Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
124,183
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9


NURIN mundar-mandir di dalam bilik. Serba tidak kena ketika ini. Kata-kata Shida mengganggu fikiran. Mustahil lelaki yang dilihat Shida di pejabat, lelaki yang telah memusnahkan hidupnya. Tidak mungkin Puan Fauziah tidak mengenali lelaki itu sedangkan semua kisahnya tidak lepas dari pengetahuan ibu saudaranya itu.

Nurin menghentikan langkah. Hari ini, ulang tahun pemergian arwah Encik Nazaruddin. Rasa rindu menyapa hati. Masuk tahun ke 6 dia tidak melawat pusara arwah. Bukannya dia tidak mahu, dia belum bersedia untuk pulang ke kampung. Memori lama masih terpahat dalam fikiran. Malah, kebencian Puan Noraishah juga menjadi salah satu sebab kenapa dia tidak pulang ke kampung.

Nurin menghela nafas ringan. Dia mengerling jam di pergelangan tangan. Masih berbaki 2 jam lagi sebelum dia bersiap untuk ke majlis amal Zuhuri Holdings. 

“Mak!” Nurin memanggil sebaik sahaja keluar dari bilik. Dilihatnya Puan Noraishah sedang menggerakkan kerusi roda menuju ke dapur.

Puan Noraishah tidak mengendahkan panggilan Nurin. Dia menggerakkan kerusi roda menuju ke dapur. Perut yang terasa lapar minta diisi.

“Mak nak makan ke?” Nurin bertanya. Dia melangkah menghampiri Puan Noraishah di dapur. Tingkah laku maknya yang sedang membuka tudung saji diperhati penuh minat.

Puan Noraishah masih tidak mengendahkan kehadiran Nurin. Dia mencapai pinggan yang sudah tersedia di atas meja makan.

Nurin melepaskan keluhan berat. Dia memerhati tingkah laku Puan Noraishah yang sedang mencedok nasi ke dalam pinggan. 

“Nur tolong.” Nurin mempelawakan diri. Dia membantu Puan Noraishah mencedok nasi ke dalam pinggan.

Puan Noraishah menepis. Dia tidak mahu menerima pertolongan Nurin.

Nurin sedikit tersentak dengan tingkah laku Puan Noraishah. 

“Nur tolong ambilkan air untuk mak,” pelawa Nurin, ramah. Dia segera mengambil segelas air buat Puan Noraishah lalu diletakkan di sisi.

“Kau boleh pergi tak?” suara Puan Noraishah, tiba-tiba.

Nurin berkerut dahi. 

“Tak selera aku nak makan kalau kau ada kat sini,” sambung Puan Noraishah. Dia menghentikan suapan nasi ke dalam mulut.

Tersentap Nurin mendengarnya. Wajah Puan Noraishah dipandang lama. Riak tidak berperasaan terlukis di wajah maknya itu.

“Kau faham bahasa ke tidak? Kau pergi dari sini boleh tak?” suruh Puan Noraishah tidak berperasaan. Dia mendengus kasar.

Nurin tidak membalas. Tanpa menunggu, dia beredar dari ruangan itu. Diszentuh dadanya sendiri. Rasa sebak menghuni dalam hati.

“Allah! Tabahkan hati aku untuk hadapinya,” pinta Nurin berserta nafas berat. 

Hanya kepada tuhan dia memohon kekuatan untuk berhadapan dengan kebencian Puan Noraishah.


“MACAM mana, Liza? Okey?” Farid bertanya. Dia menghampiri Liza di kaunter pendaftaran. 

“Alhamdulillah, Encik Farid. Semuanya berjalan dengan lancar,” balas Liza berserta senyuman di bibir.

Farid turut sama tersenyum. Melilau matanya melihat suasana di dalam dewan. Majlis amal yang dianjurkan oleh syarikatnya mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Encik Amir…” Liza mematikan ayat. Sejak dari tadi dia tidak nampak kelibat Encik Amir, bos besarnya.

“Ayah saya on the way ke sini Liza,” jawab Farid, tenang.

Liza mengangguk faham. Dia menghulurkan sekuntum bunga mawar kepada jemputan yang hadir.

“Err… Nurin Natasya?” Farid teragak-agak untuk bertanya. Khuatir, Liza memikirkan yang bukan-bukan atas pertanyaannya itu.

“Nurin Natasya belum hadir lagi, Encik Farid,” balas Liza, ramah. 

Entah kenapa semenjak dua menjak ini, bosnya sering bertanyakan tentang Nurin Natasya. Siapa pemilik nama itu? Dia juga berasa teruja untuk mengenali empunya nama tersebut.

“Baiklah!” Farid mengangguk perlahan. Rasa berdebar ketika ini. 

