Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 24

“Huh...” Dia terpegun pabila melihat suasana dalam bilik itu. Kain baju berterabur memenuhi perlantaian bilik. Demikian juga barang-barang yang lain. Bersepah-sepah seperti baru diselongkar oleh seseorang. “Tak sangka bilik awak ni sungguh kemas,” sindir Maya lantas mengatupkan semula pintu.

“Ya. Semuanya di luar jangkaan.” Zak berusaha mengingatkan sesuatu.

“Apa yang telah berlaku dalam bilik awak ni?” Maya maju ke depan. Dilihatnya laci meja tulis juga habis terbuka. Semua isinya terkeluar. “Siapa yang melakukan semua ni? Awak ke atau Imelda? Ataupun orang lain...”

“Tak mungkin Imelda ataupun orang lain. Seingatku, hanya aku dan Syah je yang memiliki kunci rumah ni.”

“Mustahil Syah yang melakukannya. Bukankah awak dan dia berkawan baik? Lagipun takkan kawan menikam kawan sendiri.”

“Perkara tu tak mustahil Maya. Kadang-kadang harapkan pagar... pagar makan padi.”

“Itu istilah lapuk. Peribahasa untuk masyarakat zaman tengkolok. Tapi sebenarnya peribahasa awak tu salah. Yang betul harapkan pegar.. pegar makan padi. Pegar tu sejenis burung.” Maya tersenyum dan terus saja berusaha mencari sesuatu. Zak sekadar mengguman. Dia tidak berkata apa-apa sebagai mengulas ayat gadis itu. “Tentu ni Imelda...” Maya mengambil sekeping gambar yang dipercayainya milik Imelda. Zak cepat-cepat menapak dekatnya. “Cantik...”

“Ya. Memang cantik. Dari mana Maya kutip gambar ni?”

“Kat atas lantai.”

“Hmm.... aku baru teringat sesuatu. Hari tu aku ternampak Zurhan kat luar pagar rumah ni. Jadi kalau Maya tak keberatan, aku nak Maya menjejak identiti Zurhan yang sebenarnya. Maya bagitau aku dulu bahawa Zurhan juga salah seorang dari saksi kejadian ngeri tu kan? Jadi, firasatku... kemungkinan besar Zurhan turut terlibat dalam teka-teki ni. Dia bagitau Maya dulu yang dia pernah berkasih dengan Dyanna kan? Gadis yang kemungkinan besar adalah Imelda. Dan Imelda itu pula adalah tunanganku.”

“Ya memang betul dia ada cakap macam tu.”

“Jika difikirkan memang pelik... bagaimana Zurhan boleh berada di situ sewaktu nahas tu berlaku? Dan bagaimana pula Zurhan boleh melepak depan rumah ni sedangkan....” Zak tiba-tiba terdengar satu suara berbisik di telinganya.

“Zak.... Imelda.. Zak.... Imelda...” Suara tersebut semacam milik ibunya. Nada suara wanita itu pula seperti dalam keterkilanan yang teramat sangat.

“Sedangkan apa?” tuntut Maya lantaran berasa ternanti-nanti.

“Kejap. Aku seperti terdengar suara umi menyebut nama Imelda berulang-kali.”

“Kenapa dengan Imelda?”

Zak mengguman. “Suara mama dah hilang. Tak mengapalah... kita teruskan pencarian ni. Aku pun dah tak sabar-sabar lagi nak bangun dari lena yang panjang.”

“Aku tahu. Sekarang awak jelaskan kenapa dengan Zurhan?”

“Persoalan sekarang macam mana Zurhan boleh sampai kat depan rumah ni sedangkan dia tidak pernah sampai ke sini. Siapa Zurhan yang sebenarnya?”

Maya angguk-angguk. “Betul cakap kau tu. Aku pun hairan kenapa Zurhan tiba-tiba muncul dalam hidup aku. Dan kenapa dia bersikap baik denganku.”

“Awak tak terfikir ke kalau Zurhan dan Imelda tu ada perjanjian atau pun mereka berdua ada agenda sendiri? Jangan-jangan mereka berdualah yang telah merancang penculikanku.”

