Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
124,185
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

“SELAMAT pagi, Kak Maziah,” tegur Nurin dengan ramah. Dia melemparkan senyuman kepada Maziah.

“Selamat pagi Cik Nurin,” balas Maziah turut sama tersenyum.

“Kau ke mana, Nurin? Dari malam tadi lagi aku call tapi tak berangkat. Kau tahu tak pagi ni kita ada meeting dengan client?” tegur Shida dengan tiba-tiba. Dia mengekori Nurin masuk ke dalam bilik.

Nurin tidak membalas. Dia memandang wajah Shida yang beriak bengang.

“Pasal rekaan Datin Hanum tu, kau dah siapkan ke belum? Dia call aku tanya pasal rekaan dia,” suara Shida lagi.

“Yang kau kelam kabut sangat ni kenapa, Shida?” tanya Nurin berserta gelengan di kepala. Dia melabuhkan duduk di kerusi.

“Mana aku tak kalut? Kau tu selalu buat hal,” balas Shida berserta dengusan kasar.

“Cuba kau istighfar, Shida. Tarik nafas dan hembus. Relaks okey!” suruh Nurin masih menggelengkan kepala. Dia ketawa kecil melihat tingkah laku Shida.

Shida duduk di kerusi. Wajah selamba Nurin dipandang.

“Aku dah siapkan rekaan datin tu. Kau janganlah risau,” beritahu Nurin. Dia menarik fail dari sisi meja lalu diserahkan kepada Shida.

Shida membalas huluran. Dia membuka fail lalu menatap rekaan yang telah direka oleh Nurin. Rasa kagum melihat rekaan-rekaan Nurin. Semakin cantik dan berkualiti.

So?” Nurin bertanya.

“Puas hati?” sambung Nurin sambil mengangkat kening.

Shida menutup fail. Dia tersengih kepada Nurin.

“Menyampah!” cebik Nurin, meluat.

Shida melepaskan ketawa. Dia bangun dari duduk lalu menghampiri Nurin. Tubuh kawannya itu didakap seketika.

Thanks, Nurin. Kau memang tak menghampakan aku,” ucap Shida berserta pelukan erat di tubuh Nurin.

“Ish! Dah! Dah! Geli aku!” kata Nurin sambil menolak tubuh Shida.

Shida ketawa. Dia kembali ke tempat duduknya.

“Kau ke mana semalam?” tanya Shida ingin tahu.

Nurin tidak membalas. Dia memandang ke wajah Shida.

“Aku call tak angkat. Kau ada masalah ke?” Shida masih lagi bertanya. Dia turut membalas pandangan Nurin.

Nurin masih membisu. Pertanyaan Shida dipandang sepi. Mungkin nanti dia akan memberitahu Shida ke mana dia pergi pada malam tadi.  



SO?” Shida bertanya. Dia memandang ke wajah Nurin.

So? Apa?” tanya Nurin kurang faham.

“Yang kau ni bengap sangat dah kenapa?” Selamba Shida mengutuk. Air minuman diteguk rakus.

“Cakap macam Bangla memang la aku tak faham.” Nurin tidak mahu mengalah.

“Haish! Ini yang malas nak bercakap dengan kau ni. Buat-buat bodoh,” bengang Shida berserta dengusan kasar. Tajam matanya ke riak selamba Nurin.

Nurin yang melihat ketawa. Kelakar melihat wajah bengang Shida.

“Aku serius Nurin,” tegur Shida, keras.

“Okey… okey… aku minta maaf.” Nurin mengalah. Gerun pula dia melihat wajah bengang Shida.

Shida merengus kasar.

“Aku kerja part time kat kedai burger,” ujar Nurin sebaik sahaja Shida tenang.

Buntang mata Shida mendengarnya. Kerja? Part time? Sebutnya dalam hati.

Nurin sekadar mengangguk. Itulah yang sebenarnya. Kenapa dia tidak menjawab panggilan Shida malam tadi.

