Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
109,980
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 20


NURIN memandang ke wajah Dahlia. Gadis itu sedang menggayakan baju tunang yang direkanya. Senyuman gadis itu diperhatikan dalam diam. Manis dan menawan. Mana-mana lelaki yang melihat pasti akan terpikat dengan Dahlia. 

Nurin menoleh ke arah Farid. Pemuda itu sedang melihat penampilan sendiri di hadapan cermin. Kacak dan tampan. Itulah yang dilihatnya pada Farid. Sepadan dan secocok dengan Dahlia. Dia tersenyum dengan pujian kepada pasangan itu.

Nurin menghela nafas lega. Farid dan Dahlia berpuas hati dengan hasil rekaannya. Mungkin itu yang terakhir untuk dia mereka pakaian bagi pasangan itu. Dia tidak mahu ada apa-apa kaitan dengan Farid mahupun Dahlia.

Adakah dia cemburu? Tidak! Dia tidak pernah mencemburui pasangan itu. Farid dan Dahlia sudah ditakdirkan berjodoh. Lagipun, siapa dia untuk cemburu? Dia tidak mempunyai perasaan apa-apa pada Farid. Hanya sebagai pereka dan pelanggan.

“Ehem!” Farid berdehem. Sekadar menyedarkan Nurin yang sedang leka termenung.

Nurin tersentak. Dia memandang ke arah cermin. Farid sedang memandang ke arahnya melalui cermin itu.

“Cik Nurin menungkan apa? Saya?” tegur Farid berserta senyuman di bibir.

Nurin tidak membalas. Dia mengamati penampilan Farid di cermin.

“Saya kacak, kan?” tanya Farid lagi.

Nurin mengerutkan dahi.

“Kalau tidak, tak kan Cik Nurin pandang saya sampai tak berkelip,” sambung Farid masih tersenyum.

“Kalau baju tu dah okey, saya minta diri dulu. Ada kerja,” balas Nurin bernada serius. Dia melangkah keluar dari ruangan itu. Tidak mahu berlama dengan Farid.

“Nanti dulu!” Farid menahan. Tangan Nurin ditarik lembut.

Nurin mematikan langkah. Dia memandang pegangan di tangan kemudian beralih ke wajah Farid.

“Saya nak tanya satu soalan, boleh?” Farid memandang ke wajah Nurin.

Nurin mendengus ringan.

“Cik Nurin tak suka dengan saya ke?” tanya Farid ingin tahu. Dia pasti, Nurin tidak menyukainya melihatkan tingkah laku serta penerimaan gadis itu terhadap dirinya.

Nurin membalas pandangan Farid. Pertanyaan pemuda itu berlegar-legar dalam minda. 

“Farid!” panggil Dahlia, tiba-tiba.

Farid terkejut. Dia melepaskan pegangan. Seminit kemudian, wajah Dahlia menyapa mata. Senyuman diberikan kepada gadis itu.

“Cik Nurin di sini?” tanya Dahlia sedikit terkejut.

Nurin tersenyum. Tidak berniat untuk menjawab.

“Macam mana? Sesuai?” sampuk Farid sekadar ingin tahu.

“Sesuai sangat,” balas Dahlia, teruja.

Nurin beredar dari situ. Memberi ruang pasangan itu berbual-bual. 

Farid memandang pemergian Nurin. Pertanyaannya tadi tidak dibalas. Dia yakin yang Nurin tidak menyenangi kehadirannya ditambah dengan sikap dingin gadis itu. Dia pasti ada perkara yang dirahsiakan oleh Nurin dan dia akan mencari kesemua jawapan kepada pertanyaannya itu.



“HOPE semuanya okey,” kata Puan Fauziah, ramah.

“Alhamdulillah, aunty. Semuanya okey. Pandai Nurin reka pakaian kami.” Dahlia memuji. Dia tersenyum kepada Puan Fauziah.

“Cik Nurin seorang yang berbakat besar,” puji Farid pula. Dia menoleh sekilas ke wajah Nurin. Gadis itu sedang leka dengan telefon bimbit di tangan.

“Sebab itu aunty sayang nak lepaskan Nurin,” balas Puan Fauziah berserta ketawa kecil. Dia turut sama menoleh ke arah Nurin di sisi.

Dahlia dan Farid sekadar tersenyum. 

“Dah tak lama majlisnya, kan?” tanya Puan Fauziah. Sekadar menceriakan suasana.

“A’ah aunty. Ahad ni majlis berlangsung. Aunty jangan lupa datang,” balas Dahlia masih tersenyum.

“Insya-Allah, Dahlia. Kalau diizinkan Allah, aunty datang.” Puan Fauziah mengangguk perlahan. Wajah Dahlia dipandang mesra.

“Nurin pun jemput datang sama ya,” pelawa Dahlia dalam nada lembut.

Nurin tidak membalas. Dia leka memandang telefon bimbitnya. Sejak dari tadi, dia cuba untuk menelefon Puan Noraishah namun tidak berbalas. 