“Encik Farid!” panggil Liza selepas itu.

Farid sedikit tersentak. Dia memandang ke wajah Liza. 

“Majlis dah nak mula,” beritahu Liza pula.

“Haa… Baiklah!” Farid mengangguk kecil. 

Tanpa menunggu, dia melangkah pergi dari tempat itu untuk masuk ke dalam dewan. Tetamu-tetamu yang hadir sedang berbual sesama sendiri. 

“Liza!” Farid memanggil. Dia mematikan langkah lalu menoleh ke wajah Liza.

Liza membalas pandangan. Dia menanti butir arahan daripada Farid.

“Kalau Nurin Natasya datang, awak inform saya,” pesan Farid dan beredar dari situ.

Liza hanya mengangguk. Matanya memandang pemergian Farid sehingga hilang di sebalik jemputan yang hadir.

“Pelik! Kenapa Encik Farid berminat sangat dengan Nurin Natasya tu?” tanya Liza berserta kerutan di dahi. Wajah-wajah tetamu yang hadir dipandang silih berganti.

“Entah-entah Encik Farid berminat dengan Nurin tu tak?” tebak Liza pula. Itulah firasat hatinya melihatkan tingkah laku Farid.

“Hish! Encik Farid kan dah nak bertunang. Tak mungkin Encik Farid suka kat Nurin,” tukas Liza berserta gelengan di kepala.

“Assalamualaikum,” sapa seseorang mematikan lamunan pendek Liza. Dia menghalakan mata ke arah yang memberi salam.

“Waalaikumussalam,” balasnya kemudian. Senyuman meniti di bibir.

Nurin turut sama tersenyum. Pandangan Liza dibalas.

“Nak daftar ke?” tanya Liza pula. 

Nurin hanya mengangguk. Dia masih lagi tersenyum.

“Nama?” 

“Nurin Natasya. Wakil dari Mahligai Impian.”

Liza mencari nama yang disebut. Setelah berjumpa, dia menyerahkan sekuntum bunga mawar kepada Nurin.

“Terima kasih,” ucap Nurin lalu beredar dari situ.

Liza hanya memandang. Nafas ditarik lalu dilepaskan ringan. Jam di pergelangan tangan dipandang. Sudah tiba masanya untuk majlis bermula. Dia mengemas barang sebaik sahaja memberitahu rakan sekerja.

“Nurin Natasya?” sebut Liza tatkala mengingatinya.


NURIN masuk ke dalam dewan. Suasana agak bingit dengan suara orang berbual. Masing-masing sedang berbual antara satu sama lain. Dia melepaskan nafas berat. Rasa kekok berada di majlis itu.

Nurin menatap kertas kecil di tangan. Nombor yang tertera di atas kertas dicari. Satu persatu nombor yang tertera di meja dipandang. Mencari meja miliknya.

“Itu pun,” suara Nurin lalu melangkah menuju ke meja. 

Nurin melabuhkan duduk setibanya di meja yang telah ditetapkan. Dia melilaukan mata melihat tetamu-tetamu yang hadir. Mereka kelihatan seperti orang ada-ada. Rasa keldil berada di majlis itu.

“Terima kasih semua kerana sudi hadir ke majlis amal syarikat kami,” suara Farid, tiba-tiba. Meminta perhatian daripada tetamu-tetamu yang hadir.

Nurin yang mendengar segera memandang ke arah pentas. Kelihatan seorang lelaki sedang berucap di atas pentas tersebut. Dia cuba untuk mengamati wajah lelaki itu.

“Sebelum majlis dimulakan, dengan berbesar hati saya menjemput Encik Amir Hakim selaku Pengarah Zuhuri Holdings untuk memberi ucapan. Dipersilakan,” sambung Farid berserta tepukan di tangan. Dia mengucap syukur kerana ayahnya hadir tepat pada masanya.

Encik Amir melangkah naik ke atas pentas. Dia memandang tetamu-tetamu yang hadir sebelum memulakan ucapan.

Nurin masih lagi memandang. Wajah lelaki yang sedang memberi ucapan dipandang tidak berkelip. 

“Amir Hakim?” sebut Nurin selepas itu. 

Seperti pernah mendengar nama itu sebelum ini. Amir Hakim! Sebutnya dalam hati. Dia masih cuba untuk mengingati nama itu. Malah, dia cuba untuk melihat wajah Encik Amir Hakim dengan jelas.

“Uncle Amir?” 

Nurin bangun dari duduk. Wajah Encik Amir tidak lepas dari pandangan mata. Adakah Encik Amir orang yang sama dikenalinya di kampung 5 tahun yang lalu?

