Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
121,429
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 17



NURIN menanti penuh sabar. Dia memandang jam di pergelangan tangan. Sudah setengah jam dia menanti Farid. Namun, kelibat Farid tidak juga muncul. Ikutkan hati, mahu sahaja dia beredar dari situ. Masih banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan.

Nurin menghela nafas ringan. Dia perlu sedar. Farid bakal menjadi tunangan orang. Bakal berkahwin dengan Dahlia. Demi untuk mengetahui siapa Farid yang sebenar dia terpaksa mengetepikan soal perasaan Dahlia. Dia perlu mencari jawapan kepada segala persoalan yang bersarang dalam minda. 

“Ehem…” Farid berdehem. Sekadar menegur Nurin.

Nurin tersentak. Lamunan pendeknya termati begitu sahaja. Dia menoleh ke arah yang berdehem. Wajah Farid menyapa mata.

“Leka sangat termenung sampai saya datang pun tak sedar. Cik Nurin menungkan siapa? Saya ke?” suara Farid sambil melabuhkan duduk di atas kerusi. 

Nurin tersenyum sinis.

Farid yang melihat ketawa kecil. Pasti Nurin marah atas kelewatannya.

“Encik Farid lewat…”

“Saya tahu dan saya minta maaf.”

“Ada hal apa nak jumpa dengan saya?” tanya Nurin tidak sabar.

“Cik Nurin ni tak sabar-sabar. Bagilah saya rehat dulu. Minum. Tekak saya ni dah kering. Lepas tu, baru saya beritahu kenapa saya ajak Cik Nurin jumpa di sini,” tegur Farid dalam nada lembut. Dia menggelengkan kepala. 

Nurin mendengus ringan. Tingkah laku Farid yang sedang memberi pesanan dipandang seketika.

“So?” Nurin bertanya sebaik sahaja pelayan beredar dari situ.

Farid tersenyum. Wajah Nurin ditatap seketika.

“Encik Farid nak apa?” Nurin sedikit bengang. Farid masih tidak memberitahu tujuan mereka berjumpa.

“Kenapa? Cik Nurin ada urusan penting ke? Ada temujanji dengan kekasih hati?” Farid pula bertanya. Dia meneguk air minuman yang baru sampai.

“Saya makan gaji. Masa itu penting bagi saya. Bukan macam Encik Farid. Melepak pun duit tetap masuk ke dalam poket.”

“Awak salah, Cik Nurin.”

“Encik Farid nak apa?”

“Kenapa berbeza saya lihat Cik Nurin hari ni?”

Nurin berkerut dahi. 

“Malam tu, Cik Nurin bersikap lembut dan baik dengan saya. Kenapa hari ni, Cik Nurin bersikap kurang senang dengan saya?”

Nurin menarik nafas lalu dilepaskan ringan. 

“Salah ke kalau saya ajak Cik Nurin keluar walaupun bukan urusan kerja?”

Nurin ketawa kecil. Tanpa membalas, dia bangun dari duduk. Ada baiknya dia beredar dari mendengar kata-kata merepek Farid. 

“Nurin Natasya binti Nazaruddin,” panggil Farid dalam nada lembut.

Nurin mematikan tingkah laku. Dia menoleh ke wajah Farid.

“Siapa lelaki malam tu?” tanya Farid seraya memandang ke wajah Nurin.



“SIAPA lelaki malam tu?” Farid bertanya buat kali yang kedua.

“Encik Farid tak kenal?” Nurin pula bertanya.

Farid sekadar menggeleng.

“Mustahil Encik Farid tak kenal.” Nurin tersenyum sinis.

“Saya tak kenal, Cik Nurin. Sebab itu saya tanya.” Farid masih menggeleng.

Nurin tidak membalas. Wajah Farid dipandang. 

“Saya kenal dengan dia ke?” suara Farid lagi.

Nurin melepaskan nafas kecil. 

“Cik Nurin,” seru Farid, lembut.

“Saya tak percaya yang Encik Farid tak kenal dengan Asrel.”

“Oh! Asrel namanya.”

“Jangan nak berlakon, Encik Farid.”

Farid yang mendengar berkerut dahi.

