Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 32

“Azhan nak datang ke?” Maya mengangguk dan mengoder segelas lagi minuman sejuk untuk dirinya. “Apa pula urusannya?” Jiah kurang senang dan Maya sekadar angkat bahu. “Jangan dilayan sangat mereka tu. Lebih baik kita kekalkan saja kesinisan dan kedinginan kita ni. Itu lebih baik dari memberikan senyuman dan mengunjukkan kemesraan.”

“Azhan tak akan berasa dimaafkan kalau kita terus-terusan bersikap macam ni.”

“tak kisahlah. Lantaklah apa yang dia nak fikirkan. Tindakan mereka berdua mengekori kita satu perbuatan yang keji. Aku paling tak suka disiasat macam tu. Macamlah tujuan kita menyelinap ke dalam hutan tu sebab nak jumpa jantan.”

Maya tersenyum dan cuba mencairkan kemarahan Jiah. “Agaknya mereka berdua ada sebab bertindak seperti itu. Mungkin mereka bimbangkan keselamatan kita berdua.”

“Maya ni nampak macam tak marah pula.” Jiah berasa hairan. Dirasakannya kata-kata Maya lebih kepada pembelaan dan tidak sepertinya yang asyik mempersalahkan. Maya tersenyum nipis. Dia bukannya tak marah. Jauh sekali bersetuju terhadap perbuatan kedua lelaki itu. Dia bersikap begini kerana tidak mahu menambahkan lagi rasa bengang Jiah. Seeloknya, biarlah semua kemarahan dan kekesalan yang bertambun dalam dadanya terkambus. “Macam pelesit pula dia ni. Tengok! Dah sampai pun batang hidungnya.”

Mulutnya dimuncungkan dan Maya segera mengalih pandang. Dilihatnya Azhan sedang menongkatkan motor sambil memandang hala mereka. Agaknya lelaki itu risau sekiranya mereka berdua tidak berada di situ sebagaimana yang dimahukannya. Azhan kemudiannya bergegas mendapatkan mereka berdua. “Oderlah apa-apa,” suruh Jiah pabila terintai keringat Azhan yang berserpihan di dahi dan leher. Nampaknya lelaki itu terlalu mengerah tenaga tadi.

Azhan mengangguk lantas memesan segelas teh ais limau. “Mujurlah kamu berdua masih berada di sini. Sebenarnya aku mendapat berita buruk ni semasa dalam perjalanan ke tempat kamu.”

“Berita buruk apa pula?” Maya dihempuk debaran.

“Khabar buruk mengenai Munira.” Jiah dan Maya terkejut. Ingatan mereka berdua segera menyergah pada satu kejadian.

“Mungkin...” Kedua gadis itu berkata serentak dan saling berpandangan. Azhan tidak segera bertanya melainkan memandang mereka berdua silih berganti. Pada masa yang sama, pelayan restoren tersebut menapak hala mereka sambil menatang segelas minuman. Gadis itu beredar semula sesudah meletakkan minuman tersebut. Sambil menghela nafas, Azhan menarik gelas minumannya lalu mengincah isinya dengan straw yang terbenam di situ. Ketulan ais yang berapungan dalam gelas kaca tersebut membuatkannya bertambah dahaga.

Dia hanya mengupas berita buruk mengenai Munira selepas membasahkan tekaknya. Jiah dan Maya masih berdiam diri sebagaimana tadi. Mereka berdua sedikit pun tidak kelihatan terkejut. Cuma agak terkilan dan seperti tidak percaya. “Dari mana pula awak dapat berita ni?” sua Jiah agak perlahan. Tiada lagi kesinisan dan kedinginan mengisi rongga-rongga suaranya. Dia tampak tenang dan seperti sedang memikirkan sesuatu yang tidaklah diketahui oleh Azhan apa. Demikian juga kiranya Maya. Sedari tempoh hari, dilihatnya kedua gadis itu bersikap ganjil dan seperti sedang menyimpan sebukit rahsia. Sekira diberi peluang, dia juga ingin tahu apakah rahsia tersebut.

