Dayana dan Liyana pulang ke bandar untuk menguruskan rumah sewa mereka di sana. Terpaksa juga mengalah. Tidak tahulah apa telah Shahiman ‘gula-gulakan’ pak su hingga dengan senang memberi izin sehingga keadaan tidak memihaknya.
Liyana pula menaiki kereta bersama pak su setelah puas dipujuk oleh mak su. Seboleh-bolehnya, dia cuba bersabar dengan Shahiman. Boleh lagi berlagak selamba. Geram. Bertambah sakit hati apabila melihat senyuman nakal terbit di bibir Shaiman tadi. Peristiwa beberapa malam lalu masih segar dalam ingatan. Sejak hari itu, dia cuba menjauhkan diri daripada Shahiman.
“Kenapa senyap dari tadi? Marah lagi?”
‘Dah tahu, tanya lagi.’ Mencebik.
“Maafkan abang, sayang. Tolonglah, jangan buat macam ni. Tak tenang hidup abang selagi tak dengar suara Yana.”
‘Habis, hidup aku ni tenang?’ Disengetkan mulut. Loya tekak mendengar panggilan sayang.
“Abang sanggup buat apa aje, asalkan Yana maafkan abang. Tolonglah, cakap dengan abang.”
Dia masih membatukan diri. Mahu katakan apa? Marahnya, belum lagi surut.
Shahiman mengeluh. Menunggu Dayana memulakan bicara, sampai ke destinasi pun belum tentu buka mulut. Tidak tentu arah hidupnya apabila setiap kali bertembung, pasti Dayana akan mengelak. Benar-benar menyesal. Kerana sayang membuak-buak, memaksanya bertindak di luar batasan. Berat rasa hati mahu melepaskan Dayana, jauh darinya. Dia tahu, alasan Dayana menolak pelawaan abah adalah kerana dirinya.
“Yana... tolonglah.” Suaranya mendayu-dayu. Manalah tahu, hati Dayana akan cair nanti. Muka ayu, bermimik serius, dipandang sekilas.
Dayana masih lagi mendiamkan diri. Penat mahu melayan kerenah sepupunya, tambahan pula masih dalam keadaan sedang bersedih. Shahiman pula jika dibiarkan, semakin melampau. Rimas betul dengan segala pujuk rayu Shahiman. Terlalu mendambakan cintanya. Apalah ada pada dirinya hingga sebegini sekali dikejar?
“Yana...”
“Macam nilah, bang,”
“Hah, bersuara juga dia.” Shahiman menarik nafas lega.
“Orang akan maafkan kalau abang janji takkan buat lagi macam malam tu.”
“Okey, abang janji. Lagi, sayang.” Shahiman tayang senyuman menggoda.
Dayana menjulingkan mata ke atas.
“Orang nak abang janji, takkan ungkit lagi soal cinta. Perkataan sayang tu, tolong buang. Boleh macam tu?”
“Kenapa? Tak best, abang panggil sayang?”
“Best? Geli tau tak?” Bibir disengetkan manakala bahu digoyang.
“Ish, peliklah Yana ni. Kalau orang lain mesti seronok bila kekasih panggil sayang.”
‘Bila aku lantik dia jadi kekasih? Ada juga kena pelangkung nanti.’ Dayana merengus.
“Abang, boleh tak anggap orang ni, macam adik kandung?”
“Dengan ORANG lain boleh tapi dengan Yana... tak boleh!”
“Rimaslah macam ni!”
“Rimas?” Shahiman mengerling.
Dayana menjeling tajam. Bukan menyampah atau meluat tapi entahlah? Buat masa ini, dia tiada jawapan tentang apa bentuk perasaannya terhadap Shahiman? Muka, segera dipaling ke arah cermin di sebelah kiri. Lebih baik melihat jalan raya di luar sana daripada melihat muka Shahiman.
“Yelah, yelah. Yang mula-mula tu abang boleh janji. Yang nombor dua tu... macam berat sikitlah.”
“Kenapa tak boleh?” Kembali berpaling dengan kerutan jelas di dahi. Kedua tangan kini disilang, memeluk tubuh yang sedang bersandar ke kusyen kereta.
“Lily Dayana, kalau kita dah sayang seseorang, mustahil kita boleh buang perasaan macam tu aje. Kecuali...”
“Kecuali apa?”
“Kecuali abang pergi dulu.”
Terdiam. Boleh pula Shahiman membangkitkan soal kematian dalam keadaan dia masih bersedih.
‘Mak.’ Air mata, mula mencurah-curah kembali.
Shahiman tergamam. Tidak sengaja membuat Dayana menangis.
“Abang minta maaf. Abang cuma nak gambarkan, macam mana perasaan abang pada Yana. Dah, jangan menangis.” Shahiman mahu memujuk lalu tangan kiri meraih tangan kanan Dayana.
Dayana dengan pantas menarik kembali.
“Abang Iman, orang dah tak tahu nak cakap apa lagi. Macam nilah, biar waktu tentukan semua. Kalau ada jodoh kita, orang terima. Orang doakan abang bahagia walau dengan siapa pun abang bersama. Tolong jangan terlalu mengharap pada orang!” Terus melentokkan kepala ke kusyen kereta dan memandang ke luar cermin. Malas mahu ambil pusing. Masih banyak lagi perkara lain perlu difikirkan.
“Okey, kalau tu Yana nak, abang ikut. Tapi ingat, abang takkan putus asa. Abang tetap akan usaha. Jadikan Yana, permaisuri kat hati abang. Abang, takkan tukar perasaan ni. Abang akan pastikan, tak ada perempuan lain dalam hati abang!”
Dayana terkedu. Hanya membiarkan sahaja suasana berlalu sepi. Biarlah masing-masing melayani perasaan.