“Encik Farid buat-buat tak kenal siapa Asrel sedangkan Encik Farid sekampung dengan dia.”

Semakin berkerut dahi Farid mendengarnya. 

“Pandai Encik Farid berlakon.”

“Saya tak berlakon, Cik Nurin. Saya memang tak kenal siapa Asrel.”

Nurin mencebik. Kata-kata Farid tidak dapat diterima.

“Cik Nurin…”

“Suatu hari nanti, saya akan bongkarkan segala-galanya. Siapa Encik Farid yang sebenarnya,” pintas Nurin lalu beredar dari situ. Dia pasti akan mengetahui siapa Farid yang sebenarnya.

Farid hanya memandang. Dahinya masih berkerut. Sungguh, dia tidak faham dengan apa yang diperkatakan oleh Nurin itu. 

“Siapa Nurin Natasya yang sebenarnya?” soal Farid, sendirian.



 “NURIN!” panggil Puan Fauziah sedikit tinggi. Dari tadi dia melihat Nurin termenung.

Nurin tersentak. Dia menghalakan mata ke arah Puan Fauziah.

“Awak menungkan apa?” tanya Puan Fauziah pula.

“Kita kat mana tadi?” tanya Nurin menolak pertanyaan Puan Fauziah.

Puan Fauziah memandang ke wajah Nurin.

“Pasal baju Encik Farid dan Cik Dahlia, saya dah siapkan,” beritahu Nurin tanpa dipinta.

“Nanti saya minta mereka berdua datang ke sini,” balas Puan Fauziah.

Nurin tersenyum. Dia membalas pandangan Puan Fauziah.

“Nur ada masalah ke?” Puan Fauziah bertanya. Dia berasa sesuatu melihatkan air muka anak saudaranya itu.

“Masalah? Tak ada masalah apa-apa puan,” tukas Nurin berserta gelengan di kepala.

Puan Fauziah menghela nafas ringan. Agak sukar untuk berbicara dengan Nurin jika melibatkan soal peribadi. Anak saudaranya seorang yang perahsia.

“Nur nak tanya sesuatu, boleh?” Nurin memberanikan diri. Dia perlu bertanya kepada Puan Fauziah mengenai Farid Aiman.

“Tanya apa?”

“Encik Farid Aiman tu siapa?”

“Anak kawan baik saya, Nurin.”

“Encik Farid ada adik-beradik yang lain?” 

Puan Fauziah sedikit tersentak dengan pertanyaan Nurin. 

“Farid anak tunggal.”

Nurin menggelengkan kepala tidak percaya. Mustahil Farid anak tunggal.

“Kenapa Nur?” Puan Fauziah bertanya. Seperti ada perkara yang mengganggu Nurin ketika ini.

“Mustahil, mak ngah. Nur tak percaya yang Encik Farid anak tunggal,” tukas Nurin masih menggeleng.

“Nur, mak ngah kenal dengan family Farid. Arwah ibu Farid kawan baik mak ngah. Tak kan mak ngah nak tipu Nur?” jelas Puan Fauziah terang dan nyata.

“Kalau Farid tak ada adik-beradik lain, kenapa wajah Farid hampir sama dengan wajah Afiq?” tanya Nurin seraya memandang ke wajah Puan Fauziah.

Puan Fauziah tersenyum mendengar pertanyaan Nurin.

“Mak ngah tahu apa yang terjadi pada Nur dulu. Mak ngah kenal dengan Afiq. Wajah Farid hampir sama dengan wajah Afiq.”

“Nur… Nur… Dalam dunia ni, ada 7 orang yang mukanya hampir sama dengan muka kita. Jadi, tak mustahil pelanduk dua serupa. Farid dan Afiq bukan orang yang sama Nurin.”

Nurin tersenyum nipis. Alasan yang sering diberi sekiranya terjadi perkara seperti itu.

“Mak ngah tahu apa yang terjadi pada Nur dulu. Lupakan kisah lama. Nur berhak untuk hidup bahagia,” nasihat Puan Fauziah bernada lembut.

