Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 1

Seawal kejadian....

“Lepaskan aku dari sini Maya!” Suara itu bergema mengisi rongga kepala Maya. Maya tersentak. Matanya terbuntang dengan mulut ternganga. Sesusuk tubuh yang entah milik siapa kelihatan berbalam legam di depan. Maya mengecilkan mata. Berusaha mengecam gerangannya manusia itu. Namun bayangan tersebut tampak kelam. Hanya sesusuk tubuh yang bagaikan bayang tercancang kaku di situ. Maya mendengus perlahan lantas mengocak benaknya.

“Awak siapa? Pandai-pandai awak nak mengarah aku ye! Kenapa? Rupa paras aku ni macam muka orang gaji mak bapak awak ke?” marah Maya, menceceh. Tika ini, juring matanya masih mengintai bayangan lembaga itu. Dia sebenarnya tidak berpuas hati selagi tidak berjaya melihat dan mengecam muka tetamu tersebut.

Suara itu mengguman. “Aku tersesat lalu terperangkap dalam lembah ini Maya. Engkau tolonglah keluarkan aku,” pinta suara itu perlahan dan semacam merayu pula. Nadanya kedengaran sayu dan seperti terdesak. Kening Maya bertaut satu. Dalam benua fikirnya terhampar sebuah lembah. Sebagaimana lembah tempatnya berpijak ketika ini. Beberapa imej lembah turut berapungan dalam benaknya. Objek-objek tersebut kemudiannya bersepai dan terpadam serentak. Minda Maya kembali malap, kosong dan hambar. Entah lembah mana yang dimaksudkan oleh tetamu yang ternyata adalah seorang lelaki itu.

“Aku tak fahamlah. Lembah mana pula yang awak maksudkan ni?” tanyanya lantas menggaru-garu kepala. Waktu ini pandangannya masih terhunjam arah tetamu itu.

Suara itu mengeluh. “Lembah ciptaanmu Maya,” bisiknya. Namun suaranya kedengaran seperti dalam lohong telinga Maya.

Maya ketawa sinis. Nadanya kedengaran sumbang sungguh. “Aku manusia biasa. Aku tak punya kuasa seampuh Tuhan untuk mencipta sebuah lembah. Awak ni dah bengong agaknya,” tepis Maya seperti mahu berjenaka pula. “Bengong,” ulangnya dengan suara lirih lantas ketawa terkikih-kikih. Rambutnya yang panjang berkeluk ditolak ke belakang pabila terkirai ke depan.

Suara itu mengeluh. Desahan nafasnya menjelaskan runtunan perasaannya. “Kenapa kau tak nak faham Maya?” ujarnya semacam hampa dan kecewa.

“Eh! Macam mana aku nak faham? Aku tak kenal awak pun.” Maya meningkah. Mulutnya diherot seraya mengalih pandang. Dia terkejut apabila satu benda melintas pantas depannya. Waktu yang sama, terasa angin melibas kuat tubuhnya hingga terhuyung-hayang seperti orang mabuk gamaknya. “Anehnya tempat ni,” getusnya terperanjat.

“Memang aneh dan semua ini adalah ciptaanmu Maya. Semua ini terhasil dari mindamu,” kata suara itu. Maya mendengus. Dia berasa rimas tatkala mendengar semua itu. “Aku akan terus mengekorimu selagi semua karma ini belum ternoktah.” Suara itu menyambung.

“Eh! Awak ugut aku ke?” Maya berang. Dia menoleh ke belakang. Tiada apa yang kelihatan di situ selain hutan belantara yang dihampari kabus tebal berwarna kelam. Pelik. Tiada udara berhembusan dan mengasak jasadnya ketika ini. Ia hanya berlaku sebelum ini dan terhasil dari benda pelik yang melintas pantas depannya tadi. Benda yang kini menjadi persoalan dalam kotak fikirnya.

