Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 1.2

Riuh-rendah kelas sebaik loceng berbunyi. Masing-masing, sibuk mengemas beg, tidak ketinggalan Dayana. Sebaik beg telah selamat dizip tanpa sengaja, dia terpandang ke arah meja di kanan. Si dia, sedang menggalas beg ke bahu. Tiba-tiba, pandangan bersatu. Si dia senyum. Dia kaku. Gelabah, mula menyerang. Lekas-lekas berdiri. Beg diangkat lalu digalas ke bahu kanan kemudian dengan laju mengatur melangkah menuju ke pintu kelas. Dek kerana kelam kabut tanpa disedari, dia telah terlanggar sesuatu lalu elok sahaja jatuh terjelepuk ke lantai dengan gaya ayu.

‘Apa benda aku langgar ni? Keras gila!’ Tangan menggosok hidung yang sedang kebas. Mujur tidak patah.

Dayana mendongak. Terbesar anak mata bagai mahu terkeluar. Mujurlah masih kuat gam melekat di kantung mata. Dia mengeluh dalam hati. Terkial-kial cuba untuk bangun. Dalam keadaan agak kelam kabut, entah bagaimana dengan selamba, dia menyambut satu tangan yang dihulur. Setelah berdiri dengan stabil, dia memandang ke muka si baik hati yang sudi menolong. Matanya membesar lagi.

“Awak, okey?” Senyuman manis dileret panjang. Siapa tidak seronok? Pertama kali, tangan Dayana berada dalam genggaman.

Dayana terkedu. Tangan yang menyambut huluran si dia kini telah mencengkam tepi baju kurung. Kalau boleh mahu disental, menghilangkan dosa tercalit tadi.

‘Haram ni, haram!’ Bibir bawah digigit kuat. Muka, sudah lain macam tambahan melihat si dia senyum. Kacau ni.

“Yana...” tegur si dia.

Dayana tidak membalas. Malu, geram... ditahan. Lantas, dia berpaling. Sudahlah semua rakan sedang mentertawakannya. Kebas muka menahan malu. Tidak sanggup berlama, sebelum telinga berasap mendengar sindiran teman-teman lain, lebih baik dia angkat kaki. Melihat aksi Adibah, gelak sambil menekan perut makin memanaskan hati.

Dayana mengelap peluh terbit di dahi. Hampir kematu kaki kerana lama menunggu di bawah pondok berdekatan pagar sekolah. Hampir lima minit berlalu. Daripada berdiri hinggalah duduk di kerusi batu, masih lagi tidak kelihatan bayang Sara.

“Manalah Sara ni? Lambat betul. Aku tinggal juga minah ni nanti.” Tudung putih, dikibas-kibas laju. Melekit tubuh dek kerana peluh yang terbit membuatkan dia kurang selesa. Benar-benar penantian, satu penyeksaan.

Ish, hilang sabar juga aku dengan Sara ni nanti. Tapi, berani ke, aku nak marahkan Sara depan-depan? Dahlah mulut minah tu laser.” Dayana sengih. Semakin laju tudung dikibas.

“Awak... betul-betul okey?”

Tegak tubuh Dayana seperti terkena renjatan arus elektrik. Suara itu...

“Yana...”

Perlahan-lahan Dayana menoleh ke arah tuan empunya suara, tiba-tiba datang menyapa dari belakang. Tersentak pula dia sebaik menoleh. Muka kembali panas dan mula membahang. Malu, datang menempel dengan tidak semena-mena.

“Yana...”

Err, saya okey.” Cepat-cepat berpaling ke arah lain kemudian menunduk kerana gugup.

Senyap.

Sebaik mengangkat semula muka, Dayana nampak Irshad nun di sana sedang senyum. Lekas-lekas dia mengalih pandangan ke arah lain sambil menjulingkan mata ke atas. Senyuman Irshad..huh, sangat menjengkelkan. Dia mencebik.

‘Comel,’ desis hati si dia sambil tersenyum. Mata masih merenung gadis di hadapan. Ulah Dayana, benar-benar memikat hatinya.

Dayana mengerling sekilas, pantas menunduk lagi. Malu kerana perasan sedang ditenung oleh si dia. Kalaulah ada kuasa magik, sudah lama dighaibkan diri. Tidak tahu, mahu tunjukan reaksi apa? Lebih-lebih, takut dicop perasan pula nanti. Lain macam pula rasa, berdua-duaan begini walaupun di tempat terbuka.

