Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 8
Usai menukar pakaian, Maya beredar ke meja komputer. Dihidupkannya komputer kemudian membancuh semug nescaffe. “Patutlah kulit aku kering sangat,” katanya perlahan apabila terintai kulit tangannya yang berkerisik. “Semua ni gara-gara awaklah,” ujarnya menyalahkan minuman Nescaffenya. Tunaknya beralih apabila ternampak Toyol terlenggang-lenggok sewaktu melintasinya. “Eh! Baru aku perasan. Macam dah lama aku tak nampak awak, Toyol.”

Mahu saja direngkuhnya Toyol namun kasadnya terpangkas pabila ternampak monitor komputer sudah pun menyala. Tanpa bertangguh, Maya segera mendaratkan punggung dan memulakan karangan. Kekusyukkannya membuatkannya terlupa dia belum pun mengisi perut. “Baru aku teringat, aku pernah terserempak dengan Zurhan sebelum ni.” Maya mengetuk dahi lantas berhenti sekejap.

“Dia tu terhasil dari watak dalam manuskrip mistik ini juga ke atau...” Ekor matanya beralih apabila tertangkap kelibat seseorang melintas pantas depan pintu balkoni. Terasa bulu romanya menyangkak. Nafasnya ditarik lalu pandangannya dihela arah perlantaian bilik. “Ke mana pula perginya si Toyol ni?” Puas dia melilaukan mata namun tidak melihat batang tubuh kucing itu.

“Kalau benar benda tadi tu adalah makhluk halus, mesti si Toyol dah bising dah,” katanya perlahan dengan ekor mata masih tercari-cari. Namun berselang beberapa minit, Maya kembali menumpukan perhatian pada skrin monitor. Tika ini dalam kotak fikirnya ada suara sedang berbisik-bisik. Maya menggelarnya sebagai tukang cerita. Jari-jemarinya pula sebagai pekerja.

Sesekali Maya berhenti sekejap untuk membasahkan rengkungnya yang terasa kering kontang. Di samping merehatkan minda dan jari-jemarinya. Apapun, tunaknya tetap tidak beralih dari skrin monitor. Ayat-ayat yang terhimpun di situ dibacanya semula untuk mendapatkan kepuasan di samping menjejak kesilapan ejaan. Almaklum, adakala apa yang ditaipnya itu tersasar dan terpesong lantaran keasyikannya berkarya. Seringkali juga ayat yang dibinanya itu tunggang-langgang.

Demikian juga penggunaan tanda baca. Semua itu disebabkan oleh rasa terujanya sewaktu mencoret kata. Sungguh pun begitu, kesalahan-kesalahan kecil ini jarang berlaku seandai dia berfikir dulu sebelum memahat cerita. “Watak Zurhan,” sebutnya sambil memadamkan sebaris dua ayat yang tidak sesuai. Kemudian menaip ayat baru. Ayat yang lebih bersinonim terhadap cerita yang hendak disampaikannya.

Sejurus, Maya kembali kemaruk mengadun cerita. Menaip dan terus saja menaip tanpa mengendahkan persekitarannya. Sasarannya ialah mahu menuai cerita yang memenuhi bendang fikir untuk dihimpunkan dalam komputer. Saat yang sama, kelihatan Toyol berjalan perlahan menuju ke ruang tamu lalu menghilang. Entah kucing hitam itu dari arah mana tadi. Waktu ini, bayu sedang berhembus lesu.

Suara para penghuni kawasan itu juga adakala mencurah masuk ke dalam terowong telinga Maya. Namun selalunya, tiada apa yang berjaya membolos ke dalam tempurung kepalanya sewaktu dia sedang leka menulis. Sekali pun bunyi hingar-bingar bersipongang di luar rumah sewaannya. Fenomena ini berlaku kerana keasyikan dan kekusyukkan Maya berlegar dalam dunianya sendiri. Hingga seringkali terlupa akan kewujudan dunia nyata di mana dia berada.

“Kau tak akan berjaya membongkar misteri ini Mayaaa....”

Maya terkejut apabila suara halus itu bergema dalam terowong telinganya. Pandangannya spontan terbuntang arah pintu balkoni yang ternganga luas. Dia menanti seketika sebelum mengambil keputusan untuk menutup pintu tersebut. “Suara, tadi tu bukan suara engkau kan?” bisiknya perlahan. Pandangannya masih terarah hala pintu balkoni. Maya tersentak apabila pintu balkoni tiba-tiba didorong kuat dari luar.

Waktu yang sama, telefon bimbitnya berdering kuat. Maya segera mengintai skrin telefon dan hanya tulisan no number tertera di situ. Maya tidak segera menjawab panggilan tersebut sehinggalah suasana kembali seperti sediakala. Maya hanya menjawab panggilan tersebut setelah ia berdering buat kali kedua. “Si... siapa ni?” suanya terus saja bertanya.

