Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 33

“Lily. Ibu ada sikit hal nak cakap.” 

“Kenapa, ibu?” Lily Dayana sedang bersantai di laman rumah, sedikit terkejut.

Hajah Sabariah teragak-agak. Tidak senang duduk selagi cadangannya tidak diutarakan.

“Kenapa ni, ibu?” Keningnya bertaut.

“Ibu nak tanya pendapat Lily pasal anak ibu tu. Lily rasa, Abang Adli macam mana orangnya?” 

Lily Dayana gelak kecil.

“Ibu serius ni, Lily.”

“Tu, kan anak ibu. Takkan ibu tak kenal?” Lily Dayana sengih. Membariskan barisan giginya yang putih. 

“Ibu nak tahu daripada pandangan Lily?”

“Okey aje. Tak ada cacat cela pun anak ibu tu.”

“Kalau okey, baguslah.”

Senyap.

“Apa kata kalau ibu kahwinkan Lily dengan Abang Adli?” 

Lily Dayana tersentak. Terkebil-kebil mata memandang Hajah Sabariah. Air liur ditelan dengan payah. Seperti ada pokok kaktus tumbuh di kerongkongnya

“Macam mana, Lily? Setuju tak?” 

‘Apa nak jawab ni? Silap jawab, kecil pula hati ibu.’ Lily Dayana mendecit perlahan Nafas panjang dihela. 

“Lily, okey tak cadangan ibu ni?” 

Lily Dayana mengangguk perlahan tanpa sedar.

“Jadi, Lily setujulah?”

“Bila Lily setuju?” 

“Kenapa angguk tadi?”

Senyap.

“Ibu bukan apa, nak sangat jadikan Lily menantu ibu.”

“Bukan Lily tak nak tapi...”

“Dah lama ibu pertimbangkan hal ni. Lily, calon yang sesuai. Ayah pun tak ada halangan.”

“Tapi ibu...”

“Atau, Lily ada pilihan sendiri?” 

“Tak. Bukan macam tu.”

“Habis tu? Kalau Lily dah ada pilihan lain, ibu tak nak paksa.”

“Lily tak layak jadi menantu ibu.”

“Siapa cakap macam tu?”

“Ibu, Lily nikan janda. Manalah layak dengan anak ibu yang masih bujang tu? Apa kata dia nanti bila dapat tahu pasal Lily? Tak adil untuk Abang Adli.” Trauma Lily Dayana terhadap perkahwinan lepas masih kuat membayangi diri. 

“Lily jangan rasa rendah diri. Seorang janda pun berhak bahagia. Sampai bila Lily nak hukum diri? Takkan sama hidup dulu dengan sekarang. Hidup, cuma sekali sayang. Gunalah peluang yang ada ni dengan baik.” 

“Ibu, tanyalah Abang Adli dulu. Manalah tahu, dia ada calon lain?” 

“Pasal anak ibu tu, Lily tak payah risau. Tahulah ibu pujuk dia nanti.” Hajah Sabariah menggenggam kedua tangan Lily Dayana. Lagi lama ditangguhkan perkara ini semakin berdosa pula. Mana mungkin, lelaki dan perempuan tiada ikatan sah boleh tinggal serumah.

“Kalau ini dapat bahagiakan ibu, Lily ikut. Tapi, kena terus-terang dengan Abang Adli pasal diri Lily. Lily tak nak dia rasa tertipu nanti.” 

“Pasal masa silam Lily, serah kat ibu. Yang penting sekarang, Lily. Lily akan bahagia. Percayalah, sayang.”

“Ibu jangan janji macam ni. Dah cukup beruntung sebab ibu sudi terima Lily.” 

Biarlah sekali lagi, mengorbankan diri demi kebahagiaan orang lain. Lly Dayana mahu membalas jasa baik keluarga angkatnya. Barangkali terciptanya dia, adalah untuk berkorban. Tersepit, diantara membalas budi dan termakan budi. 

“Amboi, berpeluk sakan dua beranak ni.” Sebaris senyuman terhias di bibir lelaki berkumis lebat, datang menyapa tiba-tiba. Ada helaian berwarna putih terselit diantara kumisnya.

“Terkejut, Yah. Nasiblah Yah tak melatah macam Lily. Kalau tak, habislah abang.” 

“Sebab isteri abang tak melatahlah, abang berani usik. Tapi selama ni pun, ayah memang pandai elak, kan Lily?” Haji Hamka ketawa besar. 

