Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
124,186
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 19


“INI maklumat yang kau nak hari tu,” ujar Fauzan sambil menghulurkan sebuah sampul surat.

Nurin membalas huluran. Dia mengeluarkan isi dari dalam sampul surat tersebut lalu membacanya. 

“Macam yang kau minta aku siasat,” beritahu Fauzan. Dia memandang tingkah laku Nurin yang sedang membaca.

Nurin yang mendengar menghentikan pembacaan. 

“Farid Aiman mengalami kemalangan pada 3 tahun yang lepas.” Fauzan memberitahu dengan apa yang diketahuinya.

“Kemalangan?” ulang Nurin berserta kerutan di dahi.

“Farid Aiman hilang ingatan kesan dari kemalangan tersebut.”

Nurin berfikir sejenak. Jika dia tidak silap, maklumat itu yang dibacanya sewaktu dia mencari maklumat tentang Farid Aiman.

“Farid bekerja di syarikat milik Tuan Haji Zuhuri yang kini diusahakan oleh Encik Amir,” beritahu Fauzan bernada yakin.

Nurin yang mendengar menghalakan pandangan ke wajah Fauzan di hadapan. Tuan Haji Zuhuri! Bisiknya dalam hati.

“Betul ke Tuan Haji Zuhuri alami penyakit strok?” ujar Nurin selepas itu. Dia perlu mengesahkan maklumat yang diperolehinya daripada Hajah Kalsom.

“Ya, betul. Tuan Haji Zuhuri pernah mengalami penyakit strok beberapa tahun yang lepas dan sedang berusaha untuk pulih,” sambung Fauzan lagi.

Nurin menyandarkan tubuh ke kerusi sambil melepaskan nafas ringan. Penjelasan Fauzan bermain-main dalam minda.

“Macam mana dengan gambar yang aku bagi pada kau dulu? Ada maklumat tentang lelaki dalam gambar tu?” 

“Belum ada lagi. Aku akan usahakannya sehingga dapat.”

Nurin menganggukkan kepala. Agak hampa mendengarnya.

“Aku akan cuba dapatkan maklumat tentang gambar tu. Kau serahkan semuanya pada aku. Kau jangan risau, okey!” 

“Aku serahkan semuanya pada kau, Fauzan.”

“Insya-Allah, aku akan cuba cari siapa lelaki dalam gambar tu,” kata Fauzan memberi keyakinan kepada Nurin. 

Nurin sekadar tersenyum. Dia memandang Fauzan seketika. Pemuda itu merupakan  kenalannya ketika di universiti dahulu dan sedang mengusahakan syarikat milik ayahnya. Rasa berterima kasih atas bantuan Fauzan selama ini. 

Walaupun pada mulanya dia menolak keras pertolongan Fauzan, atas desakan pemuda itu dia terpaksa menerima. Kata Fauzan, sebagai tanda terima kasih kerana telah menyelamatkannya dari mati lemas tidak lama dahulu.

“Kalau tak ada apa lagi aku minta diri dulu. Nak jumpa client sekejap,” ujar Fauzan lalu bangun dari duduk.

Nurin sekadar mengangguk. Dia memandang Fauzan yang sudah pun melangkah untuk beredar dari situ.

“Nanti dulu, Fauzan!” tahan Nurin. Dia bangun dari duduk.

Fauzan mematikan langkah. Dia menoleh ke wajah Nurin.

“Kau tahu di mana Tuan Haji Zuhuri sekarang?” tanya Nurin ingin tahu.



NURIN menghela nafas ringan. Setelah beberapa minit menenteramkan diri, dia bangun dari duduk untuk beredar dari restoran itu. Demi untuk mengetahui siapa Farid Aiman yang sebenarnya maka dia meminta bantuan daripada Fauzan untuk menyiasatnya.

“Perlukah aku berjumpa dengan Tuan Haji Zuhuri?” tanya Nurin kepada dirinya sendiri. Dia masih memikirkan tentang Tuan Haji Zuhuri.