“Zurhan,” jawab satu suara.

“Zurhan?” Maya seperti tidak percaya. Tika ini tunaknya masih menekuri pintu balkoni. Air mukanya semacam risau jika daun pintu tersebut kembali ditolak kasar sebagaimana tadi. “Macam mana kamu dapat nombor aku, Zurhan?”

“Nantilah aku bagitau. Maya, awak ada masa tak untuk berbual dengan aku malam ni?”

“Malam ni tak bolehlah. Awak ada kat mana ni Zurhan?”

“Kat luar rumah awak. Please Maya. Kejap je... please..”

Perkataan please tersebut mengingatkan Maya kepada suara halimunan. Seorang insan yang tidak diketahuinya siapa. Namun cerita yang dicicirkan oleh suara tersebut membuatkan Maya berasa terbangkit untuk menyelongkar misteri sebenar. “Hmm... oklah. Bagi aku masa 2 minit.”

“Ok Maya. Terima kasih.” Talian diputuskan.

Maya segera bersiap. Tidak banyak perkara yang dilakukannya. Dia cuma mematikan komputer dan menyikat rambutnya. Setelah selesai, Maya pun bergegas keluar dan dia terkejut pabila melihat sebuah kereta Honda berwarna merah metalik tersadai depan rumahnya. Zurhan yang sedang menyandar pada kereta tersebut memandang Maya lantas melambaikan tangan. Pemuda itu kelihatan sungguh gembira setelah bersua dengan Maya. Dia segera membukakan pintu kereta dan Maya berasa kekok pula pabila dilayan sedemikian rupa.

Sorry kacau Maya.” Zurhan tersengih. Dia tidak berganjak dari situ. Nampaknya dia semakin mesra dengan Maya dan air mukanya seperti menyukai gadis itu pula.

“Hmm... ada hal penting ke?” Maya tiba-tiba berasa malu. Pandangannya berciciran di bawah kaki. Termasuk di hujung kasut Zurhan. “Ada. Aku nak ajak Maya dinner kat Noble House.”

“Noble House?” Maya terkedu. Matanya kini terbuntang seakan menuntut seambung kepastian. Namun akhirnya terseret arah lain seolah tidak bersetuju pula. Walhal di hati dia lebih dari bersetuju. Namun kekurangan diri ini membuatkannya berasa tidak yakin pula. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu lantas mencubit kulit lengannya. Terasa sakit sebagaimana sebelum ini. Ini bermakna dia tidak bermimpi mahupun berimaginasi. Maya tersenyum lantas memandang Zurhan semula.

Please,” rayu Zurhan. Riak wajahnya semacam terdesak.

“Tapi aku tiada pakaian yang cantik untuk...”

“Tak mengapa. Yang penting Maya tak menolak permintaan aku.” Zurhan benar-benar mengharapkan persetujuan gadis tersebut. Maya tampak serba-salah. Diselaknya rambutnya yang hitam berkeluk dengan senyum buruk tersua di bibir. “Maya...” Kedua bahunya dicengkam. Dengan senyuman manis, Zurhan menyambung ayat tadi. “Maya janganlah berasa rendah diri. Kita semua ni sama saja. Tak ada apa yang berbeza. Maya juga makhluk Allah sebagaimana aku.”

“Aku tahulah tapi muka aku ni macam muka kambinglah.”

Zurhan tergelak besar tatkala mendengarnya. “Kelakarlah awak ni Maya. Masuklah dulu. Aku bawa Maya ke suatu tempat. Tempat ni istimewa tau. Aku selalu melepak kat situ tiapkali malam menjelma.” Suara Zurhan kedengaran sungguh mersik hingga membuatkan Maya semakin perasan. Tanpa banyak songeh, Maya menyorongkan punggungnya diikuti tubuhnya yang tampak bulat saja. Maya kelihatan begitu kerana memakai pakaian 2 hingga 3 lapis.

Namun Zurhan tidak kisah. Baginya, adalah amat penting Maya berada di sampingnya ketika ini. Dia amat perlukan Maya. Dia harus mencurahkan semua cerita sebelum ianya terpadam dari memori hidupnya. “Awak janganlah memandu terlalu laju. Aku belum teringin nak jadi macam...”

Zurhan memandangnya dengan kedua kening bertaut. “Macam siapa Maya?” tanyanya lantas mengurangkan kelajuan kereta.

“Macam siapa-siapa sajalah yang dah mampus.”

Zurhan menghela nafas. Riak mukanya seperti kesal dan terkilan. “Kadangkala kematian ni bukanlah atas kerelaan.”

“Apa boleh buat ajal dah menjemput. Rela tak rela... kena relakan juga,” jawab Maya selamba.

“Itulah masalahnya. Walaupun tak rela namun kena relakan juga. Awak dah makan malam Maya?”

