Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 32

Dua minggu semenjak encik tuan kembali, ketenangan Lily Dayana telah hilang. Kenapa ya, encik tuan sering mencari pasal dengannya? Bermacam-macam helah digunakan untuk mengenakannya. Ada sahaja kerja perlu dilakukan hinggakan pakaian encik tuan pun terpaksa dibasuhnya. Patutkah? Dia bukan orang gaji! 

“Hah, mengata...” 

Senyap.

Lily Dayana gelak kecil sebaik melihat encik tuan sedang terkebil-kebil. Padan muka! Kan dah kena sembur dengan air paip.

“Maaf, tuan.” Lily Dayana sengih. Puas hati.

“Kau!” Adli Zafri mengetap gigi. Geram. Ada sahaja masalah akan ditimbulkan oleh si minah apabila bertembung.

“Siapa suruh sergah?” Muka encik tuan macam singa lapar menjadi tatapan secara sipi-sipi. Lily Dayana menelan air liur. Memang beginikah rasa air liur? Kelat.

“Kau memang sengaja cari pasal dengan aku, kan? Nanti kau.” Adli Zafri lantas merampas getah paip daripada tangan Lily Dayana. Bersemburan air paip mengenai si minah. 

“Apa ni!” Lily Dayana menempik. Berusaha keras mengelak.

“Balas baliklah.” Adli Zafri gelak besar.

“Dah gila!” Lily Dayana cuba menjauhkan diri.

“Apa pula gila? Tiap perbuatan pasti ada balasan.” Adli Zafri senyum mengejek. 

“Habis basah baju saya ni!” Nada suara gagal dikawal. Berangin satu badan Lily Dayana. 

“Apa, kau punya basah aje kau tahu. Aku punya basah kau tak ki...” Adli Zafri terdiam. 

‘Eh, lain macam pula ayat aku ni,’ bisik Adli Zafri. Kepala digaru walaupun tidak gatal. Tersengih pula. Macam mana boleh berperangai budak-budak? 

“Tepilah! Saya nak lalu.” Lily Dayana bengang. Ikutkan hati, ada kena tolak sampai jatuh terlentang atas rumput nanti. Nasib haram disentuh. 

“Aku... minta maaf.” Adli Zafri baru tersedar keterlanjuran laku terhadap Lily Dayana. 

“Simpanlah maaf tuan tu. Tak ada makna buat saya.” 

“Aku minta maaf. Aku tak senga...” 

Tanpa sempat Adli Zafri menghabiskan ayat, Lily Dayana meluru ke dalam rumah. 

Adli Zafri hanya mampu melihat. Mengapa pula dia merasa sakit? Ah, peduli apa dengan minah tu! Malas mahu ambil pusing, dia mengambil alih kerja menyiram pokok bunga di laman.

Lily Dayana berlari. Malu. Sudahlah dia memakai baju kurung berfabrikan daripada cotton. Walaupun memakai inner di dalam tapi bayangkan bagaimana pakaian basah melekat elok di tubuh? Mengapa melampau gurauan encik tuan hari ini? Tidak tahukah tentang batasan antara mereka? 

Sementara itu di laman,

“Apa Adli dah buat?”

Adli Zafri terkejut dengan teguran ibu secara tiba-tiba, pantas menoleh. Mujurlah bukan jenis Lily Dayana, mudah terkejut. Kalau tidak, ibu pula akan basah lencun nanti.

“Buat apa?” 

“Jangan ingat ibu tak nampak apa jadi tadi.”

“Alah, gurau sikit aje pun.” Adli Zafri mempertahankan diri. 

“Adli ni pun satu. Dah tahu Lily akan terkejut masih nak usik. Tengok, apa dah jadi sekarang? Mesti dia malu. Adli, Adli.” Menggeleng lembut Hajah Sabariah.

Senyap.

“Apa nak jadi dengan Adli ni?”

Adli Zafri menghela nafas.

“Adli betul-betul tak sengaja tadi, ibu.” 

“Kalau nak tahu, Lily tu jenis jaga adab. Selama dia tinggal kat sini, sehelai rambut dia pun ayah tak pernah nampak. Bila Adli buat dia macam tu tadi, ibu tak dapat bayang macam mana perasaan dia? Mesti dia sedih.”

