Dia sedang berdiri di halaman. Di tangan, sepucuk surat sedang dipegang sebaik diambil daripada tangan encik posmen. Dibelek-belek sampul surat itu. Sedikit menggigil tangan ketika membuka sampul. Mana tidak menggigil, berisi keputusan peperiksaan di dalamnya. Melompat kegembiraan sambil mulut mengucapkan syukur.
“Awat, terjerit-jerit macam orang kena sampuk? Terkejut aih. Mujuqlah tak terbalik, periuk belanga kat dapuq tu.” Tergesa-gesa Hajah Sabariah keluar dari dapur menuju ke laman sebaik mendengar riuh-rendah.
“Kenapa, Lily? Sakit?” Hajah Sabariah memegang dahi si gadis. Manalah tahu, suhu panas naik mendadak?
Dia gelak kecil. Di sini, mereka memanggilnya Lily walaupun puas menegah. Lama-kelamaan semakin selesa pula dia dengan gelaran baru. Seperti menjadi orang lain dengan panggilan baru. Lagipun, nama penuhnya adalah Lily Dayana binti Hamid.
“Dia boleh gelak pula.” HajahSabariah menggeleng.
“Lily okey, tak?”
“Okey.”
“Dah tu, kenapa menjerit?”
“Ni hah, punca Lily menjerit.” Dihulur sekeping kertas lebih dekat. Sudahnya, dia juga menggelar dirinya, Lily.
“Syukur. Tahniah, sayang.” Hajah Sabariah mendekati Lily Dayana. Merangkul kemas tubuh gadis, penyeri hidupnya kebelakangan ini. Keinginan untuk memiliki anak lagi, termakbul walaupun bukan daripada rahimnya.
“Terima kasih, ibu.”
Lily Dayana, memanjatkan kesyukuran di atas keputusan peperiksaan yang cemerlang. Apa agaknya keputusan Liyana? Syifa, Syafi? Ammar? Mata dikelip berkali-kali. Mengawal daripada tumpahnya air mata.
“Lily, kenapa ni?”
“Lily teringat kawan-kawan.”
“Dah, jangan sedih. Jom,ikut ibu.” Hajah Sabariah menuntun tangan Lily Dayana.
“Lily nak sambung belajar kat mana?” soalnya sebaik duduk.
“Tak tahu lagi, ibu.”
“Kalau boleh, jangan jauh-jauh. Carilah kolej yang dekat. Kalau boleh, ulang-alik hari-hari. Lagi bagus.”
“Kalau jauh pun, Lily selalu balik jenguk ibu nanti.”
“Berjanji memang senang, Lily. Nak laksanakan, takut macam-macam hal dok halang nanti.” Sedikit merajuk nada Hajah Sabariah.
“Ibu, jangan macam ni. Okey, Lily janji. Cari kolej dekatsini.”
“Ibu pegang janji, Lily.” Hidung mancung dicuit.
Lily Dayana menyambung mengelamun setelah ibu angkat beredar. Tidak pernah berhenti memikirkan tentang Liyana. Kepala terasa pening pula. Berdenyut-denyut. Bergegas bangun, berlari masuk ke dalam menuju ke bilik air.
“Kenapa ni, Lily?” Hajah Sabariah tergesa-gesa mengikut dari belakang.
“Lily!” Cemas. Dia mengetuk pintu bilikair bertalu-talu. Tiada respon.
Lily Dayana di dalam bilik air telah tersandar di dinding kerana keletihan. Habis semua isi di dalam perut telah dimuntahkan keluar. Keracunan makanankah? Peluh mula membasahi dahi. Tekak, sangat pedih. Kepala berpinar. Digagahi juga melangkah ke luar.
Setelah hampir dua jam,
Perlahan-lahan Lily Dayana membuka mata. Setelah mata kabur mula menangkap imej di sekitar dengan jelas, diamat-amati sekeliling. Dipandang muka wanita di sisi kiri, sedang mengukir seyum. Membalas dengan senyuman kelat.
“Risau ibu tadi.” Lega hati HajahSabariah. Melihat anak angkatnya membuka mata.
“Apa dah jadi, ibu?” Lily Dayana Bingung.
“Lily pengsan tadi.”
“Pengsan?” Lily Dayana memicit dahi. Masih bersisa denyutan di kepala.
“Lily.” Kepala gadis, diusap lembut.
Lily Dayana mengangkat tubuh, bersandar di kepala katil.
“Ingatkan pengsan sebab seronok dengan keputusan. Rupa-rupanya, sebab lain.” Hajah Sabariah tertawa kecil.
Lily Dayana memandang Hajah Sabariah dengan kerutan di kening.
“Ibu tumpang gembira, sayang.”
“Lily tak faham, ibu? Kenapa ni?” Semakin berkerut keningnya.
Hajah Sabariah menyulam senyum bercampur sengih. Tangankurus dicapai lalu diletak di perut si gadis yang masih kempis.
“Ibu, cakap ajelah.”
“Lily mengandung,”
Melopong mulut. Mengandung? Dalam keadaan macam ni? Itu pun, tanpa suami di sisi? Tubir mata bergenang. Bagaimana dia mahu harungi semua ini, sendirian? Mengapa ada lagi ujian untuknya? Lily Dayana beristighfar.
“Lily.” Bahu bakal ibu, disentuh.
“Betul ni, ibu. Lily mengandung?” Mata dipejam rapat sebaik melihat Hajah Sabariah mengangguk. Semakin laju air mata turun. Tidak tahu, mahu gembira atau sebaliknya?
“Lily kena jaga diri elok-elok.”
Lily Dayana sebak. Jaga diri? Diri sendiri pun belum terjaga. Inikan pula anak.
“Ibu akan sentiasa kat sisi, Lily.”
Lily Dayana menangis teresak-esak.
Hajah Sabariah memeluk anak angkat kesayangan. Siapa tidak sedih jika berada di tempat Lily Dayana. Sudahlah yatim piatu. Baru sahaja berpisah dengan suami. Dibuang oleh keluarga sendiri. Tidak terbayang olehnya, tekanan dihadapi oleh Lily Dayana dalam usia semuda ini.
“Lily malu. Lily banyak susahkan ibu. Banyak sangat makan budi ibu sampai tak tahu nak balas macam mana?"
“Jangan cakap macam ni. Lily, dah macam anak ibu.”
“Tapi Lily tetap menumpang, ibu.”
Senyap.
“Lily, percayalah. Walaupun bukan ibu yang lahirkan Lily, ibu sayangkan Lily. Kita sama-sama hadapi semua ni, ya sayang?” Pelupuk mata Hajah Sabariah bergenang. Sebak. Mengenangkan ujian demi ujian perlu diharungi oleh Lily Dayana.
Air mata Lily Dayana semakin deras mengalir. Terharu. Walaupun Hajah Sabariah tiada pertalian darah dengannya tetap dilayan dengan baik. Membandingkan layanan antara keluarga dengan orang luar, hatinya pedih. Begitu berbeza sekali.
Kuatkah dia, menghadapi kenyataan ini? Tangan, dilekap ke perut. Lama-kelamaan, perut ini akan membuncit. Anak, adalah anugerah tidak terhingga nilainya. Amanah yang harus dijaga dengan baik.
Dia perlu kuatkan semangat. Perlu bangun, berjuang untuk dirinya dan anak di dalam kandungan. Perlu cekalkan hati dan mengorak langkah ke depan. Dia bertekad, tidak akan sesekali menoleh ke belakang. Naluri keibuan semakin menebal. Batapa indah perasaan ini, akan diresap dan dihayati perlahan-lahan.