“Mustahil. Menurut Syah... pak cik awak ada hubungan sulit dengan Imelda. Menurut Zurhan juga, Dyanna alias Imelda telah menggunakan taktik kotor untuk merantaimu. Sebab itulah alih-alih je awak dan Imelda dah bertunangan. Cuba awak ingat fasal pak cik awak.” Zak mengguman lantas memugar ingatannya. Sayup-sayup kelihatan sesusuk tubuh rendah dan tegap tercancang dalam tempurung ingatannya. Sayangnya, tubuh itu nampak berbalam dan berkabus.

“Rendah... tegap...”

“Lelaki gondok!” Maya terus saja meneka. “Rendah, tegap dalam pengertian lain adalah gondok. Lelaki gondok itu adalah pak cik awak dan wanita berjubah itu pula kemungkinan besar adalah Imelda. Dyanna Imelda..”

“Hmm.... habis suara yang aku dengar kat bilik di mana jasadku berada tu milik siapa? Takkan hantu pula.”

“Ya tak ya pula. Tapi kan hantu pun pandai melawat orang sakit sebenarnya.” Maya ketawa kecil. Kelakar pula rasanya.

Zak ikut ketawa. “Yelah tu. Dalam manuskrip Maya semuanya pun boleh. Hantu berinteraksi dengan manusia...”

“Situasi ni memang ada dalam kepercayaan tahyul dan dunia mistik. Kita tak boleh menafikan kewujudan mereka dalam hidup kita sebagai manusia biasa. Contohnya kehadiran Zak dalam duniaku. Cuba Zak fikir, Zak tak berasa lucu dan lawak ke terhadap semua karma yang membelenggu kita sekarang ni? Karma yang tak masuk akal langsung. Namun kita terpaksa juga mengharunginya kerana ia dah menjadi sebahagian dari takdir kita.”

“Betul Maya. Apa pun, semua ini akan berakhir selepas aku tercelik dari lena. Percayalah... aku akan cari awak, Maya. Saat-saat itulah yang akan menentukan sama ada awak hanya berhalusinasi atau tidak selama ini. Akan menentukan sama ada perkara yang kita lalui ini sekadar isi atau rangka cerita dalam penulisanmu. Dan mungkin juga aku hanya bermimpi selama ini. Detik itulah yang akan menentukan serta mendedahkan kewujudan dan apa sebenarnya kita selama ini.”

“Huhh...” Maya menghela nafas lantas mendaratkan punggung atas ranjang milik Zak. Air mukanya semacam bingung. “Entah siapa di antara Zurhan, Syah, awak, aku, Jiah, Munira, Kazumi, Dyanna alias Imelda, Azhan dan yang lain-lain yang betul-betul wujud dalam benua misteri ini? Mungkin kita semua hanyalah khayalan dan imaginasi milik seseorang. Kita berasakan diri kita hidup dalam maya ini namun apa yang berlaku adalah sebaliknya. Mungkin kewujudan kita hanyalah sekadar watak-watak yang saling bertelingkah. Karektor yang saling berusaha membongkar satu misteri untuk melengkapkan satu lakaran cerita milik seseorang yang kita tidak ketahui. Aku semakin bingung Zak.” Entah mengapa Maya tiba-tiba berasa sedih teramat sangat.

Kolam matanya mula berkaca-kaca. Dia berasa lemas sungguh tatkala membayangkan dirinya hanyalah salah satu watak yang memegang peranan sebagai penulis dan heroin. Zak terkilan. Segera didekatinya Maya lantas memegang bahu Maya. “Tak mengapalah jika kewujudan kita hanyalah sebagai watak protaganis dan antoganis dalam sebuah cerita. Biarlah diri kita menjadi hulubalang dalam percaturan cerita yang ditulis oleh seorang insan yang inginkan kelainan. Biarkanlah juga perasaan dan emosi kita diperkotak-katik untuk menyedapkan lagi jalan cerita tersebut. Sekurang-kurangnya kita sempat berkenalan Maya.”

Disentuhnya jemari Maya. Maya tidak berkata apa-apa. “Aku akan buktikan bahawa kita sebenarnya wujud dan berpijak dalam dunia realiti. Aku akan pastikan juga takdir dan kehidupan kita tidak terletak di hujung jari seorang penkarya.” Sebintil air matanya terlucut. Zak menghela nafas. Dia tidak berkata apa-apa sekali pun mengulas kata-kata Maya tadi.

