Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 9

“Sekarang dia berada kat mana?”

Zurhan angkat bahu. “Dah tiga bulan aku tak jumpa dia. Selama tempoh ni baru awak seorang yang aku jumpa.” Zurhan tersenyum manis. “Apabila melihat awak, aku berasa menyesal pula Maya.”

Maya terkejut. “Mengapa pula?” tanyanya seperti sakit hati terhadap kata-kata Zurhan sebentar tadi. Pada fikirannya, tentu Zurhan berasa menyesal kerana telah berkenalan dengan seorang gadis hodoh yang langsung tidak sepadan dengannya.

“Janganlah salah faham.” Zurhan tersenyum kecil. “Sebenarnya aku berasa menyesal kerana tidak dipertemukan dengan Maya seawalnya. Kan bagus kalau aku berkenalan dengan Maya lebih awal dari Dyanna.”

“Hmm... ya ke?” Maya tersipu-sipu. Dia berasa malu pula kerana terlajak memikirkan yang bukan-bukan.

“Itulah yang aku tak suka kat engkau ni. Cepat sangat perasan. Dia cuma nak ambil hati awak je tu Maya,” bisik suara itu seakan mengingatkan. Maya cepat-cepat menarik tangannya apabila melihat batang lengannya itu beralih sendiri.

‘Ni mesti kerja suara tu,’ bisik hatinya semakin meradang. Kehadiran suara itu membuatkannya berasa terganggu. “Awak kesejukan ke?” Dilihatnya Zurhan seperti menggeletar kesejukan. Zurhan menggelengkan kepala. Dia segera berpeluk tubuh sambil membuang pandang arah laut. Nafasnya dihela dan dengan wajah sayu dia bersuara semula.

“Adakala aku berasakan hidup ini terlalu kejam.”

“Mengapa pula macam tu? Seharusnya kau bersyukur kerana diberikan kehidupan yang sempurna dalam hayat ini.”

Keluhan Zurhan bersepaian. “Kau tak faham Maya.”

“Maya, kambing-kambing tu gelakkan awak.” Terasa bahunya dicuit. Maya tahu ia pasti kerja suara halimunan itu.

“Woi! Awak dah gila ke duduk termenung kat situ?!” Maya segera menoleh pabila terdengar laungan sinis tersebut. Sekumpulan remaja sedang mentertawakannya sambil mengatakannya gila. Zurhan turut memandang arah belakang. Bibirnya diketap.

“Biar aku ajar mereka,” katanya dengan muka marah.

Maya cepat-cepat bersuara. “Tak apalah. Aku dah biasa.” Risau pula Maya pabila melihat Zurhan bersiap-siap hendak menyerang kumpulan remaja tersebut.

“Fikirkanlah. Ni mesti ada yang tidak kena.” Suara itu berbisik dalam nada menghasut. Sebagaimana sebelum ini, Maya tetap tidak mengendahkan kata-kata suara tersebut. Zurhan menarik nafas dan dengan muka kering dia memandang arah laut semula. “Aku berasa tidak sedap hatilah kita bersama dengan lelaki ini.” Suara itu meluahkan ketidakselesaannya.

Maya mengguman. Baginya Zurhan seorang lelaki tampan yang baik dan amat menghormatinya. Dia lebih mencurigai kewujudan suara halimunan itu sebab tidak pernah melihatnya. “Zurhan, awak pernah terdengar tak khabar-khabar angin mengenai kemalangan di sekitar lebuh raya menghala Teluk Sepanggar?” tanyanya.

“Ada.” Zurhan menjawab pantas. Ketika ini pandangannya sudah pun tersua kepada Maya. Mulut Maya terbuka sedikit dan air mukanya seolah mahu bertanya lagi. Saat yang sama Zurhan menyambung semula ayatnya. “Tiga bulan lepas, satu kemalangan kereta telah berlaku berhampiran dengan area Teluk Sepanggar. Ia sebuah kemalangan tragis dan telah membabitkan 3 buah kereta yang telah diubah suai. Bahkan telah meragut 5 jiwa.”

Zurhan memejamkan matanya buat seketika sambil menarik nafas berat. Pandangan Maya menyerong. “Dari mana kau tahu semua ni? Dari keratan akhbar ke atau terdengar dari khabar angin.”

“Aku telah menyaksikannya Maya.” Lelaki itu tersenyum kecil. “Oklah Maya. Eloklah kita beredar balik. Lagi pula, malam pun dah semakin tua. Maya pun nampak letih je.” Maya sekadar mengulum senyuman sebagai tindak balas darinya. Mereka berdua kemudiannya bingkas dan jalan bersaing bahu menuju ke kereta Zurhan.

