Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 13


Hati Maya hanya terbuka untuk menghantar manuskrip Semangat Perawan ke meja editor selepas dua minggu berlalu. Tiada apa yang diubahnya. Apatah lagi menokok tambah kandungan manuskrip itu selepas menyemaknya semalam. Isi manuskrip itu masih seperti dulu. Cuma bezanya, Maya tidak berasa berat hati dan serba tak kena lagi untuk menghantarkannya ke meja editor.

Pelik, kisah dulu berulang semula. Di mana sewaktu tiba di depan pejabat.. Maya sekali lagi berhadapan dengan notis pemberitahuan bahawa Cik Suhaila sedang bercuti selama seminggu. “Tak mengapalah, yang penting manuskrip ini dah siap sepenuhnya,” bisiknya cuba memujuk diri. Langkahnya ditandu menghala tangga.

“Heh! Mata tu letak kat mana? Kat lutut ke?!” herdik seseorang lantaran kesebalan apabila Maya terlanggar bahunya. Maya sekadar mengintai wajahnya yang tengah kering-kontang kemudian tergesa-gesa turun. “Pelik,” cemuh gadis itu lagi kerana tidak berpuas hati. Pandangannya masih mengelar batang tubuh Maya. Sinar matanya seakan marah. Maya tidak mengacuhkannya melainkan terus saja melangkah menuruni anak-anak tangga. Gadis itu hanya meneruskan haluan selepas Maya lesap di hujung tangga.

Sebagaimana selalu, Maya akan singgah sekejap di tembok marmar. Mendaratkan punggung di situ sambil menjamu mata. Berselang beberapa minit, Maya bangkit untuk melanjutkan hala tujunya. Tiba-tiba tunaknya membidik sebuah Subaru yang dilengkapi airbrushing ala-ala hunter. Bahkan Subaru tersebut telah melalui modifikasi sebagaimana Subaru milik Zak seperti yang dikatakan oleh Kazumi. Kenderaan itu pula hanya terletak di depan matanya. Namun Maya endah tak endah. Baginya kewujudan Subaru tersebut hanya satu kebetulan dan tidak berkaitan dengan Zak.

“Semua ni hanya satu kebetulan,” bisiknya cuba meyakinkan diri. Tanpa bertangguh, Maya meningkah pejalan kaki yang lain sementara lampu merah masih menyala. Dia susup-sasap di celahan kenderaan-kenderaan yang tersadai sepi di situ. Entah apa jadahnya, tapak kasutnya tiba-tiba terkopak sewaktu melintasi Subaru tersebut. Maya menggelabah lantas membongkok untuk mengutip tapak kasutnya yang telah terpokah.

“Alamak.” Dia panik apabila tapak kasut tersebut melekap ketat atas permukaan jalan. Puas ditariknya namun tapak kasut itu masih melekat di situ. “kurang asam,” seranahnya lantaran geram sangat. Saat yang sama, lampu merah pun bertukar hijau. Kenderaan mula bergerak perlahan kecuali Subaru tersebut. Maya telah menghalang laluannya dan dia pula tidak mempunyai pilihan lain untuk melepasi gadis itu. Sementara Maya pula masih terkial-kial dan bertambah cemas apabila melihat semua kenderaan kini meluncur deras kiri kanannya.

Terpaksalah pemandu Subaru itu memasang lampu kecemasan selepas terintai gelagat Maya. Dia kemudiannya bergegas turun untuk melihat sendiri apa sebenarnya masalah gadis itu. “Awak ada masalah ke?” Maya tersentak lantas menoleh.

“Adakah ini satu kebetulan jua?” bisiknya pada diri dan kini tersipu-sipu. Pemuda itu tersenyum seraya mendekati Maya untuk melihat sendiri masalah gadis itu. Maya cepat-cepat menepi untuk memberikannya ruang.

“Oh! Rupanya ini masalah awak.” Senyumnya sekali lagi menguntum. “Rasanya ada gam kasut tertumpah kat sini sebab tu tapak kasut awak dah jadi macam ni,” katanya setelah terhidu bau gam kasut. Sekilas dikerlingnya kasut yang masih tersarung di kaki Maya. Dia lebih dari pasti bahawa kasut itu sudah kehilangan tapaknya. Maya tidak berkata apa-apa melainkan terkeseng-keseng malu. Dalam dada ada debar tingkah-meningkah. Indah sungguh rasanya tika bergendang dalam sanubari. Almaklum, dia kini sedang berdepan dengan seorang lelaki kacak.

