Home Novel Seram/Misteri HALUSINASI
Bab 4


Balang fikirnya digodek hingga ke dasar. Dia mahu mencari beberapa sebab mengapa buah epal itu berhenti di situ? Apakah yang dimahukan oleh insan yang menjadikan buah tersebut sebagai bahasa isyarat untuknya. “Aku tak boleh buka sampul ni selagi usianya belum mencecah seminggu. Mampus aku kena belasah kalau pemiliknya sampai nanti,” ujarnya bermonolog. Pandangannya berkeliaran. Tunaknya kembali menghentak buah tersebut sebelum beralih arah sampul surat itu.

“Kalau ya pun sabar-sabarlah dulu. Sampul surat ni tak akan ke mana juga,” lanjutnya bila melihat buah epal itu tidak berkutik dari situ. Deringan telefon bimbit menyentakkannya. Saat yang sama, Maya berasakan dirinya semacam baru tercelik dari lena yang panjang. Walhal dia memang berjaga sepanjang masa tadi. Lebih memeranjatkan, ternyata dia masih terconggok depan meja komputer. Terkebil-kebil macam kera kongkang di situ.

Dia tak pernah ke mana-mana sekali pun ke ruang tamu. Bahkan buah epal itu pula masih terkapar sepi di tubir meja. Menanti penuh setia untuk dijadikan kudapan malam. Sementara buah epal yang dipegangnya tadi kini tinggal sisa. Keluhan Maya terhembus. “Nampak gaya, tak lama lagi aku akan disumbat dalam wad sakit jiwa jika keadaanku semakin kronik.” Kepalanya digaru walaupun tak gatal. Bingkai cermin matanya yang senget sebelah dirapikan.

Dia mengetuk-ngetuk permukaan meja dengan menggunakan siku jari. Entah apa benar yang sedang menyula benaknya hingga sekhusyuk ini. Sementara telefon bimbitnya pula hanya terpekik sekali kemudian senyap. Maya hanya tergerak hati untuk mengintai skrin telefon selular tersebut selepas sesuku berlalu. “Tak ada nombor?” soalnya seolah mahu menujukan pertanyaannya kepada seseorang. Situasi tersebut membuatkan Maya dipentung kehairanan.

Tidurnya terganggu. Dia tampak gelisah dan semacam rimas. Sesekali nafasnya berhembusan kuat. Sementelaah kedua kelopak matanya pula terkatup rapat. Situasi tersebut bagaikan bukti bahawa dia sedang terlelap ketika ini. Dan sebetulnya Maya memang terlena. Namun semangatnya terjaga dan kini terdampar di sebuah benua. Di mana hutan belantara berceruak kaku dan hitam berbalam. Gunung-ganang pula mencuar tajam. Tiada bayu berdengusan dan suasana amat kelam, suram dan hening sungguh tika ini.

Tiada derit cengkerik mahu pun suara kodok kedengaran bersahut-sahutan. Rembulan pula kelihatan sayu dan sesekali menghilang di sebalik tirai gemawan yang gelap gelita. Maya terus saja mudik tanpa tujuan. Lembah yang semacam tidak bernadi itu membuatkannya ditukul ketakutan yang tiada terkira. Sungguh pun begitu, langkahnya tetap dihela ke depan. Melewati batang-batang kayu yang hitam legam. Sesayup mata memandang, kelihatan setitik cahaya meliuk-lentuk seakan bercanda dengan angin.

Walau sebenarnya tiada angin bersipongang dalam lembah yang amat menyeramkan ini. Namun apa yang paling penting sekarang Maya punya tempat hendak dituju. Destinasi yang bakal membebaskannya dari cengkaman belantara ini. “Huh.” Maya kelegaan. Dia ingin segera menjejakkan kaki ke tempat tersebut. Dalam kepala terpanggul sepunggur harapan. Apapun, puas Maya menghayun langkah namun destinasi tersebut tetap jauh sebagaimana sebelum ini. Sedang Maya pula kini kelelahan dan keletihan.

“Macam mana ni?” suanya pada diri lantaran kegalauan. Disorotinya persekitaran dengan wajah disolek keresahan. Nafasnya kian semput. Waktu ini langkahnya tetap ditandu pantas hala depan. Tambahan pula, Maya sudah ketandusan pilihan. Dia tidak menemui cara lain untuk melepaskan diri dari kekangan belantara ini selain berusaha. Berusaha dan terus berusaha walau kesudahannya tetap sama.

