ke Arash tunggu papa?” tanya Tuan Bakri yang menyedari kehadiran anaknya.Dia baru sahaja selesai menunaikan solat zuhur.

“Taklah papa. Rash baru aje singgah sini lepas lunch tadi,” beritahunya sambil membetulkan duduknya. Dia amat berharap semoga papanya tidak ternampak kelakuannya sebentar tadi.

“Hmm… Haris ada telefon Rash? Dah lama jugak papa tak jumpa dia,” tanya Tuan Bakri.

Anak bongsunya itu memang tinggal berasingan dengannya selepas mendirikan rumah tangga. Haris yang muda dua tahun dari Arash bekerja sebagai stress engineer dengan syarikat luar negara di Damansara. Dia memang dari kecil lagi berminat dalam bidang aeronautikal berbanding perniagaan.

“Kelmarin dia ada call. Yalah, dia pun sibuk sikit kebelakangan ni,” beritahu Arash.

“Tak lama lagi Idayu dah nak bersalin. Kalau terjadi apa-apa kat rumah masa dia tak ada, susah jugak.” Tuan Bakri menyatakan kerisauannya.

Sebelum ini Idayu juga turut bekerja, tetapi terpaksa berhenti atas sebab kesihatan. Ketika awal kehamilan, dua kali dia mengalami pendarahan, mujur tiada masalah yang serius pada kandungannya.

“Tulah! Katanya lepas bersalin nanti, Idayu berpantang kat rumah papa aje. Lagipun ni pengalaman pertama, banyak yang mereka kena belajar. Memang patut duduk dengan orang tualah.”

“Rash pulak, apa cerita?” tanya Tuan Bakri.

Ketika ini, seluruh perhatiannya tertumpu padanya.Tadi, sebaik ternampak anaknya, dia berasa pelik juga. Jarang sekali Arash mahu ke pejabatnya melainkan ada isu penting atau sebab ada mesyuarat.

“Setakat ini kebanyakan projek tak ada isu besar dan masalah berbangkit. Kemajuan projek pun memang ikut jadual papa,” beritahunya.

“Papa bukan nak tahu pasal projek syarikat kita. Ni, projek hati Rash dah ada perkembangan ke? Papa dah tak sabar nak masuk meminang.”

Arash terus terbatuk. “Yang tu belum lagi, papa.Lain kalilah Rash cerita.” Arash terus mengelak dari membicarakan isu itu.

“Lain kali tu bila? Papa pun nak jugak cucu dari anak sulung papa ni.” Tuan Bakri menyatakan hasrat hatinya.

“Bagilah kita pegang anak Haris dulu pa, kemudian baru boleh sebut pasal cucu lain.” Naik cuak Arash dengan permintaan papanya. Dia berkahwin pun belum, papanya sudah berhajat fasal cucu lain pula.

“Kalau papa tak ingatkan, Rash tu pun bukannya nak usaha,” tekan Tuan Bakri.

“Anak papa tengah berusaha keraslah ni. Papa tolonglah doakan.”

“Jangan lama-lama sangat. Dahlah adik kamu langkah bendul, nanti serba-serbi Rash ketinggalan.”

“Insya-ALLAH papa. Apa-apa nanti Rash bagitau,”janjinya.

“Kat ofis ni beratur gadis-gadis yang cantik, tak ada ke yang berkenan di hati? Kalau mintak Jasmin rekomen, ramai yang boleh jadi calon,” cadang Tuan Bakri, lebih kepada mahu mengusik anaknya.

“Tak apalah papa, kita bincang lain kali aje. Kejap lagi Rash ada perbincangan dengan staf.”

“Eh, sebenarnya Rash datang ofis papa ni sebab apa? Melawat kawasan ke, melawat taman bunga?” seloroh Tuan Bakri.

“Okey pa, Rash pergi dulu. Malam nanti jumpa kat rumah.”

“Malam nanti? Lepas habis kerja, Rash nak ke mana pulak?”

“Nak mencari bakal menantu papalah! Masa kerja mana boleh buat kerja lain?” Ada sahaja jawapan Arash.

Tuan Bakri menggeleng memandang anaknya yang tergesa-gesa keluar dari biliknya. Pantang dicuit sikit fasal isu peribadi, terus melarikan diri!

 

 

MEMANDU dalam kepanasan memang tidak selesa. Tambahan pula penghawa dingin tidak terasa sejuk. Nampaknya hujung bulan ni kopak lagi duit Miya untuk membaiki penghawa dingin keretanya. Kali ini entah apa pula yang rosak. Kompressor telah ditukar, jangan cooling coil pula yang perlu diganti,sudah!

Sebentar lagi Miya bercadang berhenti berhampiran sekolah agama. Dia amat berharap gerai yang menjual air tebu buka pada hari ini. Tekaknya telah terasa perit.

