Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
110,337
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18


“TERIMA kasih Farid sudi hadir ke majlis umi ni,” ucap Hajah Kalsom berserta senyuman di bibir. Rasa gembira atas kehadiran Farid ke majlis anak-anak yatim Rumah Impian.

“Sama-sama, umi,” balas Farid turut sama tersenyum.

“Ayah sihat? Datuk?”

“Ayah dan datuk sihat, umi. Mereka berdua kirim salam pada umi.”

“Alhamdulillah. Lama umi tak jumpa dengan ayah dan datuk Farid.”

“Ayah macam biasa la umi. Sibuk. Kalau tak sibuk, tak adalah Farid di sini. Dia sendiri yang akan datang seperti tahun-tahun sebelum ni. Datuk masih dalam usaha nak pulih,” jelas Farid. Dia melilaukan mata melihat suasana majlis itu.

Hajah Kalsom mengangguk perlahan. Bukannya dia tidak kenal dengan Encik Amir dan Tuan Haji Zuhuri. Mereka berdua merupakan penaung Rumah Impian.

“Makin ramai Farid tengok anak-anak yatim di sini.”

“Ya, Farid. Sejak datuk Farid besarkan rumah ni, umi ambil beberapa lagi anak-anak yatim.”

“Oh! Patutlah!” 

“Bila majlis pertunangan Farid?” Hajah Kalsom sekadar bertanya.

“Kalau tak ada halangan lagi 2 minggu. Umi jangan lupa datang,” jawab Farid. Dia menghalakan mata ke arah seorang gadis yang berada tidak jauh dari mereka berdua berdiri.

“Insya-Allah, umi datang,” kata Hajah Kalsom lagi.

Farid tidak membalas. Matanya masih terpahat ke susuk tubuh gadis itu. Seakan mengenali gadis tersebut.

“Farid!” Hajah Kalsom menegur. Farid kelihatan leka memandang seseorang. 

Farid masih memandang. Dia cuba untuk mengamati gadis tersebut. 

Hajah Kalsom turut sama memandang. 

“Umi, dia…”

“Nurin Natasya. Salah seorang penghuni di rumah ni,” sambung Hajah Kalsom.

Terkejut Farid mendengarnya. 

“Mari Farid. Majlis dah nak mula,” pelawa Hajah Kalsom.

Farid sedikit tersentak. Dia mengekori langkah Hajah Kalsom menuju ke dewan. Kata-kata Hajah Kalsom terngiang-ngiang dalam minda. Nurin Natasya merupakan salah seorang penghuni Rumah Impian..



“YEAY! Kak Nur kalah!” kata Muhamad sambil melompat keriangan. Dia bertepuk tangan.

“Ya, Kak Nur kalah. Muhamad menang,” akui Nurin. Tersenyum dia melihat tingkah laku Muhamad.

“Kak Nur kena belanja Muhamad aiskrim.”

“Aiskirm saja ke?”

Muhamad mengangguk laju. Dia tersengih.

“Boleh saja. Satu peti ais pun Kak Nur boleh belikan untuk Muhamad.”

“Janji!”

Nurin mengangguk berserta senyuman.

“Yeay! Muhamad dapat aiskrim. Muhamad dapat aiskrim,” girang Muhamad lalu beredar dari situ.

Nurin ketawa kecil. Geli hati melihat tingkah laku Muhamad. Kanak-kanak itu seorang yang kelakar dan manja.

“Assalamualaikum.” Farid menegur dalam nada lembut.

“Waalai…” Nurin menoleh. Wajah Farid menyapa mata.

“Waalaikumussalam,” sambung Farid berserta senyuman di bibir.

“Encik Farid buat apa di sini?” tanya Nurin sedikit terkejut.

Farid masih lagi tersenyum. Dia menghampiri Nurin. Gadis itu masih terkejut melihat kehadirannya.

“Encik Farid ekori saya?” tanya Nurin lagi. Wajah Farid dipandang tidak berkelip.

“Kalau betul, kenapa?” Farid sekadar menguji.

Nurin tersenyum kelat. Tanpa membalas, dia beredar dari situ namun ditahan oleh Farid. Dengusan kasar terlepas dari bibir.

“Sekejap boleh?” pinta Farid penuh mengharap.

“Encik Farid nak apa?” Nurin berpeluk tubuh.

“Awak buat apa di sini?”

“Melawat anak-anak yatim.”

“Awak pernah menghuni di sini?”

Nurin menoleh sebaik sahaja pertanyaan itu menyapa gegendang telinga. 

