Home Novel Cinta Hate Or Love You?
Hate Or Love You?
Rose Eliza
9/2/2018 21:52:31
124,172
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

 

“JEMPUTAN ke majlis amal?” baca Nurin berserta kerutan di dahi. Dia mengangkat wajah memandang Puan Fauziah sehabis sahaja membaca.

Puan Fauziah mengangguk perlahan.

“Bukan ke puan yang pergi sebelum ni?” tanya Nurin sedikit pelik.

“Saya tak dapat pergi Nurin. Saya nak balik kampung pada hari tu,” beritahu Puan Fauziah seraya memandang ke kalendar yang berada di sisi.

“Kampung?” ulang Nurin masih berkerut dahi.

“Nur…” Puan Fauziah menyeru. Dia tersenyum seketika.

Nurin berfikir seketika.

“Tarikh tu kan tarikh ayah Nur meninggal. Abang mak ngah,” jelas Puan Fauziah dalam nada tenang. Wajah Nurin di hadapan dipandang.

Nurin sedikit tersentak. Dia menatap kad di tangan semula. Kemudian, dia mengangguk perlahan. Tarikh pemergian ayahnya. Hampir 5 tahun pemergian Encik Nazaruddin.

“Nurin!” Puan Fauziah memanggil. Anak saudaranya itu kelihatan termenung.

“Haa…” Nurin tersentak.

“Kenapa?” tanya Puan Fauziah ingin tahu.

“Nur… teringatkan ayah,” balas Nurin bernada sebak.

Puan Fauziah tidak membalas.

“Nur penyebab kematian ayah,” adu Nurin pula.

“Nur, kenapa cakap macam tu?” tegur Puan Fauziah kurang senang.

Nurin mengeluh ringan. Itulah hakikat yang sebenar. Dia penyebab kepada kematian Encik Nazaruddin.

“Ajal dan maut semua tu di tangan tuhan, Nur. Sudah ditakdirkan yang ayah Nur pergi dulu dari kita semua,” kata Puan Fauziah dalam nada lembut.

“Nur tahu mak ngah. Tapi, Nur tetap penyebab kematian ayah.” Nurin menegaskan.

Puan Fauziah menggeleng perlahan. Wajah anak saudaranya masih dipandang.

“Nur bersalah pada ayah. Pada mak. Nur tak pandai nak jaga maruah diri. Maruah keluarga.” Nurin menjelaskan. Fikirannya kembali kepada peristiwa lama.

“Sudahlah! Jangan diingatkan lagi. Yang pergi tetap pergi. Nur masih ada mak yang perlu dijaga. Ambil peluang ni untuk tebus kesalahan Nuryang lepas,” nasihat Puan Fauziah. Berharap Nurin mengambil iktibar atas apa yang telah terjadi.

Nurin sekadar mengangguk. Rasa bersalah masih menghuni dihati. Sekian lama dia menanggung kekesalan atas apa yang terjadi dahulu.

“Nur keluar dulu. Nak jumpa dengan supplier,” ujar Nurin bingkas bangun dari duduk.

Puan Fauziah sekadar mengangguk.

“Insya-Allah, Nur akan hadir majlis ni,” kata Nurin lalumelangkah ke pintu bilik.

Puan Fauziah hanya memandang. Rasa simpati kepada Nurin menujah ke hati.

“Nur!” panggil Puan Fauziah selepas itu.

Nurin mematikan langkah. Dia menoleh ke wajah Puan Fauziah.

“Insya-Allah, suatu hari nanti semuanya akan kembali seperti biasa,” sambung Puan Fauziah beserta senyuman di bibir.

Nurin membalas senyuman. Mungkin, mak ngah. Bisik Nurin dalam hati. Dia keluar dari bilik itu.

 

 

“KAU biar betul, Nurin?” tanya Shida inginkan kepastian.

Nurin sekadar mengangguk. Dia tersenyum seketika.

“Kenapa aku tak tahu?” Shida tidak berpuas hati.