“Adik Munira yang beritahu. Katanya, kakaknya bersikap pelik semalam.”

“Maksud awak?” soal Maya. Jiah turut ternanti-nanti.

Azhan mencecap sedikit minumannya seraya berkata. “Budak tu tak sempat bagitau apa-apa sebab kehabisan kredit telefon.”

“Kenapa awak tak telefon dia balik?” Keluhan Jiah bersepaian. Tiub-tiub ais yang kian mengecil dalam gelasnya dikocak perlahan. Kala ini pandangannya masih memantak Azhan.

“Kredit telefon aku hanya cukup-cukup untuk menghubungi Maya.” Demikian alasan yang disajikannya. Jiah tidak berkata apa-apa lagi selain menongkat pandangan hala Maya. Dilihatnya Maya sedang khusyuk memikirkan sesuatu. “Kalau awak berdua nak, kita boleh ke rumah Munira untuk mendapatkan penjelasan. Tambahan pula, sebagai kawan... kita patut menyertai upacara pengebumian Munira. Di samping melihat arwah buat kali terakhir.”

“Aku tak akan ke mana-mana sekali pun berita buruk ini sudah mencecah pengetahuan,” tukas Maya semacam tidak bersetuju terhadap saranan tersebut. Azhan mengguman. Ada kehampaan menyolek seraut wajah miliknya. Diliriknya Jiah sekejap untuk mengintai reaksi gadis itu selepas mengutip ayat tadi. Nampaknya tiada apa-apa perubahan menakik muka Jiah sebagaimana Maya. Situasi tersebut mencetuskan rasa hairannya. Dilihatnya kedua-dua gadis itu hanya kelihatan terkilan, terkejut dan kesal. Namun sedikit pun tidak bersedih apatah lagi menangisi keberangkatan Munira.

“Ia sekadar cadangan dan bukan paksaan. Tak mengapalah kalau kamu berdua tak sudi. Aku pun malas nak desak. Apapun, mungkin aku akan ke sana petang ni untuk menjelangi arwah buat kali terakhir,” beritahunya dengan harapan kedua gadis itu berubah fikiran. Maya dan Jiah tidak bereaksi. Hanya sebilah keluhan disodorkan sebagai santapan Azhan.

“Sebenarnya kami memang dah tahu Munira akan menemui ajal dalam masa terdekat ini.” Jiah segera menyudahkan baki minumannya. Tidak diacuhkannya sorotan mata Azhan yang kini terhunus arahnya.

Azhan membasahkan tekak seraya bersuara. “Apa maksud awak? Aku tak faham.” Pandangannya berpindah arah Maya sekejap sebelum kembali mencerun hala Jiah. Keningnya bertaut satu. Mulutnya diketap dan waktu ini jemalanya sarat dengan sekarung persoalan. Ayat tadi membuatkannya dilambung pertanyaan demi pertanyaan. Setahunya Maya dan Jiah bukanlah pakar menilik nasib seseorang. Bahkan sepanjang pengetahuannya, kedua gadis itu termasuk Munira telah dihempuk enigma sejak dua menjak ni. Hingga dia, termasuklah Johan dan Ferdy turut terlibat secara tidak langsung.

Maklumlah, dakwaan Ferdy terhadap misteri yang menyelubungi takdir milik Maya mewalangkan mereka. “Aku bermaksudkan keganjilan sikap Munira sebelum keberangkatannya. Mungkin kemalangan ngeri yang telah menimpanya itu ada kaitan dengan keanehan sikapnya. Dia juga pernah beritahu kami bahawa dia melihat kami bersembang dengan seseorang. Tetapi katanya, semua itu berlaku dalam mimpi. Yang peliknya memang benar semua yang dilihatnya itu. Bagi kami, apa yang telah disaksikannya itu bukan mimpi tapi realiti kerana kami memang benar-benar melaluinya.”

“Kamu berdua?” Azhan inginkan kepastian. Anggukan Jiah berjaya menyesakkan dadanya. “Ada lagi ke babak-babak pelik lain selain dari keganjilan tadi?”