“Kereta awak pun macam telah melalui proses modifikasi.” Kerlingan Maya melewati muka Zurhan. Zurhan hanya tergelak perlahan lantas mengangguk. Maya tiba-tiba teringatkan sesuatu lalu menoleh sebelum memandang arah depan semula. Dia terfikir-fikir ke mana perginya suara halimunan yang sibuk mencelah perbualannya itu. Tidak banyak yang mereka berdua bicarakan sepanjang perjalanan.

Apapun, Zurhan sempat menitipkan secebis kata-kata bahawa dia akan datang berjumpa dengan Maya besok dan mengajaknya makan kat luar. Maya sekadar mengangguk tetapi tidak memberikan kata putus. Dalam diam Maya berasa bersyukur kerana Zurhan sudah melupakan hasrat pertama sebelum ini.

Maya bagaikan tidak sabar-sabar mahu menghidupkan komputer. Selesai menekan butang power, Maya melingas ke dapur untuk membancuh semug minuman. Selesai menggodek minumannya, Maya segera mendaratkan punggung atas bangku dengan pandangan terfokus arah skrin. Gadis itu memulakan ketukan pada papan kekunci. Dia nampak tekun berkarya berpandukan suara-suara yang membisik dalam benaknya. Masa berlalu tanpa disedari. Dia hanya tercelik dari kekusyukannya menulis selepas tertangkap bunyi ayam jantan berkokok.

“Huh.” Isi mug dijenguknya. “Dah habis.” Maya bingkas lantas membawa mug tersebut ke dapur. Sewaktu sedang membasuh mug itulah Maya berasakan dirinya seperti diperhatikan oleh seseorang dari arah pintu. Maya menoleh sekilas namun tiada apa yang tercancang dekat pintu. Lantas kerjanya diteruskan. Apapun dia terkejut apabila terdengar bunyi berdebuk berhampiran almari buku yang terletak di ruang tamu. Maya bergegas keluar untuk melihat apa sebenarnya yang telah atau sedang berlaku.

Pelik. Tiada apa pun yang berlaku di situ. Semua buku-buku masih tersusun rapi dalam rak. Demikian juga barang-barang perhiasan yang tak adalah semahal mana. Maya berpatah semula dan terkejut apabila melihat seseorang sedang membasuh mug yang dipegangnya tadi. Seseorang yang seratus peratus serupa dengan dirinya. Seseorang yang berpakaian sebagaimana baju yang membalut tubuhnya tika ini.

Maya cepat-cepat menyorok apabila lembaga serupanya itu memandang sekilas arahnya. Sewaktu sedang berundur itulah Maya terlanggar Toyol lantas jatuh berdebuk setelah hilang kawalan. Maya cepat-cepat bangun lantaran bimbang dijenguk oleh lembaga serupanya itu. Apapun, puas Maya menanti namun tiada sesiapa pun yang muncul dari dapur.

Sebagaimana tadi, Maya kembali terjenguk-jenguk dan dia terkejut apabila mendapati tiada sesiapa pun yang berada di situ. “Eh! Mana pula perginya kembar aku tadi?” soalnya kehairanan. Dalam keadaan bingung Maya segera membancuh minuman dan menghilang dalam bilik tidurnya. Maya tidak segera menulis melainkan duduk melengung depan komputer. Dia masih memikirkan insiden tadi.

Dan cuba menjejak keganjilan dan misteri di sebalik kejadian tersebut. “Agaknya kelibat orang yang aku ternampak sewaktu membasuh mug tu adalah diri aku sendiri. Bunyi jatuh berdebuk tu pun mungkin diri aku juga. Tapi macam mana semua tu boleh berlaku? Pelik.” Keluhannya terhembus. Maya memandang jarum pendek jam dinding sebelum menyambung karangannnya.

Maya hanya berhenti setelah tertangkap bunyi azan berkumandang. Tanpa bertangguh, Maya segera menunaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai muslimin. Dia kembali menulis dan berhenti setelah terintai cahaya mentari pagi menyusup masuk melalui celahan tingkap. Ketika inilah Maya baru tersedar dia amat keletihan seolah baru selesai mengharung perjalanan yang jauh. Rasa-rasa tersebut mencengkam segenap urat sarafnya dan melunyai jasadnya hingga jadi lemas.

Maya sengaja bertele-tele di luar balkoni. Dia mahu menghirup udara segar sebelum meringkuk atas katil. Dia hanya menapak hala ranjang sesuku kemudian selepas mematikan komputer. Berselang sejam, Munira dan Jiah silih berganti menelefonnya. Namun puas mereka mendail nombor telefon bimbit Maya, situasi tetap sama. “Agaknya Maya baharu terlelap. Itu fasal dia tak pick up call,” teka Jiah kecewa.