“Itulah kau. Aku dah ajak kau datang tapi kau tu yang taknak. Tak percaya pada aku.” Nurin menyindir. Dia menjeling kepada Shida.

“Lama betul aku tak jumpa dengan Asrel.”

“Dia pun dah lama tak jumpa dengan kau.”

“Macam mana kau jumpa dengan dia?”

“Aku terserempak dengan dia kat Speed Mart. Makin handsome dia kau tahu tak?”

Handsome?”

Nurin menganggukkan kepala.

 “Kau ada tanya diatak, Nurin?” Shida bersuara selepas berfikir seketika.

“Tanya? Tanya apa?” Nurin berkerut dahi. Kurang faham.

“Kenapa dia hilangkan diri selama 5 tahun?” balas Shida seraya memandang ke wajah Nurin. Meminta penjelasan daripada kawannya itu.

Nurin menghentikan langkah.

“Kau dah lupa ke yang dia hilangkan diri selepas ayah kau meninggal dunia.” Shida mengingatkan. Perisitiwa lama meniti dalam minda.

Nurin menyambung langkah. Kata-kata Shida bermain-main dalam minda.

“Tup-tup sekarang dia muncul. Kau tak rasa pelik ke, Nurin?”Shida menyambung. Berkerut-kerut dahinya memikirkan tentang Asrel.

“Hish! Kau ni, Shida. Apa yang peliknya? Tak ada yang pelik pun bagi aku,” tukas Nurin sambil menggelengkan kepala.

“Kau tak pelik ke Nurin? Kenapa tiba-tiba dia muncul?” Shida mengulangi kata-katanya yang tadi.

“Sudahlah, Shida! Tak baik bersangka buruk pada orang,”tegur Nurin masih menggelengkan kepala. Pelik melihat tingkah laku Shida.

Well! Suka hati kau la, Nurin. Aku cuma terfikir saja,” balas Shida sambil menjungkitkan bahu. Malas untuk membincangkan tentang Asrel lagi.

Nurin hanya membisu. Dia melabuhkan duduk di sofa. Kata-kata Shida bermain-main dalam minda. Ada benarnya juga dengan anggapan Shida.

By the way, kau cari siapa semalam?” Shida bertanya. Dia turut sama melabuhkan duduk di hadapan Nurin.

“Cari? Maksud kau?” Nurin berkerut dahi.

“Yang kau terkejar-kejar semalam tu apa?” Shida mendengus kasar.

“Oh! Pasal tu,” balas Nurin berserta anggukan di kepala.

Shida mencebik meluat. Nurin seringkali mengelak jika bertanyakan tentang tingkah laku gadis itu.

“Aku nak kejar orang jual aiskrim.” Selamba Nurin membalas. Dia meneguk air dari dalam botol.

“Jual aiskrim? Mengarut!” tukas Shida bernada keras.

Nurin ketawa. Riak di wajah Shida dipandang.

“Kau suka main-mainkan aku Nurin,” kata Shida tidak berpuas hati. Dia berpeluk tubuh lalu bersandar ke sofa.

Nurin masih lagi ketawa. Kepala menggeleng perlahan.

“Aku serius Nurin!” tegur Shida tatkala Nurin masih ketawa.

Nurin mematikan ketawa. Gerun pula dia melihat wajah bengangShida.

“Sejak akhir-akhir ni aku tengok kau macam ada rahsiakan sesuatu daripada aku saja. Apa yang kau rahsiakan, Nurin?”

“Kau ni curiga tak habis-habis.”

“Aku tak curiga tapi firasat hati aku kuat menyatakan yang kau ada rahsiakan sesuatu daripada aku.”

“Terpulang pada kau la Shida. Selama ini, semua masalah aku tak lepas dari pengetahuan kau, kan?” Nurin mengalah. Dia malas memanjangkan isu.

Shida tidak membalas. Dia berfikir sejenak.

“Aku pernah beritahu kau yang aku nak bersihkan nama aku,kan?”

“Nurin, kau kan…”

“Lupa? Semudah itu kau minta aku lupakan dengan semua yangterjadi?”