“Kalau ada pun itu hal kami berdua,” sampuk Maya sambil mengerling jarum pendek jam tangan. “Rasanya kami dah terlalu lama berada di sini.” Disigungnya lengan Jiah sebagai isyarat darinya. Jiah tidak berkata apa-apa selain meminta Azhan membayar bil minuman mereka. Kedua gadis itu kemudiannya membongkar duduk dan beredar keluar. Azhan tergesa-gesa menyusul selepas melangsaikan bil kesemua minuman. “Mengenai hasrat awak dan Ferdy, nantilah aku fikirkan,” jawabnya apabila Azhan merisikkan perkara tersebut. Mereka bergegas pergi selepas itu.

Azhan pula masih termangu-mangu di situ. Riak wajahnya seperti tidak berpuas hati terhadap hasil perjumpaan ini. Sebenarnya dia mengharapkan semua rahsia yang tersimpan dalam diri Maya terbongkar selepas apa yang telah berlaku kepada Munira. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya pula. Maya sedikit pun tidak menyentuh rahsia tersebut. Azhan lebih dari pasti ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Maya dari pengetahuan mereka semua.

“Kenapa tak berterus-terang je tadi?” Sinar mata Jiah menghunjamnya. Menggilis wajahnya yang semacam ketandusan kata-kata. Dia bukannya kepupusan idea untuk menggubah serangkap ayat namun misteri ini membuatkannya lebih senang membisu. “Aku tahulah Maya susah hati tapi takkan nak biarkan je Azhan berteka-teki macam tu. Kau tak nampak ke betapa Azhan tu mengambil berat perihal kita terutamanya kau. Nampak sangat keikhlasannya mahu membantu kita keluar dari kemelut ini. Lagi pun aku kesianlah kat dia.”

Gadis itu mendecitkan hujung lidah. “Dah beberapa hari ini dia cuba memancing penjelasan kita. Kan baik kalau kita berterus terang saja dan bekerjasama untuk menoktahkan semua enigma ini sebelum ia menumbangkan seorang lagi kawan-kawan kita.” Jiah melanjutkan. Dia sebenarnya tidak berpuas hati dengan sikap Maya. Baginya, tidak salah masalah ini dikongsikan bersama.

Tambahan pula, mungkin Azhan atau pun Ferdy ada cara untuk menamatkan permainan ini. Maya tidak segera menjawab. Hembusan bayu yang bersepoian dari arah samudera membuatkan kulit wajahnya jadi tegang. Jiah yang berdiri dengan menyandar pada Opel Zafira menghela pandang hala lautan sejenak. Seketika kemudian, ekor matanya kembali mencuat arah Maya. Maya yang duduk memeluk lutut atas setual punggur mengguman. “Aku bukannya tak nak...”

“Habis tu kenapa tak berterus terang?” celah Jiah kurang sabar.

Helaan nafas Maya kedengaran. “Tak berbaloi mendedahkan semua misteri ini. Mereka bukannya boleh membantu. Apatah lagi mahu menuntun aku keluar dari percaturan ini.”

“Habis tu dengan siapa lagi yang Maya nak harapkan?” Bengang pula Jiah dibuat Maya.

“Rasanya Amirul boleh membantu.”

Jiah tergelak semacam kelucuan. “Amirul?” sebutnya dengan suara sinis. “Kan Maya tak serasi dengan Amirul? Tak percaya pada setiap penjelasannya? Sekarang kenapa tiba-tiba terfikir nak cari dia pula?” Tawa gadis itu masih berciciran melatari suasana yang dicengkam bunyi mersik angin dan desiran pepohonan cemara.

“Sebab aku dah jadi orang terdesak sekarang ni. Permainan ini membuatkan aku berasa terhimpit dan tersepit. Kalaulah aku memiliki keberanian... akan kukorbankan jasad ni sebagai pertukaran terhadap sejumlah jiwa milik kawan-kawanku,” ujarnya seraya bingkas lalu berpeluk tubuh. Dia tiba-tiba berasa sejuk teramat sangat. Jiah terkesima sesudah menadah sedulang kata-kata tadi. Dirasakannya jawapan tersebut milik orang yang tengah sakit hati.

