Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 28

“Dalam masa terdekat ni, ada tak Maya mendapat petanda sebagaimana yang didakwa Amirul?”

Maya menggelengkan kepala. “Rasanya tak ada.”

“Cuba Maya fikir betul-betul. Manalah tahu ada tapi Maya tak terfikir pun itu adalah petanda. Situasi ini hanya mengundang penyesalan jika kita terlepas petanda tu.”

“Kalau ada pun, apa yang boleh kita buat? Kita bukannya mampu menghalang hantu berjubah tu dari menyedut nyawa-nyawa mereka.” Maya bertegas. Dia berasa tertekan. Dia kemudiannya angkat punggung dan beredar ke juring tingkap. Pandangannya ditumpahkan arah laman rumah.

Keluhan Jiah berdetasan. “Aku tahu kita tak berdaya melakukan apa-apa. Tapi sekurang-kurangnya kita tahu siapa mangsa seterusnya.”

“Tiada maknanya kita mengetahui semua tu. Semua tu hanya menambah rasa bersalah kita.” Suara Maya berubah lesu. “Aku harap semua ni hanya mimpi.”

Jiah tergelak kecil. “Kita tak bermimpi. Bagaimana kalau petang ni kita isi dengan melakukan sesuatu?” cadangnya sekadar mahu menghiburkan Maya. Dia mahu gadis itu melupakan sejenak rentetan masalah ini. Sebab lain dia tidak mahu Maya susah hati. Maya tidak segera menjawab melainkan bertanya misalnya. “Misalnya kita pergi menyiasat di mana arah dan letaknya rumah Amirul. Tambahan pula, dah beberapa minggu ni kita mengenalinya tapi rumahnya pun kita tak pernah pergi.” Sejenak teringat olehnya akan Amirul yang tiba-tiba saja lesap dari pandangan.

Maya tidak bereaksi sebagai respon darinya berhubung saranan tersebut. Suasana ini membuatkan Jiah tertanya-tanya dan ternanti-nanti. “Penting sangatkah kita mengetahui kewujudan tempat tu? Apa pula kaitannya rumah Amirul dengan semua yang berlaku?”

“Aku tahulah semua tu tak berkaitan. Tapi sekurang-kurangnya masa yang ada boleh kita isi dengan melakukan sesuatu. Seharian terperuk dalam rumah ni hanya akan menambahkan sakit kepala kita.” Jiah bingkas dan menyelinap ke dapur sekejap. Dia mahu membasahkan tekaknya dengan air sejuk. Sementara Maya pula melangkah lambat-lambat hala luar. Dia ingin mengambil angin di samping menimbang tara usul Jiah tadi. Jiah menyusulnya berselang beberapa minit. Mereka berbual-bual dan terkejut pabila melihat motor Azhan dari kejauhan. Nampaknya Azhan membawa seorang penumpang. “Ferdy rupanya,” bisik Jiah setelah dari tadi cuba mengecam. Maya kemudiannya beredar untuk menyelak pintu pagar. Senyumnya merekah setelah Azhan berada di depan mata.

“Mimpi apa pula ni tiba-tiba je datang,” sapanya dengan ekor mata menimpa Azhan dan Ferdy silih berganti.

“Tak ada apalah Maya. Saja mahu menjenguk awak berdua,” balas Azhan sambil menongkatkan motor. “Munira balik kampung ke?” suanya namun tiada siapa yang mendengar pertanyaannya. Ferdy meloncat turun dan segera menanggalkan topi keledarnya.

“Awak sihat Maya?” suanya mengabaikan pertanyaannya tadi. Senyumnya tersungging mesra di bibir. Maya menganggukkan kepala. Jiah menapak hala mereka dan berkata sesuatu kepada Azhan.

“Alah aku risaukan Maya. Manalah tahu Maya ikut perasaan selepas mendapat tahu mengenai kejadian yang menimpa Johan.” Dikerlingnya Maya.