“Awak anak yatim, Nurin?” tanya Farid lagi. Dia menanti jawapan daripada Nurin.

“Saya rasa Encik Farid tak perlu tahu semua tu,” balas Nurin berserta senyuman sinis.

Farid tidak membalas. 

“Saya ke sana dulu,” pamit Nurin lalu beredar dari situ.

Farid memandang. Dia pelik melihat sikap Nurin. Gadis itu sekejap bersikap baik dengannya. Sekejap bersikap prejudis terhadapnya. 

“Rahsia apa yang awak simpan selama ini, Nurin?” tanya Farid sedikit menjerit.

Termati langkah Nurin dek kerana pertanyaan itu. Dia menoleh memandang Farid. Tanpa membalas, dia beredar dari situ. 



“UMI nak kenalkan Nur dengan seseorang,” suara Hajah Kalsom, ramah.

“Seseorang? Siapa?” 

“Orang penting dan cucu kepada penaung Rumah Impian.”

“Cucu kepada penaung Rumah Impian?” 

“Handsome orangnya. Tapi, dia dah nak bertunang. Kalau tidak umi nak jodohkan Nur dengan dia.” Hajah Kalsom bercerita. Dia ketawa kecil.

Nurin yang mendengar tersenyum kelat. Jodoh? Tidak pernah dia memikirkan tentang jodoh. Hidupnya hanya kerja.

“Haa… Itu pun dia,” suara Hajah Kalsom tatkala Farid menghampiri.

Terkejut Nurin melihatnya. Farid?

“Farid, umi kenalkan. Nurin, salah seorang penghuni merangkap pekerja sosial untuk anak-anak yatim di sini,” kata Hajah Kalsom memperkenalkan Farid kepada Nurin.

“Pekerja sosial?” Farid mengulangi perkataan itu.

“Nurin datang sini sekadar membantu,” beritahu Hajah Kalsom melihatkan riak di wajah Farid.

“Oh! Farid ingatkan Cik Nurin ni pekerja tetap di sini,” balas Farid berserta senyuman manis. Bukannya dia tidak kenal siapa Nurin yang sebenarnya.

“Nur, ini Farid. Cucu kepada penaung Rumah Impian, Tuan Haji Zuhuri,” beritahu Hajah Kalsom. Dia tersenyum kepada Farid.

Nurin yang mendengar berkerut dahi. Tuan Haji Zuhuri. Dia menyebut nama itu dalam hati.

“Apa khabar, Cik Nurin?” Farid menyapa, ramah.

Nurin tersenyum sinis.

“Kita jumpa lagi.”

“Kamu berdua dah berjumpa ke?”

“Dah umi!” Serentak Nurin dan Farid membalas.

Hajah Kalsom memandang wajah Farid dan Nurin silih berganti.

“Nur design baju untuk majlis pertunangan Encik Farid, umi,” beritahu Nurin.

Hajah Kalsom mengangguk perlahan. Farid sekadar tersenyum.

“Dan bakal jadi tunangan orang,” sambung Nurin. Ditekankan perkataan ‘tunangan’.

“Bakal dan belum sah lagi. Saya masih boleh pikat Cik Nurin dan kebetulan Cik Nurin belum berkahwin dan masih single. Betul, kan?” sampuk Farid sekadar bergurau. Dia ketawa kecil selepas itu.

Nurin mencebik meluat.

“Kamu ni Farid. Jangan nak buat hal. Nurin ni sebenarnya…”

“Umi, Nur ada benda nak bagi pada umi,” pintas Nurin, laju. Dia tahu apa yang bakal diperkatakan oleh Hajah Kalsom.

“Sebenarnya apa?” Farid bertanya. Dia berkerut dahi.

Hajah Kalsom memandang ke wajah Nurin. Cuba untuk membaca riak di wajah gadis itu. Seminit kemudian, dia tersenyum lalu menoleh ke wajah Farid.

“Umi pun ada benda nak bagi pada Nur,” balas Hajah Kalsom.

Nurin menarik nafas lega. Dia mengangguk perlahan.

Farid hanya membisu. Wajah Nurin dan Hajah Kalsom dipandang. Seperti ada yang mereka berdua rahsiakan melihatkan tingkah laku sebentar tadi. 

“Rahsia apa yang awak simpan selama ini, Nurin?” bisik Farid bernada perlahan.

                                                                                


“TERIMA kasih,” ucap Nurin dalam nada lembut.

Hajah Kalsom sekadar tersenyum.

“Farid tak tahu siapa Nur. Tak ada sesiapa pun tahu status Nur kecuali orang yang rapat dengan Nur,” jelas Nurin.

