Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
124,184
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 14


FARID memandang jam di pergelangan tangan. Masa sudah merangkak ke pukul 1.20 minit. Hampir 20 minit dia menanti Nurin di kafe itu. Namun, kelibat Nurin tidak juga muncul. Entah kenapa dia begitu berminat pada Nurin Natasya. Pasti ada sesuatu dalam diri gadis itu menarik hatinya untuk berkenalan.

“Assalamualaikum,” tegur Nurin dalam nada perlahan.

Farid tersentak. Dia menghalakan mata ke arah suara yang menegur.

“Waalaikumussalam,” balasnya selepas itu.

“Maaf lambat,” suara Nurin, kesal.

“Tak apa. Jemput duduk,” pelawa Farid. Dia membetulkan duduk.

Nurin melabuhkan duduk. Dia mengawal debaran di dada. Pandangan Farid membuatkan dia berasa tidak senang hati. 

“Kita order makanan,” cadang Farid, ramah.

“Kenapa Encik Farid nak jumpa dengan saya?” Nurin menolak cadangan Farid. Dia tidak mahu berlama di situ.

Farid mengangguk perlahan. Nurin tidak mahu berlama dengannya.

“Ada apa, Encik Farid?” Nurin masih bertanya. Farid hanya membisu.

Farid tidak membalas. Wajah Nurin di hadapan dipandang mesra. Wajah yang sering meniti di tubir matanya sejak akhir-akhir ini. Dia sendiri tidak tahu kenapa itu terjadi.

“Saya balik office dulu.” Nurin sudah tidak sabar. Dia bangun dari duduk. Jika Farid masih membisu, ada baiknya dia beredar dari situ. 

“Nanti Nurin!” Farid menahan Nurin dari pergi.

Nurin mematikan tingkah laku. Dia mendengus ringan.

“Kita makan dulu. Saya lapar,” cadang Farid buat kali yang kedua. Berharap, Nurin terima dengan cadangannya itu.

Nurin melepaskan keluhan ringan. Dia melabuhkan duduknya semula sambil memandang Farid yang sedang memberi pesanan. 

“Terima kasih!” ucap Farid sehabis sahaja memberi pesanan. 

Nurin hanya membisu. Dia mencuri pandang ke wajah Farid. Memang kau, Afiq. 

“Saya handsome, kan?” puji Farid kepada dirinya sendiri.

Nurin tersentak. Dia melarikan pandangan. Malu atas perbuatannya tadi. Pasti Farid menyedari akan tingkah lakunya sebentar tadi.

“Kalau tidak, tak kan awak pandang saya tidak berkelip,” sambung Farid lagi. Dia tersenyum manis kepada Nurin.

Nurin memandang ke wajah Farid. Senyuman pemuda itu menyapa mata. 

“Afiq!” sebut Nurin, perlahan.

“Apa dia?” tanya Farid tatkala terdengar suara Nurin.

Nurin bangun dari duduk. Tanpa membalas, dia segera beredar dari situ. Dia menyentuh dadanya yang terasa sakit. 

“Memang kau, Afiq!” kata Nurin seraya menggenggam erat tangan. 

Farid hanya memandang. Tidak berniat untuk menghalang. Seminit kemudian, dia menyeluk poket seluar lalu mengeluarkan sebuah key chain. Niatnya untuk mengembalikan semula key chain itu terpaksa dibatalkan.

“Aku terpaksa simpan kau lagi wahai key chain,” sebut Farid berserta senyuman di bibir. Key chain di tangan masih dipandang. Nama ‘Nurin Natasya’ terukir di key chain itu. 

“Dia istimewa,” ucap Farid lalu menyimpan semula key chain tersebut. Mungkin suatu hari nanti, dia akan mengenali siapa Nurin Natasya yang sebenarnya.



“ENCIK FARID!” tegur Liza dengan tiba-tiba dari arah muka pintu bilik.

Farid terkejut. Lamunan panjangnya pada pertemuan dengan Nurin termati begitu sahaja. Lantas, dia menghalakan mata ke arah Liza yang sedang melangkah menghampirinya di meja kerja.

“Jemputan ke program anak-anak yatim Rumah Impian,” ujar Liza seraya menghulurkan kad jemputan.

Farid membalas huluran. Dia membaca askara-askara yang tertera di atas kad tersebut.

“Bukan ke majlis ni Encik Amir yang hadir?” soal Farid sehabis sahaja membaca.

“Encik Amir minta Encik Farid wakilkan,” balas Liza, tenang.

Farid meletakkan kad di atas meja. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi. Wajah Liza dipandang seketika.

“Encik Amir…”

“Ada outstation pada tarikh tersebut,” beritahu Liza. Faham akan gantungan ayat bosnya itu.

“Baiklah! Saya akan hadir. Awak inform pada mereka nanti,” putus Farid setelah berfikir. Ada baiknya dia menghadirkan diri di majlis itu. Tidak mahu mendatangkan masalah kepada Encik Amir.

“Saya minta diri dulu,” ujar Liza. Dia melangkah untuk beredar dari bilik itu.

“Liza!” Farid memanggil. Ada perkara yang hendak ditanya kepada Liza.

Liza mematikan langkah. Dia menoleh dan menanti butir bicara daripada Farid.

“Awak boleh bantu saya?” 

“Bantu apa, Encik Farid?” 

“Nurin Natasya!”



