Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
25.2

Hampir seminggu Dayana menumpang di rumah Cikgu Halim. Naik segan pula dengan layanan baik daripada tuan rumah. Terlalu baik hingga merasakan mereka seperti keluarga. Sedihkan? Sedangkan keluarga sendiri sanggup membuangnya tetapi orang lain... dia tidak mahu merungut lagi.

Dia terlentang di atas katil. Tangan, disilang di bawah kepala. Mata pula disasar ke arah kipas di siling sedang berputar pada skala empat. Putaran hidupnya, selaju inikah? Naik turun, tidak sekata. Tidak tahu bagaimana mahu mencorak masa depan? 

Tiada langsung sokongan daripada keluarga. Ke mana perlu membawa diri? Takkan selama-lamanya, mahu menumpang orang? Mata sudah mengalirkan air bersuhu suam. Dia hanyut, melayan perasaan duka hingga terlena. 

Di ruang tamu, Cikgu Halim dan Puan Mariam duduk berehat. Sedang berbincang tentang masalah Dayana. Puan Mariam risau sekiranya Ammar Najjah tahu, Dayana menumpang di sini. Dia tidak benarkan Dayana keluar walaupun pergi ke halaman. 

“Macam nilah bang. Apa kata kalau kita hantar Yana ke Penang?”

“Awak biar betul, Yam.” Mujurlah kopi sedang dihirup tidak tersembur keluar. Isterinya kalau nak bagi cadangan pun tengoklah keadaan dulu. Buatnya sedang mengunyah bebola ikan, tidakkah naya tercekik nanti? 

“Abang ingat lagi tak, mak lang Yam kat sana? Yam rasa, dia boleh tolong kita. Takut juga kalau Ammar buat benda bukan-bukan nanti kalau dia tahu Yana ada kat sini.”

Cikgu Halim tidak membalas sebaliknya berfikir. Riak muka nampak serius.  

“Abang jangan risau. Mak lang Yam tu, baik orangnya.” 

“Sampai ke sana awak nak hantar Yana. Tak rasa jauh?”

“Habis tu, abang nak biar Yana kat sini lama-lama? Abang tak takut kalau Ammar datang mengamuk kat rumah kita nanti?”

“Ish, takkanlah Ammar nak buat macam tu?”

“Bang, budak Ammar tu bukan boleh kira sekarang. Perangai dia, lain macam. Mak ayah dia, bolehlah saya percaya.” Puan Mariam memandang muka suami.

“Abang jangan risau. Mak lang Yam tu, okey. Yam yakin, dia boleh jaga Yana.” 

Cikgu Halim mengeluh sedikit. Muka isteri dipandang.

“Bagi abang fikir. Yam cuba cakap dengan Yana nanti. Tanya pendapat dia dulu?”

“Nanti, Yam bincang dengan dia.”  

“Eloklah tu. Abang nak keluar kejap.” 

“Yelah.” Puan Mariam tahu, urusan yang mahu dilakukan oleh suami. 

Di perkarangan rumah Ammar Najjah.

Cikgu Halim mengatur langkah, memasuki laman rumah besar itu. Panjang lehernya, mencari-cari bayang tuan rumah. Salam diberi.

Senyap. 

Salam diberi sekali lagi.

Cikgu Halim lega sebaik salam bersahut. Mengukir senyum pula apabila melihat muka tuan rumah menjengul di pintu.

“Cikgu rupanya. Jemputlah masuk.” 

“Di luar pun tak apa, Abang Shukri.”

“Cikgu dari mana?”

“Dari kedai. Kebetulan lalu sini. Saja singgah.”

“Jemput duduk, cikgu.” 

Sudahnya mereka duduk di kerusi di anjung. Mujurlah suasana ketika ini sedikit nyaman kerana ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. 

Cikgu Halim buat-buat pandang sekeliling.

“Sunyi aje? Mana pergi anak menantu, abang?” 

Encik Shukri menghela nafas panjang. Tidak tahu hendak mula dari mana? Masih terkejut dengan berita yang dibawa balik oleh anaknya setelah pulang tempoh hari. Hingga kini, masih tidak percaya dengan apa terjadi. Sudah puas menanya, di mana Dayana? Jawapan yang dia dapat, ‘Tak tahu’. 

“Abang Shukri. Kenapa ni?” 

“Nak cakap macam mana, saya tak reti.”

“Apa dah jadi? Bunyi macam serius aje, bang?”

“Sebenarnya cikgu...”

“Cikgu Halim?” Ammar Najjah datang menyapa.

“Dah lama sampai?” Dia menyalam tangan bekas gurunya.

“Baru aje.” 

Ammar Najjah melabuhkan duduk di sebelah ayah. 

“Ada apa cikgu datang ni?”

“Tak ada apa-apa. Saja singgah.” Muka Ammar Najjah dipandang sekilas. 

Senyap. 

“Yana, mana?” 

“Tak ada.”

“Yana ke mana?” 

“Dia dah tinggalkan saya.”