“Kau ni dah kenapa, Nurin? Tak cukup-cukup lagi ke dengan gaji yang kau dapat setiap bulan tu?” Shida menggelengkan kepala tidak percaya.

Nurin menghentikan suapan nasi ke dalam mulut. Dia mencari jawapan yang sesuai.

Then, kau tak penat ke? Siang malam kau bekerja.”

“Salahkah aku kerja part time, Shida?”

“Tak salah. Tapi…” Shida mematikan ayat.

“Sekurang-kurangnya hati aku lebih tenang bila aku berada di luar Shida.”

Shida menghentikan suapan. Wajah Nurin di hadapan dipandang.

“Mungkin aku akan berjumpa…”

“Sudahlah Nurin. Kau kan dah janji dengan aku yang kau tak akan jejaki dia lagi,” pintas Shida, laju. Dia tahu apa yang hendak diperkatakan oleh Nurin itu.

Nurin menguis-nguis nasi di dalam pinggan.

“Kau dah berjanji yang kau nak lupakan semuanya bila kau dah berjaya. Kau dah lupa?”

“Aku tak pernah lupa Shida,” balas Nurin seraya mengangkat wajah. Pandangannya tepat ke wajah Shida.

So? Buat apa kau nak mencari lagi?”

“Memang aku dah berjanji pada kau yang aku tak nak mencari lagi. Aku cuma nak bersihkan nama aku saja Shida.”

“Kau nak bersihkan macam mana? Cuba kau beritahu pada aku, Nurin.” Shida sedikit meninggi. Nurin masih tidak melupakan kisah lama.

“Aku akan terus mencari Shida, putus Nurin. Pandangan mereka berdua berlaga.

Shida mendengus kasar. Dia menyambung menjamah makanan. Tidak dihiraukan pandangan Nurin.

Nurin memandang tingkah laku Shida yang sedang makan. Nafas ringan dilepaskan.

“Kalau kau ada masa malam nanti, kau datanglah ke gerai aku. Depan 7 Eleven,” beritahu Nurin lalu menyambung suapan. Berharap Shida menerima penjelasannya tadi.



“MACAM mana keadaan mak hari ni?” tanya Nurin seraya memeluk tubuh Puan Noraishah. Sebuah ciuman diberikan kepada maknya itu.

Puan Noraishah tidak membalas. Dia mengesat pipinya yang dicium oleh Nurin.

Nurin tersenyum tawar. Tindakan yang seringkali dilihatnya selepas dia mencium pipi Puan Noraishah. Seolah-olah berasa jijik dengan ciumannya tadi.

“Mak dah makan?” Nurin bertanya lagi. Wajah Puan Noraishah ditatap kasih.

Puan Noraishah melarikan pandangan. Pertanyaan Nurin tidak dijawab.

Nurin menghela nafas ringan. Dia menjatuhkan tubuh separas Puan Noraishah.

“Kalau belum, Nur ada belikan makanan kegemaran mak. Nanti Nur sediakan untuk mak,” suara Nurin lagi. Senyuman menghiasi bibir.

Puan Noraishah masih membisu. Tidak berniat untuk membalas.

“Mak ngah kirim salam pada mak,” beritahu Nurin. Sekadar untuk berbual bersama dengan Puan Noraishah.

Puan Noraishah menoleh. Dia berkerut dahi.

“Mak ngah kirim salam pada mak.” Nurin mengulangi kata-katanya sebentar tadi.

Puan Noraishah hanya mendengar. Entah kenapa terasa mulutnya terkunci untuk bersuara. Peristiwa lama terimbas di fikiran.

“Nur sediakan makanan untuk mak sekejap,” ujar Nurin lalu bangun dari duduk. Nafas ditarik lalu melepaskannya berat.

Puan Noraishah beriak tenang. Kata-kata Nurin seolah-olah masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Perasaannya kosong. Kenangan lama menggamit diri saat ini.

