Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 25

Dia termenung seketika sebelum mengambil keputusan hendak mengemas bilik tersebut. Pakaian Zak dikutipnya satu-persatu. Dia terkejut apabila menjumpai selonggok kain yang disumbatkan ke dalam almari pakaian. Kain itu pula berwarna merah dan telah kering serta berbau hanyir darah. Dengan benak disarati persoalan, Maya membawa kain itu ke dalam kamar mandi lalu dicampaknya ke dalam tab mandi. Kemudian dijirusnya dengan air. Beberapa saat kemudian, kain itu mula lembut dan cairan berwarna merah kini bercampur dengan air. Ia terhasil dari kain tersebut dan Maya sungguh terkejut melihatnya.

Sementara bau hanyir darah pula semakin kuat menusuk lubang hidungnya. “Mungkin... mungkin ianya darah.” Maya menghentikan kerjanya lalu termenung sejenak. Dia kemudian beredar dari situ dan menyambung kerjanya sebelum ini. Maya terkejut apabila terdengar bunyi berdebuk di belakangnya. Dia menoleh dan terlompat ke belakang apabila ternampak sesusuk tubuh tersepuk di situ dengan kedua batang kaki seperti patah. Maya menggeletar namun tidak pula berlari keluar.

Dia terus saja menunggu di situ dengan kedua mata terbuntang arah mayat yang entah milik siapa. Kepala mayat itu seperti telah diputar ke belakang hingga terkulai patah. Maya menjenguk dan ketika itulah tiba-tiba bahagian dada mayat itu terlonjak seperti ditikam berkali-kali. Darah merah kemudiannya memancut keluar dari liang-liang luka yang tercongeh dalam. Sekali lagi Maya berundur ke belakang dan jatuh tercelapak pabila terlanggar raga berisi kain baju milik Zak yang dikutipnya tadi.

Sewaktu terkial-kial hendak bangun Maya ternampak mayat lelaki itu bergerak sendiri semacam diheret oleh seseorang. Pergerakannya agak lambat dan ianya berhenti setiba di depan pintu. Pandangan Maya beralih pantas arah ranjang apabila berasakan sesuatu sedang bergerak di situ. Dilihatnya cadar tilam kalis air dan semacam disulam dari bebenang sutera itu ditarik kemudian diseret arah mayat tadi. Mayat itu kemudiannya dialihkan atas cadar tersebut sebelum dibungkus.

Sejurus, sehelai tuala berwarna putih pula bergerak sendiri dan dilonggokkan atas permukaan lantai yang dibanjiri darah. Tuala itu pula mirip kain yang telah dikutip olehnya tadi dan kini masih berada dalam tab mandian. Suara Munira terlaung-laung dari tingkat bawah telah melesapkan pemandangan tersebut. Suasana dalam bilik kembali seperti sediakala. Tanpa bertangguh, Maya beredar keluar selepas menguncikan bilik tidur tersebut.

Keluhannya terpancut pabila tunaknya tersapa batang tubuh Amirul. Pemuda itu tampak berbeza hari ini. Baju yang dipakainya nampak kusam dan lusuh. Wajahnya pula kelihatan suram dan semacam ada rusuh mengempar dalam kolam matanya. “Awak okey ke?” Tak tertahan Maya bertanya. Pandangannya kian tersorot tajam. “Pergilah jumpa doktor kalau tak sihat,” katanya menyarankan. Tiada senyuman menabiri bibirnya.

“Sebenarnya aku bimbangkan awak, Maya.”

Maya tergelak. “Kenapa pula bimbangkan aku? Sepatutnya, awak risaukan dulu diri awak tu sebelum memikirkan hal aku. Awak macam tak sihat.” Dikerlingnya jarum jam tangan sebelum memandang Amirul semula. Sempat ekor matanya meneliti pakaian Amirul yang sedikit rabak. “Awak dari mana ni? Dahlah muka awak lesi, pakaian awak pula seperti baru dikutip dari tong sampah.”

