Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
124,177
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

 

“MACAM mana?” Nurin bertanya sehabis sahaja Puan Fauziah melihat rekaannya.

Puan Fauziah menutup fail. Dia memandang ke wajah Nurin di hadapan.

So?” tanya Nurin lagi. Pandangan Puan Fauziah dibalas.

“Dalam minggu depan client kita akan datang untuk tengok rekaan ni. Mereka akan buat keputusan, rekaan mana yang sesuai untuk majlis mereka nanti,” beritahu Puan Fauziah bernada tenang. Itulah yang diberitahu kepadanya beberapa jam yang lepas.

“Minggu depan?” ulang Nurin sedikit terkejut.

“Ya, Nurin.”

“Tak terlalu awal ke, puan?”

“Kita kena ikut kehendak client, Nur.”

“Saya faham, puan.”

“Rekaan Nur kesemuanya cantik dan menepati citarasa client.”

Nurin tidak membalas. Dia berfikir sejenak.

“Kenapa, Nur?” Puan Fauziah bertanya tatkala melihat wajah termenung Nurin.

“Minggu depan dalam hari apa, puan?” tanya Nurin sekadar ingin tahu.

“Tak pasti pula saya, Nurin,” jawab Puan Fauziah, tenang.

“Tak apalah kalau macam tu.”

“Kenapa, Nur?”

“Tak ada apa.”

Puan Fauziah mengangguk perlahan. Wajah Nurin masih dipandang. Seperti ada sesuatu yang mengganggu fikiran Nurin melihatkan riak di wajah anak saudaranya itu.

“Kalau tak ada apa-apalagi, saya minta ke bilik dulu,” ujar Nurin bingkas bangun dari duduk. Dia melangkah menuju ke pintu bilik.

“Nur!” Puan Fauziah memanggil.

Nurin mematikan langkah. Dia menoleh ke wajah Puan Fauziah.

“Jangan lupa dengan majlis amal hujung minggu ni,” beritahu Puan Fauziah.

Nurin sedikit tersentak. Hampir dia terlupa dengan majlis itu. Seminit kemudian, dia mengangguk tanda faham dan beredar dari situ.

Puan Fauziah hanya memandang. Matanya mengerling ke kalendar di sisi. Hampir 5 tahun pemergian abangnya, Encik Nazaruddin. Rasa rindu mencengkam diri. Peristiwa 5 tahun yanglepas masih segar dalam minda.

“Zie pegang pada janji,along. Bila tiba masanya nanti, Zie akan berterus-terang pada Nurin perkara yang sebenar,” kata Puan Fauziah sendirian. Nafas dihela ringan. Semoga hari itu tiba tidak lama lagi.

 

 

“WOW! Makin hebat aku tengok kau ni Nurin. Makin berkualiti rekaan kau,” puji Shida sambil melihat rekaan Nurin dari dalam telefon bimbit.

Nurin tidak membalas. Dia hanya tersenyum.

“Ini rekaan untuk client penting kita tu ke?” tanya Shida ingin tahu.

“Yup!” balas Nurin, sepatah.

“Mesti VVIP client kita tu,” duga Shida masih meneliti rekaan Nurin.

“Mak ngah kata business partner kita,” beritahu Nurin akan apa yang diketahuinya.

Shida mematikan tingkah laku. Dia memandang ke wajah Nurin.

“Orang penting dalam syarikat ni,” sambung Nurin lagi.

“Siapa?” tanya Shida ingin tahu.

“Entah!” Nurin menjungkitkan bahu. Sungguh, dia juga tidak tahu siapa client yang dimaksudkan oleh Puan Fauziah.

“Kau rasa anak pengarah syarikat ni ke?”

“Mana la aku tahu. Kau ingat aku busy body macam kau ke?”

“Amboi mulut! Mengata depan-depan nampak.”

Nurin ketawa. Sengaja mengusik Shida.

“Mesti grand majlis tu.”

Nurin tidak membalas.

“Eh, Nurin! Hujung mingguni kau ke majlis amal tu, kan?” Shida bertanya. Dia menghulurkan telefon bimbit kepada Nurin.

Nurin sekadar mengangguk sambil membalas huluran Shida.

“Bukan ke kau kata nak balik kampung?” Shida memandang ke wajah Nurin. Itulah yang diberitahu oleh Nurin seminggu yang lepas.

Nurin mengeluh ringan.Dia serba salah ketika ini.

So?” Shida masih bertanya.