“Aku masih kenyang. Kita terus saja ke tempat kesukaan awak tu.” Diliriknya Zurhan sebelum memandang ke luar tingkap semula. Dia berharap benar agar hasrat pertama tadi tercicir dari benak Zurhan.

“Jangan ikut dia. Aku kenal lelaki ni. Dia ni buaya darat.” Maya terperangah pabila tertangkap bunyi suara tersebut. Dia cukup kenal dengan nada suara itu. “Dengar cakap aku, Maya. Dia ni bukannya orang baik,” bisik suara itu lagi seperti mendesak pula.

“Sssyt...” Tak tertahan Maya menyuruhnya diam.

Zurhan menoleh. “Kenapa Maya? Ada yang tak kena ke?”

Maya terkejut. “Tak ada apa-apa.” Gadis itu tersengih busuk. Semacam mahu menayangkan pendakap giginya pula. Bingkai cermin matanya dirapikan. Dikerlingnya Zurhan. Niatnya sekadar mahu melihat reaksi pemuda tersebut.

“Percayalah kat aku Maya. Dia ni bukannya boleh dipercayai. Muka je kacak tapi hati busuk. Bukan sedikit perempuan yang telah dipermainkannya.” Maya buat-buat tak dengar.

“Awak berasal dari mana Zurhan?” Kerana tidak mahu mendengar bebelan suara itulah Maya sengaja mengajukan pertanyaan. Tambahan pula saat-saat indah seperti ini jarang berlaku dalam cebisan hidupnya. Bahkan tidak pernah terjadi dan termukim sebagai sejarah dalam riwayat hidupnya. Inilah julung kali dan dia dikira bertuah kerana menjadi pilihan Zurhan sebagai tempat menyandarkan segala masalah hati. Lagipun, hakikat sebenar bukan senang mahu mendekati pemuda sekacak Zurhan.

Firasat Maya, tentu ramai gadis cantik berasa cemburu padanya kerana berjaya berdampingan dengan Zurhan. “Dah sampai kat mana tu Maya?” usik Zurhan sambil menggerak-gerakkan jarinya di depan Maya. Maya terkejut lalu tersedar dari angan dan mimpinya.

“Dah sampai kat mimpi.” Demikian jawapan Maya lantas ketawa terkekeh-kekeh. Lirih dan sumbang sungguh bunyinya. Zurhan tersenyum senang.

“Kita dah sampai Maya,” beritahunya sambil melepaskan tali pinggang keselamatan. “Biar aku tolong Maya lepaskan kepala tali pinggang keselamatan ni.” Tawar Zurhan apabila melihat Maya terkial-kial. Maya sebenarnya tidak tahu hendak menekan kat mana untuk memisahkannya.

“Jangan terpedaya Maya. Buaya darat ni memang pandai mengambil hati perempuan.” Nada milik sang Suara kedengaran seperti sakit hati pula.

“Awak ni sibuk sangatlah,” marah Maya tanpa sedar. Zurhan tergamam lantas memandang Maya dengan kedua kening terangkat. Maya tersengih pahit. Dalam hati, dia mengutuk kebodohannya. “Nyamuk ni sibuk sangat nak gigit-gigit aku,” kata Maya sambil menggaru-garu lengannya dengan sengih masih tersua.

“Nyamuk?”

Maya cepat-cepat mengangguk. “Dah buka ke? Alahai... lamanya.” Dia pura-pura berasa rimas.

“Kejap. Ah... dah ok dah.” Zurhan tersenyum dan entah mengapa dia suka pula melihat senyuman gadis itu. “Uniklah senyuman Maya ni,” pujinya.

Mata Maya terbuka luas tatkala mendengarnya. “Apa dia?” Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula. Demikianlah kiranya Maya.

“Senyuman Maya cantik...”

“Cantik ke?” Maya terkeseng-keseng dengan muka malu-malu.

“Perasan betullah engkau ni Maya.” Maya terdorong sedikit ke depan apabila belakangnya ditunjal sesuatu.

“Eh... apa tolak-tolak orang ni?” marah Maya sambil menoleh ke belakang.

“Maya, awak ok ke?” Zurhan berasa pelik.

Maya cepat-cepat mengangguk. “Aku ok,” katanya lantas bergegas turun dari kereta. “Awak ni suara penyibuk betullah. Kau cemburu ke apa ni?” comelnya selepas terpacak di luar.

“Aku tak cemburulah. Cuma aku tak suka kau bersama dengan buaya darat ni. Benci aku tengok dia.”

“Suka hati akulah apa aku nak buat. Lagipun awak tu bukannya sesiapa dalam hidup aku. Jadi jangan banyak songeh dengan aku,” titipnya menekan suara. Dia kemudiannya meninggalkan tempat itu apabila melihat Zurhan memberikan isyarat tangan mengajaknya pergi.