“Alah ibu ni. Dia tu sensitif tak kena gaya. Mengada-ngada.” Kenapa perlu dia hirau dengan perasaan si minah pula?

“Tengok tu. Apa ibu cakap, tak pernah Adli sumbat dalam kepala. Cubalah serius sikit.”

“Yelah, yelah. Ibu tolong pujuk dia.” 

“Dah, pergi masuk. Bersihkan badan. Basah lencun baju Adli tu.” Hajah Sabariah hampir gelak besar tadi. Terbantut sebaik melihat Lily Dayana meluru ke dalam dengan linangan air mata. Dalam hal ini, dia menyalahkan anak bujang yang sangat bertuah.

“Tercegat apa lagi, cepatlah masuk,” gesa Hajah Sabariah.

“Orait mem. Adli sayang ibu.” Dipeluk ibunya. Dengan pantas pula berlari meninggalkan ibu sebelum penyepit berbisa ibu singgah ke lengan.

“Adli! Ish, nak kena budak ni!” Mana tidak, Hajah Sabariah juga turut basah. 

Tidak pernah surut riang ria anak bujangnya. Hajah Sabariah menggeleng lemah. Sambil melihat anak bujang berlari masuk, kedengaran suara orang memberi salam dari luar. Bergegas menuju ke pagar. Panjang leher mengintai di sebalik pintu pagar besi.

“Lah, ingatkan siapa tadi. Mari, masuk.”

Sara melangkah masuk lalu tangan Hajah Sabariah dicapai dan kemudian dikucup. Sudahnya, dia juga akrab dengan ibu angkat Lily Dayana. 

“Yana ada, ibu?”

“Ada, kat dalam bilik dia. Masuklah. Buat apa tercegat kat situ lagi, Irshad?” 

Irshad sengih kemudian melangkah masuk juga.  

 Lily Dayana sedang duduk bersandar di pintu bilik sambil memeluk lutut. Air mata enggan berhenti mengalir. Encik tuan benar-benar melampau! Selama ini, masih boleh bersabar dengan setiap kerenah encik tuan. Walaupun kadangkala begitu keanak-anakan perangai, demi menghormati anak tuan rumah, dia layankan. 

Ketukan di pintu bilik telah menyentakan Lily Dayana. Lambat-lambat bangun memulas tombol. Sebaik pintu terkuak, serta-merta mukanya berubah. 

“A..aku minta maaf. Aku tak sengaja tadi. Kau, okey?” Gagap Adli Zafri. Gugup apabila berdepan. Mata Lily Dayana dijeling sekilas. Menangiskah?

“Tuan nak apa!”

“Aku...”

“Lebih baik tuan pergi. Jangan kacau saya.” 

“Dengar dulu...” 

“Tak nak!” Lily Dayana mahu menutup pintu tapi tersekat. Dia melihat ke bawah. Dia merengus halus. Kaki encik tuan menjadi penyendal pintu pula. 

‘Dia ni memang tak faham bahasa kot?’ Dia mendongak. Lelaki yang tinggi hampir sekaki daripadanya, dipandang geram.

“Hei, apasal sombong sangat! Kira dah cukup baik tau aku nak minta maaf. Kau jangan berlagak sangat, boleh tak!” Adli Zafri geram. Dah minta maaf, jual mahal pula. 

“Suka hatilah. Tolong alihkan kaki tuan yang cantik tu. Saya nak tutup pintu.” 

Beberapa saat berlalu, encik tuan ibarat tunggul kayu. Lily Dayana geram, mula bertindak. Disepak kaki itu. Sebaik tubuh encik tuan terundur sedikit, lekas-lekas dia menutup pintu. Kunci diselak dari dalam. Bimbang kalau diterjah. Itupun kalau encik tuan beranilah.

Adli Zafri tergamam. 

“Dia memang tak takut dengan aku? Ish, tak boleh jadi ni. Kena buat sesuatu bagi dia hormat aku. Jagalah kau minah kalut!” 

Lily Dayana tersentak lagi dengan bunyi ketukan di pintu. 

“Ei, apa lagi dia nak! Tak habis-habis menyusahkan hidup aku.” Lily Dayana kembali merapati pintu. Dengan perasaan geram membuak-buak, laju tangan memulas tombol.

“Tuan nak ap...” mulut Lily Dayana melopong.

“Tuan? Tuan mana, Yana?” 