“Maknanya aku tak salah orang. Yang aku nampak dalam majlis hari tu adalah Encik Amir Hakim. Ayah Afiq Aiman,” sambung Nurin. Dia cuba mengimbas semula majlis itu.

“Farid Aiman adalah Afiq Aiman.” Nurin ketawa sinis. Sungguh, dia tidak menyangka yang Farid berlakon selama ini.

“Pandai kau berlakon. Kau ingat aku tak kenal siapa diri kau yang sebenarnya Afiq Aiman.” Nurin menggenggam erat tangan. Wajah Farid menyapa mata ketika ini.

“Farid Aiman!” sebut Nurin lalu mematikan langkah. Dia masih tersenyum sinis.

“Cik Nurin sebut nama saya ke?” tegur Farid, tiba-tiba dari arah belakang.

Nurin yang mendengar terkejut. Dia menoleh ke belakang. 

“Patutlah saya asyik tersedak saja dari tadi. Rupa-rupanya ada orang rindukan saya,” kata Farid lagi. Dia melangkah menghampiri Nurin berserta senyuman di bibir.

Nurin tidak membalas. Dia masih terkejut melihat Farid.

“Helo!” Farid memetik jemari di hadapan Nurin. Gadis itu seakan leka melihatnya.

Nurin tersentak. Dia memandang wajah Farid di hadapan. Mungkinkah dia bermimpi? Fikirannya asyik memikirkan tentang Farid. 

Tanpa membalas, dia beredar dari situ. Tidak diendahkan Farid yang sedang berdiri di hadapannya itu. Malah, dia tidak ada urusan dengan pemuda tersebut.

Farid yang melihat ketawa kecil. Nurin beredar dari situ tanpa menegurnya. Dia memandang langkah Nurin yang semakin menjauh. Entah kenapa dia begitu berminat untuk mengenali Nurin. Dia yakin, dia akan mengenali siapa Nurin yang sebenarnya.



NURIN mendengus perlahan. Sakit hatinya melihat senyuman di bibir Farid. Pemuda itu dengan beraninya memaksa dia ke tempat itu. Ikutkan hatinya yang sedang marah, mahu sahaja dia beredar dari situ. Tetapi, disebabkan keinginan untuk mencari maklumat tentang Tuan Haji Zuhuri, maka dia terpaksa merelakan diri mengikut Farid.

Dia perlu mendapatkan maklumat tentang Tuan Haji Zuhuri. Walaupun dia terpaksa berlakon di hadapan Farid, yang penting dia mengetahui tentang Tuan Haji Zuhuri.

“Ehem!” Farid berdehem. Sejak dari tadi dia melihat Nurin seakan termenung. 

“Encik Farid nak apa daripada saya?” tanya Nurin dalam nada serius.

“Nak berkenalan. Tak boleh ke?” balas Farid lalu bersandar ke kerusi. Wajah Nurin di hadapan dipandang mesra.

Nurin tersenyum sinis. Dia turut sama bersandar ke kerusi lalu berpeluk tubuh. Mungkin aku boleh tanya pasal Tuan Haji Zuhuri dan Encik Amir. Suara Nurin dalam hati.

“Cik Nurin nak tanya apa?” 

Nurin terkejut. 

“Mesti Cik Nurin nak tahu pasal saya, kan?” tebak Farid. Pasti itu yang Nurin ingin tahu. Mengenai dirinya.

“Err…” Nurin menggaru kening sendiri. Sepertinya Farid mengetahui isi hatinya.

“Cik Nurin?” panggil Farid bernada lembut.

“Siapa kau yang sebenarnya?” tanya Nurin, laju. Pandangannya tepat ke wajah Farid. Menanti jawapan daripada pemuda itu.

Farid yang mendengar ketawa. Geli hati mendengar pertanyaan Nurin. 

Nurin yang mendengar bingkas bangun dari duduk untuk beredar. Mustahil dia akan mendapat jawapan melihatkan reaksi Farid terhadap pertanyaannya tadi.

