Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 36


Adli Zafri merasa lega. Mengucapkan syukur dalam hati. Kali kedua melafazkan akad, status bujangnya telah terbatal. Debaran kuat melanda semasa melafazkan akad pertama tidak dapat dikawal dengan baik kerana gugup. 

“Tahniah, Yana,” bisik Sara.

Lily Dayana menunduk rapat. Pelupuk mata terasa panas. Bercampur baur perasaannya ketika ini. Walaupun pernikahan kali kedua tetapi kali pertama diraikan begini. Walaupun hanya keluarga dan teman terdekat sahaja dijemput tetap meriah baginya.

“Terima kasih, sayang.” Hajah Sabariah mengucup kedua pipi menantu. Tubuh kecil molek didakap. Gugur air mata gembiranya. Segala apa dihajatkan telah dimakbulkan Tuhan. Tiada apa perlu dirisaukan lagi. Pandangan serong masyarakat sudah diluruskan.

“Minta laluan. Pengantin lelaki nak pi tengok bini dia hat cantik bak puteri tu.” 

Disahut dengan gelakan secara berjemaah usikan tersebut. Gamat suasana. 

Tetamu menghalang, menginjak sedikit tubuh untuk membari laluan. Langkah diatur pengantin lelaki, persis lelaki melayu terakhir menghampiri pasangannya. Pengantin lelaki duduk melutut, menghadap pengantin perempuan sedang menunduk memandang karpet. Apakah mukanya tidak kacak jika dibandingkan dengan kegebuan karpet?

Salam diberi oleh pengantin lelaki.

Sambil menjawab salam, Lily Dayana memanggung muka. Gugup  dia sebaik bertentang mata dengan encik tuan. Pertama kali berhadapan dalam keadaan penuh kedamaian, dia terpana. 

Adli Zafri terkedu. Terpegun dan terpukau dengan kejelitaan pasangannya. Jubah putih, dihiasi indah dengan taburan manik serta labuci daripada beraneka warna lembut begitu menaikan seri si minah. Solekan tidak terlalu tebal semakin membangkitkan kecomelan. 

“Hang tunggu apa lagi, Adli. Sarunglah gelang kat bini hang tu. Sat lagi, tenunglah muka bini tu puas-puas,” usik Mak Cik Fatimah, jiran mereka. 

Adli Zafri tersentak. Menunduk sedikit kerana malu. Boleh pula dia terleka. 

“Adli.” Hajah Sabariah menepuk lembut bahu anak bujangnya. 

Adli Zafri meraih tangan kanan Lily Dayana. Tersentak sedikit kerana terpegun dengan kelembutan tangan si minah. Seutas gelang tangan bersadur emas elok tersarung di tangan kurus itu.

“Salamlah tangan cik abang tu,” Mak Cik Fatimah mengusik lagi. Beginilah ragamnya, selalu menceriakan suasana.

Lily Dayana lantas meraih tangan encik tuan. Kekok. Tanpa diduga, laju tangan encik tuan memegang pipi dan kini bibir itu melekat elok di dahinya. Mata membulat. Tangan, mencengkam sisi baju. Lebih-lebih pula encik tuan.

“Kau cantik,” bisik Adli Zafri ke telinga Lily Dayana. 

Lily Dayana spontan memandang encik tuan. Dia menunduk kemudiannya. Bukan kerana malu tapi entahlah? Reaksi apa patut dia tunjukan? 

“Syukurlah semua dah selesai. Jemputlah makan. Ada sikit jamuan kami sediakan untuk semua,” pelawa Haji Hamka kepada para tetamu. 

“Jom makan, sayang,” ajak Adli Zafri tanpa segan-silu. Tangan si minah yang telah halal dipegang lalu ditarik. 

“Apa ni!” terkial-kial Lily Dayana menarik tangan. Semakin kuat pula genggaman encik tuan. Dia merengus. Dengan kasar merentap tangan dan terus membuka langkah sebaik berjaya.

“Ajak makan aje pun. Bukan ajak tidur.” 

Lily Dayana berhenti. Mata dipejam sambil mengetap gigi. Tangan digenggam kuat.  

“Cepatlah, sayang. Abang lapar ni,” Adli Zafri senyum senget.

Lily Dayana merengus halus. Dia lantas berpaling. Memandang geram muka encik tuan. Bersayang-sayang pula. Di depan para tetamulah mahu tunjuk angin romantik. 