Lily Dayana senyum seciput. Ayah angkatnya, tidak pernah ketawa besar seperti ini.

Haji Hamka teringat peristiwa di mana dia hampir disembur dengan air paip oleh Lily Dayana. Teringat cerita isteri tentang apa terjadi kepada anak bujang mereka beberapa hari lepas. Insiden berlaku hampir sama tetapi penyudahnya tidak. Adli Zafri gagal mengelak. 

“Bang, ketawa sikit-sikit dahlah. Semput pula, nanti.” 

“Dah lama abang tak seronok macam ni, Yah. Bagilah peluang sikit. Ceria muka sayang abang ni?” Lapang dada Haji Hamka melihat muka purnamanya. Terbang seketika semua masalah. Masalah dalam urusan perniagaan, jarang sekali dia bawa pulang ke rumah.

“Terlanjur abang dah tanya, Yah beritahu ajelah. Lily dah setuju dengan rancangan kita. Satukan dia dengan Adli.” 

“Tercapai juga hasrat awak nak bermenantukan Lily.” 

“Itulah. Kita kena cakap dengan Adli bang. Perkara baik macam ni, tak elok ditangguh. Anak bertuah awak tu, kena diberitahu cepat-cepat.” 

Haji Hamka mengangguk perlahan.

“Lily, haus pula tekak ayah. Macam biasa, ya.” 

Lily Dayana bingkas bangun. Isyarat diberi, sangatlah difahami. Sejak menetap di sini, tugas membuat kopi untuk Haji Hamka telah diambil alih sepenuhnya. Terus dia menghala ke dapur meninggalkan pasangan suami isteri yang pada pandangannya sangat romantik. 

‘Encik tuan tu, romantik macam ibu dengan ayah dia tak?’ Lily Dayana tersengih-sengih tanpa sedar.

‘Jangan nak mimpilah. Tengok gaya dia macam tu, tak ada maknanya romantik. Selalu buat aku panas hati.’ Lily Dayna bermonolog sambil mengacau kopi di dalam teko.

‘Betul juga. Tak payah letak harapan tinggi sangat kat encik tuan tu. Tapi, betul tak apa aku buat ni? Setuju kahwin dengan dia? Kalau aku tolak, tak sampai hati pula tengok ibu kecewa. Ibu dah banyak tolong aku.’ Lily Dayana menghela nafas panjang. Tangan semakin laju mengacau air kopi. Menerawang aroma kopi berasap tu ke udara.

Usai, dia menatang dulang lalu memulakan langkah ke laman. Diletak secawan kopi panas di atas meja kecil di hadapan Haji Hamka. Tidak lama kemudian, telinganya dapat menangkap bunyi deruman enjin kereta. 

‘Dengar bunyi enjin pun dah tahu kereta siapa. Bunyi macam ribut, jalan macam siput. Menyampah!’ Lily Dayana menjuihkan bibir. 

Dia mengambil tempat di sebelah Hajah Sabariah. Kalau terus naik ke bilik, tidak manis pula. Terasa hati pula ibu angkatnya nanti. Walaupun kurang berkenan dengan perangai encik tuan, dia perlu sembunyikan dengan sebaik mungkin.

“Sedap kopi ni.” Haji Hamka mengucap syukur. Nikmat menghirup kopi ini, tidak dapat digambarkan. Dia memang gemarkan rasa kopi dibancuh oleh Lily Dayana. Persis kopi bancuhan arwah emaknya.  

“Adli. Mai, minum kopi dengan ayah. Dah lama kita tak bersembang,” tegur Haji Hamka sebaik kelibat anak bujangnya melintas.

Adli Zafri segera melencongkan haluan. Kini duduk berdekatan ayah. Sejak beberapa tahun, jarang dapat meluangkan masa bersama. Kesibukan luar biasa ayah banyak mengekang aktiviti riadah mereka sekeluarga. Walaupun ayah jarang di rumah, tidak bermakna hubungan mereka renggang. 

“Awal balik hari ni, ayah?” 

“Mesyuarat habis awal.”

Senyap.

“Bila lagi, Adli?”

“Bila apa, ayah?” Adli Zafri mengerutkan kening.

“Dah lama cuti. Takkan tak cukup lagi? Bila, nak ambil alih syarikat ayah tu?” 

Senyap.

“Adli.”

“Bagi Adli masa, ayah.” 

“Dua bulan dah ni. Tak cukup lagi?”