“Kau.”

“Ya, aku.”

“Bila sampai?” 

“Kau ni kenapa, Yana? Macam nampak hantu?”  

“Kau dah jadi hantu, Sara?” 

“Banyaklah kau punya cekadak. Siapa lelaki tadi tu? Garang semacam aku tengok?”

“Shh. Masuk dulu. Nanti aku cerita.” Lily Dayana menarik lengan Sara. Sempat lagi menjenguk ke luar. 

“Kenapa dengan kau, Yana?” berkerut dahi Sara dengan kepelikkan perangai sahabatnya

Lily Dayana sengih.

“Kau sihat tak?” Tangan Sara melekap ke dahi Lily Dayana. Tidak panas.

“Kau nangis? Apa dia tu buat kat kau? Beritahu aku. Biar aku ajar dia. Berani buat kawan aku menangis.” Sara menyenteng lengan baju hingga ke siku.

“Kau ingat senang nak serang orang, Sara. Tak padan dengan kecil.” Lily Dayana gelak. Terlupa seketika kedukaannya.

“Habis tu, takkan nak duduk diam aje? Biar aku pergi ajar dia!” Sara menyenteng lagi lengan baju. Gaya mahu ajak bergaduh, jelas ditunjuk.

Lily Dayana gelak kecil. Geli hati dengan telatah Sara.

“Dah, dah. Tak ada apa-apalah. Aku, tengah kemas bilik ni. Banyak sangat habuk. Tu yang bersin tak berhenti sampai berair mata aku ni.” 

“Hai, bukan kau selalu mengemas? Macam mana boleh banyak habuk pula?”

“Dah nama pun habuk, Sara. Bukan nak nampak sangat kalau halus.” 

“Betul ni, Yana?” Sara menilik muka sahabat.

“Iya, betul.”

“Kau tak tipu akukan, Yana?”

Lily Dayana menarik nafas dalam-dalam, menghembus perlahan. Banyak soalan pula Sara.

“Kalau macam ni, sampai esok pun tak habis soal siasat kau tu. Dahlah, jom ke bawah. Kesian ibu. Sorang diri kat bawah tu.” Tangannya pantas menyambar lengan Sara lalu dituntun ke pintu.

“Eh, kejap. Tak nak tukar baju dulu? Betul-betul kau mengemas sampai mandi peluh.” 

Lily Dayana menepuk dahi. 

“Kau pegi dulu. Aku nak salin baju.” Lily Dayana meloloskan diri ke dalam bilik semula. Sibuk mencari alasan berdalih, sampai pakaian dipakai sedang basah tidak dihiraukn. 

Sebaik selesai menyalin pakaian, laju langkah Lily Dayana diatur ke dapur.

“Turun pun anak ibu. Sara, tolong bawa air ni ke depan.” 

Sara menuruti. Dengan penuh tertib mengangkat dulang dan berlalu pergi. 

“Lily, tolong ibu goreng bihun?” Melirik ke arah mata si gadis yang agak sembab. 

“Semua rencah dah ada,” sambung Hajah Sabariah. 

Lily Dayana mengangguk lembut. Bibir menyimpul senyum seciput. Sebaik mahu mengorak langkah, lengan ditarik dan kini berada di dalam dakapan ibu angkatnya. Begitu kemas pelukkan ibu membuatkan dia terkaku.

“Ibu minta maaf, sayang. Ibu tak pandai didik anak. Lily jangan ambil hati dengan abang kamu tu, ya?” Belakang kepala si gadis digosok lembut. 

Lily Dayana meleraikan pelukan.

“Apa ibu cakap ni?”

“Ibu nampak apa anak bertuah tu buat tadi.”

Lily Dayana menghela nafas. 

“Bukan salah siapa pun. Lily yang ikut perasaan sangat. Lily yang tak boleh terima gurauan Abang Adli tu.” 

“Lily marah lagi?” 

Lily Dayana menggeleng laju. 

“Lily maafkan Abang Adli, ya.”

Senyap.

“Abang Adli memang perangai dia macam tu dari dulu. Suka bergurau.”

Lily Dayana, senyum kelat. Dengan ibu, tidak mengapalah bergurau macam tadi. Dengan dirinya, mana ada pertalian?

“Ibu, dahlah. Kita jangan panjangkan hal ni. Tak payah nak fikir lagi dah. Lily okey.”