“Aku serba salah nak pergi atau tidak. Kalau aku tak pergi, apa kata mak ngah aku nanti? Kalau aku pergi, aku akan rasa kekok. Aku tak kenal sesiapa pun,” beritahu Nurin akan kegusarannya.

“Kau nak aku temankan kau? Bab makan free ni, aku on saja.” Shida menawarkan diri. Dia tersengih kepada Nurin.

“Kalau boleh. Masalahnya tak boleh!” keluh Nurin perlahan.

Shida turut sama mengeluh. Nurin di dalam dilema.

“Lagi pun, dah lama aku tak balik kampung melawat kubur arwah ayah aku,” adu Nurin dalam nada lemah.

Shida mengangguk perlahan. Memang sudah lama Nurin tidak balik ke kampung.

“Aku ke ladies sekejap,” ujar Nurin bingkas bangun dari duduk. Dia segera beredar dari situ.

Shida hanya memandang. Dia melilaukan mata melihat suasana di dalam restoran itu. Agak lama dia tidak berjumpa dengan Asrel. Ada baiknya dia cuba menelefon pemuda itu. Sekadar berbual-bual bertanya khabar antara satu sama lain.

 

 

NURIN menyandarkan tubuh ke kerusi. Laptop di hadapan dibuka. Dia menekan tetikus mencari maklumat tentang Farid Aiman.Satu persatu maklumat yang diperolehi dibaca dan difahami. Walaupun dia tidak yakin sama ada Farid Aiman bin Amir Hakim yang dicarinya selama ini, dia tetapakan mencari siapa Farid Aiman yang sebenarnya.

“Betul ke dia?” soal Nurin sehabis sahaja membaca maklumat.

Nafas ditarik lalu dilepaskan ringan. Otaknya sedang ligat berfikir. Mencari jawapan kepada pertanyaannya tadi.

“Mungkin dia. Wajah dia masih sama dan tak berubah,” jawab Nurin masih berfikir.

Dia bangun dari duduk lalu keluar dari bilik. Matanya menangkap kelibat Puan Noraishah di ruang tamu. Lantas, dia melangkah menghampiri Puan Noraishah di situ.

“Mak!” panggil Nurin setibanya di ruang tamu.

Puan Noraishah sedikit tersentak.

“Mak nak ke mana?” tanya Nurin tatkala terlihat beg pakaian Puan Noraishah di sisi.

Puan Noraishah tidak membalas. Dia memandang beg pakaian yang berada di sisi. Dia perlu pulang ke kampung memandangkan tarikh pemergian arwah suaminya semakin hampir. Dia juga perlu mengadakan majlis tahlil buat arwah Encik Nazaruddin.

“Mak?” Nurin memanggil. Dia berdiri di hadapan Puan Noraishah.

“Aku nak balik kampung,” beritahu Puan Noraishah bernada serius.

“Balik kampung?” ulang Nurin sambil berkerut dahi.

“Kau tak faham ke? Aku nak balik kampung.” Puan Noraishah mendengus kasar.

Nurin sekadar tersenyum. Panggilan yang digunakan oleh Puan Noraishah tidak mengejutkan. Sejak pemergian Encik Nazaruddin, sejak itu Puan Noraishah membahasakan ‘aku’ dan ‘kau’ ketika bercakap.

“Aku dah panggil teksi. Aku nak balik jumpa suami aku,” sambung Puan Noraishah lagi. Dia menggerakkan kerusi roda menuju ke pintu utama.

Nurin hanya memandang. Dia tidak akan menghalang jika itu keputusan Puan Noraishah. Tidak mahu mengeruhkan lagi hubungan yang sudah sedia keruh.

Puan Noraishah masih menggerakkan kerusi roda. Dia segera keluar dari ruangan itu. Tidak dihiraukan pandangan Nurin.

“Mak!” Nurin memanggil tatkala Puan Noraishah sudah berada di luar rumah.

Puan Norishah mematikan tingkah laku. Dia menoleh ke wajah Nurin. Menanti butir bicara yang seterusnya.

“Nur hantarkan,” pelawa Nurin selepas itu.

Puan Noraishah tidak membalas. Dia berkira-kira untuk menerima pelawaan Nurin.

“Nur hantarkan mak ke kampung,” suara Nurin lagi. Dia menanti jawapan daripada Puan Noraishah.

“Aku tak nak! Nanti malang kau tu terkena pada aku pula,” balas Puan Noraishah sebaik sahaja kelibat teksi tiba.

Nurin tersentak. Malang? Sebutnya dalam hati.

 


Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.