“Farid Aiman bin Amir Hakim. 25 tahun. Single but not available. Tapi, kalau Cik Nurin berminat dengan saya, saya boleh simpankan satu kuota untuk Cik Nurin,” kata Farid memperkenalkan diri. Dia menahan Nurin dari beredar dari situ.

Nurin yang mendengar menoleh. Wajah tersenyum Farid menyapa mata.

“Puas hati?” Farid masih lagi tersenyum.

Nurin menarik lengannya dari pegangan Farid. Dia menghela nafas ringan. Lain yang dia ingin tahu, lain pula yang dia dapat.

“Saya anak tunggal. Tak ada adik. Tak ada abang atau kakak. Ibu saya dah lama meninggal dunia. Saya tinggal dengan datuk dan ayah saya,” beritahu Farid lagi.

Nurin hanya mendengar. Dia melabuhkan duduk semula ke atas kerusi. 

“So, apa lagi yang Cik Nurin nak tahu tentang saya?” tanya Farid sambil berpeluk tubuh. Dia membalas pandangan Nurin.

Nurin mencari soalan. Dia perlu mengetahui siapa sebenarnya Farid Aiman.

“Oh ya. Saya bakal bertunang dengan Dahlia tak lama lagi.”

Nurin beriak tenang. 

“Cik Nurin tahu kan saya nak bertunang.”

Nurin masih membisu. Dia cuba untuk bersikap tenang. Bukannya dia tidak tahu yang Farid bakal bertunang dengan Dahlia tidak lama lagi.

“Saya…”

“Tuan Haji Zuhuri datuk Encik Farid?”

“Ya. Kenapa?”

“Dia kena strok?”

“6 tahun yang lepas datuk saya kena strok. Tapi, sekarang dia dah beransur pulih.”

“Kampung Encik Farid di mana?” Nurin masih lagi bertanya. Keinginan untuk mengetahui siapa Farid yang sebenarnya membuak-buak. 

“Cik Nurin ni dah macam polis pencen pula. Banyak sangat soalan.” Farid ketawa kecil berserta gelengan di kepala.

“Encik Farid kenal dengan Afiq Aiman?” Nurin bertanya dalam nada serius. Matanya tepat ke wajah Farid. Menanti jawapan daripada pemuda itu.

Farid mematikan ketawa. Afiq Aiman? Sebutnya dalam hati.

“Encik Farid kenal dengan Afiq Aiman?” ulang Nurin pada pertanyaannya tadi.

“Afiq Aiman?” ulang Farid pula.

Nurin menanti jawapan Farid. Wajah Farid tidak lepas dari pandangan matanya.

“Saya tak kenal. Siapa Afiq Aiman?” tanya Farid lalu membalas pandangan Nurin.

Nurin tersenyum sinis. Dia bangun dari duduk. Ada baiknya dia beredar dari situ. Pandai kau berlakon Afiq. Walaupun kau menafikan, aku akan cari jawapannya nanti. Bisik Nurin dalam hati.

“Encik Farid boleh tipu orang lain tapi Encik Farid tak boleh tipu saya,” ujar Nurin. Dia menggenggam erat tangan. Tanpa menunggu, dia beredar dari situ.

Farid berkerut dahi. Dia bangun dari duduk lalu memandang pemergian Nurin. Pelik melihat Nurin. Kata-kata Nurin sebentar tadi terngiang-ngiang dalam minda.

“Afiq Aiman?” sebutnya kemudian.



“BENARLAH firasat hati aku selama ini,” kata Nurin kepada dirinya sendiri. Dia menyandarkan tubuh ke kerusi.

“Tapi, macam mana aku nak buktikan yang dia ialah Afiq?” tanya Nurin pula. Otaknya dikerahkan bekerja. Mencari jalan untuk membuktikan akan kata-katanya itu.

“Mungkin aku boleh search nama ayah dia,” cadang Nurin. 