“Amboi, nasihat kita pula.” Hidung mancung itu dicuit. Tertawa bersama.

“Lily goreng bihun tau.” 

“Okey mem.” Lily Dayana sambil membuat tabik hormat. 

“Sama betullah perangai korang berdua.” Antara Lily Dayana dan Adli Zafri ada persamaan. Suka bergurau dan sering membuatkan hati Hajah Sabariah terhibur.

Setelah setengah jam di dapur,

“Bihun  goreng dah siap.” Lily Dayana memegang sebuah mangkuk besar. Berkepul-kepul naik asapnya. Aroma pula, begitu menusuk ke kalbu. 

Dengan penuh hemah dia meletakan mangkuk di atas meja. Menyambut sepinggan bihun goreng daripada tangan Sara. Aroma bihun benar-benar menggoda nafsu makannya. Dengan kurang kesabaran, terus menyuap bihun yang masih panas sebaik doa makan selesai dibaca.  

“Takkan makan sorang?” 

Lily Dayana tersedak. Berair kedua mata. Teramatlah pedih tekak, belum lagi dikira pedih dalam hidung. Bihun dikunyah tadi bagai mahu terkeluar daripada hidung. Gelas berisi air oren di atas meja, disambar dengan rakus. Entah gelas siapa, dia tidak kira. Meneguk hingga berbaki sedikit. 

“Adli! Dah berapa kali ibu pesan, jangan bagi Lily terkejut.”

Adli Zafri sengih.

“Tengok, dah tersedak dia.” Anak bujang bertuah, dijeling tajam. Hajah Sabariah menggeleng lemah berkali-kali. Geram dengan perangai Adli Zafri. Tidak berhenti mengusik Lily Dayana.

“Lily, okey tak?” Hajah Sabariah menggosok lembut belakang tubuh Lily Dayana. Kesian. Mesti pedih, tersedak cili. 

“Okey, ibu.” Lily Dayana mula berdehem-dehem cuba mengurangkan rasa pedih di tekak. Dijeling sekilas ke arah encik tuan di sebelah. Gigi diketap. Geram pula melihat lagak bersahaja encik tuan.

‘Bahaya betul kalau selalu macam ni, Boleh tertanggal hidung aku ni. Nasib baik ramai kat sini. Kalau tak, pinggan bihunku ke mukamulah jawabnya.’ Kecil besar mata Lily Dayana.

“Tak tanggal pun hidung kau tu.”

Luas biji mata Lily Dayana. Biar betul encik tuan? Memang boleh membaca mindakah?

“Adli,” Hajah Sabariah bergumam geram.

“Alah ibu, okey aje Adli tengok anak ibu tu. Tak adalah sampai nak kena masuk hospital. Sayang okey, kan?” Mata dikenyit sebaik melihat si gadis memandangnya. 

“Tengok tu. Ibu cakap elok-elok, main-main pula.”

Sara dan Irshad saling berpandangan. 

“Nilah satu-satunya anak bujang ibu. Anak bertuah.” Hajah Sabariah perasan riak pelik di muka dua anak muda itu.

“Anak ibu?” Barulah Sara tahu siapakah gerangan lelaki yang dia nampak depan bilik Lily Dayana tadi. Patutlah. Kalau macam ni punya perangai macam manalah sahabatnya tidak berangin satu badan.

“Saya Irshad. Kawan sekolah Yana.” 

“Yana?” Adli Zafri mengerutkan kening.

“Kami panggil Lily, Yana.” 

“Oh.” Adli Zafri memuncungkan mulut sambil mengangguk perlahan. 

“Tak nak tolong cedokan bihun? Abang pun lapar juga?” Adli Zafri buat mimik manja.

“Tengok tu. Dia nak kenakan Lily lagi.” 

“Mana ada, ibu. Adli cuma minta tolong aje. Tak salahkan, sayang.” Mengeyit mata pula.

Lily Dayana menjulingkan mata ke atas. Geram cuba dibenam jauh dalam hati. Dengan kurang keikhlasan, dicedok juga bihun goreng ke atas pinggan lalu disua ke arah encik tuan.

 “Jemput makan.” Senyuman yang sangat manis sengaja disimpulkan oleh Lily Dayana. 

