Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
124,181
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13


“JEMPUT masuk Farid, Dahlia,” pelawa Puan Fauziah berserta senyuman di bibir. Kedatangan Farid dan Dahlia sudah diberitahu terlebih dahulu.

Farid dan Dahlia melangkah masuk ke dalam bilik pejabat. Mereka melabuhkan duduk di atas sofa.

“Aunty sihat?” Farid berbasa-basi.

“Sihat alhamudlillah,” balas Puan Fauziah sambil duduk.

“Maaf kami terlewat. Ada hal tadi sebelum nak ke sini.” Dahlia bersuara. Ada nada serba salah di situ.

“Eh! Tak apa Dahlia. Aunty faham,” kata Puan Fauziah. Menghalau rasa serba salah Dahlia atas kelewatan itu.

Dahlia sekadar senyum.

“So, macam mana? Dah setuju dengan pemilihan yang lepas?” Puan Fauziah memulakan perbincangan. Wajah Farid dan Dahlia dipandang silih berganti.

“Sudah, aunty. Seperti yang Farid beritahu hari tu,” suara Farid berserta anggukan di kepala.

“Dahlia macam mana? Setuju?” Puan Fauziah masih bertanya. Dia perlu memastikan rekaan mana yang telah dipilih oleh pasangan itu.

“Setuju aunty.” Dahlia menganggukkan kepala.

“Kalau Farid dan Dahlia dah setuju, kita pilih material apa yang nak digunakan. Majlis tu tinggal lagi sebulan, kan?” tanya Puan Fauziah inginkan kepastian.

“Haah, aunty. Lagi sebulan.” Farid mengiakan.

Puan Fauziah menganggukkan kepala. Tanpa berlengah, dia menghulurkan sebuah katalog kepada Farid dan Dahlia. 

“Tengoklah dulu. Nanti bila dah decide material mana yang nak digunakan, beritahu pada aunty,” suruh Puan Fauziah bernada lembut.

Farid dan Dahlia membalas huluran. Satu persatu helaian katalog itu diselak. Mencari material yang sesuai untuk digunakan pada pakaian mereka berdua.

“Aunty panggil Nurin sekejap. Pereka pakaian Farid dan Dahlia,” ujar Puan Fauziah lalu bangun dari duduk.

Farid yang sedang menyelak katalog mematikan tingkah laku. Nurin! Sebutnya dalam hati. Jantungnya berdegup dengan pantas tatkala nama Nurin meniti di benak hati.

“Maaf! Aunty keluar sekejap,” pamit Puan Fauziah. Dia beredar dari bilik itu. Sekadar memberi ruang persendirian buat Farid dan Dahlia untuk melihat katalog.

Dahlia masih menumpukan sepenuh perhatian kepada katalog di tangan. Farid tidak keruan. Peristiwa malam tadi meniti dalam minda. 



NURIN menghela nafas ringan. Dia memutarkan pen di tangan. Entah kenapa sejak malam tadi wajah pemuda itu mengganggu ketenteramannya. Jika dia tidak silap, pemuda itu adalah Farid Aiman. 

Nurin menyandarkan tubuh ke kerusi. Peristiwa malam tadi meniti dalam minda. Bersungguh pemuda itu cuba menyelamatkannya. Rasa kelakar pun ada juga. Bukannya dia ingin membunuh diri. Dia sekadar mengambil angin malam serta melepaskan tekanan yang sedang menghimpit diri.

Malah, dia ke situ selepas terasa hati dengan tingkah laku Puan Noraishah. Melepaskan rasa sedih yang menghuni dalam hati. Tetapi, tindakannya itu disalah tafsir oleh pemuda itu. Dia ketawa kecil mengenangkan peristiwa malam tadi.

“Nurin!” panggil Puan Fauziah tiba-tiba dari arah muka pintu bilik.

Nurin tersentak. Lamunan pendeknya termati begitu sahaja. Dia menghalakan mata ke arah pintu bilik. Wajah Puan Fauziah menyapa mata.

“Sibuk ke?” Puan Fauziah bertanya. 

“Tak sangat, puan. Kenapa?” Nurin membalas. Dia bangun dari duduk.

“Mari, saya kenalkan dengan Farid dan Dahlia.”

“Farid dan Dahlia?”

“Rekaan Nur…”

“Oh! Nur lupa. Hari ni mereka datang nak pilih material, kan?”

“Jom!”