Tanpa berlengah, dia menarik laptop. Nama ‘Amir Hakim Haji Zuhuri’ ditaip di ruangan search dan dia menekan butang enter. Berharap, dia berjumpa maklumat tentang Encik Amir.

“Ramainya. Mana satu ayah dia?” tanya Nurin berserta kerutan di dahi. Agak mustahil untuk dia mendapat maklumat tentang Encik Amir melihatkan dari senarai yang keluar di ruangan carian.

“Mungkin aku boleh search di bahagian images,” cadang Nurin pula. Lantas, dia menekan ke ruangan ‘images’ lalu melihat satu persatu images yang dihamparkan.

“Mana satu wajah dia?” soal Nurin masih memandang satu persatu wajah yang ada. 

“Haish! Kenapa aku tak ingat wajah dia? Bukan malam tu, dia yang aku nampak?” marah Nurin kepada dirinya sendiri. Tidak berkelip matanya memandang images yang dihamparkan di skrin laptop. 

“Nurin!” panggil Shida dengan tiba-tiba.

Nurin tersentak. Dia menghalakan mata ke arah Shida yang sudah menapak masuk ke dalam bilik. Pantas, dia menutup tingkap halaman yang dilihatnya tadi dan menghalakan mata ke wajah Shida.

“Aku nak tanya pasal design Datin Faridah tu. Dia dah setuju ke?” tanya Shida lalu melabuhkan duduk.

“Dah! Kau nak ke?” jawab Nurin berserta nafas ringan.

“Kalau dia dah setuju, kau bagi kat aku. Nak suruh dia orang start kerja.”

Nurin mencari fail. Setelah berjumpa, dia menyerahkannya kepada Shida.

“Aku ambil ni dulu. Aku bagi kat dia orang.”

Nurin sekadar menganggukkan kepala.

“Kau keluar makan dengan siapa tadi?” Shida bertanya. Sekadar untuk tahu.

“Client!” balas Nurin, sepatah.

Shida tidak membalas. Wajah Nurin dipandang seketika. 

“Aku nak tanya kau sesuatu, boleh?”

“Tanya apa?”

“Kalau kau berjumpa semula dengan orang yang telah memusnahkan hidup kau, apa yang kau akan buat?”

Shida berkerut dahi mendengar pertanyaan Nurin.

“Kau faham ke tidak soalan aku ni?”

“Maksud kau, orang yang telah memusnahkan hidup aku. Begitu?”

“Apa yang kau akan buat, Shida?”

Shida bangun dari duduk. Fail dari atas meja dicapai lalu dibawa ke dada. Dia mencari jawapan kepada pertanyaan Nurin.

Nurin menanti jawapan Shida. Dia memandang langkah Shida yang sudah menghampiri pintu bilik.

“Aku akan balas dendam atas apa yang dia dah musnahkan,” kata Shida lalu menghilangkan diri di sebalik pintu bilik.

“Balas dendam?” sebut Nurin. 



“KAU yakin dengan apa yang kau cadangkan ni?” tanya Encik Amir bernada serius.

“Aku yakin dia dapat bantu kita,” balas Encik Riduan seraya memandang ke wajah Encik Amir di hadapan.

“Aku tak nak gagal, Riduan.”

“Kau jangan risau. Kali ni kita tak akan gagal. Aku dah siasat latar belakang dia. Boleh dikatakan dia seorang yang berpengaruh. Aku yakin dia boleh bantu dalam rancangan kita tu.”

“Boleh dipercayai?” 

“Kau jangan risau. Orang tu boleh dipercayai.”

“Aku tak nak ada masalah nanti. Aku nak rancangan ni berjaya.”

“Aku akan pastikan rancangan ni berjaya.”

“Cuma satu aku nak minta tolong daripada kau.” Encik Amir menghela nafas ringan.

“Tolong apa?” Encik Riduan berkerut dahi.

“Kalau boleh tolong rahsiakan daripada anak dan ayah aku. Aku tak nak Farid dan ayah aku tahu apa-apa pasal rancangan ni.”

“Aku akan rahsiakan daripada Farid dan tuan haji.” 