Munira sekadar menganggukkan kepala. Tiada sebiji kata terpacul dari mulutnya. “Kita pergi melawatnya petang ni,” usulnya dan kali ini giliran Jiah pula yang menganggukkan kepala.

“Masuklah dulu,” jemputnya sambil menguak daun pintu lebar-lebar. Zurhan mengangguk seraya melangkah masuk. “Kejap ya.” Maya kemudiannya bergegas ke bilik untuk menukar baju. Dia keresahan selepas mengintai baju-bajunya yang bersusun dalam almari pakaian. Kini baharu disedarinya bahawa dia tidak memiliki walau sehelai pun pakaian yang cantik. “Macam mana ni?” Dia menggaru-garu kepala.

Maya hanya meninggalkan bilik tidurnya setengah jam kemudian. Dia berdebar-debar sewaktu Zurhan memudikkan pandangan halanya. Zurhan tersenyum selepas menyoroti bajunya. “Aku tak kisah apapun yang Maya pakai. Yang penting ia tak menjolok mata dan yang paling penting... Maya masih ada sesuatu untuk dipakai,” katanya cuba mengambil hati Maya. Riak wajah gadis itu menjelaskan kegalauan. Agaknya gadis itu risau sekiranya dia tidak menyukai penampilan tersebut.

“Kita berdua ni bagaikan batu dan permata. Terlalu jauh berbeza.” Pandai pula Maya berkata-kata buat julung kalinya.

“Ya ke? Aku tak berasa macam tu pun. Bagi aku, Maya adalah seorang gadis yang sempurna.”

Maya terkesima lantas tergelak lirih. Buruk sungguh bunyinya. “Apa yang ada pada diri aku ni? Awak dah buta agaknya.” Cermin matanya dirapikan.

“Maya yang telah membuatkan aku jadi buta.”

“Apa yang telah aku lakukan?” Maya ketawa lagi. “Jom lah!” ajaknya lantas berjalan mendahului Zurhan. Zurhan tersenyum lembut. Ketika ini hari masih muda. Zurhan pula tidak segera membawanya pergi melainkan mengajaknya menjelangi suatu tempat. “Kenapa kita ke sini?” Maya hairan. Disorotinya kawasan tersebut.

“Maya pernah melawat tempat ni ke?” Sengaja Zurhan mahu menduga. Diajaknya Maya turun dari kereta. Maya akur.

“Tak pernah.” Maya sengaja berdusta walhal dia pernah ke sini seminggu yang lepas untuk menghirup udara segar. Bahkan lokasi ini turut tersemadi dalam manuskripnya. Zurhan tergelak pahit. “Sebenarnya kawasan pinggiran teluk ini amat sesuai untuk dijadikan tempat berlipur-lara,” komennya.

Zurhan angguk-angguk. Mereka berdua segera mengatur langkah ke sebuah pondok kayu tidak berdinding namun bertingkap. “Di sinilah aku mula mengenalimu Maya.” Maya tersentak mendengarnya. Pandangannya spontan terhunus arah Zurhan. Keluhan Zurhan bersepoian lalu berpuputan dalam lohong telinganya. “Tidak jauh dari kawasan inilah dua buah kereta berlanggar di jalan raya. Sebuah kereta menyusul kemudian. Dan Maya... aku benar-benar pasti bahawa saksi kedua kejadian ngeri tu adalah awak.”

“Hmm...” Maya berundur setapak ke belakang pabila Zurhan tiba-tiba merapatinya.

“Aku tak terlibat dalam kemalangan tu.” Wajahnya lesi.

“Kau tak terbabit. Kau cuma menyaksikan kejadian tu dan aku memang nampak awak, Maya.”

“Tak mungkin.” Maya menggeleng-gelengkan kepala. Dia tiba-tiba berasa pening. “Aku cuma berhalusinasi.”

“Usah menafikan kewujudan awak Maya. Berhalusinasi tak semestinya tak ada kebetulan. Aku ada melihat manuskrip tadi masa awak kat bilik.”

Maya terkejut. “Manuskrip? Sejak bila pula awak berada kat bilik tidur aku? Aku tak nampak pun. Hmm... kenapa awak baca manuskrip tu?” suanya dengan suara semacam marah. Wajahnya mendadak masam dan ada kekesalan berdanuran dalam danau matanya. “Manuskrip yang mana satu awak baca?” Zurhan tidak berkata apa-apa. Dia nampak terkilan, serba-salah dan yang paling utama dia berasa terperangkap setelah menuba Maya dengan bicara tadi.

“Maafkan aku. Aku tak sengaja,” luahnya dengan wajah cemas dan seperti meminta dimengertikan. “Maafkan aku okey. Aku cuma inginkan kepastian mengenai dirimu dan ingin mengenalimu dengan lebih dalam lagi.” Maya menghela nafas. Kemarahannya mengendur selepas mencicipi ayat-ayat tadi. Pandangannya beralih. “Sebenarnya Maya, ada yang tidak kena dalam kemalangan jiwa tu.”