“Suami kau ajak, kan? Pergilah,” Sara berbisik. Secara kebetulan dia berada berdekatan.

“Kau pun sama dengan dia.” Lily Dayana menjeling tajam.

“Pulak. Kalau sama, mana satu suami kau?”

“Ei, menyampah aku!” Lily Dayana meninggalkan Sara. Mujurlah kaki tidak boleh dihentak-hentak. Takut dicop, berperangai budak-budak pula. Dia menyengetkan mulut sebaik melihat encik tuan mengenyit mata. Dengan langkah malas, dia mendekati.

“Macam nilah bila kalau dah jadi isteri orang. Suami, wajib dilayan tau,” Adli Zafri masih belum puas mengusik.

“Nak lauk apa?” dengan muka masam mencuka, Lily Dayana bertanya.

“Letak kuah kurma sikit. Ayam masak merah dengan acar.” Mata dikenyit lagi. Peduli apa Adli Zafri dengan muka monyok si minah.

“Nah.” Lily Dayana meletakan pinggan berisi nasi tomato dan lauk-pauk seperti dipinta. 

“Terima kasih, sayang. Eh, nak ke mana tu?”

“Nak apa lagi?” Lily Dayana merengus. Mujurlah bukan seekor naga. Mahunya keluar api melalui hidung pula kerana asyik merengus.

“Sini. Duduk dengan suami. Wajib temankan suami makan, tahu.” 

‘Ei, mengada-ngada betullah dia ni.’ Kecil besar mata Lily Dayana. Ada juga dipinggankan muka encik tuan dengan nasi tomato ni nanti.

“Makanlah. Tadi nak sangat saya temankan!” tangan disilang memeluk tubuh sebelum dengan sedikit kasar dihenyak ke kerusi. Semasa makan beradab tadi, bukan main berselera encik tuan makan. Masih lapar lagikah?

“Lagi berselera kalau sayang yang suapkan.” 

Bulat mata Lily Dayana memandang encik tuan di sebelah. Baik. Jika ini permintaan encik tuan, dia akan tunaikan dengan rela hati. Nasi di tangan kini sedang elok mendarat di bibir encik tuan.

“Eh nanti kejap, pengantin.”

Lily Dayana menjulingkan mata ke atas.

“Okey, Yana. Mulakan balik aksi tadi.” Senyuman nakal disembunyikan dengan kemas oleh Cikgu Halim. 

Kerana terpaksa, Lily Dayana turutkan. Geram melihat encik tuan, meleretkan senyuman yang entah apa-apa maksudnya. Senyuman sumbing pula tu. Tidak pasal-pasal nanti dengan pinggan dia suapkan.

“Adli pula, suapkan Yana.” 

Lily Dayana mengeluh dalam hati. Cikgu Halimlah, ada-ada saja.

Adli Zafri menjongketkan kening berkali-kali. Memang dinantikan peluang ini. Sejemput nasi di tangan, dihala ke mulut Lily Dayana. 

Demi menghormati permintaan Cikgu Halim, dilayankan juga. Lily Dayana membuka mulut. Elok sahaja suku daripada jari encik tuan masuk, Cikgu Halim mengarahkan supaya berhenti. Melihatkan encik tuan sedikit terleka, dia pun apa lagi...

“Auch!” Adli Zafri mengaduh. Tangan dikibas-kibas.

“Kenapa, Adli?” dahi Cikgu Halim berkerut. 

“Tak ada apa-apa, Abang Halim.” Muka menyeringai disembunyikan di sebalik sengihan. Adli Zafri menoleh. Muka Lily Dayana dipandang tajam.

“Kau ni manusia atau pirana? Nasib tak putus jari aku ni.” Jari menjadi mangsa gigitan, dibelek-belek oleh Adli Zafri.

“Ops, maaf. Saya sengaja.” Lily Dayana tayang senyum perli.

“Kaukan...” Adli Zafri mengetap gigi.

Tanpa berlengah, Lily Dayana bangun dan melangkah pergi. Lagi lama di sini, lagi ramai pula yang mahu mengambil gambar nanti. Bermacam-macam gaya pula akan dipinta. Lemas dengan kerlipan cahaya daripada lensa kamera. 

