Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
124,177
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Prolog

“KAU penipu!!!” sergah Afiq dengan tiba-tiba. Dia menghampiri Nurin Natasya lalu merentap lengan gadis itu. Marahnya meruap selepas mengetahui tentang Nurin.

Nurin tersentak. Dia mengaduh sakit akibat cengkaman Afiq. Wajah Afiq dipandang tidak berkelip. Riak bengis terlukis di wajah itu.

“Aku ingat kau tak sama dengan perempuan-perempuan yang aku jumpa. Tapi, kau tetap sama dan lagi teruk dari yang aku sangkakan,” hambur Afiq pula.

Berkerut dahi Nurin mendengarnya.

“Kau perbodohkan aku. Permainkan aku dan kau memang mata duitan,” sambung Afiq lagi. Tajam matanya ke wajah Nurin.

“Abang, kenapa ni?” tanya Nurin terpinga-pinga.

“Aku bukan abang kau!” balas Afiq sedikit meninggi.

Bertambah berkerut di dahi Nurin. Sungguh, dia tidak tahu apa yang terjadi kepada Afiq ketika ini. Beberapa kenalan Afiq sedang memandang ke arah mereka berdua.

“Nurin Natasha binti Nazaruddin. Aku ceraikan kau dengan talak satu,” lafaz Afiq, senafas bersaksikan mereka yang berada di situ.

Terkejut Nurin mendengarnya. Dia bangun dari duduk. Tidak berkelip matanya memandang wajah Afiq di hadapan.

“Afiq!” Tuan Haji Zuhuri menegur sekali gus mengejutkan Afiq dan Nurin. Masing-masing menghalakan mata ke arah Tuan Haji Zuhuri.

“Apa yang kamu sebut tadi Afiq?” tanya Tuan Haji Zuhuri bernada keras.

“Afiq ceraikan Nurin dengan talak satu.” Selamba Afiq membalas. Dia menyandarkan tubuh ke almari pakaian lalu berpeluk tubuh di situ.

Nurin hanya membisu. Matanya berkaca-kaca. Tidak menyangka dia diceraikan dengan talak satu. Baru siang tadi mereka bernikah dan malam ini dia bertukar status.

“Apa sebab Afiq ceraikan Nurin?” Tuan Haji Zuhuri tidak berpuas hati. Dia menghampiri Afiq lalu memandang cucunya itu dengan pandangan yang tajam.

“Datuk tanyalah Nurin sendiri. Apa yang dia dah buat selama ini?” balas Afiq berserta dengusan kasar.

Tuan Haji Zuhuri memandang ke wajah Nurin.

“Perempuan yang datuk bangga-banggakan sangat tu rupanya perempuan kotor,” ujar Afiq bernada serius.

Nurin yang mendengar menoleh ke wajah Afiq. Berpasang-pasang mata turut sama memandang ke arahnya.

“Apa yang kamu cakapkan ni, Afiq?” Keras suara Tuan Haji Zuhuri bertanya. Dia memegang dada sendiri. Terasa sakit dengan tiba-tiba.

“Apa maksud abang?” Nurin memberanikan diri bertanya. Wajah Afiq dipandang meminta kepastian.

“Huh! Pura-pura tak tahu. Kau sendiri yang kotor, kau tanya aku pula?” Sinis Afiq membalas. Dia mencebik meluat memandang wajah polos Nurin.

“Nurin tak faham, abang. Apa maksud abang? Kenapa abang kata Nurin perempuan kotor?” Nurin masih lagi bertanya. Dia ingin tahu perkara yang sebenarnya.

Tuan Haji Zuhuri masih lagi memegang dada. Dia turut ingin mengetahui perkara yang sebenar.

Afiq keluar dari bilik. Dia perlu membuktikan akan kata-katanya sebentar tadi. Dia tidak mahu dianggap sebagai menabur fitnah.

“Tuan haji!” Nurin menghampiri Tuan Haji Zuhuri yang sudah pun duduk di birai katil. Dilihatnya Tuan Haji Zuhuri sedang memegang dada.

“Nurin!” sahut Tuan Haji Zuhuri.

“Ayah, kenapa ni?” Encik Amir Hakim menerpa ke arah Tuan Haji Zuhuri. Dari tadi dia terdengar bunyi bising dari arah luar rumah.

“Ayah tak ada apa-apa,” balas Tuan Haji Zuhuri.