“Takkan sampai begitu sekali Han,” tingkah Maya sambil mengajak mereka berdua masuk ke dalam rumah. Mereka berempat berborak-borak.

“Sebenarnya kami datang ni nak bagitau Maya sesuatu. Ia ajakan tapi berbau cadangan,” kata Ferdy setelah sesuku berlalu. Spontan pandangan Maya terlekat arahnya. Gadis itu kemudian memandang Jiah dan Azhan silih berganti. “Kami nak ajak Maya berjumpa dengan seorang kawan.”

Dahi Maya berkerut. “Kenapa pula aku perlu berjumpa dengan kawan awak? Apa yang penting sangat dengan pertemuan tu?” Gadis itu tergelak perlahan seolah meremehkan saranan tersebut. Dalam diam, benaknya memintal persoalan mengenai maksud di sebalik ajakan tersebut. Dipandanganinya Azhan dan Ferdy silih berganti. Sesekali tunaknya menimpa Jiah.

“Tak ada apa-apa Maya. Kami sekadar mahu memperkenalkanmu dengan kawan Ferdy.. itu je,” jelas Azhan setelah lama membisu. Ferdy angguk-angguk. Jiah pula tidak berkata apa-apa selain hanya memandang mereka bertiga silih berganti. Tambahan pula tiada apa yang hendak diketengahkannya. Dilihatnya Azhan dan Ferdy berpupuh mata pabila tersantap reaksi Maya yang semacam tidak menyenangi ajakan tersebut. Agaknya kedua lelaki itu bimbangkan kegagalan rancangan tersebut. Jiah sendiri tertanya-tanya makna ajakan tersebut. Mesti ada udang di sebalik batu. Jika tidak, masakan Azhan dan Ferdy tiba-tiba saja mengusulkan perkara ini.

Maya menghela nafas. Tunaknya menghempuk Jiah. “Macam mana? Perlukah aku katakan ya kepada mereka?” sodor gadis itu pula dalam nada seakan bergurau. Jiah angkat bahu tanda tidak tahu. “Penting sangatkah perjumpaan tu?” Sekali lagi Maya bertanyakan kepentingan pertemuan tersebut. Ternyata jawapan dan penjelasan Azhan tadi tidak mencukupi buatnya.

Azhan menarik nafas. “Sebenarnya rancangan ni bermaksud baik. Dulu iaitu sewaktu kita berdua diperkenalkan, aku ternampak sesusuk tubuh menyorok di belakangmu. Ia bagaikan bayang-bayang hitam yang sukar dikenal pasti. Waktu itulah aku mengandaikan bahawa awak sedang dihantui oleh roh seseorang. Seseorang yang mungkin berkehendakkan sesuatu darimu. Firasatku awak memerlukan bantuan dari seseorang yang arif dalam soal-soal mistik ni,” terang Ferdy panjang lebar.

Seawalnya dia dan Azhan dah sepakat mahu menyembunyikan maksud sebenar ajakan ini. Tetapi nampaknya mereka terpaksa jua berterus terang kerana rupanya Maya tak semudah yang disangka. “Kawan awak tu bomoh ke?”

“Tak. Dia bukan bomoh. Dia cuma ada kelebihan iaitu boleh menelusi dunia lain melalui matanya. Dan dia boleh menghubungkan awak dengan dunia tu.”

Maya mengangguk tanda mengerti. Dia tidak segera memberikan jawapan melainkan mengajak mereka membualkan topik lain. Terpaksalah kedua lelaki itu mengikut rentaknya kerana tidak mahu dianggap terlalu memaksa.