“Eh, takkan nak lari. Sini, akak nak bergambar dengan Yana pula.” Kali ini, Puan Mariam pula menjadi penghangat suasana. 

Lily Dayana menjulingkan mata ke atas. 

‘Kena lagi. Eloklah jadi laki bini, Kak Yam dengan Abang Halim. Sama naik, kenakan aku,’ Lily Dayana terpaksa menurut. Bukankah dia memiliki hati yang sangat baik? Iyakan saja permintaan orang. Longlai langkah diatur.

“Hah, tulah. Berdosa dengan aku. Kan dah kena. Ingat, posing cantik-cantik. Bukan senang nak bagi orang peluk aku,” bisik Adli Zafri. Rangkulan di tubuh si minah semakin dikemaskan.

Perasan. Menyenget mulut Lily Dayana. Hati cuba disabarkan sebaik mungkin demi melayan kerenah merenyam encik tuan semakin melebih-lebih. Lemas dirangkul seperti ini. Mujurlah ramai tetamu kalau tidak sudah lama encik tuan terlentang ke tanah. 



Selesai sudah majlis. Lily Dayana mahu mandi. Terasa melekit tubuhnya. Seharian menghulurkan bantuan walaupun puas dilarang oleh ibu. Termanggu-manggu berdiri di depan bilik encik tuan. Telah dilarang ke bilik sendiri kerana semua barang miliknya telah dipindahkan ke dalam bilik encik tuan atas arahan ibu. 

Tangannya memegang tombol pintu. Mata dipejam sambil menarik dan menghembus nafas panjang. Teragak-agak. Mahu memulas atau tidak tombol tersebut? Dengan tidak semena-mena, tubuhnya terdorong ke depan. Akibat gagal menyeimbangkan tubuh, dia jatuh tersembam. 

Senyap. 

Terbeliak luas Lily Dayana sebaik membuka mata.

“Kau apa hal? Sehari tak bagi masalah, tak boleh? Cepatlah, bangun!” 

Rupa-rupanya, Lily Dayana sedang berada di atas encik tuan. Cepat-cepat bangun. Menjarakan diri dari encik tuan sejauh mungkin. 

‘Ingat aku suka duduk atas dia? Kenapalah selalu ada benda malang jadi kat aku kalau dengan dia ni?’ dia menggosok hidung yang terpenyek di atas dada bidang itu tadi. Keras, macam batu dada sasa itu.

“Tak ada lainlah tu. Mengata aku macam batu, kan.” 

Mata Lily Dayana membesar. Encik tuan, boleh baca fikirankah?

“Mesti mengata aku lagi.”

Lily Dayana mengawal riak terkejut. Nampaknya, tidak boleh cakap dalam hati apabila berdepan dengan encik tuan senget.

“Kenapa tercegat depan bilik aku? Tak reti ketuk pintu?” 

“Sebenarnya...” 

“Kau nak apa?” 

“Saya... tak apalah.” Lily Dayana bingkas bangun. Sebaik nampak ada ruang untuk masuk ke dalam bilik encik tuan, laju dia bergerak. Mencapai apa dia mahu kemudian memacu langkah ke pintu.

“Kau nak pergi mana?” lengan si minah pantas disambar.

“Mandi.” Lily Dayana merentap lengan. 

“Bilik air, kat sana.” Panjang muncung Adli Zafri dihala ke arah dimaksudkan. 

“Saya nak ke bilik air kat luar sana.” Sama panjang muncung Lily Dayana dengan encik tuan. Bukan mahu mengajuk tapi secara spontan terjadi.

“Jangan nak mengada-ngada. Mandi dalam bilik air aku. Kau sukalah, aku kena bebel dengan ibu? Dah, pergi cepat!” 

“Tak nak!” Lily Dayana berdegil. Semakin dekat langkah ke pintu.

“Sini kau!” terus Adli Zafri menarik lengan Lily Dayana. 

Kini tubuh Lily Dayana tersandar ke dinding secara paksa. Tangannya sempat menahan kepala si minah sebelum mencium dinding. Adli Zafri melekap kedua tangan ke dinding kemudiannya. Muka mulus licin di depan hanya beberapa inci terpisah, dipandang. 

“Tepilah, tuan.” Lily Dayana rimas. Dia menoleh ke kanan. Enggan mengadap muka encik tuan.

“Kalau aku tak nak?” muka Adli Zafri semakin rapat.