“Maya!” panggil Azhan. Maya yang sedang menyimpan barang dalam bonet belakang kereta Jiah berpaling. Wajah Azhan membuatkan senyumannya terus saja menguntum. Kedua keningnya terangkat serentak seolah bertanya kenapa. “Munira dan Jiah masih menumpang kat rumah Maya ke?” Dihampirinya gadis itu. Keringat yang berciciran di dahi dikesatnya dengan belakang tapak tangan. Terik mentari membuatkannya berasa rimas dan tidak selesa. Maya mengangguk dan bertanya kenapa. “Tak ada apa. Saja nak tanya.” Maya mengangguk seraya meneruskan kerjanya. Dibiarkannya saja Azhan menyandar di tepi kereta dengan ekor mata memerhatikan gerak-gerinya. “Dah lama tak jumpa mereka. Mereka sihat ke?” Tidak dipandanginya Maya sewaktu menyua pertanyaan.

“Mereka tak berapa sihat. Mungkin kerana diketuk kejadian misteri dalam rumah tu,” beritahu Maya sambil mengelap tangannya dengan sehelai tuala yang ada di situ. Pandangannya terlontar di hujung jalan. Dia sebenarnya sedang menunggu Munira dan Jiah keluar dari pusat membeli-belah. “Aku betul-betul tak faham kenapa kejadian-kejadian tu semakin kerap berlaku sekarang ni,” luahnya sambil mengintai air muka Azhan. Azhan angguk-angguk.

“Agaknya tapak rumah tu tak berapa elok.”

“Tapi Amirul cakap semua masalah yang timbul bukan berpunca dari rumah tu mahu pun tapaknya. Melainkan disebabkan olehku,” jelasnya dengan riak wajah disalut keresahan. Kening Azhan bertaut. Inilah kali pertama dia mendengar nama Amirul disebut. Tunaknya mencerun dan Maya faham puncanya.

“Siapa pula Amirul tu?” soalnya inginkan kepastian. Sebelum ini, Maya tidak pernah pun menyebut nama itu dalam mana-mana perbualan mereka. Maya segera menjelaskan. “Oh jiran awak.” Azhan kini faham. “Macam mana pula dia tahu semua enigma ini berpunca darimu? Dia tu tukang tilik ke?” Lucu pula rasanya.

Maya angkat bahu. “Tak tahulah. Kami pun tak dijelaskan olehnya mengenai latar belakangnya. Cuma yang kami tahu dia tu terlalu misteri. Dia tiba-tiba wujud dan terus mencampuri semua perkara.” Pandangannya beralih pabila tertangkap deruman motor berhampiran mereka berdua. Azhan turut meningkahnya dan sekadar mengangkat tangan apabila Ferdy menganggukkan kepala arahnya. Ferdy memecutkan motornya dan lesap beberapa saat kemudian.

“Aku teringin sekali nak berkenalan dengannya.” Azhan meluahkan hasrat hati.

“Tiada apa yang istimewa sangat padanya.” Lelaki itu terpaksa menepi apabila melihat Maya mahu menutup pintu belakang Opel Zafira tersebut.

“Mengapa pula? Bukankah satu keganjilan jika lelaki itu berkhaifiat sepertimu juga. Serba misteri dan tak salahkan kalau aku mahu berkenalan dengannya,” jebak Azhan dengan senyum tersua di bibir.

“Memang tak salah. Okeylah, lain kalilah.” Maya berura-ura mahu beredar dari situ. Entah mengapa, dia berasa lemas dan malas pula mahu meladeni Azhan. Dirasakannya hidupnya terasa kosong serta tidak bermakna selepas perbincangannya dengan Zak semalam. Dia berasa tidak bersemangat langsung selepas menikmati pelbagai andaian. Apalah maknanya kehidupan yang dilaluinya ini seandai kewujudan mereka semua termasuk dirinya hanyalah sebagai watak-watak yang hidup dalam karya seseorang. Watak-watak yang memiliki hati dan perasaan.

