Seksanya Dayana rasa. Mahu melalui sehari, bagaikan seminggu jaraknya. Lemas betul dia dengan kehadiran Shahiman. Jika tiada sepupunya, rasa jengkel akan berkurangan atau tiada barangkali. Esok, barulah majlis perkahwinan berlangsung. Anak lelaki ketiga Puan Maznah akan berkahwin. Kalau tahu begini jadinya, esok hari baru dia ke mari. Tidak banyak kerja perlu dilakukan. Kenduri-kendara, jika menggunakan khidmat katering, tuan rumah tidak perlulah bersusah-payah seperti kenduri secara gotong-royong.
Dayana sedang duduk di atas bangku kecil. Di depan, seperiuk sederhana besar, berisi beberapa bungkusan telur sedang di rebus. Walaupun agak berbahang suasana di sekitar, dia rela. Oleh kerana malas mahu menatap muka Shahiman lama-lama, masa banyak dihabiskan di ceruk dapur. Mujurlah banyak juga kuantiti telur ayam hingga ratusan biji perlu direbus.
“Kesian kat sayang abang ni. Mari, abang lapkan peluh.”
“Ish,tak payah!” Dengan pantas Dayana yang sedikit terkejut, mengelak.
“Abang nak tolong, marah pula.”
Dayana menjuihkan bibir.
“Untung abang nanti...”
Dayana dengan spontan memandang ke arah Shahiman sambil kening kiri diangkat.
“Untung apanya pula?” Senyum sinis di bibir sepupunya bagai mempunyai sesuatu makna. Ini mesti ada apa-apa?
“Untunglah, sebab dengan kerajinan Yana yang macam nilah buat abang angau teruk. Kan bagus kalau ni, kenduri kahwin kita.”
‘Kan, dah agak.’ Dayana merengus halus.
Senyap.
“Abang Iman...”
“Ya, sayang.”
Dayana mengetap bibir. Malas mahu bertikam lidah. Lagi ditegah memanggilnya sayang, lagi menjadi-jadi tingkah gatal sepupunya.
“Kawan baik abang tu, tak ada saudara-mara?”
“Yang abang tahu, arwah ayah dengan mama Badrul, tak ramai adik-beradik.”
“Oh.”
“Tanya ni, kenapa? Berkenan?”
“Kalau orang kata berkenan?” Dayana menayang mimik nakal. Peluang keemasan ini perlu diambil. Bukan senang mahu mengusik Shahiman.
Shahiman membeliakkan mata. Biar betul pujaannya?
“Serius ni?” Shahiman menelan air liur. Mimik muka Dayana kelihatan... Argh, hatinya terasa pedih.
“Ehem!”
Deheman agak kuat membuatkan Dayana dan Shahiman berpaling serentak.
“Uih, kau ni Bad. Terkejut aku.” Shahiman kurang senang melihat mata Badrul statik ke arah Dayana.
“Terkejut? Ini mesti tengah mengata aku?” Badrul menyimpul satu senyuman yang mampu menggetarkan jiwa mana-mana gadis tatkala Dayana mengangkat sedikit muka dan bertentang mata dengannya. Pantas senyuman dikendurkan kembali sebaik Dayana memalingkan muka ke arah lain.
“Yup, memang tengah mengata kau. Puas hati?” Shahiman semakin risau dengan ulah Badrul. Terang-terang ragam ditunjukkan oleh kawannya mahu mengurat Dayana. Kenal sangat dengan gaya senyuman Badrul.
“Patutlah masa makan tadi, aku tergigit lidah.”
Senyap.
“Eh, lupa pula aku. Iman, mak ngah kau cari tadi.”
“Mak ngah aku cari? Betul ni Badrul?” Kening Shahiman bercantum.
“Ya, mak ngah kau cari. Buat apa nak tipu.”
“Hmm, yelah. Sayang, abang pergi dulu. Jaga-jaga tau, ada seekor buaya darat kat sini. Takut nanti kena gigit pula.” Shahiman pantas berlari sebelum sempat dibaling sebiji telur oleh Badrul.
Dayana masih membatukan diri. Ketiadaan Shahiman menjadikan dia sangat tidak selesa. Bertambah kekok apabila Badrul duduk di bangku kecil yang baru sebentar tadi diduduki oleh Shahiman. Apa perlu dilakukan? Perlukah dia bangun, meninggalkan tugasan?
“Memang dua beradik aje?”
Dayana teragak-agak. Adakah soalan itu, untuknya? Eh, memang yelah. Bukankah hanya mereka berdua sahaja di sini? Akhirnya, dia mengangguk perlahan.
“Mesti hidup terasa kurang, membesar tanpa ayah, kan?”
Dayana mengangguk perlahan lagi. Mulut bagai dizip, terasa ketat mahu dibuka untuk menjawab.
Badrul meneliti muka di sebelah secara sipi-sipi. Semakin lama, semakin dia terpaut. Adakah begini, perasaan angau dialami oleh Shahiman? Sedangkan dia, baru mengenali Dayana sudah jadi begini, bagaimana pula dengan Shahiman?
Dayana pula enggan melayan perasaan kekok. Telur yang telah masak di dalam periuk panas mahu diangkat tetapi...
“Eh, biar abang buat. Awak rehat.”
‘Berabanglah pula dia ni. Kan elok kalau dari tadi tolong aku. Ini tak, elok dah nak habis baru nak tolong.’ Dengan lirikan mata, Badrul dipandang sekilas.
“Nak buat apa lepas ni?”
“Biarkan dalam tapis tu. Nanti, Yana susun dalam bekas telur semula.” Tanpa menunggu lama, plastik panas berisi telur digunting. Air di dalam plastik telah dibuang dan dengan perlahan-lahan dengan menggunakan penyepit, dia mengeluarkan telur tersebut hingga selesai semuanya.
“Boleh tak, abang nak kenal Dayana lebih dekat?” Walaupun agak payah, berjaya juga Badrul bertanya.
Dayana tersentak.
Senyap.
“Tanya Yana, sampai setahun dia takkan bagi jawapan. Boleh Abang Bad. Kalau nak tahu pasal Yana, mari Lia ceritakan.”
Dayana menunjukkan reaksi kurang senang di muka. Lantas, mata telah dijegil luas ke arah Liyana yang datang menyampuk secara tiba-tiba. Malas mahu duduk lama-lama, dia bingkas bangun. Bakul berisi telur telah siap direbus lantas diangkat dan segera beredar. Sebaik mendekati Liyana,
“Lia, jangan nak memandai.” Dayana terus melangkah pergi tanpa menghiraukan reaksi dua insan itu.