“Janganlah ambil hati pula...”

“Itulah hakikatnya Jiah. Hanya jasadku boleh dijadikan pertukaran dan menebus hayat kawan-kawan. Lagipun cukuplah sudah dengan dua kematian. Selepas ini tiada sesiapa akan permisi lagi.” Maya menggigit bibir. Wajahnya mendadak malap. Ada gelita bertakung dalam danau matanya. Itulah yang dilihat oleh Jiah tika ini. “Tiap kali mengenangkan Johan, aku dihambat penyesalan yang amat dalam. Sekarang ni luka di hati kian parah dan berdarah apabila Munira menyusul. Aku tak akan dapat memaafkan diri jika kejadian ini berulang lagi.”

“Janganlah terlalu emosi. Kata-kata Maya tadi membuatkan aku berasa tak sedap hati pula.” Menyesal pula rasanya kerana terlalu mendesak tadi. Kini dia berasa bersalah dan serba salah.

Maya tersenyum hambar. “Tak mengapalah Jiah. Cakap awak tu memang benar. Aku patut menginsafi diri setelah dihambat dua kejadian ini. Cuma aku berasa tidak berbaloi jika melibatkan Azhan, Ferdy dan kawan dia dalam lubuk masalah ini. Mereka tak mungkin dapat membantu. Rasanya hanya Amirul saja yang paling layak dan mampu memberikan saranan serta nasihat. Hanya dia seorang paling sesuai untuk diajak berkompromi dalam misteri ini. Dia serba boleh dan sentiasa dapat melihat kejadian-kejadian yang bakal menimpa. Walaupun kewujudan dan kehadirannya amat misteri tetapi kelebihan yang dimilikinya boleh digunakan sebagai perisai untuk menentang hantu perempuan itu.”

Sengaja Maya tidak menyebut nama Zurhan, Syah, Kazumi dan Zak. “Petang ni aku nak pergi bandar. Jiah nak ikut ke?” Dipandanginya Jiah.

Jiah berfikir-fikir seketika seraya menggelengkan kepala. “Tak mengapalah Maya. Rasanya aku pun ada hal petang ni. Mungkin aku nak ikut Azhan pergi menziarah Munira buat kali terakhir. Maya pasti ke tak nak...” Sengaja Jiah tidak meneruskan ayat tersebut. Hanya air mukanya menjelaskan segalanya.

“Tak. Aku tak akan pergi. Apapun, aku akan menjelangi pusara Munira selepas semuanya selesai. Tolong sampaikan salam takziah dari aku buat keluarga Munira. Jangan lupa beritahu Azhan mengenai permintaan maaf dariku.”

Kedua kening Jiah bertaut. “Kenapa pula perlu meminta maaf? Maya bukannya buat salah.”

“Permohonan maaf ni adalah untuk ketaksudian aku berkongsikan enigma ni. Kita berdua pun tahu mereka semua beria-ia sangat mahu mengambil tahu.”

Jiah mengangguk tanda faham. “Baiklah,” getusnya sepatah. Sejurus mereka berdua pun beredar balik. Meninggalkan lokasi tersebut menuju ke kawasan perumahan di mana kediaman Maya tersergam megah. Sewaktu membelok masuk ke persimpangan jalan menuju ke kawasan perumahan, mereka berselisih dengan sebuah kenderaan yang cukup mereka kenali.

Pemandunya sempat membuang pandang hala mereka dan merenung sayu Maya sebelum berdesup pergi. Kedua gadis itu bungkam dan agak tergamam. Sinar mata pemandu Subaru tadi bagaikan satu penjelasan terhadap satu kehidupan yang disarati kehampaan. “Ah! Aku tiba-tiba berasa sedih pula,” tingkah Jiah tak tertahan meluahkan. “Sinar matanya cukup mengesankan hingga hatiku terasa pilu teramat sangat.”

“Ya ke?” Maya tersenyum pahit. Sedaya upaya menahan lonjakan perasaan dan getar hatinya yang turut dibidik rasa-rasa yang serupa. Mereka berdua membatu dan masing-masing leka meladeni fikiran.


Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.