Suara itu mengeluh lagi. “Aku tak mengugut awak, Maya. Melainkan sekadar menjelaskan kasadku. Tak salah aku berkeliaran dalam setiap mimpi-mimpimu. Aku dah terlanjur berada dalam lembah-lembah milikmu ini. Maka apa salahnya aku menghantui dan membayangi hidupmu. Aku bagaikan bayang-bayang hitam yang hidup terbiar dalam dunia ciptaanmu ini. Aku tak sengaja menjejakkan kaki ke dalam lembah yang maha dahsyat ini melainkan awak yang sengaja mengheretku ke sini.”

“Eh! Awak jangan nak menuduh pula!” cantas Maya kian bengang. Pandangannya semakin tajam menghunjam lembaga hitam tersebut. Tubuh lembaga itu pula kian lonjong diterjah cahaya suram dari arah belakang. Entah cahaya mana yang terpercik kerana lembah sepi ini tidak disuluh sinar mentari ataupun rembulan. “Hmm..” gumannya pabila lembaga itu semakin menipis dan hilang perlahan dari pandangan.

“Aku akan terus memburumu Maya! Aku akan terus memburumu!!” jerit suara itu sebelum sirna dan akhirnya lesap.

Maya terjaga dari lena. Rupa-rupanya dia tertidur dengan muka tertelangkup atas meja komputer. Sambil menggocoh kedua kelopak mata, Maya meraba cermin mata berbingkai tebal miliknya. Semua objek yang dilihatnya tampak samar dan berkabus. Matanya dikejip-kejipkan lagi dan dia terus saja meraba. Tiba-tiba dia teraba benda melekit atas meja. Ia basah dan hangat sungguh. “Cis!” gerutunya pabila menyedari benda itu adalah air liur miliknya yang tertumpah dari mulut lalu bertompok di situ. Gadis itu beredar ke meja solek selepas berjaya mendapatkan cermin matanya.

Dia berdiri lalu membongkok depan cermin dan mengenakan cermin mata. Maya kurang selesa jika cermin mata itu tidak melekap di mukanya. Air liur yang berkeruping di celahan bibirnya digaru-garu dengan hujung jari. Sekadar mahu mengikisnya. Dia kemudiannya tersengih pabila menyedari rambutnya kusut-masai. Pendakap gigi logam yang baru dipakainya sebulan lepas berkilat disuluh cahaya matahari dari luar. Menambahkan lagi kehodohan mukanya yang taklah secantik mana.

Gadis itu kemudiannya berjalan dengan langkah kecil menuju ke meja komputer. “Huh!” Maya menyandarkan belakang sambil menanggalkan cermin mata dan meletakkannya atas meja. Pandangannya yang masih melekat arah skrin komputer dialihkan. Dia berasa silau sungguh. Almaklum, sudah sekerat hari ini dia mengetuk papan kekunci komputer. Mencoretkan semua cerita sebagaimana yang terjadi dalam mimpi dan ruang khayalannya.

Keluhannya terhembus lagi. Benda pertama yang terarca dalam danau matanya ialah mug berisi nescaffe yang telah pun hangat. Diambilnya mug berbentuk pot tersebut lalu meneguk sedikit isinya. Pahitnya terasa menyusur ke dalam rengkung. Muka Maya berkerut sejenak semacam tertelan tulang ikan. Kalaulah bukan kerana mahu menahan ngantuk, dia pun tak teringin membasahkan tekaknya dengan minuman pahit tersebut. Maya kembali menatap skrin komputer selepas mengenakan semula cermin mata berkanta tebal.

Dia meneliti karyanya yang terpahat di situ. “Hisy! Macam mana nak mengarang cerita mistik ni? Sakit kepala aku dibuatnya,” keluh Maya seraya bangkit. Dia terus saja terkocoh-kocoh ke dalam tandas untuk buang air kecil. Tika ini setimbunan ayat sedang berlegar dalam benaknya. Matanya pula terkebil-kebil memandang pintu tandas. Di mana beberapa babak terpentas di situ. “Apa aku nak buat dengan watak yang tersesat tu ye?” suanya pada diri lantas bingkas. Bunyi lantai berkeriut dipijak seseorang dari luar menyentakkannya. Denyut nadinya spontan terhenti. Matanya terbuntang arah daun pintu. Dia bersunyi-sunyi sejenak untuk mengenal pasti punca bunyi tersebut.