Encik Amir tersenyum lega.

“Kalau tak ada apa lagi, aku minta diri dulu.” Encik Riduan bangun dari duduk. Dia menghela nafas ringan.

“Apa-apa nanti, kau beritahu pada aku.” Encik Amir berpesan. Dia memandang anggukan di kepala Encik Riduan.

Encik Riduan melemparkan senyuman sebelum beredar dari situ. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari dalam poket seluar sebaik sahaja menjauhi Encik Amir.

“Semua berjalan seperti yang kita rancang,” lapor Encik Riduan. 

“Bagus!” balas suara dari hujung talian lalu mematikan talian.

Encik Riduan tersenyum sinis sambil menggenggam erat telefon bimbit. Apa yang dirancang berjalan dengan lancar. Nafas lega dilepaskan sebelum beredar dari situ.



“KAU tak nak balik ke?” Shida bertanya dari muka pintu bilik.

Nurin menghalakan mata ke arah Shida. Dia sekadar menggeleng sebagai tanda jawapan kepada pertanyaan Shida.

Shida melangkah masuk ke dalam bilik. Tingkah laku Nurin yang sedang meneliti rekaan dipandang.

Nurin ralit dengan rekaannya. Satu persatu rekaan diteliti. Dia perlu memastikan rekaannya menepati citarasa pelanggan. Tidak mahu menghampakan pelanggannya serta Puan Fauziah.

“Nurin!” Shida memanggil.

“Hurm…” Nurin membalas.

“Aku nak tanya sikit.”

“Tanya apa?”

“Kau nak balas dendam pada siapa?” tanya Shida dalam nada serius.

Nurin yang mendengar menghentikan tingkah laku. Dia mengangkat wajah memandang ke wajah Shida.

“Kau nak balas dendam pada siapa?” ulang Shida pada pertanyaannya tadi.

“Balas dendam?” Nurin berkerut dahi.

“Kau buat-buat tanya pula.” 

“Aku tak faham soalan kau ni, Shida.” 

“Bukan kau yang tanya aku tadi? Apa yang aku akan buat kalau aku berjumpa semula dengan orang yang telah memusnahkan hidup aku?” Shida mengingatkan Nurin semula.

Nurin tergamam. Kata-kata Shida bermain dalam minda.

“Kau ada rahsiakan sesuatu daripada aku ke, Nurin?” tanya Shida dalam nada curiga.

“Rahsia? Mana ada aku rahsiakan apa-apa daripada kau,” tukas Nurin. Dia menyambung semula kerjanya.

Shida menghela nafas ringan. Dia yakin yang Nurin ada merahsiakan sesuatu daripadanya.

“Kau nak balik ke?” Nurin bertanya. Menghalau lamunan Shida.

Shida tidak membalas. 

“Kau nak balik ke tak?” Nurin bertanya. Dia memandang wajah Shida yang seakan mengelamun. 

“Kau nak balas dendam pada Afiq, kan?” Shida yakin dengan firasat hatinya.

“Mengarutlah kau ni, Shida. Tak ada maknanya aku nak berhubung semula dengan mamat tu.” Nurin merengus tatkala nama Afiq menyapa gegendang telinga.

“Mengarut kau kata?” Shida menekan suara.

“Sudahlah! Aku malas nak bertekak dengan kau.” Nurin mengemas fail. 

“Aku sekadar bertanya.” Shida masih ingin tahu.

Nurin tidak membalas. Dia mencapai beg tangan lalu melangkah keluar dari ruangan itu. Malas untuk bertekak dengan Shida. 

“Kau berdendam pada Afiq, Nurin?” tanya Shida. Dia yakin dengan kata-katanya itu.

Nurin menghentikan langkah. Dia menggenggam erat tangan.

“Nurin!” Shida memanggil. Dia menanti jawapan daripada kawannya itu.

Nurin beredar dari situ. Tidak diendahkan pertanyaan Shida. Suatu hari nanti Shida akan mengetahui segala-galanya.



Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.