Nurin menatap wajah Puan Noraishah. Sampai bila Puan Noraishah akan berkeadaan begitu? Pelbagai cara sudah dilakukan demi mengambil hati Puan Noraishah. Namun, Puan Noraishah tidak ada tanda-tanda untuk menerima kehadirannya.

Nurin melangkah keluar dari bilik. Dia menyandarkan tubuh ke dinding lalu menyentuh dadanya yang terasa sebu.

“Ya Allah, cara apa lagi yang perlu aku lakukan demi untuk mengembalikan senyuman di bibir ibuku?” bisik Nurin sendirian. Semoga suatu hari nanti, dia dapat mengembalikan senyuman Puan Noraishah.



“AIR!” ujar Asrel seraya menghulurkan sebotol mineral.

Nurin membalas huluran. Dia meneguk air mineral tersebut.

“Kau okey?” tanya Asrel sambil duduk di hadapan Nurin.

“Okey! Kenapa?” balas Nurin sebaik sahaja habis meneguk air minuman.

“Muka kau tu aku tengok macam tak okey saja. Mak kau…” Asrel mematikan ayat. Dia pasti Nurin faham dengan pertanyaannya itu.

Nurin menghela nafas ringan. Dia membuang pandang jauh ke tengah jalan.

“Masih sama?” tanya Asrel ingin tahu.

“Selama-lamanya mak aku akan macam tu, Rel. Selama-lamanya juga dia akan membenci dan menyalahkan aku atas apa yang terjadi dulu,” luah Nurin dalam nada kecewa.

“Kau janganlah fikir macam tu, Nurin. Bagi masa pada mak kau. Lambat laun nanti, mak kau akan sedar juga,” balas Asrel sekadar nasihat buat Nurin. Dia memberi semangat kepada kawannya itu.

Bukannya dia tidak tahu kisah Nurin. Dia dan Nurin sekampung dan bersekolah di sekolah yang sama. Mereka juga berkawan sejak dari kecil lagi.

Selepas pertemuan mereka berdua semula, Nurin banyak bercerita tentang kehidupannya selama ini. Tidak mustahil dia mengetahui tentang hubungan Puan Noraishah dan Nurin.

“Masa? 5 tahun tu dah cukup lama, Rel.” Nurin berkata dalam nada sinis.

Asrel tidak membalas. Dia memandang wajah muram Nurin.

“Aku dah puas mencuba, Rel. Aku tak tahu cara apa lagi yang perlu aku buat untuk kembalikan mak aku,” adu Nurin dalam nada lemah.

Asrel tidak membalas. Dia memandang wajah Nurin yang beriak kecewa.

“Aku seorang anak yang tak berguna Rel,” luah Nurin pula.

“Apa yang kau cakapkan ni, Nurin?” tegur Asrel kurang senang.

Nurin mengeluh ringan. Dia meraup wajah.

“Semua yang berlaku pada kau pasti ada sebabnya.”

“Aku harap sangat semua yang berlaku sekadar mimpi saja, Rel.”

Asrel tidak membalas. Wajah Nurin diperhati penuh minat.

“Apa lagi yang perlu aku buat, Rel?” Nurin bertanya. Dia memandang ke wajah Asrel. Menanti jawapan daripada kawannya itu.

“Banyakkan berdoa pada Dia. Hanya Dia yang menentukan semuanya,” kata Asrel bernada nasihat. Senyuman diberikan kepada Nurin.

“Aku balik dulu.” Nurin bangun dari duduk.

“Baiklah! Sampaikan salam aku pada Shida.” Asrel berpesan. Dia memandang pemergian Nurin dari gerainya itu.

Nurin mengangguk. Dia beredar dari situ.

“Maaf! Tumpang tanya, boleh?” suara seseorang dengan tiba-tiba.

Nurin terkejut lalu mematikan langkah. Dia memandang ke wajah yang bersuara.

“Area sini ada stesen minyak ke?” tanya orang itu sambil membalas pandangan.

Nurin tergamam. Pandangannya tepat ke wajah lelaki di hadapannya itu.

“Afiq Aiman?” sebutnya, spontan.


Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.