Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 31

Adli Zafri terjaga. Mengusap muka. Dia bangun lalu mengatur langkah perlahan ke jendela. Tangan, menyelak kain tirai di jendela. Gelap di luar sana. Dia duduk semula di birai katil. Mengerling ke arah jam di dinding. 

Patutlah, pukul 9 malam. Bahagia dapat pulang ke rumah sendiri hingga terlena tidak sedar diri. Bangun kembali. Tangan, mencapai tuala yang disangkut di penyidai. Menuju ke bilik air di dalam biliknya yang luas. 

Mengatur langkah menuju ke dapur pula setelah selesai membersihkan diri dan solat. Bukanlah dia seorang buta agama seperti didakwa oleh minah kalut. Perut terasa lapar pula. Terperasan. Kenapa sunyi? Ke mana pergi semua orang? 

Semakin hampir dengan dapur, dia berhenti. Bulu roma, mencanak naik. Halkum bergerak kerana menelan air liur dengan payah. Siapa pula menyanyi malam-malam begini? Berjalan perlahan-lahan sambil memegang dinding dengan tangan kiri. 

Terbeliak pula mata sebaik melihat gerangan makhluk sedang menyanyi. Hati berbahang. Pinggang dicekak sebaik berdiri di belakang makhluk halus itu. Haluslah sangat!

“Ewah-ewah!”

“Opocot orang tua!” Lily Dayana menekup mulut. Berpaling perlahan kemudiannya.

“Orang tua!” Adli Zafri menjegil.

“Apa ni! Tak reti bagi salam?” Lily Dayana merengus.

“Ikut sedap mulut kau panggil aku orang tua!” 

“Bukan tuan memang tua daripada saya?” 

“Kau. Jangan naikan darah aku, minah kalut!” 

Lily Dayana memberanikan diri. Memandang dengan riak marah campur geram sebagai balasan.

“Apa!” Adli Zafri menjegil lagi. Ingat dia takut?

‘Sedap mulut dia panggil aku minah kalut.’ Lily Dayana menggigit bibir. Dia pandang encik tuan. Telan nanti, baru tahu? Kecil besar matanya.

“Kenapa, tak puas hati? Nak telan aku? Cubalah.” 

Terkedu Lily Dayana. Riak di muka berubah. Kening dikerut kuat. Siapa lelaki ini? Boleh membaca mindakah? 

“Takkan tak tahu? Pantang larang orang perempuan, tak boleh menyanyi kat dapur?”

Ada dikisah? Lily Dayana mencebik.

“Orang tua-tua kata, kalau orang perempuan menyanyi kat dapur nanti kahwin dengan orang tua. Kau nak?”

“Kalau dah jodoh. Terima ajelah.”

“Ei mulut. Kalau orang tua tu aku, tahulah aku ajar kau nanti!”

“Nampak sangat tuan memang dah tua.” Lily Dayana senyum perli. Dasar orang tua!

“Kau...” Adli Zafri mengetap gigi. Lancang betul mulut minah ni. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kalau di depannya lelaki, sudah lama diajak bergusti.

“Aku nak tanya?”

Senyap.

“Mana ibu?” Malas mahu bertikam lidah dengan minah kalut. Ada saja modal mahu menjawab.

“Tak ada.” 

“Beradab sikit, boleh tak?” 

Lily Dayana menghela nafas kemudian bepaling.

“Wahai tuan putera. Kan patik dah cakap, tak ada. Kalau tak faham, bahasa apa tuan putera nak patik guna?” 

“Kau jangan berlagak. Cuba cermin sikit muka kau tu!” Adli Zafri semakin panas hati. 

“Hari-hari saya bercermin. Tak ada apa-apa kurang saya tengok. Hairanlah. Kat Sabah,  tuan tak belajar nilai-nilai murni? Contoh, macam mana nak hormat orang?” Lily Dayana sudah tidak peduli lagi. Tutur percakapan dijaga selama ini, hilang sejak bertemu encik tuan.

“Suka hati akulah. Mulut aku. Kau, apa kisah! Kau kalau rasa diri tu baik sangat, simpan elok-elok. Tak payah tayang kat aku. Nanti jatuh riak pula.” Sakit betul hati Adli Zafri.  

“Saya bukannya riak tapi sebagai saudara sesama islam, tak salah kalau tegur cara tuan yang kurang adab ni. Kena hormat sesama manusia. Susah sangat nak buat macam tu?” Lily Dayana pun sudah 2x5 dengan Adli Zafri tanpa disedari.

“Kau!” Adli Zafri mengetap gigi. Merengus kasar melihat muka di depan beriak tenang. 

“Tuan nak buat apa dengan saya?” Lily Dayana memberanikan diri bertentang mata. Walhal, kecut perut sebenarnya. Jauh di sudut hati, takkan beranilah encik tuan mahu bebuat apa-apa padanya. Rasanyalah. 

“Sepatah aku cakap, sepuluh kau menjawab. Kalau nak jadi ustazah, rumah ni bukan tempatnya. Tu, kat surau depan sana kau boleh pergi. Semak kepala aku dengan kau!” 

Adli Zafri terus berlalu. Sudah tawar hati mahu tahu ke mana orang tuanya pergi. Ingatkan, pulang ke rumah sendiri bolehlah merehatkan jiwa dan minda. Masalah lain pula datang. Tidak pernah menyangka, akan ada penyemak dalam rumahnya. Dia kembali memerap di dalam bilik. 

Perut pada mulanya minta diisi kini diam daripada berkeroncong. Habis lari semua irama di dalam perut. Semua, gara-gara minah kalut. Bagaimanakah cara untuk dia mengajar si minah supaya lebih menghormatinya selaku tuan rumah? 

Terlentang di atas katil. Tangan, disilang di bawah kepala. Mata pula merenung kipas di syiling sedang ligat berputar pada skala lima. Cuba menyejukan bahang di hati yang kian bertebaran ke segenap tubuh. Kaki kanan di atas kaki kiri, digoyang laju. 

Siapa sebenarnya gadis dikutip oleh ibu? Dengan senang dilantik sebagai anak angkat? Kalau tahu begini jadinya, takkan dia terima tawaran belajar jauh-jauh. Dia memejamkan mata. Nafas ditarik panjang, dihela perlahan. Serabut kepala dengan kerenah si penyemak. Tenggelam dalam kemarahan hingga melelapkannya.

Di dapur,

Hajah Sabariah mendekati si manis. Meliar mata, mencari seseorang.

“Tak bangun lagi Abang Adli, Lily?” 

“Dah. Lepas tu tidur balik kot.”

Senyap. 

“Okay tak ceramah tadi, ibu?” Lily Dayana tidak dapat turut serta ke surau kerana keuzuran. 

“Boleh tahan ceramah ustaz tu.” Hajah Sabariah mengusap lembut kepala Lily Dayana.

Lama dipandang muka mulus itu. Terbuka mata dan minda Hajah Sabariah tentang ceramah didengar tadi. Tentang adab dan pergaulan. 

“Lily buat kopi untuk ayah dengan ibu, ya.” 

Hajah Sabariah membalas dengan senyuman dan anggukan lemah. Dia percayakan anak-anaknya. Pandai menjaga diri. Hasutan syaitan, amat merisaukannya. Berdoa, moga tiada apa-apa tidak diingini berlaku sebelum perkara baik bermula.


Previous: Bab 30
Next: Bab 32

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.