Maya hampir menangis apabila melihat percikan cahaya tersebut tetap jauh sebagaimana tadi. Walhal Maya sudah separuh mati berjalan membelah belantara menuju ke arah tersebut. “Suara, engkau kat mana? Tolonglah aku,” rintihnya. Tiba-tiba teringatkan suara halimunan. Dalam dada, bercambah harapan. “Suara...” serunya lagi sambil menebar pandangan di sekitarnya. Dia amat berharap agar suara tersebut muncul menghulur bantuan.

Dia tidak betah berada dalam belantara ini lagi. Dia ingin benar keluar dari sini dan bernafas sebagaimana biasa. Terconggok seorang dalam lokasi ini menyesakkan dadanya. Dia berasakan dirinya seperti disumbat dalam liang lahat hidup-hidup. Kalaulah bukan kerana setitik cahaya tersebut, agaknya dia dah lama mati kelemasan di tempat ini. “Suara, tolonglah aku,” rayunya lagi tak berputus asa. Air matanya dah terlucut waktu ini. Jauh di dasar hati dia berasa lucu pula dengan situasi dirinya. Dia tak pernah begini. Namun kali ini, dia berasa benar-benar takut.

Pandangannya beralih ke kiri dan kanan. “Suara,” serunya sedikit berbisik. “Kau tak kesian kat aku ke? Aku dah ikut kemahuan awak kan? Sekarang giliran awak pula penuhi permintaanku,” jeratnya cuba menjebak walau dia tak pasti pemilik suara halimunan itu berada di situ ataupun tidak. Maya terloncat apabila guruh tiba-tiba berdentum kuat. Dari sebalik tengkorak langit, sebilah cahaya muncul lalu menghindik perlantaian belantara. Suasana terang-benderang seketika.

Saat itulah Maya terundur mendadak ke belakang. Amat jelas di ruang mata, rupa-rupanya cahaya yang sedang berkelip-kelip dari kejauhan itu ternyata milik seorang wanita berkelubung. Ia bukan cahaya lampu melainkan sinar mata lembaga tersebut. Sementara lembaga itu pula sedang melayah deras menuju arah Maya. Maya menggigil ketakutan. “Pejam mata awak Maya.” Tiba-tiba satu suara kedengaran.

Lantaran kehabisan iktiharlah Maya mengakuri arahan tersebut tanpa banyak karenah. Sejurus, terasa pergelangan tangannya digemak oleh seseorang. Maya dapat merasai suhu badan insan tersebut meresap ke setiap liang kulit ari-arinya. “Berhati-hati. Wanita itu sedang berusaha menawan awak,” bisik suara itu. Maya tidak mengangguk apatah lagi mengiakan. Dia menggigil dengan 1001 wasangka buruk bertali arus dalam benaknya. Tempurung lututnya semacam terpokah apabila satu wajah bermata rompong menyergah ruang legar fikirnya. Dia terpekik kerana terperanjat.

Bunyi kipas berputar mendorong Maya mencelikkan mata. Maya mengurut dada tanda lega selepas ruang dalam biliknya terhidang di mata. Dia benar-benar kelegaan. “Rupanya aku bermimpi buruk tadi.” Dia bangkit lalu menghulur kaki ke tebing katil. Maya termenung sejenak di situ. Dia beredar ke kamar mandi berselang dua minit. Namun kasadnya terpangkas apabila tertangkap suara orang berbual-bual di ruang tamu. Kening Maya bercantum satu. Sekali lagi jemalanya diisi segeluk persoalan.

Pandangannya menjengah diikuti helaan langkahnya. Suara-suara itu kemudiannya hilang setiba Maya di depan pintu ruang tamu. Toyol yang sedang bersantai atas kusyen mendongak arahnya. Bulat sungguh matanya seolah sudah bertahun tidak bersua wajah dengan Maya. “Kenapa pandang aku macam tu?” marah Maya lantas berpatah semula ke dalam bilik. Namun langkahnya tersekat tatkala matanya tersapa batang tubuh Toyol atas katil.