Hajah Kalsom menghela nafas berat.

“Nur bukan sengaja nak rahsiakan tapi Nur ada sebab yang kukuh kenapa Nur rahsiakannya,” sambung Nurin lagi.

“Sebab apa?” tanya Hajah Kalsom ingin tahu.

Nurin membisu. Dia berkira-kira untuk menjawab.

“Nur jangan cuba nak buat yang bukan-bukan.”

Nurin tidak membalas.

“Nur…” seru Hajah Kalsom.

“Tak adalah, umi. Takkan Nur nak buat yang bukan-bukan pula,” tukas Nurin lalu tersenyum kelat.

Hajah Kalsom hanya memandang.

“Lagipun, Nur sibuk dengan kerja. Nur tak ada masa nak fikir yang bukan-bukan.” Nurin masih berkata-kata. Cuba untuk meyakinkan Hajah Kalsom.

Hajah Kalsom berfikir seketika. Wajah Nurin masih dipandang.

“Nur ke sana dulu,” ujar Nurin tatkala Hajah Kalsom membisu.

“Nanti dulu Nur.” Hajah Kalsom menahan.

Nurin menghentikan langkah. Dia mengeluh ringan.

“Umi tahu Nur masih teringatkan kisah lama. Tapi, Nur perlu tahu yang semua tu qadaq dan qadar dari Allah. Nur kena terima dengan seikhlas hati.” Hajah Kalsom sekadar nasihat. Dia dapat merasakan sesuatu.

“Jangan simpan dendam dalam hati kita. Dendam akan memudaratkan diri kita sendiri,” sambung Hajah Kalsom lagi.

Nurin hanya mendengar. Tidak berniat untuk membalas. Dendam? Perkataan itu sedang berlegar-legar dalam minda. 

“Mak Nur macam mana?” tanya Hajah Kalsom sekadar ingin tahu.

Bukannya dia tidak tahu kisah hidup Nurin. Selepas Encik Nazaruddin, ayah Nurin meninggal dunia, Nurin diabaikan oleh Puan Noraishah. Nurin hidup seperti anak yatim piatu. Masih segar di ingatan bagaimana dia bertemu dengan Nurin.

“Macam tu sajalah umi. Tak ada perubahan,” adu Nurin berserta keluhan berat.

Hajah Kalsom sedikit tersentak. Dia memandang wajah muram Nurin.

“Dah macam-macam Nur buat untuk ambil hati mak. Tapi, mak tetap dengan sikap dinginnya. Nur rasa give up, umi,” cerita Nurin tanpa dipinta.

“Nur… Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya,” balas Hajah Kalsom.

“Entahlah umi. Nur rasa nak lari dari kehidupan sekarang ni. Kalau Nur tak sayangkan mak, dah lama Nur pergi umi.” Nurin masih meluahkan. Rasa lemah tatkala bercerita tentang Puan Noraishah.

“Nur nak ke mana?” tanya Hajah Kalsom sedikit terkejut.

“Selalu ke penaung Rumah Impian ni datang melawat, umi?” tanya Nurin menolak pertanyaan Hajah Kalsom. Malas untuk bercerita tentang Puan Noraishah. 

“Dulu masa Rumah Impian ditubuhkan, selalu juga Tuan Haji Zuhuri datang ke sini.”

“Tuan Haji Zuhuri?” ulang Nurin berserta kerutan di dahi.

Hajah Kalsom menganggukkan kepala.

“Tuan Haji Zuhuri datuk Farid?” Nurin berfikir sejenak. Nama itu seperti tidak asing bagi dirinya.

“Iya. Tuan Haji Zuhuri datuk Farid. Kenapa, Nur?”

“Macam mana dengan keadaan Tuan Haji Zuhuri, umi?”

“Tuan haji tak sihat dan tak mampu untuk berjalan. 6 tahun yang lepas tuan haji terkena strok,” cerita Hajah Kalsom.

Nurin yang mendengar sedikit terkejut.

“Umi ke sana dulu. Nampak macam ada tetamu datang,” ujar Hajah Kalsom. Dia segera beredar dari situ.

Nurin mengangguk perlahan. Otaknya dikerah berfikir. 

“Bukankah dia…” Nurin mematikan ayat tatkala terlihat kelibat Farid. Pemuda itu sedang bermain-main dengan kanak-kanak di situ. Diamati Farid penuh minat.

Seminit kemudian dia bangun dari duduk. Dia dapat merasakan sesuatu melihatkan tingkah laku Farid.

“Dia…” sebut Nurin selepas itu.



Previous: Bab 17
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.