Dayana khusyuk ketika menyiapkan peralatan makmal untuk tugasan membuat eksperimen. Sedang sibuk, tiba-tiba dia disapa oleh satu suara. Mahu meminjam jam tangan. Mujur baik tabung uji sedang dipegang, tidak terlepas. Tidak perlu tengok muka, dia sudah tahu siapakah gerangan. Ahmad Fahim. Ada sahaja barang kepunyaannya akan dipinjam kebelakangan ini. Tanpa banyak soal, dia membuka jam tangan lalu dihulur. Pemuda itu, menguntumkan senyum hingga tidak mampu dihitung olehnya. Samalah juga dengan Irshad, sedang berdiri di belakang Ahmad Fahim, tersengih-sengih.
“Terima kasih, Yana. Sekejap lagi, saya pulangkan jam awak ni.”
‘Kenapa agaknya dengan diorang berdua tu? Jam sekarang, bukannya mahal mana? RM10, dah boleh dapat satu.’ Mata Dayana masih tertumpu ke arah mereka berdua yang sudah berada di dalam kumpulan.
“Kenapa tu, Yana?”
“Terkejut aku. Kau ni Sara...”
“Sampai macam ni terkejut? Mesti ada apa-apa ni?”
“Tak ada apa-apalah.” Dayana malas mahu melayan Sara lalu meneruskan kerja.
Telah lama Sara perasan gelagat aneh Ahmad Fahim. Hendak diajukan soalan kepada Dayana, malas pula. Telahannya hanya tersimpan kemas jauh ke lubuk hati. Dia hairan, mengapa Dayana langsung tidak perasan dengan cara Ahmad Fahim? Terang-terangan mahu menarik perhatian? Hati batukah Dayana? Tidak ada perasaankah sahabatnya? Makhluk asingkah Dayana?
“Apa Fahim nak?”
“Pinjam jam tangan aku.”
“Oh.” Panjang muncung Sara.
“Aku peliklah dengan diorang tu, Sara. Tambah-tambah, si Fahim.”
“Pelik pasal apa?” Sara semakin mendekati Dayana. Teruja ingin tahu.
“Tak adalah, Fahim tu...”
“Kau ni, cepatlah sikit cerita!” Berdebar-debar pula Sara. Apakah agaknya akan dikatakan oleh Dayana? Adakah hati dan perasaan Dayana sudah berfungsi secara normal?
“Tak adalah, dalam ramai-ramai ahli kumpulan diorang tu, takkanlah sorang pun tak pakai jam?” Dayana mengutarakan kemusykilannya.
‘Lah, Yana ni,’ Sara menepuk lembut dahi.
Berkerut kening Dayana melihat reaksi Sara. Malas pula mahu ambil pusing, dia menyambung kembali tugas. Sambil-sambil, fikiran melayang sedikit. Kebelakangan ini, Ahmad Fahim dan Irshad sering mencuri pandang. Apabila dia memandang kembali, cepat-cepat mereka mengalihkan pandangan dan berbisik sesama sendiri.
‘Entah-ntah, diorang kutuk aku, tak?’ teka Dayana, mula memasang serkap jarang.
‘Ish, tak baik pula fikir macam tu. Aku agaknya, perasan lebih,’ sambungnya.
“Oi, kau menung apa!”
Dayana tersentak. Nafas lega ditarik panjang. Sekali lagi,nasib baik tidak terlepas tabung uji di tangan.
“Bertuah betul kau ni. Kalau pecah benda alah ni tadi, kau nak ganti?”
“Tak pecahkan?”
Mencerlung mata Dayana memandang Sara.
“Jawapan kaukan... ei,” giginya diketap.
Mereka menjelir lidah sesama sendiri. Sudah lama tidak mengukur panjang mana lidah masing-masing. Tidak mahu kalah pula tu.
“Dah, dah berhenti. Tak laratlah. Nak kebas dah lidah aku ni, Yana.”
“Yes, aku menang.” Dayana tayang senyum bangga sebaik Sara mencebik. Bukan senang mahu memenangi acara ini kerana selalunya, dia akan beralah. Dia selesa berkawan dengan Sara kerana jarang menjadi pendiam dan pemalu.
“Wei, Yana,” Sara diam seketika.
“Apa?” Dayana mengerut kening.
“Kau memang tak pernah rasa pelik dengan perangai Fahim tu?”
“Lah, tak habis-habis lagi kau Sara? Pelik apanya?”
“Kau takkan tak perasan, cara dia dekat dengan kau selama ni?”
“Kau jangan nak takutkan aku, Sara. Dekat macam mana pula? Apa tak kena dengan Fahim tu?” Meremang naik bulu romanya.
“Taklah, dah lama aku perhatikan Fahim tu. Macam... nak ngurat kau aje.”
Dayana meledakkan tawa. Dia terdiam sebaik perasan sedang menjadi perhatian. Dijeling tajam pula Sara yang mengekek perlahan. Tingkah Irshad dan Ahmad Fahim, tersengih panjang juga menyemarakkan sedikit rasa geram di hati. Sudahnya, dia berpura-pura sibuk.
“Kau jangan cakap macam ni lagi. Tak ada maknanya dia nak mengurat aku, yang tak cantik ni.”
“Kau yang rasa rendah diri sangat, Yana. Cuba...”
“Dah, dah! Aku tak nak dengar.”
Sara beralah juga. Malas mahu bertekak dengan Dayana. Sara yakin, satu hari nanti Dayana akan sedar, kecantikan juga diwarisi oleh temannya.