Sejurus, terdengar pula bunyi pintu dicakar dari luar. Dadanya dipentung debaran. Dalam minda tertakik perkataan hantu. “Inilah padahnya menulis cerita mistik,” bisiknya tanpa suara dan suara tersebut hanya bergema dalam ruang lingkup mindanya. Maya menarik nafas kemudian menghembus lalu menarik nafas lagi dan menghembuskannya. Dia cuba melahirkan keberanian dalam diri. Lagipun sampai bila dia mahu berkurung dalam tandas yang berbau hancing ni. Dalam gerak perlahan, daun pintu tandas ditolaknya dengan mata tak berkedip-kedip. Gelagatnya semacam mahu mengintai seseorang. Bunyi engsel pintu berkeriut menambahkan lagi runtunan dalam dadanya.

Debarannya kian memacu bagai rentak kompang dipalu. Nafasnya pula seperti tersekat dalam rengkung dengan nadi semacam sudah terhenti berdenyut. Maya terlompat ke belakang apabila satu benda hitam berbulu lebat muncul di sebalik pintu. “Engkau rupanya! Buat aku terkejut je!” Maya menekan suara dengan mata mencerun tajam. Mahu saja disepaknya kucing betina berbulu hitam pekat itu. Kucing itu sekadar memandang bodoh. Raut wajahnya semacam sedang tersengih sinis arah Maya. Maya mencebik.

“Hmmm,” gumannya geram sungguh. Sambil mengusap dada, dia beredar dari situ tanpa mengendahkan kucing itu lagi. Sementara kucing itu pula terlenggang-lenggok mengekorinya. “Tapi derit lantai tadi takkan milik si Toyol juga.” Pandangannya kembali terarah hala kucing yang dipanggilnya Toyol itu. Kucing itu berhenti lalu mendongak arahnya dengan mata terbeliak.

“Engkau jangan pandang-pandang aku pula! Aku masih berbahang ni gara-gara perbuatan engkau tadi,” marahnya lantas mencebik bibir. Tika ini benaknya masih ligat memikirkan misteri tadi. “Berat sangat ke kau ni Toyol sampai lantai papan ni berkeriut dengan sekali lalu je?” Dia bertinggung lalu mengangkat kucing tersebut.

“Tak berat pun. Patut-patut kucing liar macam engkau ni gemuk gedempol sebab hari-hari makan percuma.” Dengusannya kedengaran. “Engkau ni kurus sangatlah Toyol. Menyampah aku tengok engkau.” Maya menggeleng-gelengkan kepala lantas menandu langkah hala meja komputer. Dia terkejut pabila terbaca ayat yang terpapar pada skrin komputer.

“Maya berhenti menulis lalu melangkah ke tandas. Waktu itulah dia terdengar bunyi berkeriut disusuli bunyi pintu dicakar dari luar. Maya berasa takut namun cuba memberanikan diri untuk keluar dan melihat sendiri keadaan sebenar. Rupa-rupanya ianya perbuatan Toyol iaitu seekor kucing betina berbulu hitam milik Maya. Sungguh pun begitu Maya masih berasa....”

Maya tersentak apabila disergah bunyi daun pintu balkoni terhempas kuat ke dinding rumah. Matanya terbuntang hala pintu balkoni yang terbuka luas. Tiada searus pun angin datang menemuinya. Bahkan rambutnya yang hitam berlekuk semacam dawai bengkok sedikit pun tidak bergerak. Sekali lagi mindanya memahat perkataan hantu dan sepantas itu juga Maya bingkas lalu mengatup kedua daun pintu balkoni. Dia kembali ke meja komputer lalu memandang semula skrin. Maya terkejut apabila ayat-ayat tadi sudah tidak tertera pada permukaan skrin. Ayat-ayat yang entah berasal dari mana dan siapa pencetusnya?