“Tolong jangan buat macam ni.” Lily Dayana memejam rapat mata. Jantung, berdegup sangat laju. Nafas, tersekat-sekat kerana takut. Macam mana mahu lepaskan diri? 

 “Nak melawan lagi?” Adli Zafri mengundur sedikit. Senyuman nakal dileret lebar. 

“Tengoklah dulu.” 

Spontan mata Adli Zafri membesar. Sempat menjawab pula si minah ni.

Membulat mata Lily Dayana. Bibir encik tuan semakin dekat dengan mukanya. Tidak tahu, mana satu akan jadi sasaran? Cemas. Kedua tangan menjadi perisai. Setelah beberapa saat berlalu, melalui celahan jari dia melihat muka encik tuan sedikit terleka. Dengan spontan encik tuan ditolak kuat hingga terinjak ke belakang tubuh sasa itu. 

Dia mengetap gigi. Seperti tidak terkesan dengan tolakannya, dia melihat Adli Zafri senyum sinis. Apa masalah encik tuan? Apa encik tuan mahu daripadanya? 

“Saya minta jasa baik tuan, lepaskan saya.” 

Senyap.

“Ingat. Baru sikit aku acah. Berani melawan lagi, lebih daripada ni aku boleh buat. Tahu!” 

 Lily Dayana tidak menunggu lama, mula angkat kaki tetapi dengan pantas lengan disambar kembali. Terdorong ke belakang tubuhnya. Dia tersentak. Desahan nafas encik tuan dekat dengan telinganya, merimaskan.

“Jangan cuba cabar aku. Jangan kata, aku tak bagi amaran.”  

Lily Dayana lekas-lekas menapak ke bilik air sebaik lengan dilepaskan. Pantas tangan, menyelak kunci dari dalam. Bimbang encik tuan akan merempuh masuk. Manusia macam encik tuan, bukan boleh diambil mudah.

Dia  duduk di lantai, menangis puas-puas. Bunyi tangisan seiring dengan bunyi deruan air paip mengalir. Kesabaran semakin menipis seperti nipisnya kulit bawang. Jika dikupas lagi, maka tiada apa yang tinggal. Bagaimana dengan nasibnya selepas ini?

Menyedari agak lama di dalam bilik air, dia mengenakan pakaian yang turut sama di bawa masuk. Setelah siap, dia memulas tombol pintu bilik air dengan perlahan. Panjang leher menjenguk ke luar dan memandang sekeliling. Sah, memang tiada orang. 

Dia menarik nafas lega kemudian melangkah keluar. Rambut ikalnya separas pinggang sedang basah, dikeringkan dengan tuala. Sempat lagi mata meliar, memandang sekeliling bilik encik tuan. 

“Luasnya bilik ni. Tapi kat mana aku nak tidur?” katil bersaiz king dipandang sepi. 

“Padanlah suruh panggil tuan. Katil sebesar alam, untuk dia sorang.”

Telinga Lily Dayana menangkap bunyi tombol pintu bilik dipulas dan spontan mata dihala ke sana. Serta-merta pintu terkuak dan dengan pantas tangannya mencapai tuala mandi lalu diserkup ke kepala. 

“Ingatkan nak tidur terus dalam bilik air tu tadi.” Adli Zafri mendekati.

Lily Dayana menjulingkan mata ke atas. Tangan, membetulkan tuala di kepala.

“Ada aku suruh jangan cakap terus?” muka lily Dayana sedang duduk di hadapan meja solek baru ditempah oleh ibu, ditenung dari tepi. Adli Zafri merengus halus. Melawanlah tu.

“Kau dengar tak?” 

“Apa sebenarnya tuan nak daripada saya? Boleh tak, bagi hidup saya tenang. Boleh tak, tuan hidup dengan cara tuan dan biar saya macam ni.” Pening kepala Lily Dayana. Haish!

“Kau dah lupa amaran aku tadi?” 

“Tak.”

“Jadi?”

“Macam nilah. Apa kata, kita bawa haluan masing-masing. Saya, tak akan campur urusan tuan. Kalau kurang kita bercakap, mesti kurang kita bergaduh,” beria-ia Lily Dayana mengusulkan cadangan.

“Okey. Itu, kau yang cadangkan. Aku, tak ada halangan. Ingat! Kau tu bini aku. Berperangailah macam bini orang. Faham?” 

