Home Novel Cinta Semanis Derita, Sepahit Bahagia
Bab 9.2

Hampir satu jam Dayana baring. Tubuh terasa sedikit lenguh. Kepala ditoleh ke arah atuk, mak su dan Liyana yang tidur besama-sama di sudut lain. Telah lama mereka tidur. Perlahan-lahan, hadir perasaan sayu melihat panorama itu. Kini, hanya dia sahaja yang masih segar mata. Sudah puas memaksa mata supaya tidur, masih juga gagal. Mungkin kerana terlelap tadi maka menyukarkan lagi keadaan. Sekejap dia mengiring ke kiri, sekejap ke kanan. Doa tidur sudah berpuluh-puluh kali dibaca, belum lagi dicampur dengan Ayatul Kursi, tetap juga berjaga. 

Dia merasa serba salah dengan pak su kerana tidak mampu memenuhi perlawaan pak su atas alasan kukuh. Dia sayangkan hubungan kekeluargaan yang masih utuh antara dia dengan keluarga pak su. Apabila memikirkan ranjau yang akan dihadapi kelak antara dia dengan anak lelaki pak sunya, lebih baik menolak sekarang. Dia risau dengan perubahan laku Shahiman, sejak akhir-akhir ini.  Dia juga tidak mahu menambah dosa, tumpas dengan hasutan syaitan melihat kemesraan Liyana dan mak su kelak.

Lalu, dia mengambil keputusan untuk bangun. Mengatur langkah perlahan-lahan menuju ke dapur, ingin membasahkan tekak yang terasa kering. Mungkin kerana perut kosong menyebabkan dirinya sukar untuk lena. Walaupun perut terasa pedih, selera makan tetap tiada. Sebutir nasi masih tidak dijamah. Selepas mencapai gelas berada di rak, dia melangkah pula menuju ke meja makan.

Perlahan-lahan, Dayana menarik kerusi kayu berat supaya tidak menghasilkan sebarang bunyi bising kerana bimbang akan menganggu lena mereka yang lain. Duduk, dilabuhkan sambil mata menjeling apa sahaja benda yang terlihat di atas meja. Sebotol air masak berada dalam genggaman, disengetkan lalu terjunlah air masak di dalam botol ke dalam gelas. Dia meneguk sedikit demi sedikit hingga habis segelas air. Benar-benar terasa sebu perut kosongnya. Berbunyi-bunyi, menghasilkan pelbagai rentak. 

Dia sendawa kecil kemudian menutup mulut dan tergelak sendirian. Lucu dengan gelagat sendiri. Bagaimana dengan hanya meminum segelas air kosong boleh sendawa pula? Tiba-tiba, muka emak mula memenuhi ruangan memori kepalanya. Air mata kembali mengalir. Hatinya diruntun pilu. Terbayang-bayang muka emak sewaktu menolong memandikan jenazah emak. Kini, dia melentokkan kepala di atas meja. Teresak-esak hingga terhinggut-hinggut kedua bahu.

“Yana, jangan macam ni.” 

Dayana tersentak lalu mengangkat kepala. Terbuntang mata hampir sahaja terkeluar. Mujurlah telah menelan air masak yang diteguk tadi. Boleh pula sang penegur mengambil tempat di kerusi di sebelah. Kali ini, sudah berani menyentuh tangannya pula. Apabila tersedar perbuatan kurang manis dengan pantas dia menarik tangan.  

“Tak tidur lagi?” Hati Dayana berdebar-debar. Kurang enak rasanya.

“Macam mana nak tidur kalau asyik terbayangkan Yana.”

“Merepeklah abang ni. Kalau tak ada apa-apa, orang masuk tidur dulu.” 

Baru sahaja mahu menapak, Shahiman menarik lengannya. Tarikan kuat tidak dijangka telah menyebabkan imbangan badannya goyah lalu dia jatuh terduduk di atas riba Shahiman. Tanpa sempat berbuat apa-apa, Shahiman telah memeluknya. Dia tergamam. Dengan kasar menolak tubuh sasa dan terus bangun sebaik tersedar. Hatinya terlalu marah dengan tindak tanduk kurang sopan sepupunya.

“Abang minta maaf. Abang... tak sengaja.”

“Abang buat apa ni!” Dayana berdiri agak jauh dari Shahiman.

“Ingatkan, Yana dah boleh terima abang. Masih keras hati Yana.”

“Keras hati? Apa abang merepek ni?” 

“Terimalah abang. Abang sayangkan Yana. Abang tak sanggup berjauhan dengan Yana. Kenapa nak tinggal kat rumah anak yatim tu?” Tanpa menunggu lama, dia bangun lalu melangkah menuju ke arah Dayana. Lama sudah dia dambakan cinta Dayana. Gadis yang mampu membuat detak jantungnya bergetar dengan laju apabila bertemu. Gadis yang telah menjadikannya seorang gila bayang.