“Mari balik Maya. Aku risaulah melihat kau berdua-duaan dengan jantan gasang ni. Nanti diapa-apakannya kau pula.” Ternyata suara itu masih berusaha. Maya mengetap bibir. Dibiarkannya saja tangannya dipaut.

“Kau belum jawab pertanyaan aku tadi Zurhan.” Maya seperti mengingatkan dan dia semakin tidak selesa apabila tangannya ditarik-tarik oleh sang Suara.

“Oh ya maafkan aku.” Zurhan tersenyum seraya menggeleng-gelengkan kepala. “Aku berasal dari kawasan bandaraya ni Maya. Apapun, aku dibesarkan di kota London. Ayah aku bekerja dengan sebuah syarikat Network lalu ditugaskan di tempat tu.”

Maya mengangguk. “Tentu seronok berada di negara orang kan?” katanya sambil cuba membayangkan kota indah tersebut.

“Memang seronok tapi tanah leluhur kita lagi indah dan hebat Maya. Kita kaya dengan kehijauan flora dan fauna. Bahkan negara kita juga dihuni oleh pelbagai suku-kaum dengan keunikan budaya masing-masing. Semua ni bagaikan satu khazanah yang sukar dicari gali di negara lain seumpama kota London. Pendapat aku, kota itu hanya sesuai untuk dilawati tetapi bukan untuk didiami. Tambahan pula, sedari bercambah sebagai sebenih nyawa, kita sudah diasuh untuk hidup sebagai orang Asia,” hurai Zurhan panjang lebar. Cara dia menuturkan ayat tersebut amat berhati-hati.

“Banyak cakaplah dia ni,” rungut suara itu sambil duduk menyempit di sebelah kiri Maya. Tindakan suara itu membuatkan Maya tersorong sedikit ke arah Zurhan. Maya menarik nafas. Hatinya semakin terik dan mahu saja dilempangnya suara itu.

“Kau selalu ke melepak kat sini?” Maya membuang pandang arah pantai. Gulungan ombak yang kelam menghempas perlahan di beting pasir. Bunyinya kedengaran lesu semacam tidak bermaya.

Zurhan mengangguk. “Aku selalu menjelangi pantai Tanjung Lipat ni untuk menenangkan fikiran.”

“Kenapa macam tu? Kau ada masalah ke?”

Pemuda itu mengguman lantas menarik nafas. Pandangannya turut dihela arah pantai. “Aku pernah sayang kat seorang perempuan. Namanya Dyanna. Dia campuran Melayu Turkish. Orangnya sangat cantik. Tapi sayangnya... dia telah berubah hati setelah berkenalan dengan seseorang. Lelaki tu tak sukakannya tapi Dyanna sanggup melakukan pekerjaan syirik hanya kerana mahu mendapatkan lelaki kacak tu.”

“Kenapa? Awak belum cukup kacak lagi ke padanya?” Maya berasa hairan.

Zurhan tersenyum. “Aku ni belum cukup tampan lagi Maya. Demikianlah juga kekayaanku. Kereta Honda tu belum cukup syarat lagi untuk mengikatnya. Almaklum, lelaki tu anak tunggal, bakal mewarisi setimbunan harta kekayaan yang tidak terhitung jumlahnya.”

“Ha ah?”

Zurhan mengangguk. “Tapi silapnya Dyanna tidak sedar bahawa kekayaan itu hanyalah bersifat sementara. Suatu hari nanti dia akan menemui ajal dan akan disumbat ke dalam liang lahat sebagaimana manusia yang lain. Harta kekayaan yang dibangga-banggakannya itu tak akan ke mana.”

“Tentu dia akan dilaknati Allah kerana melakukan perbuatan syirik hingga menganiaya hidup orang lain.”

“Jangan percaya cakapnya. Dia berkata begitu kerana cemburu dan sakit hati,” sampuk suara itu kurang senang. Maya tidak mengendahkan. “Cuba kau tanya siapa Dyanna tu?” suruh suara itu dengan nada sinis. Dia seperti tidak menyenangi luahan jiwa Zurhan. Maya tidak mengendahkannya bahkan semakin menumpukan perhatian kepada cerita Zurhan.

“Aku berasa sungguh kecewa Maya. Sungguh tak kusangka di sebalik kecantikan wanita itu tersembunyi sifat yang buruk. Dulu, mungkin aku berasa sakit hati kerana dikecewakan, tetapi sekarang aku bersyukur kerana tidak dijodohkan dengan wanita berhati busuk itu. Sekurang-kurangnya aku terhindar dari terbabit dengan dosa-dosanya.” Maya angguk-angguk. Mereka berdua membatu sejenak. Masing-masing meladeni isi fikiran dan hanya menyambung perbualan sejurus kemudian.

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.