Lily Dayana mengeluh dalam hati. 

“Faham!”

“Saya tahu jaga diri.” Lily Dayana geram. Macamlah dia jenis terhegeh-hegeh dengan mana-mana lelaki sebelum ini?

“Dah, malas aku layan kau. Nah. Ambil bantal ni. Suka hati kau nak tidur kat mana? Jangan naik atas katil aku.” Sebiji bantal dibaling oleh Adli Zafri ke sisi Lily Dayana. 

Bulat mata Lily Dayana. Encik tuan, semakin hampir dengannya. Jantungnya laju berdegup. Encik tuan sudah berdiri di depannya. Mahu memanggungkan kepala, dia tidak berani. Encik tuan, mahu mengambil semula bantal yang dibaling tadikah?

“Kau tak rimas berbungkus kepala sehari suntuk?”  

Lily Dayana tersentak. Haish. Kepalanya. Bukan kepala encik tuan yang berbungkus.

Laju tangan merentap tuala di kepala Lily Dayana. Adli Zafri tergamam. Matanya tidak berkelip. Tersebar haruman syampu ke udara. Pertama kali melihat Lily Dayana tanpa apa-apa halangan di kepala, membuatkan dia terpana. Persis bidadari. 

Terasa payah mahu menelan air liur apabila dipandang begini. Akal Lily Dayana bekerja keras, mencari idea mahu melepaskan diri. Bantal di tepi pantas dikutip. Laju langkah dihayun menuju ke sudut agak jauh dari katil encik tuan. 

Adli Zafri tersentak. 

“Ingat, jangan bagi alasan mengigau semata-mata nak naik atas katil aku nanti.” Adli Zafri beredar ke katil.

Lily Dayana merebahkan kepala di atas bantal empuk. Mengerekot tubuh, menahan kesejukan. Terasa mencengkam hingga ke tulang hitam. Berapakah suhu dilaraskan oleh encik tuan pada alat kawalan jauh pendingin hawa? Akhirnya, dia terlelap di dalam kedinginan kerana keletihan. 

Lily Dayana memandang sekitar. Sebaik mencelik mata, kawasan sekeliling kelihatan sangat asing. Apa dilihat hanyalah padang pasir yang luas. Dia bingkas bangun, berjalan perlahan-lahan. 

Dia berhenti. Perlahan-lahan menoleh ke belakang sebaik terdengar suara memanggil ibu. Lama matanya menatap pasangan kanak-kanak comel di hadapan. Bercahaya tubuh mereka. 

“Nasuha. Muhammad.” Berlari dia ke arah mereka lantas dirangkul kemas. Dikucup bertalu-talu pipi anak-anaknya. Betapa dia merindui mereka berdua. 

“Nasuha, Muhammad. Ikut ibu balik.” Silih berganti muka anak-anak dipandang.

Senyap.

“Ikut ibu balik, sayang.” Hanya senyuman di bibir anak-anaknya dilihat.

“Nasuha, Muhammad. Nak ke mana tu?” 

Lily Dayana gagal mengejar. Kaki terasa berat seperti dirantai dengan seketul batu besar. Hanya mampu melihat anak-anaknya semakin menjauh. Kemudian, tubuh mereka terus lenyap. Dia terduduk di atas pasir. Tersesak-esak menangis.

“Hoi!”

Lily Dayana pantas mencelikan mata. Pedih mula menyambar mata kerana cahaya lampu. Terkebil-kebil sebaik melihat muka si penjerkah sedang mencangkung, memandangnya.

“Kau apa hal?” 

Lily Dayana terpinga-pinga.

“Kau kenapa?”

“Saya buat apa?”

“Buat apa?” biji mata Adli Zafri meluas. 

Senyap.

“Menangis macam orang mati anak. Kau boleh kata tak buat apa-apa?”

“Tuan dengar saya menangis? Kuat tak?” Lily Dayana meraba pipi. Basah.

“Aku ingatkan, pontianak mana melalak tadi?”

Senyap.

“Kau mengigau apa?”

Senyap.

“Maaf sebab ganggu tidur tuan.” Tanpa menunggu lama, Lily Dayana kembali menyembamkan muka ke bantal. Kena jerkah macam ni, hati siapa tidak tersentap.

“Suka hati kaulah!” Adli Zafri berlalu ke katil. 

