Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 35

Ketenangan hidup Lily Dayana diragut rakus. Setiap helaan nafas dipenuhi kesesakan untuk menggapai tahap kesabaran tertinggi dalam menghadapi pelbagai kerenah encik tuan. Perangai encik tuan semakin hari semakin… argh! Tidak tahu bagaimana hendak digambarkan? Mahu sahaja dia menjerit di sini. Melepaskan apa terbuku di hati. 

Keputusan setuju mengahwini encik tuan, betul atau tidak? Semakin hari, dia semakin keliru. Pernah terfikir mahu melarikan diri. Tapi ke mana? Pulang ke kampung? Ah, mana mungkin! Pasti keluarga di sana sedang bahagia dengan pemergiannya. Nafas panjang dihela.

Rindu menyapa. Air mata terbit, diseka pantas. Tangan kanan galak mengocak air di dalam kolam ikan di laman rumah ibu. Kelihatan sang ikan sedang berenang ke sana sini dengan tenang. Alangkah bahagia hidup jika dia seekor ikan. Tidak perlu menyusutkan fikiran dengan segala hal duniawi. 

Rindu kian berat sukatannya makin terbenam dalam hati. Abang Iman? Perlukah diingati? Ammar? Wajarkah untuk dikenang? Tenggekan di tepi kolam ikan semakin dianjak ke dalam sikit. Mujurlah bukan kolam renang kalau tidak sudah lama dia terjun. Nafas panjang, dihela lagi.

“Terpaksalah aku...”

Plupppp... burrrrr! 

Adli Zafri ketawa terbahak-bahak. Tertunduk-tunduk sambil menekan perut. Sebenarnya, sebelum mangsa sergahan jatuh, dia mahu katakan, “Terpaksalah aku kahwin dengan orang gila. Cakap sorang-sorang tepi kolam.” 

Lily Dayana mengetap gigi. Muka lelaki kacak pada mata orang lain, dipandang geram. Dia membayangkan, jika lelaki di depan seekor ikan, pasti akan disiang. Digaul dengan garam dan kunyit. Digoreng garing. Makan pula dengan nasi panas. Dicicah dengan sambal kicap. Kan, sudah keluar resepi ikan goreng. Tapi, selerakah dia mahu menelan ikan itu?

“Kau dah lama tak pergi kolam renang? Kemaruk nak mandi sampai terjun kolam ikan ibu yang sekangkang kera ni?” Adli Zafri ketawa lagi kuat.

Kedua tangan Lily Dayana mencengkam sisi baju. Dia menarik nafas panjang sambil memejamkan mata. Diulang berkali-kali menarik nafas untuk mencari ketenangan sedangkan di dalam hati, jantung berdegup laju kerana menahan marah.

“Bisu pula dia.” Muka bujur sirih dengan riak menyinga langsung tidak menggerunkan Adli Zafri. Bertambah seronok mengusik apabila melihat muka sedang terserlah comel ketika marah. 

“Kenapa ni, Yana?” membulat mata Sara sebaik sampai. Terkejut dia kebetulan berada di rumah Hajah Sabariah. 

“Siap dengan daun kat kepala. Kau buat eksperimen apa dalam kolam tu, Yana?”

“Dia bukan buat eksperimen. Kemaruk nak mandi kolam.” Adli Zafri mengekek kecil.

Lily Dayana merengus kasar. Geram!

“Kau biar betul, Yana?” Sara, jadi lurus bendul pula. Air mukanya berubah tatkala dijeling tajam oleh Lily Dayana.

“Betullah tu, Sara.” Adli Zafri senyum sumbing umpama kambing gurun.

“Tuan Adli Zafri! Jangan ikut sedap mulut mengata saya.”

“Aik, tak betul aku cakap?”

“Kalau tak pasal tuan, saya takkan jatuh dalam kolam tu. Belajar tinggi mana pun tapi tak beradab, tak guna juga. Jangan ingat, diri tu hebat sampai tak hiraukan perasaan orang lain.”

Terkebil-kebil Adli Zafri. Marah betul-betulkah Lily Dayana?

“Apa pula salah aku? Dah kau yang selalu terkejut.”

“Jangan suka ambil kesempatan atas kelemahan saya. Tak semestinya tuan, anak tuan rumah ni boleh kata sesuka hati kat saya. Langit tak selalu cerah. Sekali-sekala, langit pun akan mendung. Tuan takkan selalu ada kat atas. Selalulah pandang kat bawah sebab kat situlah tempat tuan akan jatuh.” 

Lily Dayana terus berlalu menapak terus ke bilik. Pakaiannya habis basah lencun. Bau hanyir begitu kuat menusuk ke hidung. Dia mencapai tuala di penyangkut. Masuk ke dalam bilik air lalu duduk dengan menyandarkan tubuh ke dinding. 

“Kenapa, mesti aku? Kenapa!” kedua lutut dipeluk. Dihamburkan tangisan, ditahan dari tadi.

Macam mana dengan perjalanan hidupnya selepas bersatu nanti? Bala apa lagi akan menimpa? Masih berbakikah kesabaran untuk dia menghadapi kerenah dan ragam encik tuan yang sering menyakitkan hati? Air mata semakin laju mengalir. 