“Maksud awak?”

“Itulah persoalannya,” tingkah Zurhan pula berusaha supaya Maya tidak mengasaknya dengan sebukit pertanyaan yang terbengkalai tadi.

“Kerana persoalan inilah aku tanya engkau.” Maya menarik kerusi kayu yang kebetulan ada dekatnya lalu mendarat di situ. Tunaknya menjengah Zurhan. “Apa maksud awak sebenarnya ni? Cuba kau terangkan satu-persatu.” Tiada senyuman terlakar di bibirnya sebagaimana sebelum ini. Maya kelihatan serius. Dalam benaknya berlegar persoalan.

“Aku tidak bermaksudkan apa-apa. Cuma firasat dan naluriku seakan berbisik mengatakan ada yang tidak kena dalam kemalangan jiwa yang berlaku berhampiran lokasi tu tiga bulan yang lepas.”

“Apa yang membuatkan awak berasakan seperti tu?” Cermin matanya dirapikan dengan pandangan masih membidik muka Zurhan. Hujung lidah Zurhan berdecit. Dia beredar ke tubir jendela sekejap sebelum memandang Maya semula.

“Kerana hanya 3 jiwa dijumpai oleh pihak polis. Sementara 2 jiwa lagi masih menjadi misteri dan tanda tanya.”

“Macam mana awak tahu fasal 2 jiwa tu? Aku rasa, kau ni bukan sekadar menyaksikan tetapi kemungkinan besar turut terlibat dalam kemalangan tu kan?” Kini Maya menghidangkan sedulang prasangka. Pandangannya turut menyerong membuatkan Zurhan salah tingkah. “Katakanlah yang sebenarnya Zurhan. Apa sebenarnya tujuan kau merapati dan ingin mengenaliku? Kau nak aku bongkar kejadian tu ke ataupun...” Maya termenung sejenak. Riak wajahnya seperti sedang berusaha mengingatkan sesuatu. “Ataupun kau nak aku cari ke mana hilangnya 2 jiwa tu?”

Zurhan mengangguk pantas. “Ya. Aku nak Maya jejak ke mana perginya 2 jiwa tu. Sama ada mereka masih hidup ataupun turut berangkat ke alam baka sebagaimana 3 jiwa yang lain. Ataupun berkeliaran seperti....”

“Seperti awak?” pangkas Maya. Zurhan tergamam. Maya tersenyum nipis. “Aku bergurau. Awak janganlah serius sangat.” Nafasnya dihela. Pandangannya turut terdampar arah lain sebelum menghempuk muka Zurhan semula. “Aku akan cuba untuk leraikan kekusutan ini. Sebenarnya sebelum berjumpa dengan kau pun aku memang dah terbabit dalam permasalahan ni,” katanya dengan ingatan berisi ayat-ayat misteri milik suara halimunan tersebut. “Sebab itulah aku berada dalam kejadian tersebut. Tetapi peliknya, aku cuma melihat dua buah kereta. Ke mana pula perginya yang sebuah lagi?”

Zurhan menarik nafas. “Yang sebuah lagi menyusul kemudian dan terbabas selepas terlanggar salah sebuah dari kereta yang Maya nampak tu. Tangki minyak kereta terakhir tu pecah sebelum ianya meletup kemudian terbakar hingga rentung. Dua orang penumpang di dalamnya turut menemui ajal kerana tersepit.”

“Pada fikiran awaklah kan... ketiga-tiga kereta ini saling berkaitan ke ataupun hanya dua buah kereta?”

“Ketiga-tiga kereta serta 5 jiwa tersebut memang saling berkaitan. Mereka semua saling mengenali.”

Pandangan Maya mencerun dan kolam matanya berisi prasangka. “Nampaknya awak lebih tahu mengenai kejadian ngeri tu serta latar belakang mangsa-mangsanya.” Dalam diam Maya mengatur strategi hendak membongkar identiti sebenar Zurhan. Dia mula berasa sangsi dan mencurigai sesuatu tatkala terintai keghairahan Zurhan sewaktu mengupas kejadian tersebut.

Bahkan kewujudan suara halimunan serta dakwaannya turut mendorong Maya untuk menyiasat hal sebenar. Maya nak tahu apa sebenarnya yang telah berlaku sebelum, sewaktu dan selepas kejadian ngeri tersebut. Mereka berdua berbual-bual lagi dan Zurhan terpaksa menghantar Maya balik selepas tidak berjaya mengajak gadis itu keluar. Maya berubah fikiran sesudah tersantap sedikit dari infomasi mengenai kejadian ngeri tersebut.


Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.