Siapa tidak terkejut? Terdengar bunyi tangisan mendayu-dayu malam-malam begini. Kecut perut kerana menyangkakan tangisan si makhluk halus. Sebaik menoleh ke arah Lily Dayana, dari situ puncanya. Malas mahu melayan, Adli Zafri menyambung lena. 



Di pagi hari, Lily Dayana merasakan tubuh bergoncang kuat. Gempa bumikah? Mata mahu dicelik tetapi melekat kuat. Perlahan-lahan membuka kelopak mata. Sebaik berjaya, dihidangkan pula dengan muka encik tuan yang disulami senyuman sinis membuatkan dia tercengang.

“Baru bangun, tuan puteri? Cerita pasal kau rajin bangun awal selama ni hanya mitoslah?”

Senyap.

“Bangunlah.” 

Dengan pantas Lily Dayana berdiri. Tetapi tidak lama kerana pandangan berpinar-pinar, bertukar kelam kemudiannya. 

Setelah beberapa puluh minit,

“Lily okey tak? Risau ibu bila Lily pengsan tadi. Ada orang tak bagi Lily tidur malam tadi?” mata Hajah Sabariah melirik ke arah anak tunggal berdiri tidak jauh darinya. 

Haji Hamka gelak kecil.

“Apa ibu ni?” Adli Zafri buat malu-malu. Padahal, senyuman nakal telah dileretkan. 

Lily Dayana menjeling tajam encik tuan. 

‘Kau punya pasallah, encik tuan.’ Kecil besar matanya memandang muka yang makin memanaskan hati.

“Kalau tak sihat, jom pergi klinik.” Terdetik bimbang di hati Hajah Sabariah. 

“Lily okey, ibu. Pening sikit. Biasalah. Bila beralih tempat, payah nak tidur.” 

“Betul ni?” dijeling lagi anak tunggalnya. Hajah Sabariah seperti terhidu sesuatu yang mencurigakan.

“Jangan tengok Adli macam tu, ibu,” Seperti seorang pesalah pula dia diperlakukan. 

“Betul ibu. Lily cuma pening aje tadi. Dah okey sekarang.” 

“Kalau macam tu, tak apalah. Ibu turun dulu. Cepat siap. Kita sarapan sama-sama.” 

Lily Dayana menjuntaikan kaki di birai katil. Pelik? Bila pula dia naik atas katil ini? Malas mahu ambil pusing, tubuh ditolak naik dan mula menyusun langkah. Encik tuan sedang berdiri tegak sambil memeluk tubuh, dijeling tajam.

‘Kenapa dia ni tak keluar sama? Menyemak kat dalam bilik aku. Eh, sekejap. Ni bilik dia, kan?’ Lily Dayana sengih. Mujur hanya kata-kata dalam hati kalau tidak malu besar. 

“Orang punyalah risau, kau boleh selamba sengih. Lain kali berlakon pengsan, janganlah over. Menyusahkan.” Adli Zafri bimbang sebenarnya tetapi apabila hati dengan mulut tidak seiring, inilah hasil.

“Buat apa berlakon? Tuan lagi suka kalau saya mati, kan?”

Senyap. 

“Jangan sebut perkataan mati tu!”  

“Tuan yang mulakan dulu.”

“Kau dah lupa pesanan aku?”

Lily Dayana menggeleng laju.

“Hari ni, aku lepaskan. Semat dalam kepala baik-baik pesanan aku. Faham!” jari telunjuk dilekat elok di dahi Lily Dayana. 

‘Ingat kepala aku ni tak bayar zakat? Tak habis-habis mengugut. Dah macam perangai samseng. Ada juga bertukar gelaran, ‘suamiku samseng’. Boleh buat novel ni, guna tajuk tu.’ Kecil besar mata Lily Dayana.

“Satu lagi, suka hati akulah nak jadi samseng! Mulai tahun ni, zakat fitrah kau, aku yang bayarkan.” 

Terbeliak Lily Dayana. Boleh terkeluar daripada kantung matanya. Manusia di depannya... fuh memang bahaya. Sangat bahaya! Tidak tahu apa harus dikata, dia berlalu sebaik tubuh encik tuan menjauhi. 





Sebagai hadiah kepada para pembaca sempena 100,000 capaian pembaca. Terima kasih.


Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.