Tengahari ni mereka berempat bersantap bersama di sebuah restoren. Ia berhampiran dengan kawasan kediaman Maya. “Maya, tengok Subaru tu.” Jiah menyigung lengannya sambil menjuihkan mulut ke arah sebuah kereta. Maya mengalih pandang. Azhan dan Ferdy turut meningkah gelagatnya namun tidak melihat apa-apa. Berbeza pula dengan Jiah dan Maya. Subaru tersebut berhenti berhampiran restoren di mana mereka berada. Seorang pemuda tampan yang cukup mereka kenali melangkah keluar lalu berdiri dengan menyandar pada Subaru. “Aku tak percaya kalau babak ni pun budak Amirul tu cakap hanyalah imaginasi kita. Tak masuk akal langsung.” Jiah meluahkan. Maya tidak bereaksi.

“Dia cakap babak dulu sekadar satu imbasan masa lalu. Mungkin dia bermaksudkan situasi-situasi yang pernah mengisi takdirnya pada masa dulu.”

“Cakap Maya ni macamlah dia ni dah lama permisi dari maya ni.”

“Apa salahnya kalau kita berfikir macam tu je. Lagi pun Jiah pernah cakap yang dia lesap macam tu saja selepas berbual dengan aku kan?”

“Hmm... apa yang kamu berdua bisikkan tu? Mengumpat kamilah tu,” sampuk Azhan dengan senyum tersorong di bibir. Mimik mukanya menggambarkan gurauan. Namun sinar matanya semacam ingin tahu.

“Tak ada apa. Cerita orang perempuan.” Singkat saja kupasan Jiah. Sementara Maya pula masih memandang arah tadi. Dilihatnya Syah sedang menghubungi seseorang melalui telefon bimbit. Wajah pemuda itu disalut keresahan yang sukar dimengertikan. Dia seperti rimas atau sebetulnya sedang kekusutan memikirkan sesuatu. Dalam diam, Maya teringin sangat menghampirinya untuk memastikan situasi ini bukanlah sekadar imaginasi namun realiti. Apapun, kasadnya terpaksa dibiarkan saja berlubuk dalam hati. Dia enggan merosakkan suasana ketika ini dengan melaksanakan niat tersebut. Lainlah kalau Azhan dan Ferdy tidak bersama dengan mereka berdua waktu ini. Selesai menjamu selera, mereka berempat berbual sekejap sebelum Azhan dan Ferdy meminta diri. Saat yang sama, Syah juga turut bergegas pergi. “Oh ya! Aku terlupa nak bagitau awak...”

Azhan berpatah semula lalu membisikkan sesuatu dan Maya tampak terkejut. Tanpa sedar dia menyebut beberapa potong Al-fatihah untuk dihadiahkan buat arwah. Jiah yang masih memandang Subaru milik Syah yang kini sedang meluncur pergi tidak menyedari situasi di antara Azhan dan Maya. Dia hanya mengalihkan pandangan selepas Azhan kembali mendapatkan Ferdy. “Dia dah pergi.” Jiah bermaksudkan Syah.

Maya menghela nafas. “Aku baru berkira-kira nak berjumpa dengannya tapi dia dah pergi pula,” keluhnya sedikit marah dan kesal. Sungguh pun begitu, benaknya masih dihantui nahas yang telah menimpa Johan.

“Relaklah. Tak dapat kat tempat ni, kita cari dia kat rumahnya.”

Maya angguk-angguk. “Tapi haluan Subaru tadi bukan menuju ke rumahnya kan?” tanyanya mahu memastikan yang dia tidak tersilap melihat arah Subaru tadi.

Jiah menepuk dahi. “Ha ah kan. Tapi tak mengapa, kita pergi je. Soal dia ada atau pun tiada.. tak timbul. Yang penting kita tahu sejauh mana kebenaran kata-katanya. Budak ni pun macam Maya juga. Serba misteri dan saban detik bergelumang dengan mistik.” Maya tersenyum mendengarnya.

“Eloklah macam tu. Sekurang-kurangnya aku tak keseorangan dan bersendirian selama mengharung enigma ini. Nak tahu sesuatu?” Jiah cepat-cepat mengangguk. “Amirul tu tak ubah macam mayat hidup dalam setiap mimpi-mimpiku. Bajunya lusuh benar. Demikian juga dirinya. Lebih kurang macam orang yang dah beratus tahun terkurung dalam lubang kubur. Begitulah.” Jiah tampak ngeri.