Cuma yang pastinya ayat-ayat tersebut bagaikan kesinambungan terhadap karyanya. “Tolong sikit! Jangan pandai-pandai nak sambung karya aku! Aku tak suka! Faham?” Sengaja Maya nak berlawak untuk mengusir ketakutan yang meraja dalam dadanya. “Mungkin aku patut lupakan dulu cerita mistik ni,” bisiknya lantas menekan butang keluar dan kemudiannya membuka fail baru pula.

Manuskrip bertajuk Semangat Perawan menjadi pilihannya. Manuskrip ini sudah hampir nak siap cuma Maya saja yang sengaja nak berlengah-lengah. Selain tidak didatangi sekelumit ilham, Maya juga mahukan penyudahan cerita yang menarik hingga berjaya meninggalkan kesan di hati pembaca. Kerana perkara inilah Maya menepikan manuskrip Semangat Perawan. Maya menghela nafas. Hatinya terasa gatal nak membuka fail mistik yang ditutupnya tadi. Hajatnya hanya terlaksana beberapa ketika kemudian.

Tanpa berfikir panjang, Maya menyambung manuskrip tersebut. Jemarinya lincah menari atas papan kekunci dengan pandangan bertebaran arah skrin. Tika ini benaknya sedang dibesit bertambun perkataan. Kejadian tadi membuatkannya diketuk ilham yang semacam tiada berkesudahan. Dia hanya berhenti apabila menyedari mugnya sudah tidak berisi apa-apa. Tanpa bertangguh Maya segera membancuh semug Nescaffe. Dia kemudiannya bergegas arah balkoni.

Menolak pintu cermin ke tepi kemudian termenung di situ. Kejadian tadi kembali berlayar dalam lautan fikirnya. Sesekali ia dilambung ombak persoalan hingga Maya jadi bingung dibuatnya. Dia terfikir-fikir hantu siapakah yang datang bertandang dan membuat onar? Ataupun mungkin kejadian tadi hanyalah mainan perasaan. “Huh!” keluhannya bertabur. Pandangannya menjengah arah meja tulis di mana sebiji komputer usang tersadai di situ.

Senyumnya terkuak. Komputer usang dan lusuh itu telah lama berbakti kepadanya. Bahkan paling setia menemaninya siang dan malam. Tanpa komputer tersebut namanya tidak akan segah sebagai penulis novel popular. Namun itu cuma nama. Diri dan rupanya pula langsung tidak dikenali. Hanya Jiah dan Munira saja yang mengetahui rahsia dirinya. Dia tidak pernah mengirimkan gambar atau apa jua bahan media sebagai pengenalan dirinya ke tangan pihak Penerbit.

Dia cuma menyertakan biodata dan alamat rumah sewanya sebagai alat perhubungan. Dia sebenarnya risau seandai mukanya yang hodoh ini boleh menjahanamkan karya-karyanya. Dia tidak mahu manuskrip-manuskrip yang dihasilkannya diketepikan dan diabaikan. Tambahan pula, bukan senang untuknya menghasilkan karya-karya mistik dan thriller tanpa daya imaginasi yang tinggi. Kerana alasan inilah dia enggan melihat hasil nukilannya ditolak. Maya terlompat pabila satu benda basah dan melekit menjilat batang kakinya.

“Ehh! Geramnya aku kat engkau ni Toyol!” Dia mengetap bibir dengan mata mencerun tajam. Penumbuknya diacuhkan arah kucing hitam yang hanya memandang bodoh padanya. Dia kemudiannya mendecitkan hujung lidah dan bergegas ke meja komputer.

“Maya, apa fasal dengan kau ni?”

“Kenapa dengan aku?” tanyanya pula dengan mulut penuh berisi makanan. Keluhan Jiah bertaburan.

“Sepi je. Kau masih hidup ke atau dah lama mampus ni?”