“Apa kamu cakap ni, Ammar!”

“Macam nilah, cikgu. Biar saya berterus-terang. Saya, dah ceraikan dia.”

Senyap.

“Biar betul, Ammar? Tapi kenapa!”

“Dia bukan perempuan baik.”

“Maksud kamu, Ammar?”

“Dia dah lari. Ikut lelaki lain. Untuk apa saya simpan perempuan tak guna tu!” Ammar Najjah merengus. Tangan, dikepal. Meluap-luap api kemarahan apabila mengenangkan peristiwa beberapa hari lepas. Tergamak Dayana meninggalkannya bersama lelaki lain! Memang dasar perempuan gatal. Miang!

“Cikgu tak percaya Yana buat macam tu. Dah selidik betul-betul, Ammar?” 

Ammar Najjah mula menceritakan kejadian beberapa hari lepas. 

Cikgu Halim menjadi pendengar. Walaupun sudah tahu duduk perkara tersebut biarlah kali ini mendengar cerita daripada mulut Ammar Najjah pula. 

“Ammar, kenapa tak nak buka minda kamu tu. Siasat dulu. Manalah tahu, dia kena aniaya? Kenapa tak soal betul-betul, abang sepupu Yana tu?” 

 “Nak soal apa lagi, cikgu? Mata saya sendiri jadi saksi, mereka bermesra. Cikgu nak suruh saya buat macam mana lagi? Nak suruh saya, pejam mata. Biar aje perempuan tu buat apa dia suka!”

“Tapi Ammar,”

“Dahlah cikgu! Dayana dah tak ada dalam hidup saya lagi. Dia yang pilih jalan sendiri. Entah-ntah, tengah bahagia dengan sepupu dia tu? Mulut kata tak nak tapi dalam hati, gedik lebih!” Ammar Najjah merengus lagi.

Cikgu Halim terdiam. Terasa ringan mulut mahu membalas kata-kata Ammar Najjah. Membetulkan fakta. Sakit pula hati, mendengar tuduhan terhadap Dayana. Demi memegang amanah daripada Dayana, minta dirahsiakan semuanya, dia bertahan.

“Tak baik cakap macam ni, Ammar.”

“Cikgu, baik atau tak... tembelang dia dah pecah. Saya tak sanggup bersama dia lagi. Perempuan kotor macam dia, tak layak untuk saya!” Siapa tidak kecewa? Dia amat terluka. Kerana ego tinggi, dikeraskan hati walaupun ingin tahu perkembangan Dayana.  

“Ammar, kalau Dayana masih setia tunggu awak...”

“Keputusan saya muktamad. Biarlah dia dengan cara hidup dia. Itu yang dia nak cikgu. Antara kami, dah tak ada kaitan. Saya, takkan terima dia semula.” 

Cikgu Halim diam. Sedang merumus ulah Ammar Najjah yang jelas telah membuang Dayana.

“Kalau ini keputusan kamu, cikgu tak tahu nak kata apa lagi. Cikgu doakan, semoga kamu berjaya dalam hidup.” Benar seperti kata Dayana. Apa guna terus hidup bersama jika kepercayaan Ammar Najjah sudah hilang sama sekali. 

Tidak mahu berlama, Cikgu Halim meminta diri untuk pulang. Tiada guna memujuk lagi kerana Ammar Najjah bulat-bulat menyalahkan Dayana. Bila difikirkan kembali, rasional juga sikap seorang lelaki sedang cemburu. Tetapi cemburu membuta tuli, sangat tidak digalakkan. 

Walaupun kecewa dengan keputusan melulu Ammar Najjah, jauh di sudut hati dia lega. Sekurang-kurangnya, Dayana boleh mencorak hidup baru selepas ini. Melihat kekasaran yang Ammar Najjah lakukan pada Dayana... perpisahan adalah pilihan yang terbaik.

Setelah sampai di rumah, Cikgu Halim berehat seketika di laman. Tidak pula terus masuk ke dalam rumah. Jauh pandangan, dilontarkan ke kebun buah-buahan di depan. Setelah lelahnya hilang, dia bangun. 

“Macam mana, bang?” Puan Mariam mendekati suami sedang mencakar daun-daun kering yang hanya seciput bilangan di laman. 

“Nampaknya, cadangan Yam abang kena terima. Tak guna pujuk budak Ammar tu.” Satu keluhan dilepaskan. 

“Saya dah agak dah. Keras hati betul budak tu.”

“Entahlah, Yam.”

“Tak apalah bang. Nak buat macam mana kalau dah tu takdir Yana. Kita doakan dia tabah. Yam ada bincang dengan dia, pasal rancangan Yam tu. Nampaknya, dia setuju. Dia memang nak pergi jauh dari sini kalau boleh.” 

“Baguslah kalau macam tu.” Cikgu Halim menyambung kerja mencakar rumput kering. Dia sudah bertekad, Dayana akan dihantar sejauh mungkin untuk memulakan hidup baru.


Previous: 25.1
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.