Nurin menganggukkan kepala. Dia mengekori langkah Puan Fauziah menuju ke bilik pejabatnya. Rasa tidak sabar untuk mengenali pasangan itu.



“MARI, aunty kenalkan dengan pereka yang mereka pakaian Farid dan Dahlia,” suara Puan Fauziah setibanya di dalam bilik.

Farid dan Dahlia tersentak. Mereka berdua bingkas bangun dari duduk lalu menoleh ke belakang.

“Farid, Dahlia, kenalkan ni Nurin Natasya. Orang yang bertanggungjawab dalam mereka dan menghasilkan pakaian kamu berdua nanti,” perkenal Puan Fauziah berserta senyuman di bibir.

Farid yang melihat beriak tenang. Nurin Natasya! Sebutnya dalam hati. Dia tersenyum. Akhirnya dia dapat berjumpa dengan Nurin Natasya secara rasmi.

Nurin terkejut sebaik sahaja wajah Farid menyapa mata. Tidak menyangka rekaannya untuk Farid Aiman.

“Dahlia!” ujar Dahlia seraya menghulurkan tangan untuk berjabat.

Nurin tidak membalas. Wajah Farid masih lagi dipandang.

“Nurin!” Puan Fauziah menegur.

Nurin tersentak. Dia membalas huluran Dahlia. “Nurin Natasya!”

“Cantik rekaan Cik Nurin. Saya suka,” puji Dahlia, ikhlas.

Nurin sekadar tersenyum. Pandangan Farid membuatkan dia berasa tidak selesa.

“Awak!” Dahlia menegur. Farid sekadar membisu sahaja.

Farid mematikan pandangan. Dia menghela nafas ringan sebelum bersuara.

“Farid Aiman!” ujarnya kemudian.

Nurin sekadar menundukkan kepala. Wajah Farid dan Dahlia dipandang silih berganti. Pasangan yang secocok. Puji Nurin dalam hati.

“So, dah pilih material?” tanya Puan Fauziah mematikan kebisuan.

“Belum lagi, aunty. Kami nak minta pendapat aunty dan Nurin material mana yang sesuai untuk pakaian kami tu,” beritahu Dahlia, ramah.

“Kalau macam tu, kita duduk dan bincang sama,” cadang Puan Fauziah pula.

“Bagus juga tu,” sokong Dahlia dalam nada ceria.

Puan Fauziah tersenyum. Tanpa menunggu, dia mempelawa mereka duduk semula. Nurin turut sama melabuhkan duduk. Berdebar-debar ketika ini. Pandangan Farid sukar untuk dimengertikan. 



“ALHAMDULILLAH, semuanya berjalan dengan lancar. Nurin ada kurang 2 minggu untuk siapkan permintaan Farid dan Dahlia,” suara Puan Fauziah sebaik sahaja Farid dan Dahlia beredar. Nafas lega dilepaskan.

Nurin tidak membalas. Dia melabuhkan duduk di hadapan Puan Fauziah.

“Pastikan mereka berpuas hati dengan hasil kerja kita, Nurin,” kata Puan Fauziah, berharap. Dia yakin Nurin tidak akan mengecewakannya.

Nurin hanya tersenyum. Fikirannya masih memikirkan Farid Aiman. 

“Nur! Dengar tak?” tegur Puan Fauziah tatkala melihat kebisuan Nurin.

“Puan ada profil mereka?” tanya Dahlia menolak pertanyaan Puan Fauziah.

Puan Fauziah berkerut dahi.

“Nur nak kaji profil mereka berdua. Senang Nur nak buat kerja,” beritahu Nurin. Pasti Puan Fauziah memikirkan yang bukan-bukan melihatkan kerutan di dahi wanita itu.

“Sekurang-kurangnya Nur boleh tahu apa yang mereka tak suka dan suka. Kalau Nur buat dan mereka tak suka, macam mana? Jadi masalah bukan?” Nurin mengeluarkan hujah. Berharap Puan Fauziah menerima hujahnya itu.

“Baiklah! Sekejap saya ambil profil mereka berdua,” balas Puan Fauziah sekian lama membisu. Ada benarnya juga dengan kata-kata Nurin. Sebelum ini memang mereka akan mengambil profil peribadi client syarikat. Sekadar untuk simpanan dan rekod syarikat.

“Terima kasih, puan,” ucap Nurin berserta senyuman di bibir. Dia menarik nafas lega. Mungkin dari situ dia akan mendapat beberapa maklumat tentang Farid Aiman. 