Shida masih membisu. Wajah Nurin di hadapan dipandang.

“Selagi aku tak dapat jawapan, aku tetap akan teruskannya Shida,” sambung Nurin seraya memandang ke wajah Shida.

Shida masih memandang. Riak terluka terlukis di wajah Nurin.

“Kau tak berada di tempat aku. Aku yang merasa sakitnya,”luah Nurin lagi.

“Nurin, aku…”

“Cik Nurin!”

Panggilan seseorang dari arah belakang mematikan perbualan Nurin dan Shida. Mereka berdua menoleh ke arah yang memanggil.

“Maaf kalau saya terlewat,” kata Encik Razman bernada kesal.

“Eh, tak apa Encik Razman. Kami pun baru saja sampai,” tukas Nurin bingkas bangun dari duduk. Dia melangkah menghampiri Encik Razman.

Shida turut sama bangun dan menghampiri Encik Razman. Hari ini, mereka menghadiri mesyuarat bersama dengan pembekal.

“Silakan Cik Nurin, Cik Shida,” jemput Encik Razman selepas itu.

Nurin dan Shida mengangguk. Mereka mengekori langkah EncikRazman menuju ke pejabat. Nurin melihat keadaan bangunan pejabat itu. Pandangannya terpahat ke susuk tubuh seorang lelaki. Serta-merta dia mematikan langkah.

“Nurin!” panggil Shida dari arah lift.

Nurin menoleh ke arah Shida. Dia melangkah menuju ke arah lift yang sudah dibuka. Pandangannya masih terpahat ke susuk tubuh lelaki itu.

“Kau tengok apa?” tanya Shida sebaik sahaja Nurin masuk kedalam perut lift. Pelik melihat tingkah laku Nurin sebentar tadi.

“Tak ada apa-apa,” balas Nurin berserta gelengan di kepala.

Shida hanya mengangguk. Pasti ada yang tidak kena pada Nurin melihatkan riak di wajah kawannya itu.

 

 

“TERIMA kasih atas kerjasama yang diberikanEncik Razman,” ucap Shida berserta senyuman di bibir.

“Sama-sama. Terima kasih juga atas kepercayaan yang diberikan kepada kami. Insya-Allah, kami akan bekalkan seperti yang diminta,”balas Encik Razman turut sama tersenyum.

Shida masih lagi tersenyum. Matanya mencari kelibat Nurin. Hampir 10 minit Nurin ke bilik air. Sehingga ke saat ini bayang Nurin tidak kelihatan.

“Cik Nurin?” Encik Razman bertanya. Dari tadi dia tidak nampak kelibat Nurin.

“Err… Nurin ke ladies sekejap,” kata Shida sambil menggaru kening.

Encik Razman mengangguk faham. Dia memandang jam di pergelangan tangan.

“Saya minta diri dulu. Mungkin Nurin tunggu di bawah,” ujar Shida tatkala menyedari tingkah laku Encik Razman. Mungkin Encik Razman perlu menyambung kerja.

“Baiklah, Cik Shida. Apa-apa nanti, saya hubungi Cik Shidaatau Cik Nurin,” pamit Encik Razman lalu beredar dari situ.

Shida hanya memandang Encik Razman sehingga hilang dari pandangan mata. Dia segera beredar dari situ untuk turun.

“Ke mana pula minah ni pergi? Tak kan lama sangat pergi toilet?” bebel Shida sendirian. Dia segera keluar dari dalam perut lift setibanya di tingkat G.

“Mana pula Nurin ni?” tanya Shida sebaik sahaja berada di ruang legar bangunan. Melilau matanya mencari batang tubuh Nurin.

“Haish!!! Angin aku macam ni,” bengang Shida tatkala tidak berjumpa.

Dia melangkah keluar dari ruang legar itu menuju ke parkir kereta. Ada baiknya dia menunggu Nurin di kereta sahaja. Berharap Nurin tidak meninggalkannya di situ.

