Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
16.2

Waktu rehat kali ini teramatlah membosankan. Kali pertama, Dayana makan seorang. Telah dua hari berlalu. Syifa seperti biasa, mencipta alasan, mengelak untuk rehat bersama-sama. Ah, seksanya. 

Selesai makan, cepat-cepat dia melangkah masuk ke dalam kelas sedang pelajar lain masih lagi berlegar-legar di luar sementara menantikan loceng tamat waktu rehat berbunyi. Dia duduk di kerusi, menongkat dagu. 

Setelah beberapa ketika, dia melihat susuk tubuh Syifa sedang berlenggang-lengguk. Semakin lama semakin dekat. Senyuman manis dileretkan.

“Nama kau, terpilih untuk skesta drama raya nanti.” 

“Kau, masukkan nama aku?” Luas biji mata Dayana memandang Syifa.

“Bukan aku. Cikgu Halim.” 

Dayana mendecit perlahan. 

“Nak join, tak?” Bercakap dengan Dayana beberapa hari ini, seolah-olah tiada semangat. Geram, masih belum kurang. 

“Aku, okey aje.” Kurang senang Dayana dengan reaksi dingin Syifa.

“Syifa, tunggu.” 

Syifa berhenti. 

“Apa?” Lambat-lambat Syifa berpaling.

“Lepas ni, buang mogok kau tu. Pesan sekali kat kembar bertuah kau, dengan kawan baik dia tu. Aku mengaku, aku salah. Aku minta maaf.” 

“Betul ni?” Muka Syifa serta-merta bertukar ceria.

“Iya.”

“Sayang, kau. Barulah ceria balik hidup aku ni.” Lantas, Syifa memeluk Dayana, erat-erat.

“Hesy, boleh mati lemaslah aku, Syifa.” 

Pelukkan telah pun terlerai. Syifa sengih panjang.

“Bila latihan? Kau ada sama tak, Syifa?” 

“Mestilah. Kalau aku tak ada, tak meriah nanti. Waktu balik, berkumpul kat dewan sekolah.” 

Daripada nada suara Syifa, Dayana dapat menggagak, betapa teruja sahabatnya dengan sketsa tersebut. 

 “Bunyi macam menarik,” kata Dayana perlahan. 

Sesi latihan untuk sketsa dimulakan seperti dirancang. Masing-masing terpegun dengan kebolehan terpendam Dayana, menyanyi hingga memukau semua.

“Merdu suara awak. Tak sangka, awak ada bakat menyanyi.” 

“Mana ada, cikgu? Setakat menyanyi dalam bilik air aje, bolehlah.” Malu Dayana apabila dipuji. 

“Adik saya ni, memang boleh menyanyi. Masa kat sekolah rendah dulu, dia aktif. Bila dah masuk sekolah menengah kurang sikit sebab arwah mak, tak berapa suka.” 

Ammar Najjah, memicingkan telinga. Banyak misteri tentang Dayana mulai terungkai. Selama ini, dia banyak merisik daripada Syifa dan Liyana, tentang Dayana. Seorang yang berkebolehan. Pandai serba-serbi. Selalu dia berangan-angan. Memasang niat, mahu memiliki Dayana. 

Mereka bersurai seketika. Syifa dan rakan-rakan lain ke tandas. Dayana mengambil tempat di satu sudut di belakang dewan, mahu minum air yang dibawa. Kering tekak kerana disuruh menyanyi tadi. 

Sedang meneguk air, mujurlah tidak tersembur. Terkejut dengan suara sergahan dari arah belakang. Pantas mengalihkan tubuh, melihat susuk tubuh empunya suara yang menghoikannya tadi.

“Nak apa?” Dayana menjeling tajam.

“Tahniahlah! Sejak kau ada, kami ni macam tak ada fungsi. Asyik-asyik, Dayana. Sikit-sikit, dahlah tunjuk belang. Bagilah peluang pada kami, tunjuk bakat.” 

Dayana gelak kecil dengan pujian yang sebenarnya lebih kepada sindiran. Pelik? Kenapa perlu rasa tergugat dengan dirinya yang serba kekurangan ini? 

“Lepas ni, saya akan beritahu pada sesiapa yang nak calonkan saya, supaya lupakan hasrat mereka tu. Saya akan syorkan nama awak pula nanti, Laila.” 

“Kau jangan nak tunjuk bagus. Sejak kau ada kat sekolah ni, Ammar dah jarang cakap dengan aku. Aku rasa, elok kau jauhkan daripada dia. Aku nak kau tahu yang aku dengan Ammar, couple.” Laila memberi peringatan.

Dayana menyengetkan mulut sambil mata, dijulingkan ke atas. Jengkel.

“Tu pun nak kecoh? Soal awak bercinta dengan Ammar, tak ada kaitan dengan saya. Tak payah susah-susah, bagi amaran.”

“Kau jangan berlagak, Yana.”

“Saya pindah ke sini bukan nak cari lelaki idaman. Saya nak tuntut ilmu. Macam nilah Laila. Lebih baik awak jaga Ammar elok-elok, sebelum saya kebas.” 

“Kau! Ingat, Yana. Jangan usik Ammar!”

“Laila. Lagi sekali awak gertak saya, saya kebas betul-betul Ammar. Biar awak gigit jari nanti!”

Selesai membalas kata-kata Laila, Dayana berlalu pergi. Malas mahu melayan ragam Laila. Buat malu, bergaduh sesama kaum hanya kerana seorang lelaki. Mengapa harus Laila mendapat jolokkan ratu sekolah, cemburukannya? Bagaikan langit dan bumi. Terang-terangan Laila menuduhnya. Sedangkan, bila pula dia dengan Ammar Najjah berpasangan? 

Bukan dia suka menonjolkan diri. Cikgu Halim, orang yang mahu sangat melihat penglibatannya dalam pelbagai aktiviti di sekolah. Berada di sini, sedikit sebanyak dapat mengubah dirinya. Dayana seorang pendiam, mahu ditinggalkan secara perlahan-lahan. Pendirian tegas serta sikap rendah diri tetap dikekalkan kerana sudah sebati dengannya.


Previous: 16
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.