“Lupakan? Tak mungkin mak ngah. Selagi Nur tak dapat jawapan kepada setiap persoalan Nur, Nur tak akan berhenti mencari. Nur yakin, Farid adalah Afiq dan Nur pasti yang mak ngah cuba rahsiakan sesuatu daripada Nur.”

Setelah menuturkannya, Nurin bangun lalu beredar dari ruangan itu. Dia yakin dengan firasat hatinya. Dia pasti akan mencari kebenaran siapa Farid Aiman yang sebenarnya.

“Farid dan Afiq bukan orang yang sama Nurin,” suara Puan Fauziah dalam nada perlahan sebaik sahaja Nurin hilang dari pandangan matanya.



ASREL menanti penuh sabar. Sesekali dia mengerling jam di pergelangan tangan. Sudah hampir 10 minit dia menanti. Namun, kelibat Shida tidak juga muncul-muncul. Dia sudah pun berjanji untuk berjumpa dengan Shida di restoran itu.

Asrel melepaskan nafas berat. Setelah sekian lama berfikir, mungkin ada baiknya dia berterus-terang duduk perkara yang sebenar kepada Shida. Tidak sanggup untuk menyimpan rahsia lagi. Dia juga telah menimbang segala nasihat daripada Diana, kakaknya.

“Sorry Rel, aku lambat,” tegur Shida, tiba-tiba. 

Asrel tersentak. Lamunan pendeknya termati begitu sahaja. Dia menghalakan mata ke arah Shida yang sudah pun duduk di hadapannya.

“Abang, limau ais satu,” panggil Shida sambil mengangkat tangan. Dia meredakan pernafasan buat seketika.

Asrel hanya memandang. Dia memberi ruang kepada Shida untuk menenteramkan diri buat seketika.

“So, ada hal apa kau nak jumpa dengan aku?” tanya Shida sehabis sahaja air limau ais diteguk. Tekak yang terasa kering sudah pun dibasahkan.

“Tentang Nurin!” balas Asrel, senafas.

“Nurin?” sebut Shida berserta kerutan di dahi.

“Aku ada perkara nak berterus-terang pada kau, Shida.”

“Perkara? Perkara apa?”

Asrel menghela nafas berat. Dia masih berkira-kira dalam hati untuk berterus-terang. 

“Perkara apa?” tanya Shida tidak sabar.

“Aku jumpa dengan Afiq Aiman,” beritahu Asrel, tenang.

“Afiq Aiman?” ulang Shida sedikit terkejut.

Asrel menganggukkan kepala.

“Kau jumpa dia kat mana?”

“Kat restoran. Aku dengan Nurin.”

Shida menyandarkan tubuh ke kerusi. Dia cuba untuk menerima penjelasan Asrel.

“Mulanya aku tak percaya dengan apa yang Nurin beritahu pada aku pasal Afiq. Tapi, bila aku dah nampak dengan mata kepala aku sendiri, baru aku percaya. Orang yang aku jumpa adalah Afiq,” jelas Asrel terang dan nyata.

“Aku pernah terlanggar dengan seorang mamat ni kat office. Muka dia hampir dengan Afiq. Mungkin orang yang aku langgar hari tu adalah orang yang sama, Afiq Aiman,” beritahu Shida akan peristiwa beberapa minggu yang lepas.

Asrel tidak membalas. Dia cuba merencanakan kata-kata Shida.

“Kalau betul itu Afiq, kau rasa Nurin akan balas dendam?” Shida serkap jarang.

“Balas dendam?” Asrel berkerut dahi.

“Aku agak saja,” kata Shida teragak-agak.

“Itu bukan Afiq,” ujar Asrel, perlahan. 

“Bukan Afiq?” tanya Shida tatkala terdengar kata-kata Asrel.

“Haa…” Asrel terpinga-pinga.

“Kau kata itu bukan Afiq. So, dia tu siapa?” Shida berasa curiga.

“Mana ada aku kata macam tu. Kau salah dengar kut,” tukas Asrel. Dia menarik gelas minuman lalu meneguk air dari dalamnya. Dia beriak tenang.

Shida berasa pelik melihat Asrel. Memang itu yang didengarinya sebentar tadi. Jika lelaki itu bukan Afiq Aiman, maka siapa sebenarnya lelaki itu? 


Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.