Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
11.2

Suasana dicengkam sepi. Masing-masing berperang dengan perasaan. Tiada idea terbit untuk diketengahkan. Hujah yang dikeluarkan oleh Dayana, terlalu ampuh untuk disangkal oleh mereka.

“Lah, ramai rupanya dalam rumah. Dah lama sampai?” 

Patutlah bersepah kasut berwarna putih di luar rumah. Encik Zakaria kemudian duduk di kerusi kosong di hadapan Dayana. Kemudian, muncul pula anaknya Shahiman yang sejak dari tadi hanya menjadi pemerhati dari luar lalu dengan penuh keselambaan mengambil tempat di sebelah Dayana secara kebetulan kosong. 

‘Hish! Sibuk betullah dia ni.’ Dayana menjeling tajam. 

“Pak cik, boleh tak Yana tinggal terus kat sini? Kami, dah macam adik-beradik. Tak sanggup nak jauh daripada dia.” Sara menyoal dalam sebak. 

Encik Zakaria menghela nafas.

“Siapa nak jaga nanti?” 

Senyap.

“Yana dah buat keputusan, nak tinggal kat rumah kebajikan. Pak cik nak jaga pun ditolak mentah-mentah. Inikan pula permintaan kamu, nak.” Izinkan dua beradik itu tinggal di bandar tanpa pengawasan orang dewasa? Sama sekali tidak akan benarkan. Cadangan Dayana, adalah yang terbaik.

“Adik-adik jangan risau. Abang akan jaga kawan korang ni, macam jaga nyawa sendiri. Abang sayang kawan korang ni, lebih daripada diri abang sendiri.” Sempat lagi mengenyitkan mata sebaik Dayana memandangnya. 

‘Eh dia ni.’ Dia menikam pandangan ke arah Shahiman dengan jegilan. Bibir bawah sudah digigit, menahan geram.

Ahmad Fahim tergamam. Cemburu. Beginikah layanan sesama sepupu?

‘Ah, mungkin mereka rapat sejak kecil agaknya?’ Cuba memujuk diri. Pemikiran songsang, menerjah ke benak, dihambat jauh. 

“Er, Yana...”

“Kenapa, Sara?” 

“Jom, kita ke luar kejap.”

“Ada apa ni, Sara?”

“Jomlah, ada benda nak beritahu ni.” 

“Alah, cakap kat sini tak boleh?”

“Ish, jomlah. Kejap aje.” Sara mengetap gigi. Geram dengan songeh Dayana. Lantas, ditarik tangan Dayana agar bangun daripada kerusi. 

Tanpa banyak soal, Dayana bingkas bangkit, mengikut Sara. Dari luar rumah, kedengaran riuh suara Adibah, bertanyakan itu dan ini kepada sepupunya. Shahiman seorang peramah. Sebab itulah mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Dengannya pula, ramah-tamah lain macam, terlebih ramah pula hingga naik lemas. Sudahlah tu, tidak makan saman walaupun telah berkali-kali diingatkan supaya tidak keterlaluan.

“Ada apa ajak aku keluar ni, Sara?”

“Adalah.”

“Apa hal yang penting sangat ni?” Dia duduk di sebelah Sara. 

“Macam ni, esok kau nak pergi sekolah, kan?” 

Dayana mengangguk. 

“Lepas selesai urusan kau, jangan balik lagi. Tunggu kat pondok dekat pagar sekolah. Ada hal sikit aku nak sembang dengan kau. Nanti, kita baliklah sama-sama.”  

Dayana mengerutkan kening. Memandang Sara atas dan bawah. Rumah Sara, bukan jauh mana. Dah kenapa, nak bincang di sekolah? 

“Apa yang rahsia sangat ni, Sara? Beritahu ajelah kat sini.”

“Tak boleh.”

“Apa kata, petang ni, aku pergi rumah kau?” 

“Kau ni, cubalah belajar sabar sikit. Esok, aku beritahu kat sekolah. Sabar.” Sara sengih. “Kau Sara...” dia mendecit.

“Ish, sabarlah. Esok, aku beritahu.”

“Yelah, yelah. Kalau cerita kau tak suspen, siap.” 

Dayana memandang sekilas Sara yang masih ketawa. Pelupuk mata terasa hangat. Dia, disapa rasa sebak tiba-tiba. Pasti, akan dirindui semua kenangan ini. Akan dibawa kenangan manis bersama selagi hayat dikandung badan.


Previous: 11.1
Next: 11.3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.