“Okey.” Muka Azhan seperti berkecil hati pula. Pemuda itu kemudiannya beredar tanpa menoleh lagi. Entahkan sakit hati atau pun berasakan sebaliknya. Syah yang sudah lama memerhatikannya dari kejauhan cepat-cepat membuang langkah. Maya terkejut apabila pemuda kacak itu menyapanya dari belakang. Senyumnya terukir namun wajahnya tampak hambar. Azhan yang ternyata belum berada jauh dari situ berasa sakit hati pabila terpandang situasi tersebut.

“Mungkin lelaki tampan itu adalah Amirul,” bisiknya sendirian lantas mendengus kasar. Dia termenung sekejap. “Err kenapa pula aku nak sakit hati? Aku bukannya sesiapa dengan Maya. Aku bukan kekasihnya. Dan aku tak mungkin akan jatuh hati kepada gadis hodoh tu.” Azhan seperti baru menyedari sesuatu. “Tapi kenapa aku sakit hati sangat ni?” Bibirnya diketap. Hatinya terasa pedih seperti disula ribuan selumbar. Sakit teramat sangat. “Heh! Awak!”

Maya dan Syah menoleh serentak. Syah terkejut pabila buku lima milik Azhan melayah deras lalu menghentak bibirnya. Dia terdorong ke belakang dengan bibir sudah pun berdarah. Maya terkejut lantas cepat-cepat menampan Syah. “Apa kena dengan awak Azhan?!” sergahnya dengan muka kering. Azhan terpempan dan dengan wajah bingung dia segera berundur.

“Apa kena dengan aku?” suanya pada diri. Gimik wajahnya seperti serba-salah. Syah sekadar memandang sambil meraba bibirnya yang kini terasa pedih. Sesekali dipandanginya darah merah segar yang bertompokan atas jarinya. Sementara Maya pula masih memandang kesal dan marah. “Aku tak tahu apa kena dengan aku?” Azhan memegang kepalanya sambil menggeleng perlahan. “Aku berasa marah tapi untuk apa pula aku nak marah? Aku sakit hati tapi kita kan sekadar kawan biasa. Kenapa pula aku nak sakit hati?”

Syah dan Maya berkelebat mata. Dalam diam, Maya semakin merasakan bahawa kewujudan mereka semua hanyalah sebagai watak dalam sebuah cerita. Di mana perasaan, emosi, keputusan, tindakan dan lingkungan hidup mereka ditentukan oleh penulis cerita tersebut. “Aku benci dengan semua ni....” Air mata Maya terpercik. Syah tergemap. Demikian juga Azhan. “Aku benci! Aku benci!” pekiknya agak emosi. “Tolonglah hentikan semua ini. Jangan seksa kami lagi!” Syah dan Azhan berpandangan dengan muka tegang.

Syah menarik nafas. Benaknya ligat memikirkan sesuatu. “Maya, kenapa ni?” Disentuhnya lengan Maya.

“Siapa kita sebenarnya hah?!” Air matanya semakin banyak.

“Siapa kita?” Syah bingung. Pandangannya menjengah Azhan.

“Kenapa kita semua jadi macam ni? Apa sebenarnya yang kita cari Syah?” Bahu Syah ditolak-tolaknya. Syah menggelengkan kepala dan semakin bingung.

“Bertenanglah Maya. Semua ni pasti ada kesudahannya.”

“Kesudahan apa Azhan?” Air matanya dikesat kasar. Waktu yang sama Munira dan Jiah muncul dari sebalik pintu. Mereka berdua tercancang depan matanya dengan muka hairan. Maya terkejut apabila mendapati dia berada dalam rumah Zak. Persekitaran termasuk jasad Syah dan Azhan juga lesap entah ke mana. Yang ada di situ cuma dirinya, Munira dan Jiah.

“Maya... awak tak apa-apa ke?” sua Jiah kehairanan. Dia segera melabuhkan punggung di sebelah Maya. Dilihatnya kedua pipi gadis itu basah seperti baru selesai memukat air mata.

“Tak ada apa.” Maya bingkas lantas membuang langkah menuju ke tingkat atas. Dia terus saja menghayun langkah ke bilik Zak.


Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.