“Ayah, bukan senang nak...”

“Bukannya bisnes besar pun. Ayah bagi masa lagi sebulan. Cukup?” 

Adli Zafri mengangguk lemah. Ayah, sudah mula menunjukan ketegasan.

Hajah Sabariah bangun, menghilang ke dalam rumah.

“Lily, tolong buatkan kopi untuk Abang Adli kamu ni.” 

“Er, kurang manis, ya.” Adli Zafri mengeyitkan mata sebaik pandangan bertembung. 

Lily Dayana menjeling sebagai balasan lalu melangkah pergi.

‘Ei, ingat aku ni apa! Pelayan?’ Gigi diketap kuat. Ikutkan hati, ada juga sekilo garam akan dituang ke dalam kopi encik tuan nanti. 

Tidak payah menunggu lama kerana seteko kopi telah dibancuh tadi. Apa susah, tuang sahaja dalam cawan. Habis cerita.

“Nah, kopi.”

“Terima kasih, sayang.”

Lily Dayana tidak mahu menunggu lama. Terus memacu langkah ke bilik. Menyampah. Bersayang-sayang pula. Uwek!

Sepi.

“Adli, ayah ada perkara nak bincangkan.” 

Adli memandang muka ayah yang beriak agak serius. 

“Ingat lagi tak usul kami, nak jodohkan Adli dengan Lily? Tadi, ibu ada tanya pada Lily. Dia dah setuju. Adli macam mana pula?”

Dengan laju dia menelan air kopi suam. Mahu melecur kerongkong jika kopi panas yang dihirupnya. Terbatuk kecil kemudian berdehem-dehem. Adli Zafri dengan pantas memandang ayah. Ingatkan, tidak berbangkit lagi hal ini.

“Adli tak bersedia lagi, ayah.” Dia menunduk.

‘Yang perempuan ni pun satu! Pandai-pandai aje setuju!’ gumamnya pula.

“Habis tu, takkan nak duduk serumah macam ni lama-lama? Dengan tak ada ikatan apa-apa? Tak manis orang tengok. Setuju ajelah, Adli. Lily tu, baik budaknya.”

“Tapi dia muda lagi, ayah?”

“Alah, umur ibu masa kahwin dengan ayah pun muda juga. Bahagia aje kami.” 

Adli Zafri tersentak. Melihat ke tangan ibu di atas bahunya. Bila ibu muncul?

“Itu dulu, ibu.”

“Kalau tak ada dulu, wujud tak sekarang?” Hajah Sabariah memandang anak bujangnya dengan pandangan tajam. Ada sahaja alasan diguna pakai mahu mengelak.

“Adli...”

“Adli ada calon lain?” 

Adli Zafri tersentak. Nafas panjang ditarik kemudian dihela panjang.

“Bukan macam tu, ayah. Cuma...”  

“Cakap kalau Adli dah ada calon.” Haji Hamka tidak mahu terlalu mendesak. Zaman sudah berubah. Anak muda sekarang, mana mahu dengan jodoh pilihan orang tua. Pilihan sendiri akan diutamakan.

“Ada tak?” Kesenyapan anak sedikit merisaukan Hajah Sabariah.

Adli Zafri menghela nafas lagi. Muka ibu dan ayah, dipandang silih berganti. Melihat muka ibu yang penuh dengan harapan, dia jadi serba salah. Terlalu banyak janji kepada ibu belum terlaksana. 

“Adli ikut ajelah.” Terpaksa juga mengalah.

Hajah Sabariah kelegaan lantas memanjatkan kesyukuran.

“Kita kena cepatkan, bang. Kalau boleh, bulan depan Yah nak diorang nikah.” 

Adli Zafri memandang ibu. Terkebil-kebil matanya. Bulan depan? Biar betul ibu?

“Takkan cepat sangat, ibu.” 

“Kena cepatlah. Mana boleh tangguh. Orang kat sini, dah mula pandang semacam tau.” 

Senyap.

“Ikut ibulah.” Adli Zafri terus bangun.

“Tu, nak ke mana?”

“Adli naik dulu, ibu.” Pipi ibu dikucup. Melaju ke dalam. Ibu, dari dulu kalau bab atur perkahwinannya, semangat lain macam. Naik gerun dia.

‘Tapi kalau dapat kahwin dengan minah tu, bagus juga.’ Dengan senyuman tersirat seribu makna, Adli Zafri melangkah ke bilik.


Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.