Kerana berasa hairanlah Maya menoleh ke belakang dan kucing hitam itu masih berada atas kusyen. Dada Maya dipalu debaran dan pandangannya dialihkan lagi. Dan dia terkejut apabila kucing hitam yang disangkakannya Toyol itu tiba-tiba meloncat atas lantai. Namun yang jatuh berdebuk atas lantai bukan seekor kucing melainkan sesusuk tubuh milik seorang wanita.

Wanita yang seperti mayat hidup itu mula merangkak arah Maya sambil menghulurkan tangannya. Maya berundur perlahan dengan muka tegang. Mayat itu kemudiannya bangkit lantas berjalan pincang arah Maya dengan sebelah tangan terhulur. Maya berundur lagi lalu jatuh tercelapak apabila kakinya tersadung sesuatu. Mayat wanita itu pula terus saja bergerak kencang halanya. Kerana terlalu takutlah Maya menjerit semahunya.

“Maya! Kau tak apa-apa ke?” Jiah dan Munira menyerbu masuk. Mereka berdua terus saja mendapatkan Maya yang sedang duduk menggeletar. Maya tidak berkata apa-apa. Hanya matanya terbuntang arah katil. Jiah dan Munira berpandangan. “Agaknya dia berhalusinasi lagi,” bisik Jiah semacam kesal. Munira sekadar mengguman. Mereka berdua kemudiannya memujuk Maya supaya mengikut mereka ke ruang tamu. Maya tidak bereaksi. Namun dia tetap bingkas dan mengikut Jiah dan Munira. “Minumlah dulu air suam ni Maya.” Segelas air pesam diberikannya.

Maya mengambilnya lalu meminumnya hingga habis. “Lebih baik awak berehatlah dulu Maya. Tenangkan fikiran awak tu. Agaknya semua gambaran yang awak lihat tu terhasil dari fikiran awak sendiri. Awak terlalu banyak memikirkannya sebab itulah ia beraksi lalu menghambat awak siang malam. Cerita mistik dan seram ni bukannya boleh dibuat main-main. Awak kena berani dan tabah jika mahu meneruskan cerita ini,” nasihat Munira.

Punggungnya yang padat berisi didaratkan atas kusyen. Jiah menarik nafas. “Nasib baiklah kami sampai tepat pada masanya. Kalau tak, entah apa akan jadi pada diri awak.” Munira melanjutkan. Air mukanya kelihatan serius. Mengapa tidak, dia benar-benar terkejut tadi sewaktu terdengar suara Maya menjerit. Ketika itu, dia dan Jiah berada di depan pintu. Pintu pula tidak berkunci.

“Aku faham.” Maya mengulum bibir. “Mungkin aku terlalu mengikut perasaan. Tetapi aku tetap berasa pelik. Semua kejadian ini seperti benar-benar berlaku.”

“Sebab awak mempercayainya. Awak percaya terhadap apa yang awak sedang tuliskan sekarang ni,” pepat Munira seperti tidak berpuas hati. “Kepercayaan yang awak berikan itu bagaikan satu kekuatan buat watak-watak awak. Sebab itulah watak-watak itu jadi hidup dan nyata. Semuanya kerana awak.”

“Konsep seumpama kepercayaan seharusnya ada dalam setiap penulisan Ira. Barulah cerita yang ditulis itu menjadi lebih realistik, hidup dan bernyawa,” bela Jiah cuba menampan Maya.

Munira mendecitkan hujung lidah. “Tapi masalahnya, sekarang ni Maya terlalu mengikut perasaan hingga ketenangan dirinya terganggu. Hingga kesempurnaan dan keindahan hari-harinya tercalar. Hingga setiap mimpinya menjadi igauan buruk.”

“Dahlah! Kamu berdua janganlah bergaduh pula. Kamu berdua ni kalau bercakap mengalahkan aku.” Maya merengus. “Aku tahulah aku ni menyusahkan kamu berdua.”

“Janganlah cakap begitu. Kita bertiga kan berkawan rapat.”

“Kau dah makan ke Maya? Badan awak macam dah susut sedikit.” Sengaja Munira menukar topik perbualan. Maya tidak segera menjawab melainkan mencari kucing hitam yang terhangak-hangak atas kusyen tadi. “Ni mesti makan pun dah tak teratur,” teka Munira.