“Insya-Allah, Nurin akan datang juga,” sampuk Puan Fauziah. Mewakili Nurin. Dia perasan dengan tingkah laku Nurin.

Farid memandang ke wajah Nurin. Ada riak risau di situ. 

“Kalau macam tu, kami minta diri dulu,” ujar Dahlia bingkas bangun dari duduk.

Puan Fauziah turut sama bangun dari duduk. Dia bersalaman dengan Dahlia.

“Cik Nurin, kami minta diri dulu,” tegur Dahlia berbasa-basi.

Nurin masih tidak membalas. Dia memandang telefon bimbit di tangan. Perasaan risau menghuni dalam hati. 

“Nurin!” Puan Fauziah pula menegur. Dia mencuit perlahan bahu Nurin.

“Haa!!!” Nurin tersentak. Dia memandang ke wajah Puan Fauziah.

“Jumpa lagi, Cik Nurin,” suara Farid berserta senyuman manis di bibir.

Nurin bangun dari duduk. Dia tersenyum kepada Farid dan Dahlia.

“Jumpa lagi,” pamit Dahlia sambil melangkah menghampiri pintu bilik. Farid di sisi turut mengekori dari belakang.

Nurin dan Puan Fauziah hanya memandang. Nafas lega dilepaskan.

“Mak ngah, Nur nak keluar sekejap. Ada hal,” ujar Nurin selepas itu. 

Tanpa menunggu balasan, dia segera beredar dari situ. Entah kenapa dia berasa risau dengan keadaan Puan Noraishah ketika ini.

“Nur… Nur…” Puan Fauziah memanggil. 

Namun, kelibat Nurin sudah pun hilang di sebalik pintu bilik. Dia menggelengkan kepala dengan tingkah laku Nurin sebentar tadi. Tanpa memikirkan apa-apa, dia menyambung semula kerja yang tertangguh disebabkan kehadiran Farid dan Dahlia.



“MANA pula mak ni? Call tak berangkat. Apa jadi dengan mak?” soal Nurin sendirian. Dia melangkah menuju ke parkir kereta.

“Tak pernah dia buat macam ni. Selalunya kalau aku call, dia angkat dan sekadar berdehem saja. So, aku tahu yang dia okey,” sambung Nurin lagi. Dia melajukan langkah menuju ke kereta.

“Cik Nurin!” tegur Farid, tiba-tiba.

Nurin mematikan langkah. Dia menoleh untuk melihat. Keluhan berat dilepaskan sebaik sahaja wajah Farid menyapa mata.

“Kenapa, Cik Nurin?” Farid bertanya setibanya di hadapan Nurin.

“Bukan urusan Encik Farid!” balas Nurin lalu masuk ke dalam kereta.

“Nanti dulu, Cik Nurin.” Farid menahan. Dia menarik Nurin keluar dari dalam kereta.

“Encik Farid nak apa?” tanya Nurin sedikit tinggi.

“Kenapa?” Farid tidak menghiraukan amarah Nurin.

“Kenapa apa?” tanya Nurin pula. Sengaja buat tidak faham.

“Kenapa?” Farid tidak mahu mengalah. Dia pasti Nurin sedang menghadapi masalah.

Nurin mendengus kasar. Wajah Farid di hadapan dipandang tajam.

“Jangan pandang saya macam tu, Cik Nurin. Nanti saya jatuh cinta dengan Cik Nurin, siapa yang susah? Cik Nurin juga, kan?” 

“Encik Farid nak apa daripada saya?” Nurin tidak tertahan. Farid sengaja mencari pasal dengannya.

Farid sekadar tersenyum. Wajah tegang Nurin dipandang tidak berkelip. Selagi dia tidak mendapat jawapan, selagi itu dia akan bertanya. Dia yakin yang Nurin sedang menghadapi masalah dan dia bersedia untuk membantu.



“MAK! Mak!” Nurin memanggil. Dia segera menuju ke bilik Puan Noraishah setibanya di rumah. Perasaan risau menghuni dalam hati.

Farid hanya menunggu. Tekaannya tepat. Nurin sedang menghadapi masalah.

“Mak! Mak!” panggil Nurin lagi. Dia mencari di segenap ruang namun kelibat Puan Noraishah tidak juga muncul. Ke mana Puan Noraishah pergi?

“Mak!” Buat kali yang ketiga Nurin memanggil. Semakin tidak keruan dibuatnya.

Farid masih menunggu. Dia cuba mengintai Nurin di dalam rumah. Kelibat gadis itu tidak kelihatan. Hanya suara Nurin yang menyapa gegendang telinganya.

“Ma…” Nurin mematikan ayat tatkala terlihat sekujur tubuh sedang berbaring di atas lantai bilik air. Dia menerpa ke arah tubuh itu.

“Encik Farid!!!” Nurin memanggil. Berharap Farid mendengar panggilannya itu.

Farid sedikit tersentak. Dia segera masuk ke dalam rumah tatkala mendengar namanya dipanggil berkali-kali.

“Mak kenapa ni? Jangan takutkan Nur, mak,” suara Nurin, bergetar. Dia cuba untuk menyedarkan Puan Noraishah.