“Aku harap Maya masih menyimpan tangkal tu. Kalau boleh bawalah tangkal tu setiap hari. Ia penting untuk menjaga keselamatanmu. Lagipun hanya tangkal tu dapat menjauhkanmu dari segala bencana terutama wanita berjubah tu. Dia mahu menghukumimu kerana masuk campur dalam urusannya. Sayangilah diri awak termasuk kawan-kawan awak. Perhitungan ini boleh meragut nyawa kawan-kawan awak Maya.”

Maya tersenyum semacam melekehkan cebisan cerita yang baru disampaikan oleh pemuda itu. “Dari mana awak kutip semua cerita karut-marut ini? Sudahlah Amirul. Jangan nak permainkan aku lagi. Cukuplah sudah kisah-kisah yang awak titipkan dulu.” Sengaja Maya berkata begitu walhal dia lebih dari percaya. Memang diakuinya kehadiran wanita berjubah serta lelaki gondok itu bagaikan satu malapetaka dalam hidupnya.

“Percayalah Maya. Semua ini bukan imaginasi mahu pun bicara kosong. Memang benar awak menghadapi situasi ini sekarang. Seperkara lagi, kawan-kawan awak dalam keadaan bahaya. Nyawa mereka terancam. Wanita berjubah itu tidak akan berhenti selagi tidak berjaya memepat nadi-nadi mereka. Baginya, kawan-kawan awak hanyalah habuan yang dihidangkan olehmu sebagai santapannya.”

Maya tergelak lagi. “Kata-kata awak ni tak masuk akal dan semakin berbelit-belit. Hari tu awak cakap... apa yang kami bertiga kongsikan hanyalah imaginasi dan imbasan masa lalu. Lepas tu awak cakap semua kejadian misteri ni bukan khayalan mahu pun imaginasi melainkan kejadian mistik yang benar-benar berlaku. Err mana satu cakap awak yang betul ni?” Maya bosan.

Amirul mengetap bibir. “Cuba pandang belakangmu, Maya,” suruhnya dan Maya tergelak sinis lagi. Dirasakannya permintaan Amirul semakin tidak munasabah. “Maya.” Amirul mendesak. Riak wajahnya memohon pengertian. Keengganan gadis itu mewalangkannya. Mahu tidak mahu terpaksalah Maya mengakuri permintaannya.

“Hah?” Maya terkejut pabila kawasan kediamannya kini berubah menjadi lautan. Kegelapan memenuhi lautan tersebut. Gulungan-gulungan ombak juga kelihatan menggunung kemudian lesap entah ke mana. Tiada bayu mendesah resah. Hanya kedengaran desiran ribut memenuhi lelangit samudera. Awan-awan hitam tampak berpintal semacam kerimasan.

“Siapa kawan Maya yang berada di lautan?” Suara itu menggamit pandangan Maya. Suasana yang terpentas tadi lesap. Maya menoleh. Menatap Amirul sejenak dengan mimik muka bingung. Dia sebenarnya tertanya-tanya maknanya situasi tadi. “Selepas babak tadi, Maya akan mendapat petanda-petanda kematian yang lain. Oleh itu, Maya bersedialah untuk menghadapi apa jua kehilangan. Bala ini hanya akan berhenti setelah Maya menjadi korban terakhir. Nasihatku, selesaikanlah apa yang telah Maya mulakan sebelum nyawa kawan-kawan Maya menjadi taruhan.”

Maya resah dan galau. “Dari mana awak tahu semua ni?” Dalam diam, Maya semakin tidak mengerti kedudukan dirinya. Amirul sekadar menarik nafas dan tidak berkata apa-apa. Sukar untuknya menjelaskan situasi sebenar yang membekam mereka semua. “Kenapa diam? Macam mana aku nak percaya awak jika awak sendiri enggan menuturkan apa-apa sebagai penjelasan.” Maya berasa meluat pula. Sikap Amirul yang terus-terusan membatu dan seperti menyembunyikan sesuatu darinya membuatkannya curiga dan meragui semua fakta.

“Anggap sajalah kehadiran dan kewujudan aku dalam hidupmu sebagai satu kebetulan.”