“Ya ke?” katanya dua patah. Maya mengangguk pantas. “Apa-apapun, aku nak dapatkan bukti-bukti kewujudannya hari ini,” bisik gadis itu lantas menggemik lengan Maya. Mereka berdua kemudiannya menyelinap ke dalam kereta dan bergegas pergi. Azhan dan Ferdy yang ternyata berpatah semula dan menyorok tidak jauh dari situ berpupuh mata. Keganjilan sikap kedua gadis itu tadi memaksa mereka memetik keputusan ini.

“Cepatlah,” gesa Ferdy dan Azhan cepat-cepat memecutkan motornya. “Nampaknya mereka tidak ke mana-mana!” laung Ferdy berusaha mencelah bunyi deruman motor tersebut. Azhan tidak berkata apa-apa. Mereka berdua kemudiannya berhenti berhampiran selekoh jalan menuju ke rumah sewa Maya.

“Lebih baik kita berjalan kaki dari sini.”

“Apa yang kita nak siasat? Mereka bukannya pergi kat mana-mana pun. Kau tak nampak ke Jiah meletakkan kereta di halaman rumah sewa tu?”

“Kau tak perasan ke bila tengok gelagat mereka berdua yang semacam ada rancangan besar?” aju Azhan pula.

“Ya ke? Aku tak perasan pula.”

“Cuba kau tengok betul-betul,” suruh Azhan. Tanpa kata, Ferdy menitipkan pandangan. Waktu ini Maya dan Jiah sedang berbincang. Berselang sesaat, mereka berdua pun bergerak ke arah pagar. “Tengok. Tak betul cakap aku?” tempelak Azhan lantas tersengih-sengih.

“Betul ke Amirul cakap ikut arah ni?” Jiah inginkan kepastian. Maya mengangguk.

“Marilah. Jiah tau tak? Aku berasa tak sedap hati sedari tadi. Rasanya macam kita berdua sedang diperhatikan oleh seseorang.”

“Aku pun rasa macam tu juga sebenarnya.” Jiah turut berterus terang. “Agaknya kita berdua diekori hantu perempuan berjubah tu atau Amirul,” tekanya cuba mengandaikan. Maya angkat bahu. Mereka berdua menyelinap keluar dan menyusuri lorong yang selalu diikuti oleh Amirul. Lorong yang kelihatan seperti denai itu menuju ke arah hutan. Ternyata tindakan mereka berdua menumbuhkan persoalan dalam benak Azhan dan Ferdy. Tanpa bertangguh kedua pemuda itu keluar dari persembunyian dan menyusul kedua gadis tersebut.

“Cepatnya mereka berdua pergi,” kata Ferdy setelah mereka berdua tiba di satu persimpangan.

“Arah mana pula mereka ikut erk?”

“Mungkin sebelah kiri.”

“Awak jangan main hentam je cakap. Tak fasal-fasal kita berdua pula yang tersesat dalam hutan nipis ni.” Azhan memarahinya pula.

“Habis awak nak aku cakap apa?”

“Kalau dah tak tahu nak cakap apa diam sajalah.” Azhan benar-benar mati akal. Mereka berdua menyengap selepas itu. Masing-masing sedang berusaha berfikir. Manakala Maya dan Jiah pula semakin jauh.

“Dah lama kita berjalan ni. Tak nampak pun sebuah rumah,” rungut Jiah sambil mengesat keringat yang kini bertaburan di dahi dan lehernya. “Pelik. Macam mana Amirul boleh merayau-rayau kat tempat ni pada waktu malam. Aku dapat bayangkan suasana gelita yang menyelubungi tempat ni sewaktu malam menjengah.”