 

 

NURIN melabuhkan punggung ke kerusi. Dia meraup wajah sambil melepaskan nafas berat. Peristiwa tadi bermain-main dalam minda. Demi untuk mengetahui siapa lelaki yang dilihatnya tadi, dia telah ke bahagian receptionist. Sekadar untuk bertanya disitu.

“Maksud cik, Encik Farid Aiman?” tanya Ziela selaku penyambut di situ.

“Farid Aiman?” ulang Nurin berserta kerutan di dahi.

“Dari apa yang cik terangkan tadi, berkemungkinan EncikFarid yang cik maksudkan,” jelas Ziela lagi.

“Encik Farid tu…” Nurin menghentikan ayat.

“Encik Farid Aiman, client salah satu syarikat yang ada dalam bangunan ni cik,” beritahu Ziela berserta senyuman di bibir.

Nurin mengangguk faham. Dia beredar dari situ sebaik sahaja mengucapkan terima kasih. Dia perlu mencari maklumat tentang Farid Aiman.

“Farid Aiman!” sebut Nurin, perlahan.

Tanpa menunggu, dia menghidupkan laptop lalu menaip namaFarid Aiman di bahagian carian. Mungkin dia dapat sedikit maklumat tentang lelaki itu.

“Ramai yang miliki nama yang sama. Tapi, mana satu orangnya?” soal Nurin pula. Di hadapan matanya tertera beberapa maklumat tentang Farid Aiman.

“Farid Aiman bin Amir Hakim?” baca Nurin berserta kerutan di dahi.

Nurin membaca maklumat yang tertara di skrin laptop. Satu persatu tanpa tinggal. Keinginan untuk mengetahui siapa Farid Aiman berkobar-kobar di saat ini.

“Pernah terlibat dalam satu kemalangan yang hampir meragutnyawanya.” Nurin memberhentikan pembacaan.

“Kemalangan?” ulang Nurin sedikit terkejut.

Dia segera menggerakkan tetikus lalu membuka halaman gambar. Satu persatu gambar yang tertera di laman itu ditatap.

“Aa…”

“Nurin!”

Teguran Shida mengejutkan Nurin. Lantas, dia menutup laptop lalu memandang ke arah pintu bilik.

“Tak guna punya kawan. Kau tinggalkan aku kat sana,” marah Shida tidak tertahan. Berombak nafasnya itu.

Nurin berkerut dahi. Tidak faham dengan kemarahan Shida.

“Mati-mati aku ingat kau ada kat sana. Rupa-rupanya kau dah balik,” sambung Shida lagi. Dia merengus kasar.

Nurin masih berfikir. Masih kurang faham dengan kata-kata Shida. Seminit kemudian…

“Ya Allah, Shida. Sorry! Aku terlupa,” kata Nurin dalam nada kesal.

Shida memandang tajam ke wajah Nurin. Kawannya itu beriak tidak bersalah.

“Aku sakit perut tadi. Lepas tu aku terus balik. Aku lupa pasal kau. Sorry Shida,” jelas Nurin dalam nada serba salah.

“Banyaklah kau punya lupa. Satu jam aku tunggu teksi kat tempat tu. Kau sendiri tahu kan tempat tu macam mana?” kata Shida sedikit bengang.

Nurin tersengih. Dia mengaku akan kesalahannya itu.

“Sengih… sengih… ingat lawa sangat ke tu?” cebik Shida meluat.

Nurin ketawa kecil. Dia bangun dari duduk lalu menghampiri Shida. Dipeluk kejap tubuh kawan baiknya itu.

“Tak ada… tak ada… aku tak terima pelukan kau ni,” tolakShida, keras.

“Okey!” balas Nurin lalu melepaskan pelukan.

“Apa masalah kau yang sebenarnya, Nurin?” Shida bertanya dalam nada serius. Pasti ada yang disembunyikan oleh Nurin.

Termati tingkah laku Nurin tatkala pertanyaan itu menyapagegendang telinga.

“Rahsia apa yang kau sembunyikan daripada aku, Nurin?” Shida masih bertanya. Dia memandang tepat ke wajah Nurin. Menanti jawapan daripada kawan baiknya itu.

 


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.