“Tak mengapalah. Kita masuk dulu dalam kereta dan bincang macam mana. Tapak kasut ni dah melekat sangat. Tambahan pula kita berdua telah menyebabkan jalan raya ni mengalami kesesakan lalu lintas.” Pemuda itu mencadangkan dengan kening kiri terjungkit seakan menuntut persetujuan Maya. Maya mengangguk pantas.

Tiada sebenih pun curiga bercambah dalam batas hati. Dia berkhaifiat seperti ini kerana berasakan ada kemesraan di antara mereka berdua. Dia seolah-olah telah lama mengenali pemuda itu. Pemuda itu tersenyum lalu memintanya masuk ke dalam kereta di bahagian depan. Maya tidak membantah. “Kasut awak saiz apa ya?” tanyanya setelah mereka berdua berada dalam perut kereta.

“Hmm.” Maya membongkok lantas mengambil kasutnya lalu mengintai. “Nombornya dah hilang,” beritahunya pula dan jawapan tersebut mencicirkan tawa pemuda itu.

“Tak mengapalah. Kita masuk dalam kedai kasut sama-sama okey,” putusnya sambil menyasarkan haluan kereta. Maya angguk-angguk lantas merapikan manuskripnya yang masih berada dalam dakapan. Pemuda itu tersenyum lagi. Gelagat Maya melucukannya tetapi dia suka menikmati semua itu. “Dokumen ke yang ada dalam rangkulan awak tu?” risiknya dan anggukan Maya menjelaskan segalanya. Walhal tidaklah diketahuinya gadis itu telah berdusta padanya. Sejurus, mereka berdua pun tiba di kawasan Gaya Street di mana sebuah kedai kasut masih terbuka.

Pemuda itu segera mengajak Maya turun. Dia sedikit pun tidak terkejut pabila melihat Maya berkaki ayam sewaktu membuntutinya masuk ke dalam kedai. “Kesian,” bisiknya lalu menanti Maya. Seorang gadis menapak arah mereka dengan pandangan semacam. Dia hairan apabila gadis seselekeh Maya melangkah masuk ke dalam kedai. Pemuda itu tidak mengacuhkan pandangan gadis tersebut. “Pilihlah yang mana awak suka,” suruhnya masih berbisik. Maya mengangguk dan sambil merapikan cermin mata berbingkai tebal miliknya, dia beredar dan segera melihat-lihat.

Sementara pemuda itu pula mendaratkan punggung atas sebuah bangku kecil lalu menelefon seseorang. Sesekali tunaknya yang tersorok di sebalik cermin mata hitam terhumban hala Maya. Dilihatnya pekerja kedai tersebut sibuk menyarankan kasut bertumit tinggi untuk Maya. Maya tampak bingung lalu memandang arahnya. Terpaksalah pemuda itu masuk campur. Ternyata kasut yang dipilihnya mendapat tempat di hati Maya. “Tak payahlah bayar. Anggap saja kasut tadi adalah pemberian ikhlas dari aku,” katanya pabila Maya mengeluarkan sejumlah wang sebagai bayaran terhadap kasut yang dibelinya itu.

Waktu ini, mereka berdua sedang menuju ke kereta. Sementara pekerja kedai kasut itu pula masih memandang Maya dengan muka hairan. Maya pula tertoleh-toleh arah gadis tersebut dengan benak dibanjiri persoalan. “Maya nak balik mana?” Sekali lagi Maya terkejut lantas memandang pemuda itu. Dia hairan bagaimana pemuda itu tahu namanya. Pemuda itu baru menyedari sesuatu lantas mengetuk kepala sambil menuturkan perkataan maaf. “Sebenarnya aku ternampak nama tu kat dokumen awak tu.”

Maya angguk-angguk. “Tak mengapalah,” kata Maya.

Pemuda itu tersenyum kecil. “Oh ya! Aku Rezza Haqiem Aqasyah. Panggil Syah je.”

Maya angguk-angguk. “Panjangnya nama.”

“Apa boleh buat jika nama itulah yang disediakan oleh ayahanda dan bonda untukku. Berbalik kepada pertanyaan tadi, Maya nak balik kat mana? Biar aku hantar Maya.”

“Tak mengapalah. Buat susah-susah je.”

“Tak adalah susahnya. Aku masih ada sejam lagi sebelum menghadiri perhimpunan kelab.”

“Kelab? Kelab kereta Subaru ke?” Maya terus saja meneka. Hatinya berdebar-debar. Waktu inilah dia baru teringatkan kasadnya hendak menjelangi kedai siber.

Syah mengangguk. “Wah, minat kereta Subaru ke?” Ada senyuman terhimpun di hujung bibirnya. Lirikannya juga tampak mesra. Dalam diam, dia seperti tidak percaya gadis sehodoh Maya punya minat terhadap dunia modifikasi.