“Bukan Jiah je yang berasa pelik bercampur hairan. Aku pun berasakan perkara yang sama. Tengoklah! Betapa gelapnya kawasan hutan ni kalau dah malam. Siang-siang macam ni pun suram je. Apatah lagi setelah malam menjelma... mesti hitam bukat.”

“Tahu tak apa.” Jiah menggaru lengannya yang tiba-tiba terasa gatal.

“Amirul bagitau rumahnya tak jauh dari lorong tadi. Hanya perlu membelok dua tiga kali sampailah katanya.”

“Cakap memang senang.” Kini Jiah menghentak-hentakkan kaki pabila sekawanan agas mula menghurunginya. “Agaknya rumah tu akan muncul kalau Maya datang bersendirian mencari Amirul.”

“Mungkin,” sahut Maya sepatah. Nadanya seperti berputus asa. Mereka berdua tidak bergerak lagi selepas itu. Sesuku kemudian, Jiah mengajak Maya balik apabila tiba-tiba berasakan bulu tengkuknya mencuar. Entah apa benar yang sedang merapati mereka berdua hingga dia berasakan sedemikian rupa. Maya tidak membantah. Mereka berdua menyusuri semula lorong tadi dan tiba di kawasan rumah Zak beberapa minit kemudian. “Sekejapnya kita sampai.”

“Betullah. Padahal bukan main terasa lama betul sewaktu kita masuk kat hutan nipis tu. Bila keluar terasa senang dan mudah pula.” Jiah turut dipentung rasa pelik. Tidak diketahui oleh mereka akan perihalnya Azhan dan Ferdy yang masih terkial-kial di persimpangan tersebut. Keadaan mereka berdua bertambah teruk selepas berpatah semula dan menyusuri jalan keluar. Selain tersesat, mereka juga semakin menjauhi kawasan perumahan Bandar Sierra. Bahkan semacam menuju ke kawasan hutan tebal. Situasi ini membuatkan Azhan dan Ferdy walang tiada terperi.

“Nampaknya kedatangan kita tidak mendapat restu dan izin dari penghuni hutan nipis ni. Kita bukan sekadar disesatkan tetapi turut dibiarkan menjauhi haluan sebenar,” bisik Azhan kekhuatiran.

“Bagitaulah yang kita ni kawan Maya. Manalah tahu, penghuni hutan ni mengenali Maya sebab rumah sewaan Maya tu pun hanya terletak di pinggir hutan nipis ni je,” saran Ferdy pula semakin terdesak. Peluh yang menyimbah di serata mukanya diseka kasar. Sinar matanya pula semakin cetek dengan riak wajah ditakik kebimbangan. Sekilas terbayang olehnya muka Johan yang pucat lesi.

Azhan menarik nafas. Pandangannya berlegar sejenak. Menyoroti maya yang bertaburan di sekitar mereka berdua. “Awaklah yang cakap,” suruhnya pula.

“Kenapa pula mesti aku? Engkaulah yang cakap.”

Pandangan Azhan spontan menghentaknya. Dia sebenarnya tidak berpuas hati dengan sikap Ferdy. “Awaklah yang cakap sebab awak yang mencadangkan perkara ni tadi. Aku manalah tahu apa-apa. Kalau awak tak nak cakap pun tak apa. Biarlah kita tidur kat sini malam ni. Sekurang-kurangnya dapat juga kita merasa udara dalam hutan ni.” Kini Ferdy berasa terjerat pula.

Sambil menghela nafas, pandangannya dicampakkan arah lain. Dalam benak sudah tertulis selembar ayat. Sejurus, Ferdy mula berbicara dengan bebola mata terbolak-balik ke semua arah. Gelagatnya seakan risaukan persekitaran mereka. Seperti bimbangkan kemunculan seekor hantu. Situasi dirinya menerbitkan senyuman Azhan. Terasa lucu pula pabila tersantap tingkah laku Ferdy sedemikian rupa. Namun dia buat-buat serius bila Ferdy mengerlingnya.


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.