5
JARUM jam menuding ke angka 5.30
pagi. Hari masih lagi awal. Suasana di luar diselubungi kegelapan. Tapi di
dalam biliknya, Nur Naziha telah lama terjaga. Sementara menunggu waktu solat
Subuh tiba, biasanya dia akan mengisi masa itu dengan membaca al-Quran. Kalau
tidak pun dia akan menyelak kitab tafsir 30 juzuk yang diterjemah dan
diterbitkan oleh Yayasan Penyelenggara Pentafsir al-Quran, Jakarta, Indonesia.
Walau kitab itu telah agak usang dan berusia tetapi dek kerana nilai
sentimental yang terkandung di sebaliknya, dia enggan menggantikan kitab itu
dengan yang baru.
Sebenarnya,
kitab itu adalah pemberian daripada Ibu Hartini, pengasas merangkap Pengetua Teratak
Damai, yang menjadi sumber kekuatannya selama ini. Kalau tidak ada Ibu Hartini
yang sanggup menghulurkan tangan padanya di saat-saat dia hampir tenggelam,
entahlah... dia tidak tahu apakah yang akan terjadi pada dirinya sekarang.
Entah hidup entahkan mati. Dan, kalau hidup pun entah hidupnya serupa orang
ataupun tidak.
Kalaupun
dia tidak membaca al-Quran atau kitab tafsir, dia akan mengisi masa yang
terluang itu dengan mencoretkan sesuatu di dalam diari tebal berwarna biru
miliknya. Mencoretkan segala pengalaman sehari-hariannya.
Dia
enggan untuk membiarkan masanya yang berharga itu terbuang begitu sahaja
seperti yang pernah dilakukannya suatu masa dahulu bersama...
Argh!
Dia mahu melupakan segala kenangan silam itu. Dia mahu mengambusnya sepertimana
orang mengambus mayat. Biar mereput. Biar hancur ditelan tanah!
Dia
mencapai diari biru kesayangannya. Apakah yang harus aku coretkan di dada diari
ini, getus hatinya. Dia ingin sekali mencoretkan impian yang menggebu-gebu
dalam dirinya. Ya, seorang perempuan muda sepertinya harus ada impian.
Impian?
Argh, apakah orang sepertinya masih punya impian? Dia tergolong dalam golongan
manusia malang yang sudah hilang segala-galanya. Sudah hilang impian. Sudah
hilang harapan. Semuanya gara-gara dia!
Never knew that it would go so far
When you left me
On that boulevard
Come again you would release my pain
And we could be lovers again...
Argh,
lagu itu lagi! Kenapa tengiang-ngiang semula di telingaku? Kenapa? Kenapa
setiap kali aku ingin menghilangkan segala kenangan bersamanya, ia akan
menjulur semula ke kotak ingatanku?
Just one more chance
Another dance
And let me feel it isn’t real
That I’ve been losing you
The sun will rise
Within your eyes
Come back to me
And we will be happy together
Damn you... damn!!!
Dia
meraung, menjerit. Tapi raungan dan jeritannya bergaung di dalam hati sahaja.
Dia tidak mampu meluahkannya. Dia tidak mahu jeritannya kelak mengganggu
keheningan pagi dan bikin orang yang tinggal sebumbung dengannya mahupun jiran
sebelah menyebelah terkejut lalu jatuh risau akan dirinya.
Dan,
perasaan yang membusak serta hanya bergaung di dalam dirinya itu buat dia makin
menderita. Makin sengsara!
Ya,
ALLAH kenapa KAU uji aku dengan ujian yang tak mampu kutanggung ini ya, ALLAH?
Kenapa KAU tak izinkan aku lupai dia, sedangkan dia adalah sumber
kesengsaraanku selama ini? Ya RABB, kenapa KAU seksa aku sebegini?
Kenapa?
Allahhu
akbar, allahu akbar
Asyhadualla
illa haillallah...