Mulut Adli Zafri hampir-hampir melopong. Mujur dapat dikawal. Kalau tidak malu besar nanti. Baru perasan, si minah mempunyai lesung pipit di pipi kiri. Comel. Walaupun selalu dengan gaya kekampungan, si minah punyai aura. 

“Adli.” Tangan Hajah Sabariah menyentuh bahu anak bujang.

Adli Zafri tersentak.

“Berangan pula. Tu, lama dah Lily sua pinggan.” 

Adli Zafri cepat-cepat menyambar pinggan daripada tangan Lily Dayana. 

“Jemput makan semua.” Terus Adli Zafri menyuap bihun. 

“Sedaplah bihun ni. Skill masak ibu, dah makin uplah.” Sambil mengunyah dia memuji. Buruk benar perangai, makan sambil bercakap.

“Kalau sedap, tambah lagi. Tapi bukan ibu masak.”

Adli Zafri dengan spontan memandang ibu sambil kening kiri berjongket.

“Tu, kat sebelah Adli. Lily yang masak.”

Adli Zafri tersedak hingga merah padam muka.  

Lily Dayana dengan pantas menghulurkan segelas air. Kasihan. Dia baru sahaja alami.  Tahu bagaimana rasa pedih menjerut di tekak. 

Adli Zafri mengambil dan meneguk air dengan rakus. Inilah balasan. Suka menyakat orang. Sudahnya, dia turut terkena.

“Macam berjanji aje, ibu. Sama-sama pakat tersedak. Sehati sejiwa betul,” usik Irshad tiba-tiba. 

Suasana hangat dengan gelak tawa.

Lily Dayana menarik muka masam. Irshad dipandang geram. Patutkah dia, dijadikan bahan gurauan?

“Sehati sejiwa? Hmm, okey juga tu.” Adli Zafri senyum sinis sambil mata menjeling sekilas Lily Dayana.

‘Kenapa monyok sangat muka kau, minah kalut? Senyumlah lagi. Aku nak tengok senyuman manis kau tu. Senyumlah, senyumlah, ahai cek mek molek. Ahaks!’ 

“Nampak padan sangat, kan... Auw!” Irshad menyeringai kesakitan. Kaki kanan digosok lembut. Dia memandang kekasih hati. Kedua kening diangkat berkali-kali, ‘Kenapa?’ sebagai isyarat kepada Sara, penyebab sakit di kaki.

“Apa kena, Irshad?” Hajah Sabariah mengerut kening. 

“Tak ada apa-apa. Kena gigit semut kepala hitam.” Irshad sengih. 

‘Tak padan kecil. Kuat juga dia pijak kaki aku ni,’ gumam Irshad pula. 

“Macam-macam hal. Tapikan Irshad, betullah. Nampak padan Abang Adli dengan Lily, kan. Macam mana Adli, Lily? Setuju nak bersatu?” 

“Adli okay aje, ibu.” Dia senyum sumbing sambil kening dijongket berkali-kali. Puas hatinya. dapat menyakat Lily Dayana. 

“Lily naik dulu. Nak solat.” Bingkas bangun dan terus melaju ke dalam. Rimas. Daripada terus menjeruk rasa kurang senang adalah lebih baik beredar.  

“Sudah, makan bihun tu cepat. Tidur sini malam ni, Sara, Irshad?” 

“Abang Adli tak kisah kalau saya tumpang tidur kat rumah abang?” 

“Abang okey aje. Bolehlah kita sembang panjang nanti.”

“Nak ke mana tu?” Hajah Sabariah menegur sebaik anak bujang bangun. 

“Adli minta diri dulu, ibu. Ada kerja sikit kat atas.” Tanpa menunggu lama, langkah terus dihayun laju.

“Hei kau.”

“Apa?” Lily Dayana merengus. Sakit hati apabila jalannya dihalang.

“Kenapa biadap dengan ibu tadi? Mengata aku tapi perangai kau, lagi teruk!” Nasib sempat memintas si minah di tangga. Tanpa sedar, lengan Lily Dayana dicengkam. 

“Apa ni? Sakitlah!” Lily Dayana cuba meleraikan tetapi lagi kuat cengkaman.

“Kenapa kau biadap sangat!”

“Biadap apanya? Lepaslah!” Lily Dayana merentap tangan. Terlepas juga.

“Apa masalah kau? Pergi minta maaf kat ibu. Sekarang!” 