NURIN menatap gambar di tangan. Selama 5 tahun gambar itu masih elok dalam simpanannya. Gambar yang menjadi punca kepada perceraiannya dengan Afiq. Gambar yang telah memusnahkan hidupnya.

Nurin menghela nafas ringan. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi. Pertemuan dengan Farid meniti dalam minda.

“Afiq ada tahi lalat di bawah bibir sebelah kanan,” kata Nurin sambil berfikir. Jika dia tidak salah pandang, Farid memiliki tahi lalat yang dimaksudkan.

“Mempunyai lesung pipit di kedua-dua belah pipi,” sambung Nurin lagi.

Seminit kemudian, dia memejamkan mata. Tanggapannya benar belaka. Farid Aiman ialah Afiq Aiman. Rasa sakit hati hadir dengan tiba-tiba.

Bunyi mesej masuk mengejutkan Nurin. Dia membuka mata lalu mencapai telefon bimbit dari atas meja. Mesej kiriman dibaca.


Terima kasih kerana sudi jumpa dengan saya tadi walaupun sekejap.


Nurin berkerut dahi. Kurang faham dengan mesej tersebut. Bunyi mesej kedua menyapa telinga. Nurin membaca mesej yang dihantar.


Semoga ada pertemuan yang seterusnya.


Nurin mencampak telefon bimbit ke atas meja. Pasti Farid yang menghantar mesej tersebut. Dia menggelengkan kepala.

“Tak! Tak mungkin ada pertemuan yang seterusnya,” tukas Nurin masih menggeleng. Berharap dia tidak berjumpa dengan Farid lagi.



“KAU dari mana?” tanya Asrel sambil duduk di kerusi.

“Dari office!” balas Nurin berserta nafas ringan.

“Office? Waktu ini?”

“Ada kerja sikit yang perlu disiapkan.”

Asrel menganggukkan kepala. Wajah Nurin dipandang mesra.

“Kau nak burger tak?”

“Tak apa. Aku tak lapar.”

Asrel hanya tersenyum. Riak kepenatan terlukis di wajah Nurin.

“Aku dah jumpa dengan dia,” ujar Nurin, perlahan.

“Jumpa? Siapa?” Asrel berkerut dahi.

“Afiq Aiman!” balas Nurin, tenang.

Terkejut Asrel mendengarnya. 

“Aku pasti dia Afiq. Aku tak pernah lupa dengan wajah dia,” sambung Nurin lagi.

“Kau jumpa dia kat mana?” Asrel sekadar ingin tahu.

“Dia client aku dan dia nak bertunang bulan depan,” beritahu Nurin. 

Asrel yang mendengar menegakkan tubuh. Bertunang? Ulangnya dalam hati. 

“Mustahil dia tak kenal dengan aku. Aku yakin dia, Afiq Aiman.”

“Maksud kau?”

“Dia buat-buat tak kenal dengan aku, Asrel.” 

Asrel tidak membalas. Kata-kata Nurin cuba untuk direncanakan.

“Dia dah bahagia. Aku? Masih teringat dengan apa yang dia dah buat pada aku dulu.”

“Nur…”

“Lupakan?”

Asrel hanya memandang. 

“Tidak semudah itu untuk aku lupakannya.”

Asrel masih membisu. Tidak tahu untuk membalas. 

“Aku balik dulu.” Nurin bangun dari duduk.

“Kau tak nak burger?” Asrel berbasa-basi.

Nurin hanya menggeleng. Dia beredar dari situ. 

Asrel memandang. Rasa kasihan melihat Nurin. Gadis itu masih tidak dapat melupakan peristiwa lama.

“Asrel!” 

Teguran Diana mengejutkan Asrel. Dia menoleh ke arah suara yang menegur.

“Kak long!” sapa Asrel kemudian.

“Tengok apa?” Diana memandang ke arah yang dilihat oleh Asrel.

“Nurin!” balas Asrel, sepatah. Dia menghampiri gerainya tatkala terlihat seorang pelanggan.

Diana mengangguk. Dia memandang Asrel yang sedang memasak burger. Duduk dilabuhkan di atas kerusi yang berada di situ.

“Kak long nak burger ke?” Asrel bertanya sebaik sahaja pelanggan tadi pergi. Dia menoleh ke arah Diana.

“Boleh juga. Burger ayam satu,” pinta Diana berserta anggukan di kepala.

Asrel segera memasak. Wajah Diana di hadapan dipandang sekilas.

“Nurin dah jumpa dengan dia,” ujar Asrel, tiba-tiba.

“Jumpa dia? Siapa?” Diana berkerut dahi.

“Afiq Aiman!” Asrel memandang ke wajah Diana.

“Afiq Aiman? Bukankah Afiq…”

“Rel tak tahu betul atau tidak. Tapi, itu yang Nurin beritahu Rel tadi. Dia jumpa dengan Afiq Aiman.”

Diana tidak membalas. Dia berfikir sejenak.

“Burger!” ujar Asrel seraya menghulurkan sebiji burger kepada Diana.

Diana membalas huluran. Dia masih memikirkan kata-kata Asrel. 

“Rel percayakan Nurin. Mungkin betul Afiq yang Nurin jumpa.”

“Mungkin pelanduk dua serupa kut, Rel.”

Asrel tidak membalas. Mungkin ada benarnya kata-kata Diana itu. Pelanduk dua serupa.

“Tapi, bukankah Afiq ke luar negara?” Diana bersuara tatkala teringatkan sesuatu.



Previous: Bab 13
Next: Bab 15

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.