Setelah puas melepas perasaan, Lily Dayana melangkah keluar dari bilik air. Sara, sedang duduk di birai katil, dipandang sekilas. 

“Lamanya kau kat dalam tu?”

“Nasib aku keluar juga. Buatnya aku tidur terus dalam bilik air tu?”

Senyap.

“Yana, jangan ambil hati. Abang Adlikan selalu bergurau dengan kau.”

“Bergurau?” Lily Dayana merengus. Cukup pantang dia kalau ada orang membela encik tuan senget.

“Dahlah, Yana. Jangan ambil hati sangat. Ingat, seminggu lagi korang nak kahwin. Belajarlah terima dia.”

“Kau cakap senanglah. Bukan kau kena kahwin dengan dia. Aku yang kena hadap dia. Aku benci dia. Kau faham tak, Sara?” mata Lily Dayana berair.

“Tak baik cakap macam ni, Yana. Jangan benci orang sangat. Makan diri nanti.”

“Apa aku kisah? Hati aku ni sakit, tahu tak!”

Senyap.

“Kat mana salahnya Abang Adli, Yana? Kau aje tak pernah buka mata, keras hati. Tak nak tengok dia betul-betul.” Walaupun temannya nampak matang, perlu dinasihati juga. Sara cuba untuk memahami Lily Dayana. Mungkin kerana perjalanan hidup ditempuhi telah mengubah sikap temannya.

“Kenapa suka menangkan dia? Kau kawan aku atau dia, Sara?” 

Sara menghela nafas lagi. Tidak pernah lagi melihat Lily Dayana berang seperti ini. 

“Dah tentulah aku kawan kau. Sebab kawanlah, aku kena nasihatkan kau. Salah?” Sara memahami bahawa api, tidak boleh disimbah dengan minyak. 

Sepi. 

“Yana, maafkan aku. Tak ada niat nak buat kau terasa hati.”

Lily Dayana termenung jauh. 

“Sara, aku minta maaf. Tertinggikan suara tadi. Aku tak tahu nak buat apa? Aku buntu. Kalau aku boleh terbang macam burung, kan senang. Lari jauh daripada semua ni.”

“Tapi kau manusia, Yana. Kena hadap semua ni dengan berani.”

Senyap.

“Kau beritahu aku, Sara. Keputusan aku buat ni, betul atau tak?”

Sara mengambil nafas. Menyusun kata-kata dalam kepala sebelum meluahkan kepada Lily Dayana.

“Memang elok sangat kau kahwin dengan Abang Adli. Tak manis, duduk serumah walaupun kau dah jadi anak angkat. Kau kena ingat, jantina anak ibu tu, LELAKI. Jadi, tak salah keputusan kau ni.”

 “Aku dah buat Solat Istikharah, banyak kali. Sampai sekarang, satu petunjuk pun aku tak dapat. Dalam hati ni, aku dah mula was-was. Patut tak, aku teruskan semua ni, Sara?” perasaan Lily Dayana berkecamuk.

 “Sabarlah, Yana. Manalah tahu, malam ni atau esok, petunjuk kau tu sampai. Entah-ntah, lepas kahwin?”

“Tapi aku tak cintakan dia. Dia pula, lagilah. Bila jumpa, asyik nak cari gaduh. Macam dah jadi hobi dia pula.”

“Cinta, sayang semua tu boleh dipupuk nanti. Mungkin esok, atau lepas kau bersatu? Siapa tahu? Kau, kenalah yakin dengan kuasa-Nya. Yang penting sekarang, soal dosa pahala. Kau mesti faham apa aku cakap, kan?” soal hukum, bukan sahabatnya tidak tahu. Jadi, untuk apa Sara beri penerangan berjela-jela.

“Aku bukan apa, Sara. Perangai dia tu, buat aku hangin satu badan. Hari-hari, ada aje benda dia buat bagi aku sakit hati. Sabar aku ni ada had, tahu. Hilang sabar, tak tahu apa aku akan buat?”

“Kau ni, Yana. Janganlah fikir bukan-bukan.”

“Susahlah cakap sebab kau tak rasa apa aku rasa. Kalau asyik kecil hati dengan perangai dia, boleh hilang hati aku ni,” Lily Dayana merengus halus. 

“Sebab tu, kau kena buka mata hati kau. Pandang Abang Adli betul-betul. Perangai Abang Adli tu, tak adalah sedahsyat macam kau cerita kat aku. Yang penting sekarang, kau tu. Kena ikhlas,” Sara perlu menasihati Lily Dayana. Turutkan sangat persepsi buruk hingga menutup pintu hati untuk mengenali kaum lelaki. Bukan semua lelaki berperangai sama.   

Lily Dayana menghela nafas untuk kesekian kali.  

“Macam mana? Nak teruskan tak?” Sara memandang sahabat di sebelah.

Lily Dayana akhirnya mengangguk lemah sebagai jawapan. Apa bakal berlaku, dia harus berdepan. Hidup selagi bernafas, perjuangan harus diteruskan.

“Aku minta maaf buat kau tersinggung, Yana.” Tangan Lily Dayana diraih lalu digenggan kemas oleh Sara.

“Terima kasih, Sara. Bila difikirkan, betul apa kau cakap. Aku, kena ikhlaskan hati.” 


Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.