“Sampul surat apa ni?” tanya Jiah apabila tunaknya tiba-tiba tertancap pada sampul surat coklat yang terdampar sepi atas meja hidang. Munira turut memandang arah yang sama.

Maya angkat bahu. “Ada seorang lelaki mencampakkannya di depan pintu. Aku bercadang nak membukanya tapi nantilah.”

Jiah angguk-angguk. “Kenapa tak buka je sekarang? Manalah tau kat dalam tu tersorok rahsia besar kerajaan,” tingkah Munira pula. Sengaja mahu berlawak. Maya segera berkata keadaan tidak mengizinkannya membuka sampul surat tersebut. “Mengapa pula?” Ternyata Munira tidak berpuas hati terhadap jawapan Maya tadi.

“Banyak tanyalah awak ni,” marah Jiah tiba-tiba bengkeng.

“Eh, suka hati akulah.” Munira mencerlungkan mata.

“Awak ni datang bulan ke? Cakap sikit pun dah marah.” Jiah geram.

“Sudahlah. Sakit kepala aku.” Maya terpaksa mencelah. Munira mencemik. “Aku nak tanya ni. Macam mana kamu berdua boleh memecah masuk kat dalam rumah aku ni?”

Jiah dan Munira memandangnya serentak. “Sebelum jawab pertanyaan awak tu, kami berdua nak tahu. Kenapa pintu depan tu selalu sangat tak berkunci?”

“Yalah. Bahaya tau kalau Maya tak beringat selalu. Sepatutnya pintu tu mesti diperiksa setiap masa. Pastikannya terkunci. Mungkin tak berapa bahaya kalau hantu yang memecah masuk. Tetapi bagaimana pula kalau budak-budak samseng kat kampung ni yang tersesat masuk kat sini? Tentu teruk Maya dikerjakan oleh mereka.” Jiah menambah

Maya menggaru-garu kepala. “Seingat aku pintu tu sentiasa berkunci.”

“Itu Maya tapi tidak bagi kami. Kalau betul apa yang Maya katakan tu, macam mana pula kami berdua boleh berada kat dalam ni?” jebak Jiah dan Maya mati kutu dibuatnya.

“Agaknya memang benar aku yang terlupa mengunci pintu tu,” kata Maya perlahan.

“Ya macam begitulah. Mengaku je kalau dah memang awak yang salah,” tempelak Munira dengan muka bengang. Dia tak suka Maya berdolak-dalih sebenarnya. “Awak cubalah ambil masa untuk rehatkan minda awak tu. Awak dah semakin jauh sekarang ni. Memang dah teruk namanya kalau dah sampai tahap terpekik terlolong. Benda ni bukannya boleh dipandang remeh. Nanti silap haribulan Maya boleh sakit jiwa dibuatnya. Boleh mampus tanpa disedari oleh masyarakat sekitar. Cerita mistik ni lebih kepada kisah puaka. Sering dikaitkan dengan kesialan dan petaka. Maka Maya harus berhati-hati dan jangan terlalu meletakkan diri Maya kat dalam cerita ni,” nasihatnya seraya menarik nafas.

“Aku bengang dan meluat kerana bersebab Maya. Kalau ikutkan hatiku, aku langsung tak bersetuju. Jauh sekali menggalakkan awak menghasilkan cerita pelik begini,” katanya melanjutkan.

“Aku faham tapi aku sekadar mahukan kelainan. Aku dah jenuh menulis kisah cinta, kisah masyarakat, kisah keluarga dan macam-macam lagi. Kali ini aku nak mencuba sesuatu yang baru dan mencabar.”

“Maya, kalau difikirkan memang betul apa yang Ira cakapkan tu. Memasukkan diri ke dalam cerita mistik seperti ini umpama menggali lubang kubur sendiri. Apapun yang kau mahukan, impikan, harapkan dan perlukan dalam karier awak ni... Sekali-sekala awak mesti memikirkan juga natijah dan risikonya. Kepercayaan dan keinginan awak yang terlalu kuat bagaikan elemen-elemen yang menghidupkan lagi ritual ini,” tambah Jiah. Maya menghembus nafas seraya mengangguk perlahan. Tiada setual pun kata-kata nasihat mereka yang melekat dalam tempurung kepalanya.


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.