Dari jauh kelihatan sebuah kereta berhenti di tepi jalan. Miya rasa macam kenal sahaja kereta itu.Tak salah dia, ia memang kereta Volvo antik tempoh hari.

Dia berhentikan kereta, tetapi sengaja tidak keluar kerana mahu mengenal pasti pemilik kereta itu. Malangnya dia sudah terlambat sebab yang empunya diri memang sudah siap membeli.Setelah kereta Volvo itu bergerak, baru Miya gerakkan keretanya menghampiri gerai.

“Pak cik, saya nak satu air tebu,” pinta Miya yang sudah kehausan.

“Nak dua pun boleh,”balas pak cik itu pula.

Miya mengukir senyuman.Apabila pak cik itu menghulurkan bungkusan air tebunya, Miya segera menghulurkan duit.

“Oh tak payah. Hari ini dah ada orang belanja,” balas pak cik itu.

“Siapa?” Tiba-tiba Miya hendak tahu pula. Sekarang ni belum lagi hujung bulan. Gaji pun dalam minggu hadapan baru masuk. Itu yang bekerja dengan Kerajaan. Yang bekerja di sektor swasta selalunya pada awal bulan.

“Kejap tadi ada pembeli yang serah RM100 pada pak cik. Dia nak belanja sampai habis duit RM100 tu pada sesiapa yang beli air kat gerai pak cik ni.”

“Ooo... macam tu.”

“Nampaknya hari ni rezeki awak dan budak-budak yang belajar kat sekolah agamalah.”

Tiba-tiba Miya tersedar sendiri. Sudah agak lama juga dia tidak bersedekah apa-apa selain sebuah senyuman. Kadang-kadang sekadar terpaksa memaniskan wajah. Tidak terfikir pula untuk bersedekah seikhlas hati tanpa mengetahui kepada siapa sedekah itu diberikan.

“Bagus anak muda tu. Ni bukan pertama kali dia bersedekah dan belanja orang minum. Semoga murah rezeki dia,”sambung pak cik itu lagi.

Miya duduk di bangku yang ada di gerai itu. Kemudian menghirup air minumannya sambil memerhati kereta yang lalu lalang.

“Sebenarnya mudah aje nak berbuat baik dan dapat banyak pahala. Tak perlu tunggu ada duit banyak baru kita buat kenduri menjamu tetamu. Itu pun belum tentu dapat pahala lebih. Kadang-kadang pahala tu rosak sebab mungkin terdetik rasa nak menunjuk.”

Aduhai... sekali lagi Miya kena sebiji! Dia mengangguk tanda setuju dengan bicara pak cik itu.

“Kreaktif bukan sahaja dalam melaksanakan kerja-kerja di pejabat. Kita jugak perlu kreaktif dalam memberi!” sambung pak cik itu lagi.

Tidak pasal-pasal Miya terpaksa mendengar ceramah pada petang yang panas ini. Seketika dia terdetik. Kenapalah dirinya tidak pernah nampak semua itu? Padahal hendak berbuat baik tidak semestinya perlu menunggu duit berkepuk-kepuk dalam poket.

Jika diri rajin memberi, ALLAH pasti akan membalasnya dalam bentuk yang tidak pernah kita sangka. Tapi itulah, kebanyakan orang memang tahu, namun jarang mahu melakukannya.

“Anak ni dah kahwin ke?”Tiba-tiba pak cik itu bertanya pada Miya.

Wajah Miya terus berubah. ‘Eh, pak cik ni... baru aku hendak memuji, dah buat aku tak selesa,’Miya berkata dalam hati.

“Jangan salah faham pulak. Bukan apa, kalau pak cik ada anak perempuan, memang pak cik terus pinang anak muda tu,” beritahunya.

“Pak cik cakap pasal siapa ni?” tanya Miya.

“Pasal anak muda yang naik Volvo tu la. Beruntung siapa yang dapat dia.”

“Okeylah pak cik, saya gerak dulu.” Miya segera meminta diri. Jawapan pak cik tu buat dia terkejut juga.

“Yalah, hati-hati memandu.”

Dalam kereta, Miya masih memikirkan kata-kata pak cik tadi. Secara tidak langsung, pak cik itu telah beritahu gerangan yang memandu kereta Volvo itu. Kiranya ini kali kedua Miya dapat belanja daripada orang yang sama. Cuma pada kali pertama, dia terpaksa bayar guna duit sendiri terlebih dahulu sebelum dapat duit RM100!

Tiba-tiba Miya teringatkan nombor telefon tikus mondok. Ketika sampai di tempat parkir apartmennya, dia terus mendail nombor tersebut. Banyak kali juga dia mencuba, malangnya panggilannya masih tidak berjawab.

Dia berasa menyesal pula kerana jual mahal dengan lelaki itu. Apabila jejaka itu mengajak untuk berjumpa, dia terus menolak. Nampaknya sampai ke sudah dia tidak kenal siapa orangnya.

 

 

 


Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.