SAFI semakin
buntu. Sekarang ini fikirannya memang tidak keruan. Mana hendak fikir hati yang
terluka, pada masa yang sama kena menghadap bekas kekasih hati setiap hari. Boleh
masuk Tanjung Rambutan kalau silap gaya!
Mulai hari ini, dia juga kena cepat-cepat
mencari kerja di tempat lain. Suasana baharu dan kawan sekerja yang baharu.
Surat khabar juga dia kena beli dan sebarang iklan kerja akan dipertimbangkan
andai bersesuaian. Kawan-kawan lama juga perlu dihubungi untuk bertanyakan
kerja kosong di tempat mereka.
Sedang dia melayan perasaan sendiri, tiba-tiba kedengaran
bunyi seretan tayar yang agak kuat. Sebuah kereta berhenti mengejut betul-betul
di hadapannya. Seketika Safi terpaku. Jantungnya seakan terhenti berdenyut tatkala
menyedari jarak bumper kereta dengan dirinya tidak sampai tiga inci! Lama dia
berdiri dengan kaki menggeletar. Sehingga pemandu kereta itu keluar, dia masih
di situ.
Seorang lelaki menghampiri dan memandang Safi tidak berkelip.
Nasib dia sempat berhentikan kereta. Sebenarnya dia hendak marah juga, tetapi tidak
sampai hati. Wajah gadis di hadapannya sudah pucat lesi. Andai dia tinggikan
suara, mahu pengsan terkejut.
“Dik, tahulah perempuan yang baik-baik tidak memandang dan
dipandang. Tapi, janganlah sampai tak pandang kiri kanan ketika melintas jalan!
Tak sayang nyawa ke?” tegurnya perlahan. Mata lelaki itu masih tidak lekang
dari memandang Safi.
Safi pula kelu lidah hendak memohon maaf. Memang kelalaian
diri sendiri kerana tidak mempedulikan keadaan sekeliling. Menonong sahaja ketika
berjalan. Semuanya gara-gara berasa amat geram dengan Nana yang sengaja
menaikkan darahnya.
“Awak tak apa-apa, kan?” sambung lelaki itu lagi.
Safi menggeleng dan tidak berani mengangkat muka. Mujur
pemilik kereta itu tidak marah-marah atas kecuaian dirinya. Saat ini matanya hanya
mampu memandang kasut yang tersarung di kaki pemilik kereta yang hampir
melanggar dirinya. Kasut kulit jenama Louis Vuitton itu lama ditenung.
Tiba-tiba terasa ingin sekali memandang wajah empunya diri,
tetapi segera ditepis keinginan itu. Andai lain kali berjumpa di mana-mana,
seganlah dia. Baiklah dia tidak tahu langsung bagaimana rupa lelaki itu.
Entah-entah suara sahaja lembut dan tidak kasar, tetapi wajahnya dipenuhi
jerawat batu. Oh, tak mahu!
“Kalau macam tu, boleh tak adik tolong ke tepi?” pinta lelaki
budiman itu dan terus beredar masuk ke dalam keretanya.
Aduhai… apasal suara dia merdu sangat? Safi menurut sahaja dan
sempat menjeling plat nombor keretanya. Tidak lama selepas itu baru dia
mengangat muka dan memandang kereta BMW sport kuning yang sudah pun memecut.
‘Ruginya… apasal aku lepaskan peluang yang terhidang? Kalau jadikan dia kekasih hati, bukankah
selesai masalah aku?’ Safi mengutuk diri sendiri.
‘Tapi… tak boleh jugak. Aku bukannya tahu dia masih bujang
atau sudah beranak-pinak. Eh, kalau dia dah jadi bapak budak, tak adanya dia
nak pakai BMW sport. Dah tentulah dia pakai Toyata Estima atau Alpard! Haila,
memang macam-macam dia rugi hari ini!