Seminit kemudian, dia menghalakan mata ke arah pemuda yang berada di sisi Encik Amir. Wajah pemuda itu diamati penuh minat.

“Afiq Aiman?” sebutnya pula.


ENCIK FARID!” panggil Liza. Dia melambai tangan ke arah Farid.

Farid memandang ke arah Liza. Gadis itu sedang melambai ke arahnya. Tanpa berlengah, dia turun dari atas pentas lalu menghampiri Liza.

“Kenapa Liza? Ada masalah?” tanya Farid sedikit risau.

“Nurin! Nurin Natasya!” jawab Liza, perlahan.

“Kenapa dengan Nurin Natasya?” Farid bertanya. Seperti orang bodoh.

“Kan Encik Farid pesan tadi, kalau Nurin Natasya datang beritahu pada Encik Farid.” Liza mengingatkan. Dia menggelengkan kepala.

“Ya Allah! Saya terlupa, Liza. So?” Farid memukul perlahan dahi sendiri. 

“Cik Nurin ada datang, Encik Farid,” beritahu Liza berserta ketawa kecil.

“Datang? Mana dia?” tanya Farid dalam nada teruja.

“Cik Nurin di meja 9, Encik Farid,” unjuk Liza ke arah meja di mana Nurin duduk.

“Okey! Thanks Liza!” ucap Farid. Dia segera melangkah ke meja yang dimaksudkan. Rasa berdebar-debar ketika ini.

Liza mengekori dari belakang. Wajah Farid diperhatikan dalam diam. Riak teruja terlukis di wajah itu. Entah kenapa Farid beria sangat untuk mengenali Nurin Natasya.

“Siapa Nurin Natasya pada Encik Farid?” soal Liza sendirian. Dia masih mengekori Farid dari belakang.

Farid melilaukan mata mencari. Bagaimana untuk dia mengenali Nurin Natasya sedangkan dia belum pernah berjumpa dengan gadis itu. Tetapi, hatinya memaksa untuk mencari serta mengenali siapa Nurin Natasya.

“Meja ni, Liza?” tanya Farid setibanya di meja nombor 9.

Liza sekadar mengangguk. Dia turut sama melilaukan mata mencari Nurin Natasya.

“Awak pasti dia hadir?” Farid bertanya buat kali yang kedua.

“Saya pasti, Encik Farid. Saya sendiri yang register nama dia tadi,” jelas Liza. 

Farid menghampiri seseorang di meja itu. Dia bertanyakan sesuatu daripada orang tersebut.

Liza hanya memandang. Dia turut sama mencari. Dia masih ingat dengan raut wajah Nurin Natasya.

“Dia tak ada,” ujar Farid selepas beberapa minit bertanya.

“Tak ada? Maksud Encik Farid?” Liza berkerut dahi.

“Saya tak sure sama ada dia ke ladies atau balik.”

Liza sedikit terkejut. 

“Tak apa lah. Tak ada rezeki saya untuk berjumpa dengan dia,” keluh Farid, perlahan.

“Maaf, Encik Farid,” ucap Liza, kesal.

“Eh! Tak apa, Liza. Saya dah susahkan awak,” tukas Farid berserta senyuman di bibir.

Liza turut sama tersenyum.

“Saya ke sana. Thanks Liza!” ucap Farid untuk kesekian kali. Rasa hampa menghuni dalam hati. Hampa kerana tidak berjumpa dengan Nurin Natasya.

Liza turut sama berasa hampa. Dia memandang langkah Farid sehingga hilang dari pandangan mata.

“Saya akan tolong encik,” pujuk Liza kepada dirinya sendiri.


NURIN segera masuk ke dalam bilik air. Rasa terkejut masih lagi bersisa. Benarkah Encik Amir Hakim dan Afiq Aiman yang dilihatnya sebentar tadi? 

“Ya Allah! Betulkah dengan apa yang aku lihat sebentar tadi?” tanya Nurin sendirian. Dia membasuh muka. Sekadar untuk menyedarkan dirinya sendiri.

“Mustahil!” tukas Nurin sambil menggelengkan kepala. Dia memandang wajah sendiri di cermin. Cuba untuk meredakan perasaan sendiri. 

“Kalau betul mereka, bagaimana?” soal Nurin pula masih memandang wajahnya di cermin.

Nurin segera keluar dari dalam bilik air selepas meredakan hati dan perasaan. Dia perlu memikirkan tindakan yang seterusnya. Dia perlu membuktikan bahawa Encik Amir dan Afiq Aiman yang dilihatnya di atas pentas tadi.

“Cik!” 

Teguran seseorang dari arah belakang mematikan langkah Nurin. Pantas, dia menoleh ke belakang untuk melihat. Alangkah terkejut melihat wajah di hadapannya itu.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.