“Semudah itu?” Ternyata ungkapan tadi masih tidak memuaskan hati Maya. “Sudahlah Amirul. Semua ini hanyalah permainan perasaan. Seperti kata awak dulu, semua yang berlaku hanyalah imbasan masa lalu. Mungkin apa yang sedang berlaku sekarang ini hanyalah imbasan imaginasi. Okeylah Amirul, aku nak berehat,” katanya cuba menoktahkan pertemuan tersebut.

Amirul kesal dan terkilan. “Kau akan tahu juga siapa aku suatu detik nanti Maya. Kedinginan dan kedegilanmu hanya akan menerikkan serta merancakkan lagi enigma ini,” ujarnya seraya pergi. Maya terkilan namun tiada sebenih pun kata tersembur dari mulutnya. Hanya tunaknya menyoroti setiap langkah Amirul.

“Siapa awak yang sebenarnya?” Maya bermonolog lantas merapikan bingkai cermin matanya. Semua ini terasa melemaskan dan amat membebankannya. “Dan siapakah aku yang sebenarnya? Apa sebenarnya yang sedang berlaku sekarang ni?” suanya dan membiarkan pertanyaan-pertanyaan tadi berlalu diseret hening yang kian meraja. Maya beredar meninggalkan lokasi itu. Tika ini hari sudah pun menjengah waktu Maghrib.

Selesai bersolat Maya menghubungi Munira dan Jiah. Berselang seminit dia bergegas ke dapur untuk menyiapkan makan malam. Menurut Jiah, sekejap lagi mereka akan sampai. Tidak banyak yang disediakannya sebagai hidangan makan malam. Sesudah membersihkan diri, Maya ke ruang tamu. Dia mahu menonton TV. Apapun dia tiba-tiba teringatkan panorama yang diperlihatkan oleh Amirul tadi. “Siapa pula kawan aku yang berada di lautan samudera sekarang ini?”

Dia tertanya-tanya lantaran kebingungan. “Huh! Agaknya Amirul sengaja mahu mengeruhkan lagi keadaan,” putusnya setelah sehabis daya memikirkan hal tersebut. Sejurus, kedengaran bunyi deruman kereta Jiah di luar. Tanpa bertangguh, Maya segera membongkar duduk dan menapak hala pintu.

Selesai makan malam, mereka bertiga bersembang. Munira tidak berlama-lama kerana mahu menyiapkan kerjanya. Alasan lain, dia berasa mengantuk lantaran kekenyangan tadi. “Dia kata macam tu?” Jiah semacam tidak percaya selepas Maya menghuraikan perbualannya dengan Amirul. “Kenapa kau tak soal dia banyak-banyak?” Gadis itu seperti tidak berpuas hati. Ketika ini, dia hanya berdua dengan Maya di ruang tamu.

“Entahlah. Aku malas nak soal dia.”

Jiah menongkatkan kedua batang kakinya ke bahu sofa. “Kan bagus kalau dia sudi berjumpa dengan aku. Banyak benda yang aku nak tanya kat dia.”

“Masalahnya dia hanya mahu berurusan denganku.”

“Aku tahu. Tengok gayanya saja aku dah tahu dah.” Jiah cuba memerah benaknya. Mencari-cari siapakah kawan mereka yang berada di lautan sekarang ini. “Mungkin kau ada kawan-kawan lain yang kami tak kenal?” katanya mengandaikan. Maya tidak segera menjawab melainkan melangut seketika. Dia cuba menjejak siapakah kawan-kawannya selain yang ada sekarang ini. Namun, puas dia berfikir tiada siapa pun yang diketahuinya berada di lautan waktu ini.

“Ah! Persetankan semua tu. Aku malas nak fikir. Mungkin dah ajal dia kalau tiba-tiba saja mampus di tengah laut. Aku bukannya sesiapa untuk membantunya meloloskan diri dari sangkar maut.”

“Tapi kalau Amirul tu dah cakap kau boleh... bolehlah agaknya. Kenapa tak mencuba?”

“Nak cuba apanya? Aku pun tak tahu apa yang harus aku buat.” Wajah Maya kian keruh. Dia cuba membayangkan apa yang akan berlaku sekiranya hajat wanita berjubah itu dipenuhi. Sungguh pun begitu, dirasakannya dia sudah terlajak jauh dalam misteri dan perhitungan ini. Keberangkalian berpatah balik hanya akan memburukkan lagi suasana. Maka sebaiknya meneruskan dan istilah tunggu dan lihat akan menjadi pegangannya.