“Saya buat salah apa? Boleh tak tolong jangan kacau hidup saya!” 

“Hei, kau jangan kurang ajar! Kau sedar tak, kau tu cuma menum... Aduh!” 

Adli Zafri terduduk di anak tangga. Menggosok betis yang terasa sengal. Berani sungguh si minah, menendang betisnya dengan kuat kemudian cabut lari.  

“Adli. Kenapa ni?” Pelik melihat anak bujang sedang menyeringai kesakitan.

“Tak ada apa-apa, ibu. Kelam-kabut sangat tadi. Terlanggar tangga ni.” Niat di hati mahu mengejar minah kalut, terbantut. 

Hajah Sabariah menggeleng perlahan. Macam-macam kerenah anak muda zaman sekarang ni. Dia berlalu ke dapur.

Lily Dayana sempat menyaksikan adegan dua beranak dari tingkat atas dengan pantas melarikan diri masuk ke dalam bilik. Sebelum diterkam oleh singa lapar, lekas-lekas dia menutup pintu. Menyelak kunci dengan cepat. Tubuh disandarkan ke dinding. 

“Padan muka. Ikut suka hati dia halang aku tadi. Ibu tak kata apa-apa, dia yang lebih-lebih.” 

Lily Dayana melangkah ke bilik air. Kewajipan sebagai muslim perlu ditunaikan. Usai, dia membaca Surah Yaasin sambil tersedu-sedan. Rindu membuak-buak terhadap kedua orang tua dan anak-anaknya di benam jauh ke lubuk hati. Tenang mula meresapi diri. Dia masih duduk berteleku di atas sejadah. 

Irshad berhenti melangkah. Hairan, melihat Adli Zafri sedang tercongok berdiri di depan pintu bilik Lily Dayana. Punyalah leka hinggakan dia yang sudah hampir setengah minit berdiri di sebelah, tidak diperasan. Senyum sumbing pantas dileretkan.

“Menghendap Yana, ya?” 

Adli Zafri terkejut. Anak mata membulat. Dada berdegup pantas diurut lembut. 

“Mana ada? Abang saja nak periksa pintu ni. Kukuh tak?” Adli Zafri berdalih. Malu kerana tertangkap. Merah padam muka.

“Yelah tu.”

Senyap.

“Abang buat apa kat sini?”

“Abang dengar orang mengaji.”

“Yanalah tu. Yana kalau mengaji, suara dia sedap. Dulu, dia selalu jadi wakil sekolah dalam pertandingan mengaji.” 

“Oh.” Separuh melopong mulut Adli Zafri.

“Saya turun dululah. Nak tolong ibu siram pokok-pokok kat laman tu.”

“Yelah.”

“Pssst, Adang Adli. jangan lama-lama berdiri kat sini. Jatuh hati kat Yana nanti.” Irshad mengenyit mata. Terus berlalu pergi. 

Adli Zafri sengih. Sebenarnya, semasa mahu ke bilik, terdengar suara merdu sedang mengaji. Tidak sedar kakinya melangkah hingga ke sini. Tenang jiwa, mendengar bacaan ayat suci. Dia menghela nafas.

Patutlah ibu mendesaknya supaya lebih mengenali Lily Dayana. Bukan tidak mahu berbaik dengan si minah. Pasti ada kejadian sebaliknya berlaku hingga menyebabkan pertengkaran berlaku. Mana tidak, si minah selalu melawan. 

Bab pandai jaga diri seperti ibu katakan, memang dia akui. Hingga hari ini, tidak  pernah melihat walau sehelai rambut Lily Dayana. Pakaian si minah, tidak pernah menjolok mata. Selalu berbaju kurung. Tangannya menyentuh pintu di depan, lalu diusap lembut. 

“Opocot!” 

Mujur baik Lily Dayana tidak pengsan. Mahu luruh jantung. Mana tidak, sebaik membuka pintu bilik, muka encik tuan terpampang di depan mata. Dia menarik nafas, cuba bertenang. Tidak pula bertindak menutup pintu kerana terkejut hingga kaku.

Adli Zafri juga terkejut, cepat-cepat melangkah pergi. 

Lily Dayana hanya menjongket bahu. Dalam hati, lega sebenarnya. Risau juga jika encik tuan mahu membalas dendam. 










Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.