“Kenapa, Cik Nurin?” tanya Farid setibanya di belakang Nurin.

“Tolong saya, Encik Farid. Mak saya pengsan,” esak Nurin. Dia memandang Farid meminta simpati.

“Kita bawa ke hospital sekarang,” cadang Farid. Dia segera menggendong Puan Noraishah keluar dari bilik air. Perasaan risau turut sama hadir dalam hati.

“Mak, jangan tinggalkan Nur. Nur tak ada sesiapa melainkan mak. Nur tak kisah kalau mak membenci Nur asalkan mak ada di sisi Nur,” kata Nurin dalam esakan.

Farid yang mendengar menoleh ke wajah Nurin. Buat pertama kali dia melihat Nurin menangis. Kata-kata Nurin sebentar tadi terngiang-ngiang dalam minda. 



“AIR!” Farid menghulurkan sebotol air mineral. 

Nurin tidak membalas. Dia menunduk memandang kaki sendiri.

Farid menghela nafas ringan. Dia melabuhkan duduk di sisi Nurin. Gadis itu sedang memandang kaki sendiri.

“Terima kasih. Encik Farid boleh balik sekarang,” suruh Nurin dalam nada perlahan.

Berkerut dahi Farid mendengarnya.

“Saya minta maaf sebab menyusahkan Encik Farid,” ucap Nurin pula. Keluhan berat dilepaskan.

“Roti!” hulur Farid buat kali yang kedua. 

Nurin menggelengkan kepala. Dalam keadaan begini, dia tidak ada selera untuk makan. Kerisauan terhadap Puan Noraishah melebihi segala-galanya.

Farid tersenyum kecil melihat gelengan di kepala Nurin. Dia membuka plastik lalu mencubit sedikit roti. Dihulurkan kepada Nurin.

Nurin tidak mengendahkannya. Kehadiran Farid buat tidak nampak sahaja.

“Awak kena makan, Nurin. Kalau awak sakit macam mana awak nak jaga mak awak?” kata Farid. Dia masih menghulurkan secubit roti kepada Nurin.

Nurin yang mendengar mengangkat wajah. 

“Sekurang-kurangnya kalau awak makan, awak ada tenaga untuk jaga mak awak,” pujuk Farid pula. Berharap Nurin menerima hulurannya itu.

“Saya tak perlukan simpati awak, Encik Farid,” tolak Nurin berserta dengusan ringan.

“Simpati apa pula ni?” Farid ketawa kecil.

“Encik Farid boleh pergi sekarang.” Nurin menghalau. Rasa sakit hati mendengar suara ketawa Farid.

“Awak ni memang seorang yang degil,” kritik Farid berserta gelengan di kepala. Dia menyimpan semula cubitan roti ke dalam plastik.

“Suka hati Encik Farid la nak kata apa,” balas Nurin, malas. Dia bangun dari duduk. Terasa lama Puan Noraishah di dalam bilik kecemasan.

Farid menghela nafas berat. Dia menggeleng dengan kedegilan Nurin.

“Ya Allah, Kau selamatkanlah mak aku,” doa Nurin bernada perlahan. Dia mundar-mandir di hadapan bilik kecemasan.

Farid yang melihat bingkas bangun dari duduk. Tingkah laku Nurin yang sedang mundar-mandir dipandang. 

“Degil!” kritik Farid, selamba.

Getaran telefon bimbit mengejutkan Farid. Dia menggagau poket seluar lalu mengeluarkan telefon bimbit dan menatap nama di skrin.

“Ya awak, kenapa?” tanya Farid sebaik sahaja talian bersambung.

“Awak kat mana?” tanya Dahlia dari hujung talian. Sekadar ingin tahu.

Selepas mereka berdua beredar dari Butik Mahligai Impian, Farid meminta diri untuk menghadiri satu mesyuarat di kawasan berhampiran. Dia menelefon sekadar untuk bertanya keadaan Farid.

“Saya… Saya…” Farid mencari jawapan yang sesuai.

“Meeting awak macam mana?” Dahlia masih bertanya.

“Meeting?” Farid berkerut dahi. “Oh! Meeting! Okey! Tak ada masalah.” Farid sedikit gagap. Menahan debaran di dada. Hampir dia terlupa dengan alasan yang diberikan kepada Dahlia sebaik sahaja beredar dari butik.

“Awak okey ke tidak ni?” Dahlia berasa risau. Suara Farid kedengaran lain.

“Saya? Saya okey!” balas Farid berserta nafas lega. Matanya menangkap kelibat doktor yang baru keluar dari bilik kecemasan.

Dahlia tidak membalas. Hatinya berasa tidak tenang. 

“Awak, saya letak dulu. Ada hal yang nak diuruskan,” suara Farid lalu mematikan talian. Dia melangkah menghampiri Nurin yang sedang berbual dengan seorang doktor.

Dahlia tersentak dengan tingkah laku Farid. Apa yang berlaku kepada Farid ketika ini? 


Previous: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.