“Yana, lain kali masa jalan, pandang depan bukan bawah. Nasib baik langgar belakang saya berlapikkan beg mahal ni. Buatnya awak langgar dinding tadi, tak pasal-pasal benjol dahi tu?” Irshad menyakat sebaik tiba. Terhibur dengan lawak seorang gadis pendiam hingga senak perut ketawa.

Dayana mengetap gigi. “Lain kali hati-hati, Yana,” si dia pula berpesan.

“Betul tu, Yana.”

‘Sibuk aje!’ Dayana mencebik. Sikit pun tidak memandang Irshad. Mana nak disorokkan muka? Takkan dalam beg sekolah? Dia bukanlah berada di zon selesa dengan kehadiran mereka berdua. Entah mengapa, boleh terlebih ramah pula dengannya hari ini?

‘Manalah kawan aku ni. Lambat lagi ke kau, Sara?’ Dayana merungut.

Dayana masih berdiri bagai patung. Hingga kini, dia tidak punyai kekuatan untuk bertentang mata dengan mereka berdua. Walaupun mengenali Irshad sejak dari sekolah rendah, sangatlah jarang mereka bertegur sapa apatah lagi dengan rakan-rakan lelaki lain. Boleh dibilang dengan jari sekiranya ada perbualan antara mereka.

Bukan tidak pernah cuba jadi peramah.Seperti ada sesuatu menghalang. Seperti tidak layak bercakap dengan mana-mana lelaki kerana sedar perwatakannya kurang menarik. Dia tidak yakin dengan diri sendiri. Selama mengenali Irshad, inilah dialog paling panjang berlaku. Walaupun Irshad gemar mengusik, tidaklah seperti hari ini. Dari ekor mata, dia terperasan si dia senyum. Ada sawan senyum ke?

‘Mana kau, Sara? Cepatlah! Aku lemas kat sini lama-lama!’

Sorrylah aku lambat.” Termengah-mengah Sara kerana mengejar masa.

Dayana merasa lega sebaik mendengar suara itu.

“Kenapa lamb...” Dayana terdiam sebaik melihat mata Sara membesar.

Eh, kau Irshad, Fahim? Kenapa ada kat sini?” Kening kiri Sara sudah terangkat.

"Kami...”

“Nak menyakat Yana, ya?”

“Salam bagi pun tak, main serbu aje.” Irshad membidas.

“Assalammua’laikum. Korang buat apa kat sini?”

Ei dia ni, loyar buruk pula. Dahlah.  Jom, Fahim. Malas nak layan dia ni. Tak pasal-pasal, kita kena fire nanti.” Irshad lantas menarik lengan Ahmad Fahim. Mereka terus berlalu meninggalkan Dayana dan Sara. Terbantut hasrat Irshad mahu mengusik Dayana lagi. Kacau daun betullah Sara yang terkenal dengan mulut laser.

Sambil mengatur langkah seiring Irshad, sempat lagi Ahmad Fahim memandang Dayana sambil senyum. Sebaik pandangan bersatu dengan Dayana, dia mengenyitkan mata pula.  

Dayana terkedu. Dengan berbekalkan sedikit keberanian, dia membalas senyuman Ahmad Fahim.

Eh, betul ke apa aku buat ni?’ Dayana serba salah, lekas-lekas membantutkan senyuman.

Yes!’ Ahmad Fahim gembira. Berbunga-bunga rasa hati apabila gadis dipuja dalam diam memberikan respon baik.

‘Biar betul Fahim ni? Aku... tengah mimpi ke?’ Dayana tertunduk malu.

Hah, jomlah lekas! Tercegat kat situ lagi, kenapa?” Sara sebenarnya perasan kejadian tadi, berpura-pura buat tidak tahu. Dia mahu menjaga air muka Dayana yang sangat pemalu.

Ekeleh, dahlah aku tunggu dia berejam. Boleh pula aku kena marah. Hesy, sabar ajelah aku.” Berani cakap kuat-kuat? Nak kena laser dengan Sara?

 

Previous: Bab 1.1
Next: Bab 2.1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.