“MEMANG kau, Afiq Aiman,” kata Nurin sehabis sahaja membaca profil Farid Aiman.

“Kau sengaja buat-buat tak kenal dengan aku. Kau ingat, bila kau dah tukar nama aku tak boleh kenal siapa kau yang sebenarnya. Kau silap Afiq. Kau silap,” sambung Nurin lagi. Senyuman sinis meniti di bibir.

Nurin mengeluarkan gambar dari dalam laci lalu menatap gambar tersebut.

“Aku akan buat kau kenal siapa aku yang sebenarnya,” azam Nurin seraya menggenggam erat tangan. Wajah Farid Aiman meniti di tubir mata.

Deringan telefon mematikan lamunan pendek Nurin. Dia mencapai telefon bimbit lalu memandang skrin. 

“Private number?” sebut Nurin berserta kerutan di dahi. Tanpa berlengah, dia menjawab panggilan tersebut. Menanti sapaan dari hujung talian.

“Nurin Natasya,” sapa Farid dalam nada lembut.

“Siapa?” Nurin bertanya. Dia masih berkerut dahi.

“Farid!” balas Farid, senafas.

Tersentak Nurin mendengarnya. 

“Boleh kita jumpa?” 

“Jumpa?” 

“Kafe Melati. 1 petang.”

“1 peta…” 

Belum sempat Nurin membalas, talian sudah pun dimatikan. Dia terkejut dengan tindakan Farid. 

“Jumpa? Dia nak jumpa aku buat apa?” soal Nurin selepas itu. 

“Nurin!” Shida menegur. Dia menapak masuk ke dalam bilik.

Nurin terkejut. Dia menghalakan mata ke arah Shida yang sudah menapak masuk ke dalam bilik. Pantas, dia menyimpan gambar ke dalam laci semula.

Shida hanya memandang. Berkerut dahinya melihat tingkah laku Nurin sebentar tadi.

“Ada apa?” Nurin bertanya sebaik sahaja gambar disimpan. 

“Tak ada apa. Aku cuma nak ajak kau keluar makan,” beritahu Shida. Dia memerhatikan tingkah laku Nurin.

Nurin memandang jam di laptop. Agak lama dia mengelamun kisah lama.

“Meeting kau tadi macam mana? Kau dah jumpa dengan anak puan syarikat kita ni?” tanya Shida sekadar ingin tahu.

“Anak puan syarikat kita? Maksud kau?” Nurin berkerut dahi. Kurang faham.

“Farid Aiman!”

“Kenapa dengan dia?”

“Dia kan anak arwah Puan Farisya.”

“Arwah Puan Farisya?”

“Arwah Puan Farisya tu mak Encik Farid. Puan Fauziah rakan kongsi dan kawan baik arwah,” jelas Shida berserta gelengan di kepala.

Nurin terkejut. Sungguh, dia tidak tahu tentang semua itu.

“Kau ni macam katak di bawah tempurung. Semuanya kau tak tahu.”

“Aku bukan macam kau, penyebok dan kaki gosip.” Selamba Nurin menyindir.

“Eh! Penyebok apanya? Kita kena la ambil tahu maklumat syarikat yang kita kerja ni.” Shida mempertahankan diri. Dia menjeling kepada Nurin.

Nurin tersengih. Ada benarnya kata-kata Shida. Dia seharusnya mengetahui latar belakang syarikat. Mungkin disebabkan kekangan masa maka dia tidak ada masa untuk menyiasat tentang syarikat.

“Aku tahu pun daripada Kak Maziah. Dia kan pekerja lama di sini,” suara Shida lagi.

Nurin mengangguk faham. Dia memikirkan sesuatu.

“Kau nak keluar makan tak?” Shida mengulangi pertanyaannya tadi.

Nurin berfikir seketika. Pelawaan Farid meniti dalam minda. 

“Nurin!” panggil Shida.

“Aku ada hal. Kau ajak orang lain,” balas Nurin lalu bangun dari duduk. Dia mencapai beg tangan dan beredar dari situ.

“Nur… Nurin…” panggil Shida. 

Namun, panggilannya tidak bersambut. Kelibat Nurin hilang dari pandangan mata. Dia bangun dari duduk lalu melepaskan dengusan ringan. Matanya terpandang fail di atas meja. Tulisan di luar fail itu dibaca.

“Farid Aiman?” sebut Shida, spontan.



Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.