“Habis yang tengah bercakap ni takkan hantu pula.” Maya ketawa lucu. Hampir berhamburan makanan yang bersesakan dalam mulutnya. Keluhan Jiah berdetasan lagi.

“Kau tak pergi kelas bahasa Inggeris tu lagi ke?”

“Aku sibuk sekarang ni.”

“Yalah tu. Azhan pun macam rindu je kat awak tu,” acah Jiah sengaja mahu mengusik Maya.

“Rindu ke benci?” Maya mencebir bibir. “Kirim salam sajalah kat dia. Aku tengah sibuk sekarang ni.”

“Sibuk macam mana sekali pun janganlah sampai berdelusi macam dulu pula. Awak ni silap haribulan boleh masuk wad sakit jiwa. Suka sangat layan perasaan sendiri,” bebel Jiah pula semacam tidak bersetuju. Walau sebenarnya dia cukup memahami karenah dan keperluan sahabat akrab yang baru dikenalinya itu. Sahabat yang paling pelik dan ganjil. Namun baik hati sebenarnya.

“Habis engkau ingat senang ke nak menulis dan berimaginasi kalau tak layan perasaan sendiri dulu. Menulis ni perlukan penghayatan, bodoh.” Maya ketawa terkikih-kikih. Entah apa benar yang mengusik kalbunya hingga ketawa sedemikian rupa.

“Sahlah awak ni memang dah sewel. Bengong.” Jiah turut ketawa perlahan. “Munira pun rindu nak jumpa awak. Ada masa, datanglah lepak-lepak kat apartment kami.”

“Yalah. Tapi buat masa ni biarlah aku habiskan dulu karya aku. Kirim salam je kat mana-mana yang sudi nak merindui aku tu.” Sejurus perbualan pun dimatikan. Maya tersenyum seketika. “Azhan,” sebutnya dengan senyuman semakin lebar hingga mencecah pangkal telinga. Entah mengapa indah sungguh rasanya tatkala terkenangkan pemilik nama tersebut. Pemuda itu dikenalinya dalam kelas bahasa Inggeris di Stamford College, Kota Kinabalu.

Pemuda yang hanya menganggapnya sebagai kawan dan rakan sekelas. Cuma dia saja yang terlebih perasan. Tiba-tiba Maya teringatkan Toyol. Entah ke mana perginya kucing yang tampak uzur itu. Kucing yang datang dan pergi macamlah rumah sewanya ini satu persinggahan. Sesuka hati datang walaupun tak dijemput. “Toyol!” panggilnya dengan ekor mata melilau ke serata ruang.

“Awak ni Toyol macam biskut chipsmore. Kejap ada kejap lagi dah tak ada,” rungut Maya lantas masuk ke kamar mandi. Dia ingin membasuh mukanya. Selesai membasahkan muka, Maya memandang arah cermin dan terkejut apabila ternampak seraut wajah kelam serta berbalam terpantul di situ. Dengan nafas seakan tersekat dalam rengkung dan mata terbeliak lantaran terkejut... Maya menoleh ke belakang namun tiada apa yang berada di situ. Lalu dengan gerak perlahan Maya memandang arah cermin semula.

Kerana terlalu terkejutlah Maya menjerit sekuat hati sambil menutup mukanya dengan tangan. Wajah kelam tadi betul-betul berada depan cermin dengan mulut menyeringai hodoh. Maya kemudiannya menghambur keluar dengan muka pucat lesi. Buat seketika Maya hanya termenung di tubir meja komputer. Sesekali pandangannya terhumban arah kamar mandi dengan muka curiga.

Dia cuba bertenang di samping memulihkan nafasnya yang masih tersangkut-sangkut. Dia sebenarnya masih terkejut dengan kejadian tadi. “Agaknya aku bermimpi,” katanya berbisik lantas mengetil kulit tangannya. Sakit. Situasi tersebut membingungkan Maya. Dalam keadaan kurang faham, Maya berganjak hala tingkap.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.