Dayana malas mahu membalas, mula mengatur langkah. Shahiman berjaya memintas, menyebabkan dia berundur sedikit. Langkah terhenti kerana belakang tubuh sudah pun menyentuh dinding. Hatinya cuak dengan tindak-tanduk Shahiman. Semakin berani dan semakin melampaui batasan!

“Jangan buat macam ni, bang. Kalau orang nampak, orang akan kena cemuh?” Dayana bersuara tegas.

“Kenapa? Tadi, elok aje Yana bagi abang cium tangan?” 

“Bila!” Mata Dayana terbeliak luas. 

“Masa Yana tidur. Abang tahu, Yana memang sayangkan abang,” 

“Apa!” Dayana merengus kasar. 

“Nama aje Iman tapi perangai abang macam orang tak beriman. Ingatlah sikit dosa pahala. Abang tak kesian kat orang? Mak baru meninggal. Kalau ada yang nampak apa abang buat tadi, tak jadi isu hangat? Abang suka, orang kena caci, kena hina?” 

Shahiman terdiam.

“Sampai hati abang.” Dayana menangis. Seperti dirinya sudah tercemar.

“Abang tak dapat kawal perasaan. Abang... sayangkan Yana.” 

“Abang Iman!” Dayana separuh menjerit. Lekas-lekas menekup mulut. Bimbang, terjaga pula sanak saudara nanti.

“Biar abang jaga, Yana. Abang tak sanggup, tengok Yana tinggal kat rumah kebajikan tu. Biar abang beritahu abah, minta kahwinkan kita, sekarang juga.”

“Jangan buat kerja gila!”

“Abang terseksa tengok Yana asyik menangis. Sakit, sakit tau hati abang ni.” Dia menepuk lembut dada kiri. Biar Dayana tahu, bagaimana terseksa hatinya.

“Abang, tolong waras sikit.”

“Abang waras... sejak cintakan Yana.”

“Abang, orang anggap abang macam abang kandung. Boleh tak jangan buat macam ni? Kepala orang, tengah serabut sekarang.” 

“Abang betul-betul sayangkan, Yana.” 

“Tolonglah Abang Iman. Jangan tambah beban kat bahu orang.”

“Kenapa? Kenapa tak nak terima cadangan abah abang?” Dayana semakin dirapati. 

“Soal kenapa orang tak nak terima pelawaan abah abang tu, fikirlah sendiri.” Dayana semakin gelisah, sedaya upaya mengawal gugup. Berusaha keras, mencari jalan mahu melepaskan diri.

“Lily Dayana, tolong jangan seksa abang. Cuma kata ‘iya’. Yang lain, abang uruskan.” Shahiman melutut.

“Abang memang dah gila!” Dayana enggan melayan terus berlari menaiki tangga, menuju ke tempat tidur. 

“Yana...” panggil Shahiman sebaik melihat Dayana semakin menjauh. 

 “Apa, ingat aku ni patung berhala? Nak kena melutut macam tu!” Dayana menutup seluruh tubuh dengan selimut dan menangis puas-puas dengan nada perlahan. Tidak mahu esakannya mengganggu yang lain lebih-lebih lagi, mak su. Apa akan dijawab nanti kalau mak sunya bertanya, “Kenapa kau menangis?” 

Sampai hati Shahiman. Sudahlah emak baru sahaja meninggal. Dayana tidak faham dengan Shahiman. Mengapa harus dirinya dikejar sedangkan dia langsung tiada hati terhadap Shahiman? Bukanlah seorang terlalu memilih atau cerewet malah sedar diri, dia bukanlah secantik mana. Masih banyak wanita lebih layak untuk Shahiman di luar sana. 

Mujurlah dia menolak pelawaan pak su. Kalau terima, entah apa lagi Shahiman akan buat? Terasa ingin menjerit sekuat-kuat hati, melepaskan apa terbuku di dalam hati. Dia tidak mampu. Kepada siapa mahu mengadu nasib? Kalau dahulu, emak selalu mendengar rintihan hatinya dan sekarang? 

‘Meminta pada yang ada, berkasih pada yang sayang. Hilanglah kasih, putuslah sayang. Kasih ibu bawa ke syurga, kasih saudara semasa berada.’ Terngiang-ngiang madah itu di telinganya. 

Dia amat mengharapkan kasih saudara sekarang tapi bukan kasih yang melebih-lebih seperti ditonjolkan oleh Shahiman. Dayana memejamkan mata rapat-rapat. Malas mahu ambil pusing. Kepalanya sudah mula berdenyut-denyut kembali. Dia perlu tidur sebentar dan berharap agar apabila bangun pagi nanti, segala peristiwa memilukan yang berlaku sebentar tadi akan tinggal kenangan. Biarlah semua yang terjadi tadi berlalu umpama mimpi buruk menjadi mainan tidur.


Previous: Bab 9.1
Next: 10.1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.