“Ayah sakit ke? Pucat saja muka tu Amir tengok.” Encik Amir masih bertanya. Matanya tepat ke wajah pucat ayahnya itu.

“Ini buktinya!” suara Afiq dengan tiba-tiba. Dia menghulurkan sekeping gambar kepada Nurin.

Mereka yang berada di situ tersentak. Masing-masing menghalakan mata ke arah Afiq.

Nurin membalas huluran. Dia menatap gambar di tangan. Buntang matanya melihat gambar tersebut.

Tuan Haji Zuhuri yang melihat reaksi Nurin segera menarik gambar dari tangan gadis itu. Dia turut ingin mengetahui isi gambar tersebut.

Astaghfirullahalazim.” Tuan Haji Zuhuri mengucap panjang.

“Itu sebab Afiq ceraikan perempuan ni,” suara Afiq dalam nada serius.

“Mana kamu dapat gambar ni, Afiq? Kamu jangan nak main tuduh saja. Kalau gambar ni tak benar, jatuh fitnah jadinya. Kamu tahu tak menfitnah tu lebih besar dosanya dari membunuh,” suara Tuan Haji Zuhuri dalam nada bergetar. Semakin sakit di dada sebaik sahaja melihat gambar tersebut.

Mereka yang berada di situ hanya mendengar. Masing-masing berbisik sesama sendiri.

“Cerai?” Encik Amir menyampuk. Dia memandang anaknya meminta kepastian.

Afiq sekadar mengangguk. Dia berlagak tenang.

Nurin tidak membalas. Dia masih terkejut dengan apa yang terjadi. Nasibnya diserahkan kepada Allah.

“Allah!” sebut Tuan Haji Zuhuri.

“Ayah!” panggil Encik Amir bernada risau.

“Tuan haji!” panggil Nurin pula.

“Datuk tak percaya dengan apa yang kamu cakapkan ni, Afiq. Datuk tak percaya dengan gambar ni. Kamu sengaja nak fitnah Nurin.” Tegas Tuan Haji Zuhuri berkata. Dia menafikan tuduhan cucunya, Afiq.

Nurin yang mendengar menghalakan mata ke wajah Tuan Haji Zuhuri. Rasa terharu dengan kepercayaan lelaki tua itu.

“Terpulang pada datuk nak percaya atau tidak. Yang pasti perempuan ni kotor,” balas Afiq tidak mahu mengalah. Menegakkan kebenaran.

“Afiq!” tegur Tuan Haji Zuhuri, meninggi. Dia cuba bangun dari duduk. Seminit kemudian dia rebah di atas katil.

“Ayah!” panggil Encik Amir.

“Datuk!” Afiq turut sama memanggil.

“Tuan Haji!” Nurin terkejut.

Encik Amir segera meminta pertolongan. Rasa risau menujah ke dalam hati. 

“Kau jauhkan diri kau dari datuk aku. Perempuan kotor!” tegah Afiq dalam nada marah tatkala Nurin cuba menghampiri datuknya. Tajam matanya ke wajah Nurin.

“Abang, Nurin...” Nurin termati kata-kata.

“Kau pergi dari sini!” marah Afiq lalu menolak kasar tubuh Nurin sehingga membuatkan gadis itu jatuh.

Tanpa menunggu, dia segera beredar dari bilik itu. Dengusan kasar terlepas dari bibir. Rasa marah terhadap Nurin meruap-ruap.

“Dan aku bagi amaran pada kau, jangan sesekali kau muncul lagi dalam keluarga aku. Ingat!” amaran Afiq sebelum beredar dari bilik itu.

Nurin hanya memandang. Dia cuba bangun dari jatuhan. Terasa sakit di seluruh tubuhnya akibat tolakan kasar Afiq.

“Allah!” sebut Nurin sambil menahan kesakitan.

“Nurin!” panggil Shida sebaik sahaja masuk ke dalam bilik.

“Shida!” balas Nurin bernada sebak.

“Apa yang terjadi ni, Nurin?”

“Shida, bawa aku ke hospital. Tuan haji sakit.”

“Hospital? Kenapa dengan tuan haji?”

Please, Shida! Bawa aku ke hospital. Aku nak tengok tuan haji,” rayu Nurin pula. Dia bangun dari jatuhan sambil dibantu oleh Shida.

“Tapi, Nur...” Belum sempat Shida menyudahkan kata-kata, Nurin sudah pun rebah di hadapannya. Terkejut melihat Nurin yang rebah dengan tiba-tiba.



Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.