Astaghfirullah
hal adzim, dia beristighfar sebaik sahaja telinganya menangkap bunyi azan yang
berkumandang menembus keheningan Subuh. Tangannya kiam ke dada yang berdegup
kencang seketika tadi.
Sabarlah
hati, bisiknya. Inilah dugaan yang kau harus tanggung. Sesungguhnya kau harus
tabah apabila dirimu diuji dengan ujian sebegini. Orang lain pun diuji jugak,
bisik hatinya. Dan sedikit demi sedikit ketenangan mula bertapak semula ke
jiwanya.
“Kami tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan
kesanggupannya. Ia mendapat pahala(daripada kebajikan) yang diusahakannya dan
ia mendapat seksa(daripada kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): ‘Ya
TUHAN kami, janganlah ENGKAU hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya TUHAN
kami, janganlah ENGKAU bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana ENGKAU
bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya TUHAN kami, janganlah ENGKAU
pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami;
ampunilah kami; dan rahmatilah kami. ENGKAUlah penolong kami, maka tolonglah
kami terhadap kaum yang kafir.” (al-Baqarah: 286)
Ayat
itu adalah motivasi yang paling ampuh; kerana ia dinukilkan dalam kalam ALLAH.
Yang seharusnya dijadikan panduan oleh setiap mukmin yang sedang diujiNYA,
daripada ujian yang seringan-ringannya kepada ujian yang seberat-beratnya.
Tidak
payah beli buku dan tidak payah rujuk pakar motivasi atau pakar jiwa; segala-galanya
ada termuat di dalam kalam ALLAH.
Tuk..
tuk... tuk! Ketukan di pintu. Seketika kemudian kedengaran namanya dipanggil
dari luar. Nur Naziha segera bangkit lalu membuka daun pintu. Dia melemparkan
senyuman manisnya ke arah Puan Suzila yang dipanggilnya Acik Su itu.
Tanpa
dipelawa, Puan Suzila melangkah masuk ke biliknya lalu duduk di birai katil.
“Tak
siap lagi, Ziha? Waktu Subuh dah masuk ni. Jomlah kita ke masjid.”
“Err...
hari ni tak bolehlah. Ziha cuti.”
“Laa...
dah cuti pulak dia. Nampaknya sorang ajelah acik ke masjid ni.”
Nur
Naziha ketawa kecil. Ketawa yang nyata dibuat-buat sedangkan hatinya berladung
duka. Dia mahu tampil ceria di depan Puan Suzila. Dia tidak mahu mata perempuan
itu meneropong kesedihan yang ditanggungnya dan kemudian bersusah-payah pula
melaporkannya kepada Ibu Hartini yang tinggal nun jauh di Selangor.
“Ala
Acik Su ni, Ziha cuti bukannya lama. Seminggu aje. Lagipun takkan ada orang
yang berani culik acik.” Dia mengusik sambil tergelak-gelak lagi.
Hmm...
munafiknya aku ni, gerutu hatinya.
Puan
Suzila turut ketawa bersamanya.
“Okeylah,
acik pergi dulu. Jiha ada nak kirim apa-apa untuk sarapan tak? Boleh acik beli
kat warung depan masjid tu.”
“Tak
payahlah. Ziha ingat nak bersarapan dengan Murni aje nanti.”
“Acik
Su pergi dulu, ya. Jangan lupa kunci pintu depan tau.” Pesan Puan Suzila.
“Emm...
biar Ziha temankan Acik Su.”
Langkah
Puan Suzila terhenti. Matanya mencerun ke wajah Nur Naziha.
“Tadi
kata cuti?”
He...
he... he! Nur Naziha tergelak.
“Ziha
temankan acik sampai ke muka pintu ajelah.” Getusnya.
“Ada-ada
ajelah Ziha ni!” getus Puan Suzila sambil mengherotkan bibirnya seolah-olah
sedang merajuk.