“Minatlah sikit-sikit. Mesti awak kenal Mohd. Zakrul Hakimi kan?” Sengaja Maya bertanya. Serasanya inilah peluang untuknya mengetahui sedikit latar belakang Zakrul. Syah kelihatan terkejut apabila disuakan pertanyaan tersebut. Dia kemudiannya mengangguk sambil berkata ya. “Ada tak awak menyimpan gambarnya?” Maya memberanikan diri bertanya. Syah mengangguk lagi. “Boleh aku melihatnya?” pinta Maya kurang sabar.

“Boleh tapi gambar-gambar tu ada kat rumah. Kalau Maya tak keberatan, singgahlah sekejap. Hmm... Maya minat kat Zak ke?” Syah tersengih. Dia sungguh tidak menyangka, peminat Zak dari yang paling cantik kepada yang paling hodoh. Apapun, dia berasakan sesuatu yang amat istimewa pada diri Maya. Walaupun tak cantik, namun sinar mata yang amat bening itu semacam mengundang rasa di hati.

“Ya. Aku memang minat sangat kat dia.” Terpaksalah Maya berdusta untuk merancakkan lagi suasana yang baru bermula ini.

Syah tergelak kecil. “Beruntung Zak.” Hanya itu katanya sebelum memecutkan kereta. Namun seketika kemudian, dia kembali memperlahankan kereta selepas terintai gelagat Maya.

“Awak tahu kat mana Zak berada sekarang?” Maya kembali berdebar-debar.

“Tahu. Dia berada dalam rumahnya sendiri. Tapi tempat tu susah nak masuk. Lebih-lebih lagi selepas kejadian ngeri yang telah menimpa Zak.”

“Awak berusahalah. Aku teringin sangat nak melawat Zak.”

Keluhan Syah bertabur. “Nanti aku bincangkan dengan Imelda.” Maya terkejut apabila mendengar nama itu disebut. “Maya kenal Imelda ke?” Syah menjeling lalu tersenyum. Lelaki itu murah sungguh dengan senyuman. Maya menggelengkan kepala. “Imelda tu sebenarnya tunang Zak. Tapi Maya janganlah risau, Zak bukannya minat sangat kat Imelda. Pelik. Lelaki sekacak Zak tidak berminat sangat dengan perempuan berdahi licin seperti Imelda. Imelda yang terhegeh-hegeh sebenarnya,” umpatnya semacam geram.

“Syah sukakan Imelda ke?” duga Maya dengan suara hampir tidak kedengaran.

Syah cepat-cepat menggelengkan kepala. “Aku lebih sayangkan keretaku. Imelda tu ada hubungan sulit dengan adik lelaki Tan Sri. Tapi adik lelaki Tan Sri tak dapat mengahwininya kerana enggan melukakan hati isterinya.”

“Zak tahu ke semua tu?” Dalam diam Maya mengeji perbuatan Imelda dan pak cik kepada Zakrul.

“Manalah Zak tahu. Kesian Zak. Dia hanya mendapat sisa.” Keluhan Syah bertebaran.

“Dah berapa lama Zak koma?”

“Sedari kemalangan tu berlaku sehingga sekarang. Zak pun semakin tidak bermaya. Denyutan jantungnya juga agak lemah dan dia sering mendapat bantuan pernafasan.”

Maya agak tersentak mendengarnya. Dalam diam, dia berasa hiba dan sebak pula. “Boleh tak Syah bantu aku untuk berjumpa dengannya dalam waktu terdekat ini?” Syah tidak segera menjawab. “Tolonglah Syah,” rayunya bersungguh-sungguh.

“Susah Maya.”

“Kau buat-buatlah cerita...”

“Cerita apa pula?” Syah menghela nafas. Stering kereta dipusingkannya setelah tiba di satu persimpangan.

“Cerita apa-apa je yang penting aku dapat berjumpa dengan Zak selagi nafasnya masih ada. Tambahan pula aku cuma ada tiga bulan ni lagi sebelum menghembuskan nafas terakhir.” Syah terkejut lantas memandangnya dengan air muka disimbahi pertanyaan. “Aku disahkan menghidap kanser payudara yang sudah semakin kronik.” Maya berpura-pura sedih. “Aku amat berharap agar salah sebuah dari impianku terlaksana sebelum tempoh tiga bulan ni berakhir.”

“Huh, kesian awak. Tak apalah, nanti aku usahakan.” Demikian janji yang dipatri oleh Syah. Tidak pula dijelaskannya bahawa Zak kini berada di tanah Semenanjung. Sejurus, mereka berdua pun tiba di sebuah vila yang terletak berhampiran Jalan Istana di bukit Bandaran.


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.