“Alah, kita anggap je semua ini imaginasi dan permainan perasaan. Atau pun fikirkan kita sedang dibuai mimpi sekarang ini. Macam kisah seribu satu malam.”

Maya menghela nafas. “Cakap memang senang. Macam mana kalau memang benar kita sedang berlegar dalam maya sebenar? Bukan bermimpi mahu pun berhalusinasi. Bukan juga imaginasi jauh sekali berfantasi.” Ternyata kata-katanya membantutkan fikiran Jiah. Itu belum lagi dikupasnya kekeliruan, prasangka, andaian dan misteri-misteri lain yang lebih menyengat rasa.

“Persoalannya sekarang, bagaimana mahu menoktahkan semua kecelaruan ini. Aku pun dah bosan terus-terusan terlibat dalam karma yang serba mistik ini. Aku tak kisahlah kalau aku tahu hujung pangkalnya. Ini tak, tiba-tiba je semua ini menghantuiku dan kini turut mempercaturkan takdir milik kawan-kawanku. Bahkan yang parahnya, kisah ini berlanjutan hingga membabitkan nyawa kawan-kawan yang lain. Aku tak mahu ada di antara kamu semua yang permisi tanpa diketahui sebabnya.”

Jiah cepat-cepat beristiqfar. “Semua tu karut dan tahyul belaka Maya. Lagi pun hanya Allah berhak mencabut nyawa kita. Sudahlah. Kita hadapi saja apa yang bakal kita depani nanti. Soal hidup dan mati itu urusan Allah.” Maya tidak berkata apa-apa lagi. Terasa benaknya berpusar memikirkan semua situasi. “Mungkin ada penjelasan dan jawapan di sebalik semua kejadian ini.” Gadis itu meningkah pabila melihat Maya membongkar duduk. Maya tidak berkata apa-apa. Bahkan terus saja menapak hala tingkap dan menyelak langsir. Dia mengintai sekejap sebelum berpatah semula ke tempat duduk. Terasa malam ini dingin sungguh walaupun angin berhembus lesu.

“Itu aku tak nafikan. Setiap persoalan ada jawapan dan pengakhirannya.” Tunaknya menjengah skrin TV sebelum berganjak arah Jiah. Sesuku kemudian, mereka berdua mengambil keputusan masuk ke bilik tidur masing-masing. “Ingatkan awak dah tidur,” katanya pabila bertembung dengan Munira sewaktu menuju ke tangga. Bilik Munira hanya bersebelahan dengan tangga. Gadis bertubuh gempal itu tidak berkata apa-apa. Memandang pun tidak. Maya diketuk kehairanan.

“Awak okey?” Kedua keningnya bertaut. Kolam matanya dibanjiri persoalan. Munira tetap diam bahkan terus saja menapak hala pintu utama. Gadis itu termangu-mangu di situ. Maya enggan bertindak sehinggalah Jiah menjengahnya. Mulutnya sekadar dijuihkan pabila Jiah bertanya kenapa. Jiah segera memandang hala yang dimuncungkannya dan terkejut.

“Dia buat apa kat situ?” Gadis itu berdebar-debar. Ingin dihampirinya Munira namun secepat itu juga Maya menegahnya.

“Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku nanti,” bisiknya. “Aku rasa yang berdiri kat situ bukan dia.”

“Awak biar betul.” Terasa meremang pula bulu tengkuknya pabila disuakan ayat tersebut. Pandangan Maya semacam menyuruhnya mengintai dalam bilik Munira. “Tak naklah.” Entah mengapa dia tiba-tiba berasa takut teramat sangat. Terpaksalah Maya bertindak dan sepantas itu jua Jiah mengekorinya. Mereka berdua terperanjat pabila melihat Munira berada dalam bilik. Bahkan sedang tidur terlentang dengan mulut sedikit ternganga. Mereka berdua berpandangan lantas berpatah ke luar.

“Ah!” Tanpa sedar, Jiah sudah pun menghimpit Maya. “Mana orang tadi?” bisiknya perlahan sungguh. Maya tidak menjawab. Dapat dirasakannya jelmaan tadi adalah milik wanita berjubah lusuh. Rasanya Jiah akan jatuh pengsan apabila terserempak dengan hantu wanita itu. Fikirnya dan berusaha menenangkan jiwanya yang kini dihempuk gelora. Saat yang sama, kata-kata Amirul siang tadi mementung gegendang telinganya semula.

“Apakah ini satu petanda?” suanya pada diri dan Jiah memandang bodoh.

“Maksud awak?” Gadis itu menggeletar. “Err janganlah cakap macam tu.” Jiah semakin takut.

Maya tiba-tiba tersenyum. “Kan tadi Jiah sendiri cakap hadapi saja apa yang akan berlaku. Tapi tengoklah, baru babak ringan macam tadi Jiah dah nampak takut sangat. Belum lagi Jiah tengok babak-babak yang lebih dahsyat dari itu,” tempelak Maya pula memulangkan paku buah keras.

“Aku ni penakut dan lemah semangat. Tak macam Maya... kebal. Janganlah salahkan aku pula,” pinta Jiah pula lantas mengajak Maya duduk berehat di ruang tamu. Kejadian tadi membuatkan matanya terselak luas. Maya tidak menolak ajakannya. Bahkan dengan selamba Maya menyelinap ke dapur untuk membancuh seteko minuman panas. Jiah membuntutinya. Nampaknya gadis itu enggan ditinggalkan bersendirian di ruang tamu. Agaknya Jiah risaukan jelmaan Munira tadi. Suara seseorang melaungkan salam menyentakkan mereka berdua. Mereka berdua berkelebat mata sebelum bergerak ke ruang tamu.

“Amirul,” bisik Maya sambil melepaskan birai langsir.

“Harap-harap dia asli dan bukan jelmaan tadi.” Ternyata Jiah masih risau. Air mukanya menjelaskan segalanya. Tiada respon dari Maya. Gadis itu terus saja menguak daun pintu dan menapak hala pagar. Jiah turut keluar namun tidak mendekati mereka berdua. Agaknya dia mahu memberikan Maya dan Amirul privasi untuk bersembang.

“Maafkan aku kerana mengganggu. Sebenarnya aku ternampak seorang lelaki gondok berlegar-legar di sini tadi. Kerana bimbangkan keselamatan Mayalah aku datang menjenguk.”

Dahi Maya bertindanan. Pandangannya menyerong dengan sinar mata curiga. “Macam mana awak tahu lelaki tu ada kat sini? Awak merayau-rayau ke tadi?”

Amirul tersenyum. “Aku tahulah. Tak perlu merayau pun aku memang nampak semua tu. Lelaki tu tak akan dapat menyorokkan diri dariku.” Pandangannya menghunjam Jiah sekejap sebelum menimpa Maya semula. “Eloklah kau berteman di rumah ini. Sekurang-kurangnya situasi ini dapat menghalang semangat-semangat jahat dari mendekatimu.”

“Ya ke? Kalau dah syaitan tu syaitanlah juga namanya. Tak akan ada apa yang dapat menghalang mereka dari cuba merosakkan akidah manusia.” Amirul sekadar mengangguk. Tiada komen mahu pun ulasan darinya berhubung hal tersebut. Berselang beberapa minit Amirul pun meminta diri. Maya menghantarnya dengan pandangan.

“Pelik. Pemuda itu lesap begitu saja,” bisik Jiah setelah Maya mendapatkannya. Kening Maya bertaut. Tunaknya menghempuk gadis itu.

“Ya ke? Aku tak perasan pun. Lagi pun aku memang nampak dia pergi tadi. Tak adalah lesap begitu je. Satu batang tubuh miliknya beredar pergi tadi.”

“Itu Maya. Yang aku nampak tak macam tu tau.” Jiah cepat-cepat melangkah masuk. Bulu tengkuknya kembali menyangkak. “Jangan-jangan lelaki tu cuma jelmaan lelaki gondok yang dimaksudkannya?” tekanya. Maya menghela nafas. Tiada apa yang tercurah dari mulutnya sebagai jawapan terhadap prasangka tersebut.


Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.